Selepas berhari-hari mencari insan tersayang di pusat perlindungan dan bilik mayat susulan banjir Nepal, sebahagian keluarga akhirnya mengadakan upacara pengebumian simbolik meskipun jasad mangsa masih belum ditemui.
Upacara penuh pilu itu dilakukan sebagai penghormatan terakhir buat ahli keluarga yang masih hilang sejak bencana banjir besar melanda rantau berkenaan minggu lalu.
Bagi keluarga yang terlibat, ritual tersebut menjadi satu-satunya ruang untuk mereka ‘mengucapkan selamat tinggal’ selepas melalui hari-hari penuh penantian dan ketidakpastian.
Dalam masa sama, pekerja kecemasan, pegawai kerajaan dan penduduk di Tibet turut mengadakan upacara memperingati mangsa yang terkorban dalam tragedi berkenaan.
Menurut agensi berita rasmi China, Xinhua, beberapa upacara diadakan di Gyirong, antara kawasan yang paling teruk terjejas.
“Pasukan penyelamat, pegawai tempatan dan penduduk berdiri bertafakur dalam kesunyian bagi berkabung untuk mangsa,” menurut laporan itu.
Ahli keluarga Aayush Khadka, 21, yang terkorban dalam banjir dahsyat memberikan penghormatan terakhir di sisi tempat pembakaran mayat ketika upacara pembakaran jasadnya di kawasan pembakaran mayat, di Chitwan, Nepal. – Foto REUTERS
Rakaman stesen televisyen kerajaan China, CCTV, turut memperlihatkan anggota tentera, doktor dan petugas penyelamat menundukkan kepala ketika bertafakur selama seminit.
Petugas kecemasan juga dilihat berdiri berhampiran jentera pengorek serta sungai berlumpur sebagai tanda penghormatan kepada mereka yang terkorban.
Banjir Nepal, Hampir 4,000 Masih Hilang
Bencana tersebut berlaku selepas runtuhan glasier di kawasan Himalaya berhampiran sempadan China mencetuskan aliran air sejuk beku, lumpur dan serpihan yang bergerak deras seperti tsunami.
Hampir 4,000 individu dilaporkan masih hilang di Nepal, manakala jumlah korban di rantau berkenaan sudah melebihi 1,000 orang.
Ads
Pihak berkuasa dilaporkan sudah menemukan lebih 1,000 mayat, namun hanya sebahagian kecil berjaya dikenal pasti.
Keadaan itu menyebabkan kapasiti bilik mayat di Nepal semakin terhad.
Bagi membantu proses pengecaman, bank data DNA melibatkan jasad dan anggota badan mangsa yang ditemui turut diwujudkan.
Langkah itu diharap dapat membantu ahli keluarga mengenal pasti insan tersayang masing-masing selepas sekian lama menanti jawapan.
Angka rasmi turut menunjukkan 16 individu maut di China, manakala 546 lagi masih hilang selepas bencana melanda beberapa kawasan di Nepal dan Tibet.
Di Nepal pula, sekurang-kurangnya 987 kematian dilaporkan, menjadikan jumlah keseluruhan korban tragedi tersebut melebihi 1,000 orang.
Ads
Skala kehilangan akibat banjir Nepal itu bukan sahaja memberi cabaran besar kepada pasukan mencari dan menyelamat, malah meninggalkan ribuan keluarga dalam ketidakpastian sementara menunggu perkembangan mengenai insan tersayang.
PASUKAN penyelamat menjalankan operasi pencarian mangsa hilang selepas tanah runtuh dan banjir lumpur memusnahkan Pelabuhan Gyirong, di daerah Gyirong di wilayah Tibet, barat China semalam.- AFP
Operasi Menyelamat Banjir Nepal Masih Diteruskan
Pasukan penyelamat China dilaporkan terus bekerja bagi membuka semula lebuh raya utama supaya bantuan kecemasan dan petugas dapat sampai ke kawasan sempadan Gyirong.
Tanah runtuh yang berlaku turut menyebabkan bekalan elektrik terputus dan sebahagian lebuh raya mengalami kerosakan, sekali gus menyukarkan usaha menyelamat.
Pakar turut memberi amaran kawasan Gyirong berkemungkinan berdepan hujan lebat dalam beberapa hari akan datang.
China juga dijangka menghantar kumpulan kedua bantuan ke Nepal termasuk dron, peralatan ujian DNA, sistem penyulingan air, peralatan pencahayaan serta bekalan penting lain.
Ads
Jurucakap Kementerian Luar China, Guo Jiakun berkata negaranya akan terus bekerjasama dengan Nepal dalam menghadapi situasi sukar itu.
“China akan terus berdiri teguh bersama Nepal dan bekerjasama untuk mengharungi masa sukar ini, selain menunjukkan persahabatan antara negara jiran melalui tindakan nyata,” katanya.
Usaha mencari mangsa banjir Nepal yang masih hilang menjadi semakin mencabar apabila kerosakan infrastruktur dan keadaan cuaca turut memberi kesan kepada pergerakan pasukan penyelamat.
