Dia insan biasa seperti lelaki lain. Namun ‘istimewanya’ dia apabila terpilih menerima ujian dari Yang Maha Esa. Kehilangan insan yang disayangi seolah-olah merentap kebahagiaan mereka sekeluarga.
Teremosi Plak Pepagi ni…
Hari ni genap 2 tahun 1 bulan awak pergi. Sepanjang tempoh tu, tiada lagi ciuman di pipi. Tiada lagi ucapan sayang. Yang ada hanya sepi.
Tapi “sepi” itu indah dengan adanya Nabil, Nabila dan Nadia. InsyaAllah, akan ku jaga amanah ini sebaik mungkin.
Buat awak di “sana”, sabar yer menanti kami. InsyaAllah kita akan bertemu kembali di alam abadi.
*Rindu tak pernah padam, kasih tak pernah kurang, sayang yang tak pernah hilang*
Itu luahan lelaki bernama Zubayry Abady terhadap arwah isterinya yang meninggal dunia akibat kanser 2 tahun yang lalu. Arwah pergi meninggalkan suami dan tiga anaknya yang masih kecil.
Pengorbanan bapa tunggal ini juga menjadi viral di laman media social facebook. Pemergian arwah isteri akibat penyakit kanser menyebabkan Zubayry Abady Sofian yang terpaksa menggalas tanggungjawab sebagai ayah dan ibu dan masa yang sama kepada tiga cahaya mata mereka Nabil Zikry, 11 tahun; Nabila Zahra,8 tahun dan Nadia Zahra, 3 tahun 7 bulan.
Sebagai insan kerdil yang faham akan qada dan qadar, Zubayry Abady sedaya upaya melaksanakan tanggungjawabnya demi melihat anak-anak bahagia dan gembira menjalani kehidupan seharian biarpun tanpa ibu di sisi. Menelusuri pintu hati lelaki bersemangat waja ini, nyata cukup memotivasikan penulis.
Ads
“Proses untuk fahamkan mereka tentang ketiadaan arwah sangat mudah dan mereka juga anak yang mendengar kata. Cuma awal-awal ketiadaan arwah itu memberi kesan. Nabil jenis yang menunjukkan emosi. Tetapi sebulan selepas itu, Nabil okey. Manakala Nabila pula jenis yang banyak bertanya soalan ‘cepu emas’ dan jenuh nak memberi jawapan.
“Pernah sekali saya mengajak mereka ke zoo. Nabila kemudiannya mengatakan teruja untuk pergi tetapi mahu mengajak mamanya untuk turut serta. Ketika cuti sekolah bulan Disember dan arwah meninggal bulan Ogos.
“Jadi, dalam fikiran Nabila ketika itu, mamanya masih ada lagi dan berfikiran boleh jumpa mama bila-bila masa. Sukar untuk terangkan ketika itu dan kemudian, saya cakap jom kita tanya mama sendiri. Jadi, saya bawa anak-anak melawat kubur arwah.
“Waktu itu, Nabila berborak dengan arwah mamanya, saya hanya perhati dari jauh dan biarkan Nabila melayan emosinya waktu itu. Begitu juga sekarang, kalau anak-anak teringatkan arwah selain bawa melawat kubur, saya juga akan tunjukkan gambar arwah untuk mereka melepaskan kerinduan.
“Sebelum arwah sakit, anak-anak memang rapat dengannya dan selepas arwah tiada, Nabila agak bad mood dan murung, berbeza dulu jenis happy go lucky. Waktu arwah sakit tenat, Nabila ada di sisi sehingga arwah meninggal. Memang Nabila tidak mengeluarkan air mata langsung tetapi selepas 15 hari dia mula menangis.
“Mungkin waktu itu dia sudah mula rasa rindu pada arwah. Nadia, waktu itu baru berusia 1 tahun 6 bulan. Belum mengerti apa-apa tentang kehilangan. Dan kerana dia jugalah yang menyebabkan saya tergerak hati untuk menghasilkan buku bertajuk Aku, Nora & Adenocarcinoma.
