Pelakon popular Uqasha Senrose dilaporkan telah memfailkan permohonan cerai terhadap suaminya yang juga pelakon, Kamal Adli, di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur pada 1 Oktober lalu.
Difahamkan, Uqasha Senrose atau nama penuhnya Nik Zaris Uqasha Nik Sen, 33, dijadualkan hadir ke mahkamah hari ini bagi prosiding sebutan kes cerai kali pertama. Berita ini menimbulkan persoalan sama ada pasangan selebriti Uqasha Senrose Kamal Adli bakal berpisah selepas tiga tahun mendirikan rumah tangga.
Rumah Tangga Uqasha Senrose Dan Kamal Adli Didakwa Bergolak
Menurut sumber terdekat yang dipetik Utusan Malaysia, hubungan rumah tangga antara Uqasha Senrose Kamal Adli dikatakan mula berantakan sejak April lalu. Namun, punca sebenar keretakan tersebut bukan disebabkan oleh kehadiran orang ketiga.
Sumber itu turut memaklumkan bahawa pasangan berkenaan kini tidak lagi tinggal bersama, dengan Uqasha Senrose dilaporkan menetap di rumah ibunya. Situasi ini menguatkan lagi spekulasi bahawa hubungan Uqasha Senrose Kamal Adli sedang berada dalam fasa yang sukar.
Ads
Luahan Hati Uqasha Senrose Tarik Perhatian Warga Maya
Sebelum ini, beberapa hantaran di media sosial milik Uqasha Senrose yang bernada luahan hati telah mencetuskan pelbagai spekulasi dalam kalangan peminat. Ramai mengaitkan perkongsian tersebut dengan kemelut rumah tangga Uqasha Senrose Kamal Adli yang dikatakan bergolak sejak beberapa bulan lalu.
Namun ketika ditemui pihak media di program hiburan MeleTOP malam tadi, Uqasha Senrose memilih untuk tidak memberi sebarang komen lanjut mengenai isu berkenaan. Beliau hanya meminta agar semua pihak mendoakan yang terbaik buat dirinya dan keluarga.
Ads
Perkahwinan Dan Keluarga Uqasha Senrose Kamal Adli
Untuk rekod, pasangan selebriti ini disatukan sebagai suami isteri pada 5 November 2021 dalam satu majlis tertutup di Janda Baik, Pahang. Hasil perkahwinan tersebut, mereka dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Hawra Uqaira.
Walaupun berita mengenai Uqasha Senrose Kamal Adli bakal bercerai mengejutkan ramai pihak, para peminat tetap mendoakan agar kedua-dua pelakon ini dapat menyelesaikan segalanya dengan cara terbaik demi masa depan anak mereka.
Setakat ini, pihak Kamal Adli belum memberikan sebarang kenyataan rasmi berhubung perkara tersebut.
Amaran bahawa fenomena El Nino melanda tahun depan, pemilik sawah dinasihatkan mengusahakan tanaman padi huma sebagai langkah proaktif menghadapi fenomena itu.
Menurut Laporan Sinar Harian, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK), Datuk Zakaria Othman, menjelaskan bahawa padi huma atau padi darat merupakan pilihan alternatif yang berpotensi besar untuk menjamin bekalan beras keluarga jika berlaku krisis makanan.
Katanya, tanaman padi huma juga lebih mudah dijaga dan tidak memerlukan air yang banyak seperti tanaman padi biasa.
“LZNK sudah cuba tanam sebanyak dua hektar di Sik dan kita sedang tanam lagi empat hektar di kawasan Bendang Man, Sik,” Katanya ketika ditemui selepas proses tuaian pertama padi darat di halaman kediaman rasmi Menteri Besar Kedah di Seri Mentaloon di sini pada Ahad.
Turut hadir menyaksikan proses tuaian itu ialah Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.
Menurutnya, musim kering yang dijangka akan berlaku nanti meyakinkan orang ramai untuk memilih padi darat sebagai tanaman alternatif.
“ ia boleh ditanam walaupun di tapak sawah, malah pengalaman saya padi ni senang diurus apabila di tanam di tapak sawah yang terbiar,” katanya.
Jelasnya, rakyat di negeri ini turut disaran menanam padi darat di halaman rumah seperti yang diusahakan di halaman rumah menteri besar.