Di sebalik angka korban yang besar, tragedi ini meninggalkan luka yang jauh lebih mendalam buat ribuan keluarga.
Ada yang masih menanti suami, isteri, ibu, ayah dan anak pulang, sementara sebahagian yang lain terpaksa menerima hakikat bahawa perpisahan terakhir mungkin berlaku tanpa jasad insan tersayang di sisi.
Bagi keluarga yang masih menunggu khabar, tragedi banjir Nepal bukan sekadar mengenai angka korban atau jumlah individu yang hilang. Di sebalik setiap angka itu terdapat sebuah keluarga yang masih berharap pencarian dapat memberikan jawapan kepada penantian mereka.
Upacara pengebumian simbolik yang dilakukan sebahagian keluarga akhirnya menjadi gambaran betapa beratnya kehilangan apabila mereka terpaksa mengucapkan selamat tinggal tanpa jasad insan tersayang berada di sisi.
Kes Zara Qairina: KPM tempatkan sementara Pengetua, PK HEM dan Warden SMKA Tun Datu Mustapha Di JPN Sabah. Kementerian Pendidikan (KPM) memutuskan untuk menempatkan sementara Pengetua, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid (HEM) dan semua warden Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha di Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sabah sehingga siasatan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) selesai.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan sebentar tadi, KPM memaklumkan langkah itu diambil selepas PDRM mengumumkan bahawa Pasukan Petugas Khas Bukit Aman kini mengambil alih siasatan berhubung kes Allahyarham Zara Qairina Mahathir.
“KPM akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa bagi memastikan siasatan dilaksana secara menyeluruh, teliti dan tuntas.
Sebagaimana yang telah ditegaskan, kes tersebut adalah keutamaan KPM pada masa ini,” menurut kenyataan itu.
Kementerian tersebut turut menyatakan harapan agar siasatan yang dijalankan dapat dilakukan dengan telus demi memastikan keadilan untuk keluarga mangsa serta semua pihak yang terlibat.
Zara Qairina, 13 tahun, disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu, Sabah pada 17 Julai. Sebelum itu, beliau ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri di dalam longkang berhampiran asrama SMKA Tun Datu Mustapha, Papar, sekitar jam 4 pagi pada 16 Julai lalu.
Pada Jumaat lepas, Jabatan Peguam Negara (AGC) memaklumkan melalui kenyataan rasmi bahawa kubur Allahyarham perlu digali semula bagi membolehkan prosedur bedah siasat dilakukan.
AGC berpendapat terdapat keperluan siasatan lanjut oleh PDRM bagi memastikan segala aspek kes diselidiki secara menyeluruh.
Susulan itu, pada 9 Ogos, proses penggalian semula kubur dijalankan di Tanah Perkuburan Islam Tanjung Ubi, Kampung Mesapol, Sipitang. Jenazah kemudiannya dibawa ke Hospital Queen Elizabeth I untuk bedah siasat sebelum selamat dikebumikan semula awal pagi Ahad di tanah perkuburan sama.
Seorang wanita tidak menyangka panggilan telefon yang berulang kali tidak dijawab akhirnya membawa kepada berita menyedihkan apabila ibu saudaranya bersama anak perempuannya ditemukan meninggal dunia di dalam sebuah kereta pelbagai guna (MPV) Proton Exora.
Mangsa, Zabanah Abu Hussin, 57, dan anaknya, Intan Nur Shafiqah Othman, 25, dipercayai dalam perjalanan singgah ke rumah kakak Zabanah yang terletak hanya kira-kira 50 meter dari lokasi kejadian, sebelum pulang ke kediaman mereka di Taman Kelemak Jaya, Alor Gajah.
Menurut anak saudara mangsa, Khadijah Abu Bakar, 37, sudah menjadi kebiasaan dua beranak itu untuk berhenti di rumah ibunya selepas selesai bekerja di sebuah kedai makan di Cheng.
“Malam tadi kami dah siap masak, tapi berasa pelik mereka tak sampai-sampai dan telah hubungi telefon arwah 20 kali tapi tak berjawab, WhatsApp pun tak dapat.
“Namun kira-kira jam 11 malam, saya terima panggilan daripada abang yang memaklumkan penemuan ibu dan anak itu tidak sedarkan diri dalam kenderaan yang diparkir di tepi jalan, kira-kira 50 meter dari rumah mak,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Melaka, pada Khamis.
Khadijah berkata, mereka sekeluarga segera bergegas ke lokasi dan cuba memberikan bantuan pernafasan (CPR), namun kedua-dua mangsa sudah tidak bernyawa.
“Ketika itu bau gas memang kuat dalam kereta dan ada penduduk kampung yang beritahu nampak kereta mangsa diparkir di kawasan itu sejak jam 9 malam,” ujarnya.
Tambahnya lagi, Zabanah sebelum ini ada memaklumkan kenderaan yang sering digunakan mereka mengalami kerosakan, namun baru sahaja dibaiki sehari sebelum tragedi berlaku.
