
Tengku Amir Shah, Raja Muda Selangor dan isteri, Datin Paduka Seri Afzaa Fadini Abdul Aziz, mengumumkan berita gembira mengenai kelahiran puteri sulung mereka yang diberi nama Tengku Alia Amira Tengku Amir Shah.
Pengumuman penuh bermakna itu dikongsikan menerusi hantaran di media sosial rasmi Raja Muda Selangor dan segera menerima ribuan ucapan tahniah serta doa daripada rakyat yang turut berkongsi kegembiraan bersama keluarga diraja.
Tengku Amir Shah Luah Rasa Syukur Atas Kelahiran Puteri Sulung
Menerusi perkongsian tersebut, Tengku Amir Shah menzahirkan rasa syukur ke hadrat Allah SWT atas kurniaan cahaya mata pertama dalam rumah tangga baginda bersama Datin Paduka Seri Afzaa Fadini Abdul Aziz.
“Alhamdulillah. Dengan penuh rasa syukur ke hadrat Allah SWT, Beta mengumumkan kelahiran puteri kami.
“Semoga Allah SWT mengurniakan kesihatan, keberkatan dan rahmat yang berpanjangan buat anakanda kami. Terima kasih buat semua yang mendoakan kami sekeluarga,” titah baginda.
Dalam hantaran sama, baginda turut memperkenalkan nama puteri sulung mereka iaitu Tengku Alia Amira Tengku Amir Shah, yang menjadi perhatian ramai kerana keindahan dan keunikan namanya.

Nama Tengku Alia Amira Raih Pujian Warganet
Pemilihan nama Tengku Alia Amira Tengku Amir Shah menerima pelbagai reaksi positif daripada warganet. Ramai menyifatkan nama tersebut mempunyai sentuhan Melayu klasik, lembut, sopan dan cukup indah untuk seorang puteri diraja.
Ruangan komen di media sosial rasmi Raja Muda Selangor dipenuhi ucapan tahniah daripada rakyat serta kenalan yang mendoakan agar puteri sulung baginda membesar dengan sihat, menjadi anak yang solehah dan sentiasa berada di bawah rahmat serta lindungan Allah SWT.

Perkahwinan Diraja Pada Oktober 2025
Untuk rekod, Tengku Amir Shah dan Tengku Puteri Afzaa Fadini selamat diijabkabulkan dalam Istiadat Pernikahan Diraja yang berlangsung di Masjid Istana Diraja, Istana Alam Shah, Klang pada 2 Oktober 2025.
Pasangan diraja tersebut dinikahkan oleh Mufti Selangor, Datuk Dr Anhar Opir dengan disaksikan Tengku Panglima Raja Selangor, Tengku Ahmad Shah Alhaj serta Tengku Indera Pahlawan Diraja, Tengku Datuk Setia Putra Alhaj.
Istiadat pernikahan yang berlangsung secara tertutup dan penuh tertib itu turut disaksikan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah serta Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin.
Ucapan Tahniah Daripada Rakyat
Kelahiran puteri sulung pasangan diraja ini bukan sahaja membawa kebahagiaan kepada keluarga diraja Selangor, malah turut menggembirakan rakyat yang mengikuti perkembangan institusi kesultanan negeri itu.
Ribuan ucapan tahniah dan doa membanjiri media sosial, dengan ramai berharap agar Tengku Alia Amira Tengku Amir Shah membesar sebagai seorang insan yang berakhlak mulia, berilmu, sentiasa dikurniakan kesihatan yang baik serta menjadi kebanggaan keluarga diraja dan rakyat Selangor.
Sumber: Facebook Raja Muda Selangor
Mencari bahagia bersama KELUARGA?
Download dan baca sekarang di




