Wanita biarpun sering dilihat lemah namun yakinlah pasti akan jadi kuat dan tabah bila diuji.

Begitulah juga yang dilalui oleh puan Raudzah Arippin apabila suaminya di serang strok. Dugaan yang diterima bukan ringan namun kekuatan dan semangat yang ada di dalam dirinya cukup luar biasa.

Wanita Ni Kongsi Cara Lawat & Jaga Suami Yang Sakit Strok Di Hospital!

Tidak dinafikan Puan Raudzah juga tidak pernak lokek berkongsi ilmu daripada pengalaman yang dilaluinya. Dan sebab ini juga tidak hairanlah akaun fbnya punya follower yang ramai.

Dan ini antara yang pernah dikongsikan adalah tentang tip menjaga dan melawat pesakit. Semoga panduan ini bermanfaat bagi diri kita sekiranya sedang berdepan dengan ahli keluarga yang sakit.

TIPS : MENJAGA DAN MELAWAT PESAKIT DI WAD ICU/HDW

Agak kerap juga saya menerima mesej dari waris yang menjaga pasangan atau ibu dan ayah yang terlantar di Wad ICU atau HDW. Kata mereka, apa yang perlu dibuat jika pesakit terlantar di wad begitu? Tidak mungkin hanya datang, tunggu dan lihat sahaja perkembangan pesakit.

Baik, saya kongsikan pengalaman saya.

Ini antara bacaan yang saya lakukan (saya pernah kongsikan dalam posting tahun lalu). Waktu suami saya di hospital dulu, saya banyak bertanya pada orang yang lebih arif. Ramai juga yang kongsikan dengan saya. Jadi saya kompilasikan semuanya di sini.

Saya juga ada catatkan panduan untuk pelawat, apa yang sesuai kita bawa ke hospital (sebagai buah tangan), dan apa yang perlu dielakkan.


BACAAN : SURAH, AYAT & DOA

1. Surah Yasin (sebaiknya awal pagi dan awal malam)

2. Surah Al Waqiah (untuk sembuhan luka dalaman)

3. Surah Al Kahfi (saya baca pada hari Jumaat, ganti surah Al Waqiah)

4. Surah Al Fatihah (baca 7 kali dan baca senafas pada ayat terakhir sambil berdoa kesembuhan)

5. Ayat-ayat Manzil :
Surah Al-Fatihah [1:1-7]
Surah Al-Baqarah [2:1-5]
Surah Al-Baqarah [2:163]
Surah Al-Baqarah [2:255-257]
Surah Al-Baqarah [2:284-286]
Surah ‘Ali ‘Imran [3:18]
Surah ‘Ali ‘Imran [3:26-27]
Surah Al-‘A’raf [7:54-56]
Surah Bani Israil (Al-Israa) [17:110-111]
Surah Al-Mu’minun [23:115-118]
Surah As-Saffat [37:1-11]
Surah Ar-Rahman [55:33-40]
Surah Al-Hashr [59:21-24]
Surah Al-Jinn [72:1-4]
Surah Al-Kafirun [109:1-6]
Surah Al-Ikhlas [112:1-4]
Surah Al-Falaq [113:1-5]
Surah An-Nas [114:1-6]

IKLAN

6. Ayat-ayat Syifa’ :
Surah At-Taubah [9: 14]
Surah Yunus [10: 57]
Surah An-Nahl [16: 69]
Surah Bani Israil (Al-Israa) [17: 82]
Do’a Nabi Ibrahim dalam Surah Asy-Syu’raa’ [26:80]
Surah Fushshilat [41:44]

7. Ayat-ayat Munjiyyat :
Surah At-Taubah [9 :51]
Surah Yunus [10 : 107]
Surah Hud [11 : 6]
Surah Hud [11 : 56]
Surah Al-‘Ankabut [29 : 60]
Surah Fātir [35 : 2]
Surah Az-Zumar [39 : 38]

8. Selawat Syifa’

9. Selawat Tafrijiyyah

10. Doa Angin Ahmar (doa panjang)

11. Doa Hizbul Bahr (Imam Abu Al-Hasan As-Syadzili)

12. Doa Abu Darda’ (awal pagi dan awal malam)

Semua ayat dan doa ini saya bacakan setiap kali waktu lawatan tengahari dan petang, mengikut ruang yang ada.