“Buku tentang kisah benar kami berdua termasuklah tentang penyakit arwah,” ujar Zubayry yang mahu jadi ‘perantara’ antara arwah dan anak-anak kerana tidak mahu mereka hilang memori tentang arwah lebih-lebih lagi Nadia atau lebih mesra dengan panggilan Bie yang masih kecil.
Ads
Terpaksa melupakan hobi dan minat
Tidak menghadapi masalah untuk menyediakan hidangan sekeluarga memandangkan sejak dahulu lagi dia sering turun ke dapur untuk memasak. Setiap hujung minggu, Zubayry akan memberi cuti kepada arwah dari segala urusan kerja rumah termasuk memasak. Sebaliknya segala urusan tersebut akan di ambil alih olehnya.
“Mungkin juga Tuhan sudah menetapkan dan selepas pemergian arwah, saya tidak banyak hadapi masalah memandangkan sudah biasa melakukan kerja-kerja tersebut. Cuma dulu ada “partner” dalam segala benda termasuk urus anak dan rumah tangga.
“Sekarang, saya seorang jadi kena ubah sedikit rutin harian. Kalau dulu tak pernah sental baju sekolah anak tetapi sekarang hujung minggu itu antara aktiviti wajib. Selain itu, saya ada jadual waktu supaya memudahkan urusan. Segala urusan perlu diselesaikan ikut apa yang sudah disusun supaya tidak bertangguh.
“Waktu arwah sakit enam bulan sebelum pemergiannya. Banyak benda saya belajar dalam tempoh tersebut. Saya sudah pun menggalas segala tugas baik menjaga anak dan juga menguruskan rumah tangga. Boleh saya katakan itu waktu ‘training’ sebelum menghadapi ujian sebenar selepas pemergian arwah.
“Saya memang sudah menerima hakikat dan bersedia selepas doktor menerangkan tentang tempoh hayat arwah. Kalau dulu, hujung minggu saya akan memanjat gunung atau mengayuh basikal. Kadangkala saya mengambil cuti hanya untuk melakukan hobi dan minat tersebut. Namun selepas isteri sakit, saya terpaksa melupakan semua itu dan tumpuan sepenuhnya kepada anak-anak dan rumah tangga sehinggalah sekarang,” ujar Zubayry yang kini menjadi Penyelaras Program Institusi Politik, di Institut Integriti Malaysia.
Ads
Hilang satu Allah gantikan dengan lain
Cabaran sebagai bapa tunggal akui Zubayry bukanlah sesuatu yang mudah. Selain emosi diri sendiri, dalam masa yang sama dia khuatir tentang emosi dan tumbesaran anak-anak terutama anak perempuan memandangkan tiada ikon wanita di dalam rumah.
“Saya bimbang dengan perkembangan anak-anak perempuan memandangkan tiada wanita di dalam rumah. Saya khuatir tentang perkembangan anak-anak perempuan yang boleh dijadikan sumber rujukan terutama apabila tiba fasa peralihan daripada kanak-kanak ke remaja dan dewasa. Emosi berubah dan saya bimbang tidak mampu menangani waktu itu dan anak lelaki tiada masalah. Termasuklah juga cabaran fizikal yang memerlukan saya menguruskan semua hal daripada termasuk makan pakai dan sakit pening mereka.
“Begitu juga dari segi kewangan. Kalau dulu sumber datang dari dua orang tetapi kini tinggal satu. Tetapi mungkin Allah sudah mengatur perjalanan hidup saya dan hilang satu Allah gantikan dengan yang lain. Saya murah rezeki dengan benda yang lain. Cuma kadangkala bila penat sangat, membuatkan saya nak marah. Tetapi sejak dahulu lagi, anak-anak kalau dengar saya berdehem mereka sudah takut. Saya tidak pernah memukul tetapi mungkin ikon bapa itu membuatkan mereka takut dan terus senyap walaupun sekadar berdehem sahaja. Alhamdulillah anak-anak faham bila saya minta mereka beri saya rehat sebentar sebelum keluar makan dan sebagainya.
