Pemergian insan yang disayangi cukup perit untuk diterima, sementelah tidak sempat berada di sisi di saat akhir hayatnya. Demikian perkongsian seorang pengguna TikTok yang dikenali dengan nama Umiaisy berkenaan kepulangan ayahnya kerahmatullah di saat ibunya sedang menunaikan umrah.
Dek kerana mahu si ibu tenang ketika melaksanakan ibadat umrah, mereka adik-beradik sepakat untuk merahsiakan berita tersebut.
Usai kepulangan si ibu dari Tanah Suci, perkhabaran duka tersebut diketahui, luluh da remuknya hati sang isteri apabila mengetahui suami tercinta telah pergi buat selama-lamanya.
Menerusi paparan video yang dimuatnaik, kelihatan si ibu tidak dapat menahan sebak dan mengalirkan air mata ketika membacakan yassin di pusara bapa. yang lebih memilukan si ibu adalah, sepatutnya arwah suaminya pergi ke Tanah Suci bersama-sama tetapi tiba-tiba jatuh sakit. Begitupun arwah sempat memberi keizinan kepada isterinya untuk menunaikan umrah.
Tak pernah satu hari pun mak tinggalkan ayah, sentiasa di sisi. Asalnya diorang dah janji nak pergi ke Mekah sama-sama tapi ayah sakit dan dia izinkan mak pergi dengan adik-adik mak.
Ads
Perkongsian tersebut membuatkan ramai yang meluahkan rasa simpati dan sebak atas apa yang berlaku kepada keluarga Umiaisy. rata-rata mengucapkan salam takziah dan menitipkan doa semoga keluarga ini kuat dan tabah dengan ujian tersebut.
Meskipun begitu, ada sesetengah pihak mempertikaikan bahawa wanita itu berhak tahu tentang pemergian suami tercinta. Menjelaskan isu berkenaan, mereka tidak mahu mengganggu fokus si ibu beribadat selain mementingkan kesihatan wanita itu yang dikatakan agak lemah semasa dalam umrah.
Ramai yang meluahkan kecewa apabila perkhidmartan LRT tergendala bermula hari ini. Rata-rata bimbang apabila ia akan menjejaskan rutin harian untuk ke tempat kerja.
Memetik laporan Bernama, RapidKL pada hari ini mengeluarkan notis gangguan perkhidmatan LRT yang melibatkan 16 stesen dari Stesen Kelana Jaya hingga ke Stesen Ampang Park selama tujuh hari bermula hari ini.
Dapatkan My Qalam Elite Digital Perjuzuk Set dengan diskaun RM5 apabila anda menggunakan kod KELGST5 di sini
Penggantungan operasi itu bermula dari 9 November sehingga 15 November ini melibatkan stesen LRT yang beroperasi dari pukul 6 pagi hingga 11 malam sahaja.
16 Stesen LRT tersebut adalah, Kelana Jaya, Taman Bahagia, Taman Paramount, Asia Jaya, Taman Jaya, Universiti, Kerinchi, Bangsar, Abdullah Hukum, KL Sentral, Pasar Seni, Masjid Jamek, Dang Wangi, Kampung Baru, KLCC dan terakhir Ampang Park
Stesen-stesen lain akan beroperasi seperti biasa namun akan menamatkan perkhidmatan lebih awal iaitu pada jam 11 malam.
16 stesen LRT dari Stesen Kelana Jaya hingga Stesen Ampang Park digantung operasi selama 7 hari bermula hari ini (9 Nov).
Lain-lain stesen beroperasi seperti biasa dan akan menamatkan perkhidmatan lebih awal iaitu pada jam 11 malam. pic.twitter.com/C3djwnN8W6
Aktiviti mengemas rumah seperti mengemop lantai memang selalu kita buat setiap hari. Rutin harian ini nampak mudah pada pandangan mata kita. Mudah pada pandangan mata tetapi sebenarnya ada banyak ilmu yang harus kita pelajari.
