Bila tengah bulan ramai mak ayah mula rasa resah bila mana anak-anak merengek inginkan mainan atau ajak berjalan-jalan dihujung minggu. Jangan buntu idea dan jangan hanya fikirkan soal wang yang tidak mencukupi sahaja untuk luangkan masa dengan anak-anak.
Ada cara lebih kreatif dan paling penting JIMAT untuk bonding dengan anak dihujung minggu. Tak perlu keluar ke pusat beli belah, ke taman atau kedai makan, sebaliknya di rumah sendiri ada banyak aktiviti yang buat anak-anak teruja dan gembira. Malah sampai ke besar, anak-anak ingat momen indah ini.
Ayah hebat ini, Ahmad Affzan Abdullah kongsikan caranya bonding dengan anak. Tak payah fikir pada bajet!
Zaman sekarang ini sungguh mencabar. Kita jadi ibu bapa kadang-kadang terlalu sibuk cari duit sebab nak sara hidup keluarga. Maka adakalanya terlepas pandang masa berkualiti dengan anak-anak.
Aku senaraikan beberapa aktiviti yang boleh kau lakukan tanpa mengeluarkan duit yang banyak untuk bersembang dan bermesra dengan mereka.
1. Makan dalam dulang/talam
Ini aku pernah tulis dahulu. Mungkin ramai yang tak biasa makan dalam dulang ini, tapi kau cubalah. Banyak kebaikan yang kau boleh dapat.
Waktu inilah kau boleh banyak selitkan nasihat-nasihat kehidupan. Tutup TV, semua mengadap nasi dan lauk di tengah. Kau boleh cerita tentang baiknya Tuhan bagi rezeki. Kau boleh cerita tentang konsep bertolak ansur sesama ahli keluarga. Anak-anak boleh bercerita tentang aktiviti mereka seharian. Sedar-sedar nasi pun habis. Kenyang dapat, bonding pun dapat. Insya-Allah keberkatan pun kau dapat.
2. Memasak
Memasak atau menyediakan makanan juga aktiviti bonding yang baik. Lagipun, memang hampir setiap hari kena masak, kan?
Kalau anak kau ramai, kau bahagi-bahagilah tugas. Ada yang potong sayur, ada potong bawang, ada gaul bahan, ada yang masukkan bahan dalam kuali.
Kalau aku, paling seronok waktu kami buat sandwic sama-sama. Sandwic ini memang antara kepakaran aku. Jadi anak-anak semua sangat teruja bila aku kata nak buat sandwic. Nanti aku kongsikan resipinya. Masing-masing berebut nak sapu mentega atas rotilah, nak letak tomatolah, nak kapit rotilah.
Ia jadi satu aktiviti yang menyeronokkan dan merapatkan hubungan dengan anak-anak.
3. Cuci kereta atau motor
Kalau kau tak hantar kereta ke kedai, bolehlah kau cuci sendiri beramai-ramai dengan anak-anak. Waktu aku kecil dulu, ini antara aktiviti yang aku suka buat dengan arwah Abah.
Ads
Kerja aku senang saja, Abah suruh aku cuci tayar, sebab kawasan yang tinggi-tinggi aku tak sampai. Lepas itu yang seronok sebab dapat main air waktu nak bilas. Basah lencun tapi penuh dengan gelak ketawa. Penat pun tak terasa.
4. Buat hobi sama-sama
Kenalpasti hobi anak kau, kemudian kau sama-samalah buat dengan dia, atau temankan dia waktu dia sedang beraktiviti itu. Dulu anak aku minat main Gunpla atau Gundam. Alah, yang robot plastik main cantum-cantum tu. Aku pun sama-sama buat robot itu dengan dia. Dia gunting, aku cantum. Aku gunting, dia cantum.
Main lego pun begitu juga. Sama-sama cantumkan blok dan bina rumah contohnya. Bila siap, masing-masing rasa bangga sebab buat sama-sama.
Kalau hobi anak kau melukis, kau pun sama-samalah melukis dengan dia. Ataupun kau sokong aktiviti dia, contohnya bawa dia pergi jumpa pelukis, beri idea nak lukis apa, belikan buku-buku lukisan dan lain-lain. Kau tunjuk minat yang sama dengan anak-anak, memang anak-anak akan hargai dan ingat sampai bila-bila.