“Nabil banyak bantu dan semua anak-anak saya memang jenis ringan tulang. Keperluan adik-adik untuk di bawa ke sekolah, dia yang uruskan. Itu dilakukan selepas arwah meninggal. Kalau dulu selepas makan, pinggan tersebut dibiarkan sahaja tetapi kini, Nabil sendiri yang cuci pinggan tersebut. Saya bersyukur kerana anak-anak cukup memahami dan tidak banyak karenah,”ulas Zubayry lagi.
Kena melalui ‘3 panel utama’
Ditanya mengenai pengganti arwah isteri, Zubayry bagaimanapun menyerahkan soal jodoh kepada Yang Maha Esa.
“Kalau diikutkan perancangan, saya selesa dengan anak-anak dan memberi fokus pada pendidikan mereka. Soal jodoh saya tidak rancang tetapi andai ada, calon tersebut perlu melalui ‘3 panel utama ‘ (anak-anak) terlebih dahulu. Memang ada yang cuba mendekati tetapi saya menerangkan pendirian dan ada yang memahami ada juga yang tidak.
“Lagipun prinsip perkahwinan sudah berubah. Kalau dulu saya berkahwin kerana diri sendiri, tetapi kini lebih kepada anak-anak. Jika mereka setuju, barulah saya akan menimbangkannya,”jelas Zubayry lagi yang memberitahu keterujaan untuk menyambut raya agak kurang. Justeru, persiapan raya kali ini dibuat mengikut permintaan anak-anak dan tiada lagi warna tema sepertimana yang dilakukan arwah saban tahun.
Sumber: Majalah Keluarga Jun 2017 & FB Zubayry Abady
Mencari bahagia bersama KELUARGA? Download dan baca sekarang di seeNI.
Cantik dengan solekan hanya bersifat sementara sahaja. Bila solekan di tanggalkan barulah rupa sebenar yang terlihat. Masa tu barulah boleh lihat kecantikan sebenar seorang wanita.
Selain mengamalkan penjagaan kulit wajah dan secara keseluruhannya dengan menjaga pemakanan dan pengambilan makanan tambahan, tak salah juga kalau kita nak cuba pelbagai petua. Biarlah seiring petua dan pemakanan. Baru hasil nampak lagi mantap!
Dua kaedah guna bahan semulajadi ini boleh kekalkan kecantikan sebenar kulit kita. Malah paling penting membantu mengatasi pelbagai masalah lain. Jom amalkan sama-sama.
Betik Rawat Kulit Mati
Macam tak percaya dengan kuasa betik ni. Tapi itulah hakikatnya. Kalau nak tahu, betik adalah antara bahan alami yang digunakan untuk mencantikan kulit. Ia boleh menanggalkan sel kulit mati dan mengurangkan masalah jerawat. Tapi macam mana nak cantikkan kulit dengan betik ni? Ikut petua ini.
Bahan-Bahan:
Betik
Air mawar
1. Pilih betik yang masak ranum.
2. Lenyek betik sehingga halus.
3. Tuangkan sedikit air mawar dan gaulkan lagi hingga sebati.
4. Kemudian lumurkan dan gosok perlahan pada wajah. Lakukan amalan ini setiap hari.
Rawat Mata Sembab
Tak hanya betik, kentang yang selalu kita gunakan dalam masakan pun ada banyak kelebihannya. Kentang paling berkesan merawat masa sembap. Nak rawat macam mana?
Bahan-Bahan:
Kentang
1. Gunakan ubi kentang yang segar.
2. Hiris nipis ubi kentang dan letakkan potongan tersebut di atas mata selama beberapa minit.
3. Basuh dan bilas muka dengan bersih.
4. Lakukan proses ini berkali-kali hingga mata kembali pulih.
Tak susah bukan? Kalau kita perasan memang banyak produk kecantikan menggunakan dua bahan ini sebagai bahan utama. Itu membuktikan kedua bahan ini memang terbaik dan mujarab. Selamat mencuba!
