
SUV elektrik tiba-tiba berhenti di lebuh raya, keluarga trauma insiden mengejut. Sebuah keluarga berdepan detik mencemaskan apabila kenderaan utiliti sukan (SUV) elektrik yang dibeli kurang setahun lalu tiba-tiba berhenti sendiri ketika sedang dipandu di lebuh raya.
Peristiwa itu dikongsikan oleh pemilik kenderaan, Izwan Hassan, 33, menerusi media sosial selepas insiden berlaku pada 1 Mei ketika beliau bersama ahli keluarga dalam perjalanan dari Melaka menuju ke Pulau Pinang.
Izwan memaklumkan insiden berlaku di lorong kanan Lebuhraya Cheras-Kajang dengan kelajuan sekitar 90 hingga 100 km/j apabila SUV buatan China itu secara tiba-tiba membrek sendiri tanpa sebarang amaran, hanya memaparkan mesej ‘Power System Failure’ di skrin. Keempat-empat tayar juga terkunci seperti dirempuh sistem keselamatan kecemasan.
Menurut Izwan, situasi tersebut hampir menyebabkan perlanggaran kerana kenderaan lain datang dari belakang, namun beliau berjaya menghubungi pihak lebuh raya untuk bantuan segera.
“Kurang 10 minit, peronda lebuh raya tiba dan membantu mengawal lalu lintas. Saya cuba hidupkan semula sistem tetapi tidak berjaya. Walaupun gear dialihkan ke mod neutral, kereta tetap tidak boleh digerakkan kerana tayar terkunci,” katanya.
Kira-kira sejam kemudian, lori tunda dari pihak insurans sampai dan menarik kenderaan itu ke pusat servis kerana pada waktu kejadian pusat tersebut sudah tutup.
Disebabkan itu, Izwan dan keluarganya terpaksa menumpang di rumah saudara berdekatan
kerana rancangan untuk pulang ke kampung terpaksa dibatalkan.Keesokan harinya, beliau menghubungi pusat servis namun kecewa dengan sambutan yang diterima apabila diberitahu tiada kakitangan mencukupi dan temu janji diperlukan. Selepas desakan, mereka memaklumkan bahawa bateri 12 volt mengalami masalah dan siasatan lanjut perlu dijalankan.
Kenderaan tersebut
memerlukan beberapa hari untuk dibaiki dan tiada kereta ganti disediakan kerana habis stok. Akhirnya, selepas beberapa kali berunding, Izwan dan keluarganya dihantar pulang ke Melaka oleh pihak berkenaan.Tambah Izwan, ini bukan masalah pertama sejak pembelian EV itu. Sebelum ini, beliau pernah membuat aduan mengenai pengecas rumah yang rosak sejak Februari, namun tiada tindakan diambil walaupun beberapa kali dihubungi.
Pada 5 Mei, pusat servis mengesahkan bateri 12 volt perlu ditukar kerana voltan terlalu rendah. Kos penggantian sebanyak RM418 tidak ditanggung waranti kerana kenderaan telah
melebihi had 20,000 km.Lebih mengejutkan, Izwan diberitahu tiada sistem amaran untuk kerosakan bateri kecil tersebut, yang menyebabkan kenderaan secara automatik menghentikan pergerakan tanpa amaran.
Izwan menjelaskan perkongsian ini dibuat sebagai peringatan kepada pengguna EV agar lebih berhati-hati dan peka terhadap sebarang tanda masalah pada kenderaan mereka.
Sumber: Sinar Harian
Baca artikel lain juga: Anak Bongsu Menyusul Pergi Sebulan Selepas Isteri Dan Anak Sulung Terkorban Kemalangan
Nak macam-macam info? Klik channel Telegram KELUARGA atau join keluargagader club
Dapatkan perkongsian lebih menarik dari Tik Tok Keluarga @keluarga.my