5. Solat jemaah
Aktiviti pergi masjid dan surau juga salah satu aktiviti yang sangat baik untuk kau bermesra dengan anak-anak.
Waktu jalan kaki untuk sampai ke masjid itu, banyak benda kau boleh sembangkan. Fadilat solat berjemaah jangan ceritalah. Rapatkan saf itu antara sebab yang boleh menyatukan hati kau dengan anak-anak dan ahli jemaah yang lain.
Kalau tak dapat ke masjid, kau solat berjemaah di rumah. Dapat sehari satu waktu pun cukuplah sebagai permulaan. Ini aktiviti spiritual yang boleh merapatkan hubungan yang renggang insya-Allah.
Ads
6. Hantar dan ambil anak dari sekolah/kelas
Mungkin ramai yang tak berkesempatan buat aktiviti ini disebabkan kesibukan kerja dan ‘timing’ yang tak selaras. Namun jika ada kesempatan, kau cubalah usahakan
Benda ini nampak biasa saja, tapi waktu kau dalam kereta itulah masa untuk kau kenali anak kau dengan lebih rapat.
Kau tanya apa aktiviti dia hari itu, dia belajar apa, cikgu baik ke tidak. Anak-anak pun biasanya akan teruja untuk beritahu dia buat apa, kawan mana yang menangis, budak mana yang muntah, budak mana yang bawa duit bekal RM50 dan lain-lain.
Yang ibu bapa mahu begitulah. Anak-anak mesra dan bebas bercerita apa saja dengan kita. Maka masa hantar dan ambil dari sekolah itulah peluang untuk kau bersembang bagai nak rak dengan anak-anak. Jangan kau diam layan radio saja.
7. Majlis taalim
Majlis taalim ini biasanya aku buat sebelum tidur. Kau bacakan buku-buku yang bermanfaat untuk anak-anak contohnya kisah para Nabi, sejarah hidup Nabi Muhammad, kisah para sahabat dan lain-lain.
Kalau kau ada ilmu lebih sikit, kau bacakan buku-buku hadis berkaitan adab dan akhlak, contohnya kitab Riyadhus Solihin, Hadith 40, Adabul Mufrad atau Fada’il A’mal. Kemudian kau tutup dengan tadarus beramai-ramai. Dapat satu malam satu mukasurat Quran, jadilah.
Anak-anak aku paling suka kalau aku bacakan kisah para Nabi. Selalu jugalah mereka mendesak. Sambil cerita itu, kau selitkan juga pengajaran dan kaitannya dengan kehidupan kita sekarang. Barulah anak-anak boleh faham dengan lebih jelas.
Ads
8. Berkebun
Kalau kau ada laman, gunalah laman yang ada itu untuk berkebun bersama anak-anak. Benda mudah macam cabut rumput pun jadi satu aktiviti yang menyeronokkan. Contohnya kau lumba siapa cabut rumput paling banyak ke, atau siapa dapat jumpa cacing ke.
Kemudian kau ajar anak-anak teknik tanam pokok. Macam mana nak pindahkan dari polybag ke tanah atau pasu, macam mana tabur benih, bila nak siram pokok. Biar anak-anak kembali kepada ‘nature’. Pegang tanah, biar tangan kotor, keluar peluh jantan.
Lepas itu, kau beri dia seorang satu pokok untuk dijaga. Ini melatih anak-anak untuk rasa tanggungjawab dan cintakan alam sekitar juga. Bila pokok dah besar, kau boleh kata dengan bangga pada dia,
“Tengok, itu pokok yang awak tanam dulu, kan? Dah berbunga dah.” Mesti anak-anak pun seronok.
9. Main masak-masak atau play pretend
Biasanya ini dibuat waktu anak kau masih kecil. Kau buat khemah dalam rumah guna tali rapia dan selimut. Duduk dalam itu dengan anak, lepas itu guna periuk dari dapur, konon-kononnya tengah masak dalam hutan. Kertas-kertas yang diracik kononnya sayur dan lauk pauk.
Anak lelaki pula biasanya main lawan pedang atau tembak-tembak. Imaginasi anak lelaki aku biasanya begitulah. Anak lelaki orang lain, mungkin lain imaginasinya.
Kau pun pakailah topeng dan segala aksesori untuk masuk dalam dunia anak kau. Jadi budak-budak sekejap. Jadi kawan mereka yang paling rapat, sebelum mereka mencari kawan-kawan yang lain.
