Tular di sosial media sebuah video yang memaparkan seorang lelaki sanggup mendermakan buah pinggang kiri kepada isteri tercinta.

Menerusi hantaran video yang dimuat naik di laman Tiktok itu seorang lelaki yang dikenali sebagai Bukhari, 25, mendapat tumpuan ramai kerana kesudiannya menderma buah pinggang kiri kepada isteri, Nurul Hasanah Salim, 31, menerusi prosedur transplan, 12 Mei lalu.

“Isteri berhak hidup sihat seperti orang lain. Sebagai suami, saya nak dia hidup bahagia,” kata Mohamad Al Bukhari Ellia atau mesra disapa Bukhari.

Hasil ikhtiarnya dan dengan izin Allah, Nurul Hasanah kini tidak lagi menderita akibat penyakit buah pinggang.

Berkongsi kisahnya, Bukhari berkata, dia diijabkabulkan dengan Nurul Hasanah pada 25 September 2020 dan hanya dapat menjalani kehidupan normal sebagai pasangan suami isteri selama seminggu sebelum isterinya dikejarkan ke hospital akibat komplikasi teruk pada buah pinggang.

Bukhari mengakui sedih dan terkesan dengan keadaan isterinya itu namun cuba berlapang dada dengan menganggap ia sebagai ujian Allah SWT.

Demi menyelamatkan nyawa Nurul Hasanah, Bukhari mengikut saranan doktor dengan menjadi penderma buah pinggang kerana enggan isterinya terus melakukan rawatan dialisis.

Suami Dari Syurga! Sanggup Derma Buah Pinggangg Untuk Suri Hati “Isteri Saya Juga Layak Hidup Bahagia”

“Dulu saya bekerja sebagai juruteknik perkhidmatan cucian namun ambil keputusan berhenti kerja kira-kira dua bulan selepas berkahwin.

IKLAN

“Saya kemudian berniaga keropok lekor atas jenama sendiri, Hasbuq Lekor kerana nak beri tumpuan kepada isteri dan menemaninya ke pusat dialisis.

“Ikutkan kami tak sempat pergi berbulan madu kerana selepas seminggu kahwin, isteri tunjukkan simptom badan berasa sejuk, tak larat, menggigil dan nak muntah.

“Hasil pemeriksaan awal ujian darah yang dilakukan oleh isteri menunjukkan keputusan tidak normal, kemudian doktor sahkan dia ada masalah buah pinggang kerana organnya itu mengecut dengan fungsi hanya lima peratus saja.

“Doktor kata kalau nak hidup normal kena dapatkan buah pinggang daripada penderma hidup atau mati otak, jadi saya tawarkan diri (untuk jadi penderma) dan teruskan hasrat itu selepas berbincang serta dapat restu keluarga,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, semalam.

Menurutnya, ada juga segelintir pihak yang mempersoalkan keputusannya namun dia nekad kerana sudah berfikir panjang dan mempertimbangkan kesannya.

IKLAN

Meskipun perlu menunggu dua tahun untuk menjalani transplan buah pinggang, Bukhari bersyukur kerana layak menjadi penderma selepas melepasi saringan ditetapkan malah puas dapat membantu insan tercinta.

“Ramai juga tanya dengan saya mengapa saya nak dermakan buah pinggang dan tak takut ke memandangkan masih muda.

“Jujurnya memang gementar kerana ia soal hidup dan mati malah saya sampai tulis wasiat tetapi cekalkan hati demi isteri.

“Lagipun organ yang saya ada itu adalah pinjaman Allah SWT, jadi apa salahnya derma buat isteri yang memerlukan.

“Dua kali juga pemindahan buah pinggang itu hampir gagal kerana komplikasi ketika cuba masukkan organ ke saluran pundi namun akhirnya berjaya.

IKLAN

“Cuma isteri ditidurkan selama dua hari selepas prosedur itu,” katanya yang mencari rezeki di Tapak Gerbang Malam, Pusat Bandar Bagan Serai, Perak.

Menceritakan perkembangan terkini, Bukhari berkata, keadaan isterinya bertambah baik dan kini menjalani rawatan susulan di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Dia juga dalam usaha menjaga pemakanan dan tidak terlalu aktif dengan aktiviti lasak seperti disyorkan doktor.

@qoryellia Alhamdulillah, segalanya Allah telah mudahkan, terima kasih atas doa kalian semua, Jom baca sedikit coretan dari saya☺️ #kidneydoner #kisahrumahtangga #tilljannah #fyp#fypシ゚viral #duniasementaraakhiratselamanya #alhamdulillah ♬ original sound – Devotees Official

Berhubung perkongsian di TikTok, Bukhari tidak menyangka video dimuat naiknya akan dapat perhatian netizen hingga tular dan meraih hampir sejuta tontonan.

“Bagi saya, transplan buah pinggang satu prosedur biasa memandangkan ramai lagi di luar sana buat yang sama dan niat kongsi video di TikTok adalah untuk jadikan kenangan.

“Tak sangka akan tular malah ramai tonton video itu luahkan rasa sedih dan mendoakan selain DM (hantar kiriman mesej),” katanya.

Sumber: TikTok & Harian Metro

Mencari bahagia bersama KELUARGA?
Download dan baca sekarang di seeNI.

KLIK DI SEENI