AMALAN LAIN :

1. Sebaiknya, seorang waris sentiasa berada di samping pesakit dan bacakan ayat-ayat dan doa yang disebut di atas.

IKLAN

2. Minta jururawat masukkan air zam zam ketika ‘feeding’ melalui Ryle’s tube (tiub susu dan ubat yang dimasukkan melalui hidung ke perut). Jika kehabisan air zam zam, boleh ganti dengan air bacaan surah Yasin.

3. Wudhu’kan pesakit menggunakan botol penyembur (spray) setiap kali waktu solat (walaupun mereka belum sedar). Bisikkan ke pesakit, sudah masuk waktu. Adalah baik pesakit sentiasa dalam keadaan berwudhu’.

4. Letakkan sedikit wangian (sebaiknya wangian kasturi), atau wangian yang biasa dipakai pesakit, di hidungnya. (Kata pengamal perubatan alternatif, ia untuk merangsang pernafasan yang baik dan juga merangsang otak. Wallahu’alam)

5. Apabila tinggalkan pesakit selepas waktu melawat, elok diperdengarkan bacaan ayat Quran di telinga pesakit menggunakan pemain MP3 dan earphone. (Waktu di HKL dahulu, jururawat akan tolong simpankan pemain MP3 tersebut apabila baterinya sudah habis). Jangan gunakan telefon bimbit.


PANDUAN BUAT PELAWAT :

APA YANG SESUAI DIBAWA SEBAGAI BUAH TANGAN KEPADA PESAKIT / WARIS :

1. Air zam zam

2. Air bacaan Yasin

3. Naskhah Manzil / Buku Doa / Buku yang sesuai

4. Bawakan botol spray (sekiranya penjaga belum ada. Botol spray ini banyak kegunaan ketika di hospital)

IKLAN

5. Makanan yang sesuai untuk penjaga pesakit di hospital (pesakit di ICU atau HDW biasanya tidak boleh makan). Elakkan bawa lauk pauk yang dibungkus dalam plastik, buah-buahan yang besar dan berat, atau apa sahaja yang sukar dan berat untuk dibawa.

6. Vitamin atau multivitamin yang sesuai untuk penjaga (bertanya dahulu lebih baik)

APA YANG PATUT DIELAKKAN (TERUTAMA KETIKA MELAWAT PESAKIT DI WAD ICU ATAU HDW) :

1. Tidak perlu melawat pesakit sekiranya anda sedang sakit, demam, batuk atau selsema. Bimbang kuman dari anda akan menjangkiti pesakit. Memakai ‘mask’ adalah lebih bagus sekiranya ada.

2. Tanya dahulu kepada waris pesakit, sama ada pesakit boleh atau sesuai menerima tetamu atau tidak.

3. Wad ICU atau HDW biasanya hanya boleh dimasuki 2 orang pelawat sahaja dalam satu masa. Elakkan mengambil masa terlalu lama melawat pesakit.

4. Basuh tangan sebelum mendekati katil pesakit. Ruangan basuhan tangan dan sabun disediakan oleh hospital.

5. Elakkan dari merakamkan foto pesakit tanpa izin waris dan pesakit sendiri. Apatah lagi menyebarkan gambar tersebut pada orang lain. (Peraturan di hospital sebenarnya tidak boleh rakamkan gambar, apa lagi di wad-wad kritikal).

6. Pelawat lelaki yang bukan mahram tidak digalakkan masuk melawat pesakit wanita. Kebiasaannya keadaan pesakit wanita di Wad ICU/HDW (juga di wad biasa) dalam keadaan tidak menutup aurat. Wakilkan waris perempuan untuk melawat.

7. Elakkan terlalu banyak bertanya kepada waris. Katakan perkara yang baik dan positif sahaja walaupun pesakit nampak sudah terlalu uzur.

8. Doakan pesakit ketika berada di sisinya.

9. Elakkan mempromosi dan menjual sebarang produk ‘supplement’ kepada waris ketika ini.

Maaf jika ada kekurangan. Catatan adalah berdasarkan pengalaman peribadi menjaga suami yang terlantar di Wad HDW selama 10 hari dan di wad biasa selama sebulan.

Moga ada manfaat.

sumber: Raudzah Arippin

Mencari bahagia bersama KELUARGA?
Download dan baca sekarang di seeNI.

KLIK DI SEENI