Begitulah yang aku boleh kongsi setakat pengalaman aku membesarkan 4 orang anak.
Masing-masing lain kerenah dan karakternya. Namun biasanya bila buat aktiviti bonding ini, semuanya akan seronok dan boleh beraktiviti bersama-sama.
Cubalah di rumah. Mudah-mudahan hubungan kekeluargaan kau dengan pasangan dan anak-anak bertambah erat dan mesra setiap hari.
Ahmad Affzan Abdullah.
Pelukis Kaligrafi Eksklusif
Makan telur goreng merosakkan kesihatan rakyat Malaysia kerana menggunakan minyak. Salah tanggapan ini.
Menerusi perkongsian, Dr Zubaidi Hj Ahmad menjelaskan bahawa telur yang digoreng tidak merosakan kesihatan rakyat Malaysia. Namun jelasnya cara memasak perlu betul agar tidak memudaratkan kesihatan.
Pertama telur merupakan sumber protein yang murah. Banyak nutrien dalamnya. Kedua, jika guna minyak kelapa atau minyak sawit, ia adalah minyak yang sihat jika tidak digunakan lebih 3 kali gorengan.
Kalau saya sendiri untuk menggoreng telur, saya guna hanya satu sudu minyak sawit atau minyak kelapa yang baru.
Sekadar gambar hiasan
Minyak akan menyebabkan masakan menjadi lebih sedap, menyerapkan vitamin ADEK dengan lebih baik, mengelakkan pembentukan batu dalam hempedu dan meningkat rasa kenyang dan puas masa makan. Banyak lagi…Kalau makan dengan sayur dan ulam, lagi berkhasiat.
KHASIAT TELUR
Kalau anda mahu tingkatkan tahap protein dalam badan anda, telur adalah pilihan terbaik. Bukan sahaja ia sangat mudah untuk disediakan, tapi juga sangat murah berbanding sumber protein yang lain. Sebiji telur rebus mengandungi 85 kalori dan 7 gram protein. Telur bukan sahaja mempunyai kandungan protein yang tinggi, malah segala jenis vitamin yang penting untuk badan kita seperti kalsium, folat (vitamin B9), Vitamin A, D, E, B1, B3, B6, B9, B12 dan banyak lagi.
Kita selalu takut untuk makan telur kerana telur kuning dikaitkan dengan kolestrol. Tapi kita tidak tahu yang sebenarnya telur kuning mengandungi mineral dan vitamin ini. Telur kuning yang kandungan omega 3 yang tinggi sangat bermanfaat kepada tubuh badan manusia kerana ianya mengurangkan kadar inflamasi dalam badan.
Antara khasiat yang boleh kita dapat dari telur adalah ia menjadikan sistem imun yang lebih baik.Jika anda tidak mengamalkan makan telur dalam diet anda, anda perlu mulakan sekarang, kerana dengan pengambilan telur dapat memastikan badan anda tidak dijangkiti bakteria dan virus secara semulajadi.
Makan telur yang bersaiz besar (saiz AA) kerana ia mengandungi hampir satu perempat kandungan selenium yang badan kita perlukan. Selenium adalah nutrien yang badan kita perlukan untuk memperbaiki daya tahan badan dan juga mengawal hormon tiroid.
Selain daripada itu kandungan kolestrol yang lebih baik kerana kita tahu yang telur mengandungi kolestrol, tapi kita jangan ingat semua kolestrol adalah tidak baik untuk kita. Kolestrol daripada telur hanya menambahkan kadar kolestrol yang baik sahaja.iaitu ianya meningkatkan kolesterol baik iaitu HDL (high density lipid) yang banyak memberi manfaat dalam kawalan hormon serta sumber kolesterol yang diperlukan oleh otak dan sistem saraf kita. Untuk pengetahuan semua otak dan sistem saraf kita terbentuk 90% adalah dari kolesterol.
Telur boleh mengurangkan risiko sakit jantung kerana telur mengubah kolesterol LDL kepada HDL.Kolestrol yang tidak baik menyebabkan saluran arteri kita tersekat. Kolestrol LDL (Low-density Lipoprotein) mempunyai zarah-zarah yang kecil dan juga besar. Zarah-zarah kecil ini akan menyebabkan saluran tersumbat, manakala zarah-zarah yang besar akan membuatkan saluran bebas dari tersumbat. Jadi dengan menambahkan zarah-zarah besar ini ke dalam saluran darah, risiko untuk diserang sakit jantung lebih rendah.
