Bagi yang mengenali pelakon kecil molek ini pasti pernah membaca kisahnya yang dikatakan menghidap penyakit kanser. Ardell Aryana atau nama sebenarnya Nurul Hidayah Mohd. Amin, 29, mengakui pernah mengalami sakit tenat sekitar bulan Mei tahun lalu. Namun enggan berkongsi mengenai perkara-perkara peribadi dan tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai sakit sebenar yang dialaminya.
Biarpun mengalami dugaan yang cukup hebat, tapi dia tidak mahu mengalah. Akui Ardell kekuatan tersebut diperoleh menerusi mamanya.
“Setiap kali nak kuatkan diri saya lihat wajah mama. Dari saya kecil sehingga sekarang banyak dugaan yang dilalui ibu .Takkan hanya dugaan sakit yang sedikit ini dan dihapuskan dosa saya yang lepas, saya nak anggap itu dugaan yang besar. Mama adalah sumber kekuatan selain adik-beradik lain.
Tinggal dalam pondok ladang kelapa sawit
“Mama saya seorang mualaf, kehidupan kami sekeluarga juga susah. Kami tinggal di sebuah pondok di ladang kelapa sawit. Dek kerana miskin, kami terpaksa berpisah kerana mama terpaksa berikan adik-beradik pada orang lain. Hanya saya sahaja yang tinggal dengan mama waktu itu.
“Ibu mana yang sanggup berpisah dan berikan anak pada orang lain. Tapi demi mahukan yang terbaik untuk anak-anak dia redha. Namun Allah berikan rezeki kami untuk bersatu kembali. Kini kebanyakan adik-beradik saya bekerja dalam bidang kerajaan. Saya nombor lima dari enam beradik tapi ibarat saya ini anak sulung. Malah, saya tak pernah salahkan takdir walaupun sudah mula buat kerja sampingan sejak tingkatan tiga lagi,’ jelas Ardell yang pernah bekerja di funfair.
Ketika itu tiada lain hanya niat mahu membantu mamanya yang hanya bekerja di restoran untuk besarkan mereka semua.
“Berapa sajalah gaji ditambah pula mama ibu tunggal. Tapi Allah berikan kelebihan saya dalam industri seni. Mungkin rezeki saya dalam bidang ini tetapi kena tahan fizikal dan mental. Tapi itu pun saya lakukan on off sebab mama tak restu. Tapi saya terangkan tujuan saya masuk bidang ini.
Pikul tanggung jawab seorang ayah
“Saya mahu bantu keluarga tak nak hanya duit sekadar cukup sahaja. Perlu ada simpanan untuk waktu kecemasan. Jadi mama restu, jadi saya pikul tanggung jawab seorang ayah sebenarnya kerana saya ada adik yang masih kecil. Bayangkan dulu kami hanya pakai apa yang diberikan oleh pihak zakat dan juga di sedekah oleh orang lain.
“Kami memang susah sangat waktu itu. Jadi saya rasa adik-beradik yang teringin nak guna benda baru seperti kanak-kanak lain. Saya tahu nun jauh di sudut hati mama saya, dia rasa sedih kerana tak mampu nak bagi apa yang anak ingini. Tapi saya cakap mama tak perlu sedih kerana mama dah tua dan banyak berkorban sejak dulu lagi. Jadi, setiap kali dapat gagi, saya lebihkan pada keluarga. Mujurlah saya ni bukan jenis kaki shopping.
“Ada yang cakap kenapa nak berikan duit pada abang-abang tapi saya kata dalam rezeki kita ada rezeki orang lain. Mereka adik-beradik saya dan saya ada kelebihan yang Allah berikan, jadi kenapa nak kedekut. Saya kongsikan rezeki dan daripada itu Allah tambahkan lagi.
‘Bayaran pertama filem saya simpan dan hantar mama pergi umrah. Walaupun ketika itu saya hanya tinggal RM50 untuk struggle sebulan. Tapi saya nekad. Mama pulang dari umrah, rezeki yang saya peroleh semakin melimpah ruah,”ujar Ardell sambil mengakui Itu tandanya Allah sayangkannya.
Allah duga lagi
Namun selepas beberapa tahun, dia diuji lagi. Timbul di benak fikiran kenapa Allah menduga sedemikian sedangkan dia berubah dan selalu berkongsi rezeki. Sebagai manusia biasa akuinya tidak mampu lari dari rasa marah.
“Saya mempersoalkan kenapa ia boleh berlaku. Walaupun orang cakap dosa kalau mempersoalkan apa yang berlaku. Tapi sebenarnya Allah tu dah cakap minta atau tanya apa yang nak tahu. Jadi saya tanya direct apa yang ingin Dia tunjuk pada saya sebenarnya.
Struggle dengan bantuan mama
‘’Memang tahun lepas saya struggle tapi mama sentiasa di sisi. Dia selalu bagi dorongan dan selalu bawa saya keluar untuk ambil angin. Jadi buat apa saya nak sia-siakan apa yang mama lakukan.
‘Daripada situ saya mula mengorak langkah dan boleh melakukan semua kerja saya semula termasuklah menerima tawaran berlakon,”ujar Ardell yang ditemui dalam satu majlis pelantikan sebagai menjadi duta bagi koleksi pakaian Ana B X Ardell Aryana sekali gus melancarkan kempen #misimencarikekasih dan #tamakpahala2019 baru-baru ini.
