Untuk menjadi ibu bapa hebat, ilmu keibubapan perlu ada pada setiap ibu bapa. Lantaran anak-anak membesar dengan perkembangan yang berbeza.

Ikuti perkongsian oleh puan Noor Afidah Abu Bakar, Parent Connect Consultancy mengenai cara mendidik anak mengikut DAP iaitu amalan pendidikan yang bersesuaian dengan perkembangan kanak-kanak.

7 Tip Cara Nak Sokong Anak Membesar. Ibu Bapa Kena Alert.

KEPENTINGAN ‘DAP’ YANG PERLU DIKETAHUI OLEH IBUBAPA.

Walaupun anak kecil anda dihantar ke pusat jagaan dan tadika untuk diuruskan, dijaga dan dididik oleh pengasuh dan pendidik, namun semua ibubapa harus juga mempunyai pengetahuan tentang bagaimana anak berkembang dan belajar.

Semua ibubapa dan pendidik perlu memahami apa yang berlaku pada 8 tahun pertama hidup seorang anak dan bagaimanakah cara yang terbaik untuk menyokong pertumbuhan, pembelajaran dan perkembangan anak.

IKLAN

Dalam pendidikan awal kanak-kanak, terdapat prinsip atau amalan yang dikenali sebagai ‘Developmentally Appropriate Practice’ (DAP) ataupun amalan pendidikan yang bersesuaian dengan perkembangan kanak-kanak. DAP ini berfungsi sebagai panduan untuk pendidik dalam merangka aktiviti pembelajaran dan pendidikan yang sesuai untuk anak-anak usia awal.


Terdapat beberapa PRINSIP DASAR perkembangan dan pembelajaran yang bukan sahaja perlu diketahui oleh pendidik malah perlu juga diketahui oleh ibubapa bagi menyokong perkembangan dan pembelajaran anak usia awal anda.

Ingatlah IBUBAPA ADALAH GURU NO.1

Di antara prinsip tersebut adalah:

IKLAN

1. SEMUA ASPEK PERKEMBANGAN anak adalah SAMA penting. Tidak ada satu aspek yang lebih penting dari aspek yang lain. Penekanan pada keupayaan akademik atau kognitif sahaja menjadikan perkembangan dan pembelajaran anak tidak seimbang. Keutamaan yang sama juga perlu diberikan kepada perkembangan fizikal, emosi, sosial dan rohani kerana semuanya saling berkait antara satu sama lain. Matlamat kita bukan sahaja untuk melahirkan anak yang pandai membaca, menulis dan mengira, atau anak yang menghafal Al Quran semata-mata malah juga melahirkan anak yang membesar menjadi insan yang seimbang dari segi sosial, rohani, emosi dan akhlaknya juga.

2. Perkembangan dan pembelajaran kanak-kanak berlaku dalam TURUTAN atau SEKUENS yang tertentu. Sekuens ini perlu diikuti agar kita dapat meletakkan harapan yang realistik kepada kanak-kanak.
Kanak-kanak tidak boleh dipaksa dan ditekan untuk melakukan sesuatu yang diluar perkembangan dan kemampuan otak dan tubuh kecil mereka. Mengharapkan agar anak boleh membaca seawal usia 3 tahun dengan memaksa anak dan memberi tekanan kepada anak adalah bertentangan dengan turutan yang sepatutnya.

3. Perkembangan dan pembelajaran berlaku pada KADAR YANG BERBEZA-BEZA.
Setiap kanak-kanak adalah unik.
Setiap kanak-kanak tumbuh dan perkembang pada kadar yang berbeza, mempunyai pembawaan yang berbeza, pengalaman yang berbeza, kecenderungan yang berbeza dan latar belakang keluarga yang berbeza. Semua perbezaan ini harus diberi perhatian dan kanak-kanak tidak boleh dibanding-bandingkan. PERBANDINGAN hanya membantutkan perkembangan dan pembelajaran mereka dan tidak memotivasikan mereka.

4. PENGALAMAN AWAL yang dilalui oleh kanak-kanak secara berpanjangan, sama ada POSITIF ATAU NEGATIF, akan memberi impak yang sangat besar kepada perkembangan dan pembelajaran kanak-kanak di kemudian hari.
Antara contoh yang sering saya berikan dalam penulisan saya, sekiranya emosi anak kecil diakui dan diberi perhatian, anak akan membesar sebagai seorang individu yang peduli dan mempunyai empati terhadap kepayahan yang dilalui oleh orang lain. Sekiranya emosi mereka tidak dilayan dan diperkecil-kecilkan, mereka juga akan membesar sebagai individu yang tiada empati dan tidak peduli.

IKLAN


5. Kanak-kanak berkembang dengan baik apabila mereka mempunyai RASA PERCAYA terhadap individu yang mengajar mereka dan juga mempunyai perhubungan yang selamat, selesa dengan individu tersebut.
Kaedah menakut-nakutkan, mengugut, menghukum, menyindir, mencubit dan memukul, hanya mewujudkan rasa tidak percaya, tidak selamat dan tidak selesa yang akan membantutkan pembelajaran dan perkembangan yang sihat pada kanak-kanak.

6. Kanak-kanak belajar menggunakan METOD PEMBELAJARAN YANG PELBAGAI. Mereka juga memiliki kecerdasan dan kekuatan yang berbeza-beza. Jangan menggunakan hanya satu kayu ukur untuk mengukur kemampuan dan ‘kepandaian’ kanak-kanak. Kenalpasti kelebihan mereka dan bantulah mereka untuk mengembangkan kelebihan itu.
Ingatkah anda pada ‘9 jenis KECERDASAN PELBAGAI’ yang pernah saya kongsikan sebelum ini?

7. BERMAIN, BERMAIN DAN BERMAIN adalah kaedah pembelajaran yang sangat penting dan efektif bagi membina perkembangan fizikal, sosial, emosi dan kognitif kanak-kanak. Bermain memberi peluang untuk kanak-kanak memahami dunia di sekitar mereka, peluang untuk mereka berinteraksi dengan orang di sekeliling mereka, meluahkan dan membimbing emosi mereka dan juga peluang untuk meneroka dan merenung tentang alam, kejadiannya dan Penciptanya.
Bermain bukanlah aktiviti yang membuang masa dan sia-sia bagi kanak-kanak kerana mereka sedang belajar apabila mereka bermain.

Berhentilah memaksa kanak-kanak untuk melakukan sesuatu yang diluar kemampuan dan perkembangan mereka.
Berhentilah membanding-bandingkan mereka kerana setiap seorang daripada mereka adalah unik.
Kanak-kanak bukannya ‘mini adults’. Mereka mempunyai kebolehan dan keperluan mereka yang tersendiri yang perlu dihargai, dihormati dan dikembangkan.

Kredit: Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy

Mencari bahagia bersama KELUARGA?
Download dan baca sekarang di seeNI.

KLIK DI SEENI