“Tanaman padi jenis bario di halaman rumah menteri Besar itu mengambil masa empat bulan untuk dituai selepas di tanam pada 28 Jun lalu.
“Apa yang kita nak cerita padi darat atau padi huma ini dia berpotensi di tanam oleh semua orang kerana mudah diurus, maknanya siapa yang ada tanah kosong dia boleh tanam,” ujarnya.
Zakaria berkata, kaedah jarak yang diguna pakai antara satu pokok ke satu pokok adalah 12 inci.
“Pengalaman kita boleh tanam lapan hingga 12 inci, sebab pertumbuhan dia tak sama dengan padi air, hendak tanam lagi rapat lagi baik bagi mengelak rumpai tumbuh dengan cepat,” katanya.
Beliau berkata tempoh tuaian padi huma adalah antara tiga hingga enam bulan mengikut variati.
“Sekilogram benih boleh menghasilkan 80 kilogram (kg) padi. Daripada setiap kg padi akan dapat menghasilkan 60 peratus beras dan ia dijual dengan harga RM26 sekilogram.
“ Rasanya sedap dan ada variati yang mengeluarkan aroma yang wangi,” katanya.
Pada Mac lalu, media melaporkan negara perlu bersedia mulai sekarang bagi berdepan kemungkinan hasil pertanian tempatan berkurangan pada 2025 akibat fenomena El Nino yang mengakibatkan cuaca panas berpanjangan.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu dilaporkan berkata kesan fenomena itu dapat dilihat ketika ini, apabila pengeluaran padi negara kekal pada kadar 62 peratus menyebabkan Malaysia perlu mengimport 38 peratus beras.
Orangnya kecil molek dan apabila bertutur pula nadanya sentiasa lembut, namun di sebalik semua itu Prof Ts Dr Norazah Mohd Suki bukan wanita yang calang-calang.
Penyelidik dan juga profesor daripada Universiti Utara Malaysia (UUM) Kampus Kuala Lumpur ini mencipta sejarah sebagai wanita pertama negara tersenarai dalam kelompok dua peratus saintis terbaik dunia selama tujuh tahun berturut-turut dari 2019 hingga tahun ini.
Senarai berprestij itu diterbitkan oleh Universiti Stanford dan penerbit akademik Elsevier yang menilai lebih sembilan juta penyelidik dari seluruh dunia, namun hanya sekitar 100,000 saintis berimpak tinggi dipilih berdasarkan citation (petikan), indeks-H, kolaborasi antarabangsa dan peranan kepengarangan utama.
Bagi dirinya, pencapaian itu bukan sekadar pengiktirafan peribadi tetapi juga kebanggaan buat Malaysia.
“Apabila saya mengetahui disenaraikan buat kali ketujuh, saya amat bersyukur. Ia bukan hanya penghargaan terhadap kerja keras saya, tetapi juga legasi untuk UUM dan Malaysia, membuktikan bahawa kita mampu berdiri setaraf dengan saintis antarabangsa,” katanya ketika ditemui Bernama, baru-baru ini.
Pencapaian beliau bukan sahaja menzahirkan kecemerlangan peribadi, malah mengukuhkan profil penyelidikan Malaysia di persada global selain menjadi simbol kecekalan wanita Malaysia dalam dunia akademik yang kompetitif dan lazimnya didominasi kaum lelaki.
Prof Ts Dr Norazah Mohd Suki tersenarai dalam World’s Top 2% Scientists sejak pengiktirafan itu diperkenalkan oleh Universiti Stanford dan Elsevier pada 2019. Beliau kini di kedudukan 167 dunia dalam bidang Perniagaan dan Pengurusan serta ke-5,173 secara keseluruhan dalam kalangan 100,000 saintis berimpak tinggi di seluruh dunia.
Berdasarkan pangkalan data Scopus, beliau mencatatkan H-Index 39 dengan lebih 196 artikel diterbitkan dan lebih 5,000 petikan oleh penyelidik lain di seluruh dunia, iaitu satu pencapaian luar biasa dalam bidang sains sosial dan pengurusan yang biasanya tidak mencatat kadar rujukan setinggi bidang sains tulen.