Seringkali wanita khususnya ibu yang melahirkan sukar untuk mendapatkan kembali bentuk badan selepas bersalin, demikian yang dilalui selebriti terkenal, Fazura.
Jujur mengakui, proses mendapatkan berat badan ideal bagi dirinya bukan satu perkara yang mudah lebih-lebih lagi selepas bersalinkan anak sulung lebih setahun lalu.
Ketika mengandungkan cahaya mata sulungnya, Nur Fazura Sharifuddin mengakui berat badannya pernah mencecah sehingga 76 kilogram (kg).
Namun, pelakon filem Manisnya Cinta Di Cappadoccia itu tidak putus asa sebaliknya cuba mengamalkan rutin sihat demi memiliki tubuh sihat.
“Saya berusaha (menguruskan badan). Antara lain mungkin sebab sibuk kadang terlupa makan. Ada ketikanya saya bersenam cuma tidaklah macam dulu. Sebelum ini dalam seminggu dapat tiga kali bersenam. Sekarang satu atau dua minggu dapat buat sekali sahaja.
“Cuma bila ada peluang untuk ‘workout’ dalam sejam dua tu, saya akan betul-betul fokus. Selebihnya saya elakkan ambil menu berat selepas jam 6 petang,” katanya lagi.
Isteri kesayangan pelakon Fattah Amin ini juga sering menerima banyak pandangan mengenai soal pemakanan demi anak yang dikandung.
“Pada sebelah pagi, saya minum air kosong dan lemon bersama oat, kemudian tengah hari saya akan ambil hidangan berat seperti nasi dan sebagainya. Makan malam jam 6 petang dan sekiranya lapar akan makan buah sajalah.
“Ketika hamil, saya mendengar nasihat orang luar yang minta saya makan apa sahaja demi mendapatkan bayi comel dan gebu. Minum pula Milo Ais Tabur boleh dikatakan setiap hari.
“Kata mereka makan saja, nanti lepas bersalin mesti cepat kurus. Ketika hamil, berat badan saya sekitar 76kg. Bila bersalin berat badan turun ke 65kg dan sekarang 54kg. Wanita bila bersalin perubahan berat badan itu akan berbeza-beza,” katanya lagi.
Terdahulu, Fazura teruja dan bersyukur atas kerjasama bersama Profesor Datuk Dr Che Muhaya Mohamad.
“Alhamdullillah, syukur kerana termakbulnya hasrat saya untuk berkolaborasi bersama insan yang dikasihi, Bonda Muhaya untuk koleksi telekung bersama jenama beliau, Muhayya Magical.
“Koleksi Fazura x Muhayya ini menampilkan dua koleksi, Rindu Ramadan dan Sayang Syawal yang terdiri dari pelbagai warna menarik sempena Ramadan dan musim perayaan yang bakal menjelang ,” katanya.
Semakin umur meningkat pasti sehelai dua uban yang sudah mula tumbuh di atas kepala. Sesekali mungkin ia tidak merisaukan namun setiap kali dicabut dan tumbuh pula pada tempat yang sama pastinya buat kita rasa runsing.
Paling kritikal kawasan yang ditumbuhi uban ini teramatlah gatal. Mencuba beberapa petua tradisional yang diamalkan oleh nenek-nenek kita adalah cadangan paling bijak.
Enam petua ini bukan hanya pulihkan rambut beruban tetapi juga mengatasi masalah rambut lain sekaligus mencantikkan rambut. Cubalah.
1. Melebatkan Rambut
Bahan:
Sekepal nasi
Limau nipis
Garam
Air
Caranya:
Ambil sekepal nasi dan 1/2 biji limau nipis dan direndamkan bersama secawan air dan sebuku garam. Kemudian diembunkan waktu malam. Pagi
esoknya perahlah limau nipis tersebut bersama bahan yang diembunkan tadi. Selepas itu barulah dibasuh rambut anda dengan air campuran tadi dan
biarkan selama 3 jam. Kemudian barulah dibilas dengan air bersih.
2. Kurangkan Kelemumur
Bahan:
Asam Jawa
Caranya:
Bancuh air asam jawa dengan air suam kemudian gosokkan ke kepala. Biarkan selama 10 hingga 15 minit sebelum dicuci.
3. Kurangkan Rambut Gugur
Bahan:
Pucuk labu
Minyak kelapa
Caranya:
Ambil segenggam daun labu muda (pucuk labu) dan tumbuk hingga lumat. Campurkan dengan minyak kelapa secukupnya dan sapukan ke kulit kepala.
Sapukan ke rambut setiap hari.
4. Melebat dan Hitamkan Rambut
Bahan:
Daun Lidah Buaya
Caranya:
Patahkan daun lidah buaya, ambil lendirnya kemudian sapu ke atas kepala anda. Selepas 10 hingga 20 minit basuh rambut anda.
5. Mengurangkan Uban
Bahan:
Serbuk teh
Caranya:
Rendamkan teh semalaman (air rendaman jangan terlalu banyak), kemudian sapukan ke atas kepala anda. Lakukanlah selama 30 minit sebelum anda
mencuci dengan syampu.
6. Melembutkan Rambut
Bahan:
Daun inai
Caranya:
Tumbuk daun inai hingga sedikit kasar dan kemudian sapukan pada seluruh rambut. Biarkan selama 30 minit dan bilas rambut dengan air bersih.