Mencari bahagia bersama KELUARGA? Download dan baca sekarang di seeNI.
Sebut saja anai-anai, ramai yang takut dengan serangan serangga kecil ini. Apa tidaknya, bila anai-anai menyerang bahagian kayu yang nampak kukuh diluarannya boleh mereput dan rosak.
Rekahan dinding atau lubang pada kawasan rumah antara penyebab utama anai-anai mula mendekati kediaman kita. Tak perlu gunakan racun untuk menghalau anai-anai ini sebaliknya usahakan cara ini dulu untuk pulihkannya. Jom cuba.
Petua Halau Anai-anai
1. Tembakau
Tembakau berkesan dalam menghalau anai-anai. Caranya hanya perlu campurkan tembakau dengan air dan biarkan semalaman. Kemudian, semburkan air campuran tembakau itu pada kayu yang diserang anai-anai atau juga ke atas sarangnya.
2. Garam Dapur
Taburkan saja garam di sarang anai-anai, tetapi cara ini kurang efektif dan kurang berkesan kerana garam hanya berada permukaan saja. Supaya lebih berkesan, campur garam dengan air dan tembakau. Biarkan semalaman dan sembur di kawasan yang mempunyai sarang anai-anai.
3. Air Kapur sirih
Kapur bersifat panas dan ia sangat tidak disukai kerana anai-anai memiliki kulit nipis dan lembut . Kapur juga mampu membakar kulit anai-anai.
Jadi anda boleh menggunakan air kapur untuk menghapuskan sarang anai-anai. Caranya, sembur air kapur ke atas permukaan kayu yang diserang anai-anai atau juga boleh siram terus ke sarangnya.
4. Air Cucian Beras
Manfaatkan air basuhan beras yang pertama untuk mengusir anai-anai. Siramkan sahaja air basuhan beras ke atas sarang anai-anai.
5. Minyak Tanah
Kebiasaannya minyak tanah digunakan untuk membakar tetapi ia juga boleh digunakan untuk mengusir anai-anai dari rumah.
Anda cuma perlu semburkan minyak tanah di atas permukaan kayu yang telah di serang anai-anai atau semburkan di sarang-sarang anai-anai. Namun bau minyak tanah agak kuat jadi tidak sesuai kalau di sembur di dalam rumah. Agar lebih berkesan, tambahkan minyak serai dengan campuran minyak tanah.
Selamat Mencuba!
Mencari bahagia bersama KELUARGA? Download dan baca sekarang di seeNI.
Pemantauan dalam pembelajaran anak-anak umumnya kita sebagai ibu ayah sangat ambil berat tentang hal ini.
Namun andai pelbagai cara telah dilakukan, tetapi anak masih malas hendak ke sekolah, suka tidur dalam kelas, malah lambat tangkap pula apa yang diajar, maka sebaiknya kita semak semula 4 peraturan yang dikongsikan ini.Jom semak.
4 Peraturan Penting Mendidik Anak di Rumah.
Benda ni nampak simple, tapi kesan dia sangat besar dalam diri anak-anak.
Kalau anak malas pergi sekolah, selalu tidur dalam kelas, lambat tangkap semasa cikgu mengajar maka semak la semula 4 peraturan ni.Ada atau tidak.
Menurut hasil dapatan dari ceramah Dr Shukri Abdullah semalam ini 4 peraturan yang wajib ada dalam setiap rumah.
1. Perihal Solat
Didik anak solat ni penting. Kalau tak ajar anak hormat agama, hormat Allah, makanya susah juga dia nak hormat mak ayah.
Apatah lagi cikgu di sekolah, lagi la tak di hormatinya. Bila tak hormat mulalah kena marah sikit berdendam, cikgu mengajar di depan dia tidur.