Menjelaskan dengan lebih lanjut pencapaiannya kepada Bernama, beliau berkata, H-Index 39 bermaksud sekurang-kurangya 39 artikel beliau yang masing-masing dirujuk sekurang-kurangnya 39 kali oleh penyelidik lain.
“Realitinya, bukan semua orang boleh mencapai Scopus H-Index 30 ke atas, apatah lagi 39. Ia satu angka yang sangat tinggi, terutama dalam bidang sains sosial dan pengurusan kerana bidang ini tidak mempunyai jumlah penyelidik dan kadar rujukan setinggi bidang sains tulen.
“Angka itu menunjukkan hasil penyelidikan saya bukan sahaja diterbitkan, tetapi turut digunakan dan dirujuk secara meluas oleh komuniti akademik antarabangsa,” jelasnya.
Tegas beliau lagi, pemilihan ke dalam kelompok dua peratus saintis terbaik dunia tidak bergantung pada jumlah penerbitan semata-mata, sebaliknya kualiti dan impak sebenar penyelidikan.
“Tiada permohonan, tiada pencalonan, semuanya berpaksikan data penerbitan yang sahih dan berimpak tinggi. Jadi, apabila nama kita muncul dalam senarai itu, ia benar-benar hasil kerja keras bertahun-tahun,” jelas beliau lagi, menambah pencapaiannya itu juga membuktikan disiplin, konsistensi dan rasa ingin tahu yang tinggi adalah kunci kejayaan.
“Untuk kekal dalam senarai ini bukan mudah. Kita perlu terus aktif menjalankan penyelidikan berimpak tinggi, menulis, menerbitkan dan berkolaborasi di peringkat antarabangsa. Walau sesibuk mana pun saya sentiasa pastikan setiap hari ada masa diperuntukkan untuk menulis atau menyemak data penyelidikan dengan penuh disiplin,” kongsi beliau.
Dilahirkan di Kluang, Johor pada 1977, anak kedua daripada tiga beradik ini membesar dan menerima pendidikan awal di Jasin, Melaka. Sejak kecil, beliau dan adik-beradik diasuh dalam suasana keluarga yang menekankan disiplin dan pendidikan.
Bukan sesuatu yang menghairankan kerana ibunya, Azbah Semat, merupakan ‘Special Grade Midwife’ di Hospital Melaka sebelum bersara, manakala arwah bapanya, Mohd Suki Umbi pernah berkhidmat sebagai anggota Tentera Laut Diraja Malaysia sebelum menjadi penguasa asrama di Institut Kemahiran Mara Jasin.
“Ibu dan arwah bapa menjadi tulang belakang kejayaan saya. Mereka menghantar saya dan kakak saya, Prof Madya Ts Dr Norbayah, ke kampus setiap hari di Universiti Multimedia (MMU) Melaka dan kemudian ke MMU Cyberjaya. Mereka tidak pernah jemu memberi semangat untuk kami menimba ilmu hingga ke peringkat tertinggi,” ujarnya penuh syukur.
Kakaknya juga bertugas di UUM Kampus Kuala Lumpur, manakala adik bongsu mereka, Mohamad Syukri seorang cef terlatih.
Merupakan lepasan Institut Perdagangan Mara, Prof Ts Dr Norazah Mohd Suki menyambung pengajian ijazah pertama di MMU dan menamatkan pengajian pada 2000. Beliau kemudian meneruskan pengajian di peringkat sarjana dan doktor falsafah dalam bidang pemasaran dan e-dagang di universiti sama dan menamatkan pendidikan pada 2006 ketika berusia 29 tahun.
Sepanjang 25 tahun dalam dunia akademik, beliau menempuh perjalanan dengan penuh dedikasi, di beberapa institusi pengajian tinggi di negara ini.
Pada 2018, beliau menerima pengiktirafan Malaysia’s Research Star Award (MRSA), satu penghargaan berprestij daripada penerbit akademik Elsevier dan Kementerian Pendidikan Tinggi kepada penyelidik Malaysia yang menghasilkan penerbitan berkualiti tinggi di peringkat antarabangsa.