Sebagaimana perpatah mengatakan, anak adalah cerminan ibu bapa. Setiap perlakuan ibu bapa akan menjadi teladan kepada anak-anak. Mereka akan meniru apa yang dilakukan oleh ibu bapa.
Jadi untuk menjadikan anak kita seorang yang baik, kita harus cermin diri kita, adakah sikap kita baik dan sempurna sebagaimana yang kita inginkan kepada anak.
Senang cerita, bila ibu ayah beradab dan sopan, tentu anak begitu juga.
Begitu perkongsian oleh saudara Ws Adli W Muhammad . Moga kita muhasabah diri,.
Baru-baru ini saya dan isteri ke rumah kawan kami.
Sampai di rumahnya, kami berboraklah. Macam-macam cerita. Maklumlah lama tak berjumpa. Membawang pun ada haha.
Dah lama lepas itu, isteri kawan saya cakap pada suaminya “Ha bang, bolehlah ambil makanan di dapur tu. Karang berborak sampai lupa pula nak ajak makan”,
Dia orang berdua pergilah ke dapur.
Bila dia pergi, baru saya perasan, anak-anak dia kecil belaka. Tadi dia ada cerita anak dia jarak umur setahun dan dua tahun sahaja, tapi saya tak perasan.
Anak dia 5 orang.
Anak dia elok je duduk mendengar kami berborak. Adalah yang main, tapi tak lah bising mana. Tak ada gangguan pun.
Bila kawan saya dan isteri kembali ke depan, saya tengok banyaknyalah dia bawa makanan. Air sampai 4 jag. Huhu.
Masa nak makan, dia ajak semua anak-anak dia makan sekali dengan kami. Elok je anak-anak dia. Tak bising, cukup beradab.
Anak-anak dia bagi laluan ke kita dahulu untuk ambil makanan. Saya ada suruh anak dia ambil dulu, si abang dan kakak tersenyum, kemudian si abang berkata “Tak apa, pakcik ambil dulu. Hehe”.
Mak dan ayah dia tersenyum.
Selepas itu kami pun makanlah bersama. Cukup meriah, suasana ceria dan sudah pasti kami ralit memandang kepada anak-anaknya yang sedang makan. Beradab sungguh.
Habis makan, saya cakap kepada kawan saya “Bagus betul anak-anak awak. Baik belaka kelakunya”.
Dia senyum, kemudian berkata “Itulah Wan. Aku dan isteri didik dari kecil. Ramai-ramai ni, puas juga. Hihi.
Tetapi semua tu bermula dari kita”.
Kemudian dia menyambung cerita bagaimana dia mendidik anak-anaknya. Antara yang dikongsikannya:
1. Katanya, anak dia dulu suka cakap kuat-kuat. Puas dia nasihat kepada anak dia, bila bercakap jangan bersuara kuat.
Anak dia membalas, katanya abah dan mama pun cakap kuat-kuat huhu. Lepas pada itu, dia orang cakap tak kuat dah. Anak cakap kuat lepas tu, kenalah tegur hihi.
2. Anak dia bergaduh depan dia. Bila dileraikan dan minta mereka diam, pernahlah si abang membalas “Abah tu bergaduh dengan mama boleh pula? Siap jawab-jawab lagi”.
Terkedu juga dia kata bila kena begitu. Selepas itu bila ada perselisihan antara dia dan isteri, mereka selesaikan di tempat tertutup tanpa pengetahuan anak-anak dan tak tunjuk dah depan anak-anak.
Anak-anak yang bergaduh pula selepas tu, siaplah dendanya. Tetapi tidak menyakitkan badan mereka. Kena hafaz surah yang banyaknya.
3. Semasa makan, memang dulu huru hara dia kata. Huhu. Ya lah, umur pun tak jauh jarak bezanya. Macam-macam ragam.
Jadi dia buat peraturan, selagi tak duduk sama-sama, selagi itulah semua tak dapat makan. Alhamdulillah katanya, anak-anak dia cukup berdisiplin semasa makan.
Bawa pergi tempat kenduri pun terikut-ikut cara di rumah.
4. Dia kata, cara dia dan isteri muhasabah diri dalam mendidik anak-anak adalah dengan cara melihat wajah anak-anak mereka ketika anak-anak sedang tidur.