Mengemop lantai hingga benar-benar bersih dan diistilah bersih di sisi islam, Ustaz Syed Shahridzan buat pencerahan ke atas permasalahan ini. Jangan pandang mudah. Pastikan rumah kita, syurga kita anak beranak ini bebas najis dan bersih.
AIR MOP LANTAI BERCAMPUR NAJIS
Banyak orang zaman sekarang, bila ada najis seperti muntah, tahi lipas ke, cicak ke, dia buang dulu najis kmudian mop, cuma, dia tak guna air mutlak, dia guna air mop lantai (sabun lantai). Adakah semua kawasan lantai yang dia mop menjadi najis atau kawasan najis tu sahaja selepas mop?
Menurut mazhab Syafi’ie, air yang berkapasiti 2 kolah (230 liter) dan ke atas bercampur dengan najis, maka air tersebut tidak bertukar menjadi najis melainkan berubah salah satu dari 3 sifat air tersebut, iaitu bau, warna atau rasa. Ini berdasarkan sepotong hadith yang menyebut:
Maksudnya: Abdullah bin Umar RA bahawa Rasulullah -sallallahu ‘alaihi wa sallam- bersabda: “Jika kandungan air mencapai dua kolah maka ia tidak mengandungi kotoran.” Dalam suatu lafaz hadith: “Tidak bernajis”. (Diriwayatkan oleh Imam empat dan dinilai sahih oleh Ibnu Khuzaimah, Hakim, dan Ibnu Hibban)
Jadi jika air mutlak 2 kolah dan ke atas berubah salah satu sifatnya contoh jernih berubah warna kekuningan disebabkan najis, maka air itu bukan lagi air mutlak malah kategori air mutanajjis (air najis). Ini berdasarkan hadith baginda -sallallahu ‘alaihi wa sallam- yang menjelaskan:
وَعَنْ أَبِي أُمَامَةَ الْبَاهِلِيِّ – رضي الله عنه – قَالَ: قَالَ رَسُولُ – صلى الله عليه وسلم: «إِنَّ الْمَاءَ لَا يُنَجِّسُهُ شَيْءٌ، إِلَّا مَا غَلَبَ عَلَى رِيحِهِ وَطَعْمِهِ، وَلَوْنِهِ». أَخْرَجَهُ ابْنُ مَاجَهْ
Maksudnya: Abu Umamah al-Bahily RA bahawa Rasulullah -sallallahu ‘alaihi wa sallam- bersabda: “Sesungguhnya air itu tidak ada sesuatu pun yang menajiskan ia kecuali sesuatu yang dapat merubah bau, rasa dan warnanya.” (Riwayat Ibnu Majah)
Manakala air di bawah kapasiti dua kolah, jika bercampur dengan najis maka secara automatik ia berubah menjadi air mutanajjis (air najis) meskipun tidak berubah sifat sama sekali. Ini kerana kekuatan menolak kesan najis hanya ada pada air yang berkapasiti 2 kolah dan ke atas sepertimana yang dinyatakan oleh Baginda -sallalhu ‘alaihi wa sallam- dalam hadith di atas.
Berbalik kepada air mop yang bercampur najis seperti najis dan muntah. Mengikut kaedah mazhab Syafi’ie, air mop di dalam baldi bercampur dengan najis maka air itu menjadi air mutanajjis. Bahan bernajis seperti air mutanajjis haram dimanfaatkan termasuklah mop lantai menurut mazhab Syafi’ie. Perkara ini dinyatakan di dalam kitab-kitab fiqh Syafi’ie antaranya Imam al-Khatib al-Syirbini -Rahimahullah-, sepertimana kata beliau di dalam karangannya ‘al-Iqna Fi Hall Alfaz Abi Syuja’:
لو أخذ دما أجنبيا ولطخ به نفسه أي بدنه أو ثوبه فإنه لا يعفى عن شيء منه لتعديه بذلك فإن التضمخ بالنجاسة حرام
Maksudnya: ” Begitu juga seseorang yang mengambil darah orang lain(ajnabi) kemudian melumuri dirinya iaitu badannya atau pakaiannya maka ia tidak dimaafkan sedikit darinya kerana lumuran darah yang melampau pada dirinya, sesungguhnya meletakkan(menyentuh) najis adalah haram”.