Sementara itu, Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar, mengesahkan penemuan tersebut dan berkata siasatan awal mendapati ibu tunggal bersama anaknya itu dipercayai lemas selepas terhidu gas karbon monoksida.
Beliau menjelaskan, kes berkenaan diklasifikasikan sebagai kematian mengejut sementara menunggu hasil siasatan penuh, selain menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi.
Dr Ahmad Sanusi Tegur, “Jangan normalisasikan maksiat.” Dalam dunia hari ini, kita semakin melihat perkara yang dahulunya dianggap salah, kini diterima sebagai kebiasaan. Sama ada dalam media sosial, hiburan, mahupun kehidupan seharian, batasan antara yang baik dan yang buruk semakin kabur.
Tidak dapat dinafikan bahawa media sosial memainkan peranan besar dalam membentuk pemikiran masyarakat hari ini. Apa yang dulunya dianggap tabu kini menjadi perkara biasa, hanya kerana ia kerap dipaparkan di skrin telefon kita. Pergaulan bebas dipamerkan secara terbuka, pakaian seksi dianggap fesyen, hiburan melalaikan dijadikan norma – semuanya ini dilakukan tanpa rasa bersalah.
Lebih membimbangkan, ramai yang berbangga dengan perbuatan maksiat. Jika dahulu orang melakukan dosa dalam sembunyi, kini ia dipamerkan untuk mendapat likes dan followers. Kita seakan-akan lupa bahawa Allah sentiasa melihat, walaupun manusia tidak.
Apabila kita terlalu kerap melihat sesuatu perkara, kita akan menjadi terbiasa dengannya. Inilah bahaya normalisasi maksiat. Apa yang pada awalnya membuat kita rasa janggal atau bersalah, lama-kelamaan kita anggap biasa sahaja. Daripada biasa, kita mula membela dan mempertahankan. Akhirnya, kita sendiri jadi sebahagian daripada budaya itu.
Sedar atau tidak, inilah yang sedang berlaku. Dosa tidak lagi dirasakan sebagai satu kesalahan. Malah, orang yang menegur pula dianggap “kolot”, “bajet alim”, atau “suka jaga tepi kain orang”.
Ini bukan soal menjadi terlalu konservatif atau menghukum orang lain, tetapi tentang menjaga nilai moral dan agama yang sepatutnya menjadi pegangan hidup kita.
1. Bagi yang belum berkahwin, janganlah pula kita menormalisasikan perkara yang dilarang oleh Allah. Bertepuk tampar sesama pasangan yang belum mempunyai sebarang hubungan yang sah adalah dicegah dalam Islam.
2. Rasulullah memberikan amaran yang keras kepada pasangan yang bercinta namun mereka seronok berpegangan tangan.
“Andai sekiranya kepala salah seorang di antara kamu ditusuk dengan jarum besi itu adalah lebih baik baginya daripada menyentuh wanita yang tidak halal buat dirinya.” (HR al-Tabrani)
3. Apatah lagi sekiranya yang melakukan itu merupakan seorang yang dikenali ramai, namun dia menunjukkan contoh yang bercanggah dengan perintah Allah. Sekiranya perbuatan melakukan maksiat ini diikuti oleh anak muda yang lain, maka dia akan menanggung dosa orang yang mengikuti perbuatannya itu.
“Dan barangsiapa yang melakukan perbuatan jahat dalam Islam, lalu diikuti oleh orang yang lain, maka akan ditulis baginya dosa bagi orang yang melakukan perbuatan tadi, tidak berkurang sedikit pun dari dosa tersebut.” (HR Muslim)
4. Bagi orang awam pula, janganlah menunjukkan sokongan terhadap perbuatan yang bertentangan dengan syarak. Jangan pula kita berkongsi dan turut menyebarkan kerosakan ini. Malah kerosakan yang disenyapkan ini mengundang azab Allah.
Sabda Rasulullah:
ما من قومٍ يُعْمَل فيهم المعاصي، ثم يقدرون على أن يغيِّروا ثم لايغيروا؛ إلا ويوشك الله أن يعمَّهم بعقابٍ
“Tidak ada satu kaum yang melakukan maksiat, sedangkan ada dikalangan mereka yang mampu mencegahnya namun mereka tidak mencegahnya, melainkan akan dibimbangi keseluruhan mereka akan ditimpa azab ke atas kesemuanya” (HR Abu Daud)
Semoga Allah membimbing kita.
Maksiat tidak sepatutnya dinormalisasikan, walau dalam apa jua bentuk sekalipun. Islam bukan agama yang menyekat kebebasan, tetapi agama yang membimbing kita ke jalan yang benar. Jika kita benar-benar sayangkan agama, sayangkan diri, dan sayangkan masyarakat, kita harus berani berkata tidak kepada budaya normalisasi maksiat.
Kerana yang salah tetap salah, walaupun ramai yang melakukannya. Dan yang benar tetap benar, walaupun hanya sedikit yang mengikutinya.