Semasa mereka tidur katanya, wajah anak-anak kita comel sungguh dan menyentuh perasaan kita. Semasa itulah, dia dan isteri kenangkan kembali apa yang telah berlaku seharian.
Jika ada yang kena marah, kena tegur, dia orang semak kembali betul ke tak betul caranya.
Jika ada yang jarang berborak hari itu, esoknya akan diajak berborak lebih dari hari semalam.
Begitulah.
Ketika kami nak balik, anak-anaknya hantar kami sampai ke luar. Berdiri elok sama-sama dengan mak dan ayah dia orang. Siap lambai semua hihi.
Baik sungguh pekerti.
Sejuk hati.
Kredit: WS Adli W Muhammad Yang baik jadikan teladan, yang buruk jadikan sempadan.
Mencari bahagia bersama KELUARGA?
Download dan baca sekarang di
Cinta mempunyai bahasa yang tersendiri. Ada pasangan yang berjaya menguasai Bahasa Cinta ini, tetapi ada juga yang sehingga ke hujung usia masih gagal bercakap Bahasa Cinta.
Kebahagiaan pasangan tidak boleh dinilai dengan masa. Ada yang sudah berkahwin selama 30 tahun, tetapi mereka tidak bahagia. Mereka hanya ada perkongsian kehidupan. Berkongsi rumah, berkongsi tempat tidur, berkongsi zuriat. Tetapi tidak boleh berbahasa Cinta.
Kita sering memandang orang yang baru kahwin, yang sedang romantik dan berbahagia sebagai mentah dan berbisik di dalam hati kecil yang banyak lagi ujian yang mereka bakal tempuhi. Kebahagiaan mereka itu belum tentu berkekalan terus terngiang-ngiang di dalam hati.
Sebenarnya ini adalah tanggapan yang salah. Kita takkan tahu apa yang akan terjadi di masa hadapan. Masa bukan penentu segalanya tetapi komunikasi, bahasa, faham memahami dan tolak ansur menjadi kunci utama.
Mari kita bongkar 5 Bahasa Cinta yang saya olah dari buku The Five Love Languages oleh Gary Chapman.
5 Bahasa ini jika anda dapat kuasai semuanya, kebahagiaan itu akan menjadi milik anda berdua. Tetapi jika anda berjaya kuasai bahasa yang sama dengan pasangan anda, walaupun 1 sahaja pun sudah mencukupi.
Apakah 5 Bahasa Cinta? Bagaimanakah untuk menggunakannya dan apa yang perlu dielakkan?
1. Kata Pengesahan
Anda suka dihargai secara lisan. Anda suka dipuji, diberi galakan, kata-kata semangat, dorongan, penghargaan dan ayat-ayat manis menjadi makanan utama yang membahagiakan anda.
Jika pasangan anda berbahasa begini, bercakaplah selalu. Pujilah dia bila dia buat sesuatu, mengoratlah dia supaya dia layu, gunakan ayat-ayat cinta untuk buat dia tersenyum dan beri semangat apabila dia perlukan.
Jangan sesekali bercakap kasar, mengherdik, mengutuk dan menjerit dengan pasangan yang berbahasa begini. Dia akan menyedut 200% dari apa perkara buruk yang kita ungkapkan.
2. Masa berkualiti
Masa, masa dan masa. Anda tidak perlukan sangat benda lain, hanya masa bersama pasangan sudah cukup. Anda suka berbuat sesuatu dengan pasangan. Anda ingin berkongsi masa dengannya. Anda tidak kisah buat apa pun asalkan bersama pasangan. Tak perlu keluar kos mahal-mahal pun tidak mengapa. Berjalan berdua di di pasar pagi pun dah jadi saat yang bahagia.
Jika pasangan anda berbahasa begini, sila ambil berat tentang masa anda. Pastikan rancang betul-betul supaya tiada masa terluang yang sepatutnya boleh dihabiskan dengan pasangan. Anda beri masa, anda akan bahagia. Semudah itu.
Jangan memandang rendah keperluan masa orang yang berbahasa begini. Masa bersama yang tidak cukup boleh membuatkan pasangan anda sunyi dan kadang-kala membawa kepada tekanan dan kemurungan.