Kini, pada usia 48 tahun, beliau bukan sahaja bergelar profesor tetapi turut memegang jawatan Timbalan Dekan (Penyelidikan, Inovasi & Hubungan Korporat) di Othman Yeop Abdullah Graduate School of Business (OYAGSB), UUM – simbol kepada disiplin, fokus dan minat mendalam yang mengangkatnya ke puncak dunia akademik.
Bagi beliau, kejayaan dalam penyelidikan bukanlah kerja individu, tetapi hasil ekosistem universiti dan pasukan yang menyokong sepenuhnya. Beliau banyak menjalankan kerjasama penyelidikan rentas negara serta menekankan kepentingan menjadi pengarang utama dalam penerbitan berimpak tinggi.
Bukan setakat itu, Prof Ts Dr Norazah Mohd Suki juga membantu pelajarnya mencipta kejayaan dan antara pencapaian besar yang masih diingatinya ialah membantu 105 penuntut sarjana muda menerbitkan artikel berindeks Scopus, satu pencapaian yang sangat jarang berlaku dalam dunia pendidikan.
Buku mereka yang bertajuk ‘Handbook of Research on Leveraging Consumer Psychology for Effective Customer Engagement’ diterbitkan oleh IGI Global pada 2017 dan membabitkan pelajarnya yang beliau latih sejak awal pengajian.
Sejak 2013, beliau berkhidmat sebagai Pegawai Bersekutu APM dengan pangkat Leftenan Kolonel Bersekutu dan kini menjawat jawatan Timbalan Komandan Kor Siswa Siswi Pertahanan Awam (KorSispa) UUM. Melaluinya, beliau memupuk semangat kesukarelawanan dan patriotik dalam kalangan mahasiswa dan generasi muda.
Ketika pandemik COVID-19, beliau bertugas di Home Surveillance Centre (HSC) di Institut Aminuddin Baki, Jitra, Kedah. Peranan besar ini menyaksikannya dianugerahi Pingat Bakti Pertahanan Awam pada 2021 sebagai penghargaan atas sumbangan dan jasanya kepada masyarakat.
“Ilmu dan pangkat tidak bermakna jika kita tidak kembali menyumbang kepada masyarakat,” katanya, menutup bicara penuh inspirasi.
Farhatul Fairuzah Terima Tauliah Mengajar Dalam Usia 24 Tahun, “Sama-sama Kita Belajar, Sampaikan Walau Satu Ayat.” Tahniah buat Farhatul Fairuzah apabila menerima tauliah mengajar sekali gus menjadikan beliau pendakwah dan penceramah pada usia 24 tahun.
Farhatul cukup bertuah apabila diberikan kelayakan untuk mewakili suara anak muda dan berusaha menarik minat golongan ini mencintai al-Quran.
Dalam satu hantaran yang dikongsikan pleh Farhatul di laman Instagramnya, Farhatul atau nama sebenarnya Nor Farhatul Fairuzah Panut mengucapkan rasa syukur dengan pentauliahan tersebut.
Farhatul telah memenuhi kehendak Jawatankuasa untuk mengajar di Wilayah-Wilayah Persekutuan dalam bidang al-Quran bagi kategori Kanak-Kanak dan Dewasa.
“Alhamdulillah baru sempat menghadiri Muzakarah Tauliah Mengajar, setelah beberapa kali tertunda disebabkan hal-hal yang tidak dapat dielakkan. Terima kasih para penceramah-penceramah yang hebat. Dan juga Timbalan-Timbalan Pengarah Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan.
“Dengan adanya majlis dan tauliah sebegini, ajaran agama Islam tu dapat dipantau dan diiktiraf.
“Semoga usaha ini sentiasa diberkati dan dapat melahirkan lebih ramai pendakwah-pendakwah untuk meluaskan dan menyebarkan lagi ilmu agama Islam. Sama-sama kita belajar dan menyampaikan walaupun satu ayat.
Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: “Sebaik-baik kalian adalah yang belajar al-Quran dan mengajarkannya.” (Hadis Riwayat al-Bukhari).
Farhatul mula belajar al-Quran dan taranum pada usia lima tahun dan menyertai pertandingan tilawah pada tujuh tahun. Gadis ini juga antara penerima termuda darjah kebesaran Ahli Mahkota Selangor (AMS) pada tahun 2022 sempena ulang tahun Hari Keputeraan ke-77 Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.