Oleh disarankan sesiapa yang mop lantai agar mengelakkan dari membersihkan lantai yang dengan air yang sudah bercampur dengan najis. Ini kerana kapasiti air di dalam baldi ternyata di bawah kadar 2 kolah, maka ia bernajis apabila bercampur najis meskipun tidak berubah sifatnya. Ini kerana air yang bernajis tidak dikira mampu menyucikan sesuatu tempat dari najis.
Jika lantai yang sudah dimop dengan air yang bercampur najis yang tidak dimaafkan, maka wajib lantai dibilas/disapu dengan air mutlak sehingga hilang kesan-kesan najis pada tempat itu. Apa pun terpulang kepada kebijaksaan masing-masing untuk melaksanakan cara penyucian tempat yang bernajis mengikut kaedah yang telah ditetapkan oleh syarak.
Antara najis yang dimaafkan ialah najis cicak yang terlalu sedikit. Sebagai contoh najis cicak dua tiga butir termasuk ke dalam air baldi, ia dikategori najis yang dimaafkan selagimana ia tidak merubah sifat air. Ini kerana tahi cicak antara najis yang sukar untuk dielakkan. Jika ia banyak maka tidak dimaafkan iaitu menajiskan air yang sedikit walaupun tidak berubah sifat.
Bolehkan membersihkan tempat bernajis dengan air sabun? Menurut mazhab Syafi’ie, tempat atau benda yang terkena najis wajib dibersihkan dengan air mutlak dan tidak sah dengan air mutlak yang bercampur dengan bahan lain seperti sabun. Tiada masalah untuk menggunakan air sabun untuk basuhan awal namun basuhan kedua mestilah menggunakan(bilas) air mutlak.
Menurut mazhab Hanafi, air mutlak yang berubah sifatnya dengan bahan lain seperti sabun maka ia tetap suci dan menyucikan. Pendapat mazhab Hanafi boleh diamalkan jika melibatkan kawasan terlalu besar seperti kilang dan proses pembersihan melibatkan mesin canggih yang menggunakan sabun, ini termasuk kategori darurat. Manakala tempat yang kecil seperti rumah maka jangan lari dari kaedah mazhab Syafi’ie.
Wallahu A’lam
Abu Ruqayyah Ba ‘Alawi
Kredit: Ustaz Syed Shahridzan
Mencari bahagia bersama KELUARGA?
Download dan baca sekarang di
Namanya cukup besar dalam industri nyanyian, namun empunya diri tetap bersikap low profile dan merendah diri. Anak kelahiran Negeri Di Bawah Bayu ini cukup kuat dan tabah orangnya.
Bergelar ibu tunggal, namun Azharina Azhar tidak sunyi kerana hidupnya terisi dengan kehadiran anak-anak angkat yang comel dan menjadi penghibur dalam hidupnya.
Ditanya tentang anak-anak angkatnya, Azharina mengakui mereka tidak benarkan dia berkahwin lagi. Azharina mempunyai dua anak angkat, Rahmat Azharin Azhar Abdullah, 4 tahun serta Redha Azharin Azhar, 2 tahun.
Manakala seorang lagi anak angkatnya, Rizqie Azharin yang berusia sebulan meninggal dunia pada Mac tahun 2017.
Ibu dunia akhirat
“Anak-anak sihat dan mulut pun sudah bijak. Mereka tak bagi saya kahwin dan ada teman lelaki. Mungkin mereka takut kasih sayang akan berkurangan. Mereka masih kecil, yang sulung bakal masuk 5 tahun manakala adiknya 2 tahun. Walaupun usia masih kecil tetapi mereka seolah-olah matang.
“Pernah sekali sebelum ini, anak saya yang sulung bertanyakan soalan yang saya tak boleh nak jawab dan hanya mampu menangis. ‘Mummy ambil Rahmat kat mana, siapa mummy Rahmat?