3. Menerima Hadiah
Anda gembira menerima sesuatu dari orang yang anda sayangi. Tak perlu yang mahal-mahal pun. Asalkan ianya pemberian dari yang tersayang, anda akan sangat gembira dan menghargainya. Ia melambangkan betapa pasangan anda menghargai anda dengan memberi hadiah.
Jika pasangan anda berbahasa begini, amalkan memberi dan sentiasa memikirkan dia. Singgah kedai runcit? Fikirkan apa yang ingin diberi kepada dia. Keropok ke, air ke, coklat ke. Tiada masalah. Asalkan anda membeli sesuatu untuk dia. Lebih baik apabila anda tahu apa yang dia suka terima, jika dia suka bunga, belikan. Jika mampu, belikan yang mahal juga.
Jangan sesekali beri sesuatu pada orang lain tanpa ada bahagian dia. Itu akan nampak seperti meminggirkan dia. Belilah apa-apa pun sebagai penyejuk hati. Macam saya cakap tadi, tak perlu yang mahal pun.
4. Khidmat
Anda suka apabila pasangan buat sesuatu untuk anda atau bantu anda buat sesuatu. Contohnya anda suka diurut, anda suka pasangan masak untuk anda, anda suka pasangan bersihkan rumah dan lain-lain. Anda rasa dihargai apabila pasangan bantu atau buat sesuatu untuk anda.
Jika pasangan berbahasa sebegini, bantulah dia di dalam kerja-kerja rumah. Masaklah sesuatu untuknya atau masaklah makanan kegemarannya. Bantu isteri basuh pinggan, basuh baju, jagakan anak dan lain-lain. Yang si isteri pun boleh bantu suami dengan mengekalkan rumah dalam keadaan kemas atau selalu sediakan pakaian yang sudah bergosok. Jika anda buat sesuatu untuk si dia tanpa disuruh, itu lagi melambangkan betapa anda mencintai dia.
Jangan biarkan pasangan terkontang-kanting membuat kerja keseorangan. Jangan pula tidak ambil peduli mengenai keperluan pasangan seperti pakaian dan makanan.
5. Sentuhan fizikal
Anda suka disentuh. Anda suka dimanja, dicium, dipegang, diangkat, dipeluk, digigit dan lain-lain lagi. Satu geseran tangan memberi impak 10 kali ganda dari seribu ayat-ayat cinta.
Jika pasangan berbahasa begini, terkamlah dia. Manjakan dia. Sentuhlah dia selalu, belailah dia. Amalkan pelukan manja, ciuman mesra. Selalunya pasangan begini mempunyai tahap ghairah dan cinta yang tinggi. Gunakan penghargaan ini sepenuhnya dan anda juga akan dapat manfaatnya.
Jangan abaikan pasangan berbahasa begini. Jangan biarkan dia bersendirian tanpa sentuhan terlalu lama. Dia akan merajuk dan kecewa. Perlu ambil tahu adakah anda sudah mencium dia hari ini? Jika belum, ciumlah. Amalkan juga pelukan-pelukan sebelum ke tempat kerja dan apabila pulang dari kerja. Anda ada tugas penting untuk memuaskan keinginan dia, tunaikan tanggungjawab anda sepenuhnya.
Itulah dia 5 Bahasa Cinta. Lubuk rahsia kebahagiaan rumah tangga? Sangat betul. Bayangkan jika anda berjaya menguasai kesemuanya. Anda pasti akan diangkat setinggi-tingginya oleh pasangan anda. Dan sudah pasti anda dan pasangan akan benar-benar melayari bahtera cinta tidak kiralah berapa lama masanya.
Semoga ini semua memberi manfaat. Semoga lebih banyak pasangan menguasai 5 Bahasa Cinta ini.
Kongsikan ilmu ini kepada semua. Lebih banyak anda kongsi, lebih banyak keluarga yang akan bahagia.
Nombor berapa Bahasa Cinta anda? Tag pasangan anda dan beritahu mereka bahasa anda supaya mereka boleh menggembirakan anda.
Sumber: FB Akhtar Syamir
Mencari bahagia bersama KELUARGA?
Download dan baca sekarang di
World Quran Convention 2025 mengetengahkan tema ‘Trade With Allah’ berasaskan Surah Al-Saff sebagai panduan utama solusi ekonomi Islam global. Program dua hari ini membuka ruang memahami keseimbangan antara spiritual dan ekonomi moden.