Sujud ini yang akan bentuk anak kita jadi manusia cemerlang. Tak bongkak, tak keras kepala dan mudah di lentur. Percayalah mak ayah sekalian.
Solat banyak manfaatnya. Salah satunya ialah ia mendidik anak tentang displin. Solat kena ikut waktu, dan tepat pada waktunya. Tak boleh ikut suka hati nak solat. Ini displinnya.
Jaga solatnya maka terjaga akhlaknya.
2. Perihal Belajar
Pastikan ada waktu belajar semasa di rumah setiap hari, setiap minggu. Tegas beliau lagi, belajar bukan buat kerja sekolah sahaja. Kalau tak ada kerja sekolah tak perlu belajar.
Bukan begitu!
Kerja sekolah tu hanya latihan, untuk memantapkan lagi pemahaman apa yang di belajar di sekolah.
Selain tu, anak kena buat sendiri ulangkaji pelajaran, baca buku berulang kali, buat latihan tambahan dan latih tubi sebanyak yang mungkin. Ini maksud belajar di rumah.
Mak ayah kena beri sokongan penuh. Semasa anak belajar jauhkan segala gangguan, tutup televisyen, tutup handphone. Ini berkenaan masa depan anak kita juga.
Pengorbanan mak ayah hari ini boleh jamin masa depan anak-anak.
3. Perihal Tidur
Tidur kena cukup. Tidur kena awal. Jam 9-10 malam mesti kena tidur dah. Baru anak tak susah nak bangun pagi. Bangun pun tak layu. Jangan ajar anak tidur lewat walaupun cuti sekolah.
Dah terbiasa tidur lewat nanti susah nak hilangkan tabiat tu. Tabiat nak buang bukan mudah. Boleh bergaduh bab tabiat ni. Dendam pun ada.
Sebelum tidur jauhkan pengaruh skrin seperti televisyen, handphone, tablet dan sebagainya. Benda ni semua parasit. Parasit ni la yang akan hasut mata anak kita untuk terus leka main games, tengok video dan main media sosial.
Lagi satu penting! Jangan bagi anak bawa telefon masuk bilik tidur. Percayalah, mereka tak tidur. Mesti main handphone punya sampai ke tengah malam.
Tidur ni kalau betul-betul jaga boleh jadi penawar segala penyakit termasuk penyakit malas dan ketagihan. Kalau sanggup tak tidur main handphone maknanya anak dah sakit la tu.
4. Perihal Sarapan
Anak yang tak bersarapan waktu pagi akan pergi sekolah dengan otak seakan sama seperti orang tua umur 70 tahun.
Lembap, tak fokus dan mudah berangan !
Ini punca anak tak bertenaga semasa di kelas. Bukan sahaja fizikal tapi mental juga. Cikgu mengajar dia lambat tangkap, dalam kelas boleh tertidur dan paling parah cikgu mengajar tapi fikiran dia melalut perkara lain.
Remeh je kan sarapan ni, tapi kesan dia amat dasyat sekali.
Saranan beliau lagi, sarapan paling baik waktu pagi makanan yang ada protein seperti ikan, telur, ayam, kekacang, daging dan susu.
Selain perut kenyang, otak anak pun lebih cergas dan mudah tangkap bila belajar. Insyaallah.
Begitulah, sebenarnya kalau nak anak kita jadi hebat di dunia yang luas ini mulanya mesti dari rumah.
Mak ayah la kena tunjuk contoh teladan yang betul. Bak kata pepatah, kuih mesti ikut acuannya kan.
Kalau kita boleh ikut 4 peraturan ni dengan baik, nescaya anak pun tak akan banyak beri masalah pada kita kelak.
Che Ta bukan mak mentua cerewet - "Nanti menantu takut nak balik rumah kita." Pelakon popular, Rozita Che Wan atau lebih dikenali sebagai Che Ta, 51, mengakui dirinya bukanlah seorang bakal ibu mentua yang cerewet dalam mendidik keharmonian rumah tangga.