“Saya terus terduduk dan terus peluk dia sambil berkata, sayalah ibunya dunia akhirat. Dia sangat matang walaupun usianya baru nak masuk 5 tahun. Kekadang soalan yang dia tanya tak patut dalam usianya bertanya. Mungkin dia tak tahu secara detail tetapi dia akan soal pada saya.
“Tetapi saya tidak sorok hal sebenar, saya beri dia cakap dengan ayahnya yang juga sepupu saya. Dia tahu saya sayang dia, semua sayang dia kerana dia anak buah saya. Dia bukan orang luar. Cuma dia jenis budak-budak yang suka bertanyakan soalan walaupun kadang-kadang soalan tersebut tak masuk dek akal dengan usianya,” jelas Azahrina lagi yang bakal mengadakan konsert bagi meraikan kariernya tidak lama lagi.
Konsert Azharina Queen of Soul
Juara Gegar Vaganza musim ketiga ini juga bersyukur Konsert Azharina Queen of Soul bakal berlangsung pada 29 Jun ini di Teater Shah Alam.
“Ini merupakan konsert pertama yang dianjurkan dalam skala besar. Saya juga bakal menghiburkan penonton selama hampir dua jam,” kata Azharina kepada Gempak.
Konsert ini juga diadakan bersempena sambutan ulang tahun ke-18 pembabitan pelantun lagu Seandainya itu dalam industri nyanyian.
Sebelum itu, Azharina juga bakal berlakon teater buat pertama kalinya tak lama lagi. Azharina ditemui pada sidang media Teater Komedi Seram Anti Dadah: Dari Cherok Tok Kun Ke Gombak yang berlangsung di Black Box SACC Mall, Shah Alam baru-baru ini. Pementasan teater ini akan berlangsung selama dua hari bermula 22 dan 23 Mac 2019 depan di Teater Shah Alam.
Teruja tapi berdebar sertai teater
Akui Azharina, salah satu sebab dia menerima tawaram untuk terbabit dengan teater ini adalah kerana mesejnya berat tetapi disampaikan dalam bentuk komedi yang ringan.
“Cuma saya risau tidak boleh membawakan watak yang diberikan. Bab menyanyi tiada masalah Cuma untuk berdialog itu saya takut kerana ini adalah pertama kali berbuat demikian.
Terlibat dengan AADK
Menyentuh mengenai penglibatan beliau dalam teater ini, akui Azharina bukan kerana atas dasar pengalaman daripada keluarga atau rakan, tetapi sekadar berkongsi kesedaran bersama mereka yang terjebak dengan dadah.
“Sejujurnya, saya cakap ikhlas dari hati, ramai media tak tahu yang setiap tahun saya akan terlibat dengan AADK. Seperti tahun lepas saya di Sungai Ruam, Pahang untuk beri ceramah atau berkongsi masa, rezeki dan menyanyi serta menghiburkan kerana mereka juga manusia juga.
“Setiap manusia tidak sempurna, ada kekurangan. Sebagai individu saya suka berkongsi masa dan rezeki. Kita perlu bagi masa dan ruang untuk mereka.
“Walaupun saya tidak mempunyai pengalaman dan sejarah keturunan saya atau sahabat yang terlibat dengan najis dadah, namun saya ingin membantu memberi motivasi, berkongsi rezeki dan meluangkan masa berhibur bersama golongan ini,
“Sejujurnya saya belum pernah terlibat atau buat program dengan mereka (penagih) di negeri sendiri memandangkan saya sudah berpindah ke Kuala Lumpur. Saya bukan berceramah tetapi saya hanya berkongsi pengalaman bersama dengan sahabat dan ada juga rakan artis lain yang pernah kehilangan orang akibat pengambilan dos dadah yang berlebihan.
“Bila tangan kanan memberi, seboleh mungkin saya tidak suka war-warkan. Saya lakukan secara ikhlas. Saya ibarat semut yang kecil berdepan dengan mereka, tetapi sekurang-kurangnya melalui apa yang saya lakukan ini ada manfaat untuk mereka. Saya terima kerana ia dekat dengan hati saya bukan kerana duit,” ujar Azharina lagi yang bersyukur masih bertahan biarpun sudah 18 tahun dalam industri.