Ads

“Kami Akan Jaga Sampai Tutup Mata…” Anak Kembar Diuji Masalah Penglihatan, Ibu Ayah Terus Berjuang

Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Baru menikmati kebahagiaan bergelar ibu bapa, pasangan suami isteri ini diuji apabila anak kembar kesayangan mereka mengalami masalah penglihatan. Lebih memilukan, seorang daripadanya disahkan menghidap barah mata tahap empat ketika baru berusia enam bulan.

Itulah ujian yang dilalui Mohd Sobri Rahim, 43, dan isterinya, Siti Shahira Shahul Hamid, 42, apabila kedua-dua cahaya mata mereka, Nur Safiyya Humaira dan Muhammad Saqeef Irfan, masing-masing berusia tujuh tahun, berdepan masalah penglihatan.

Safiyya disahkan mengalami rabun jauh sejak dua tahun lalu, manakala adik kembarnya, Saqeef, kehilangan penglihatan dan pernah menghidap barah retinoblastoma atau barah mata tahap empat.

Anak Baru Enam Bulan Disahkan Barah Mata Tahap Empat

Menurut Mohd Sobri, masalah kesihatan Saqeef mula dikesan apabila mendapati anak matanya kelihatan berwarna putih sebelum pemeriksaan lanjut di hospital mengesahkan penyakit berkenaan.

“Jujurnya memang tak tahu-menahu mengenai penyakit itu dan sedih bila dapat pengesahan doktor kerana barah sudah sampai tahap empat,” katanya.

Lebih menyedihkan, Saqeef terpaksa menjalani 11 pusingan rawatan kemoterapi bermula Julai 2020 hingga April 2021 di Hospital Tunku Azizah (HTA), Kuala Lumpur.

Ketika itu, keluarga berkenaan menetap di Selayang, Selangor dan perlu berulang-alik ke hospital bagi memastikan rawatan anak berjalan lancar. Kini, Saqeef masih menjalani pemantauan kesihatan.

Isteri Berhenti Kerja, Suami Setahun Tidak Berniaga

Bukan sahaja diuji dengan kesihatan anak, pasangan ini turut melalui cabaran kewangan apabila Siti Shahira terpaksa berhenti kerja sebagai pengurus restoran demi memberikan perhatian sepenuhnya kepada Saqeef.

Mohd Sobri yang mencari rezeki sebagai peniaga murtabak di pasar malam pula pernah tidak berniaga selama setahun.

Ads

“Kami Akan Jaga Sampai Tutup Mata…” Anak Kembar Diuji Masalah Penglihatan, Ibu Ayah Terus Berjuang

“Hari pertama memang sedih sampai saya dan isteri menangis bersama.

“Waktu itu, doktor kata salah seorang kena berhenti kerja jadi isteri yang berkorban kerana sebelum ini, dia bekerja sebagai pengurus restoran,” katanya.

Bagaimanapun, Mohd Sobri bersyukur kerana mendapat bantuan daripada Persatuan Sokongan Anak-Anak Kanser (PESONA), selain sokongan keluarga dan rakan terdekat yang sedikit sebanyak meringankan beban mereka.

Kini menetap di Bandar Puteri Jaya, Mohd Sobri turut berusaha menambah pendapatan keluarga dengan memperoleh komisen menerusi jualan produk di TikTok.

Tidak Dapat Melihat, Namun Cepat Menghafaz Al-Quran

Di sebalik kekurangan penglihatan, Mohd Sobri bersyukur kerana Saqeef mempunyai kelebihan tersendiri, terutama dalam menghafaz ayat suci al-Quran.

Ads

Menurutnya, anak lelaki itu sudah mampu menghafaz surah al-Fatihah, al-Ikhlas dan ayat Kursi.

“Walaupun tak dapat melihat, Saqeef ada kelebihan kerana terang hati dan cepat dalam hafazan malah sudah hafal al-Fatihah, ayat Kursi dan surah al-Ikhlas.

“Apa pun, mereka anak saya jadi saya dengan isteri akan menjaga kedua-duanya sebaik mungkin sehingga menutup mata,” luahnya.

Sebagai bapa, Mohd Sobri hanya berharap Saqeef mampu membesar menjadi anak yang berdikari serta mampu menguruskan diri sendiri suatu hari nanti.

“Anak Adalah Amanah, Kena Jaga Walau Macam Mana Pun”

Sementara itu, Siti Shahira mengakui bukan mudah menerima hakikat bahawa anak kesayangannya menghidap barah sehingga kehilangan penglihatan.

Pada awalnya, dia sering mempersoalkan ujian yang menimpa keluarga mereka. Namun, pandangannya berubah selepas melihat perjuangan ibu bapa lain ketika menghantar anak ke pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK).

Ads

“Pada awalnya saya mempersoalkan juga dan membandingkan dengan anak orang lain kerana tak boleh nak terima.

“Tapi lama-kelamaan terutama selepas hantar anak ke pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK), saya sedar ramai ibu bapa yang senasib malah ada lebih teruk keadaannya kerana lumpuh juga terlantar.

“Sejak itu, saya sedar yang anak adalah amanah kerana kita minta jadi bila Allah SWT beri, kena jaga walau macam mana pun keadaannya,” katanya.

Sebagai ibu, Siti Shahira berharap Saqeef mampu berdikari dan tidak terlalu bergantung kepada kakak kembarnya, Safiyya, yang suatu hari nanti bakal mempunyai kehidupan serta tanggungjawab sendiri.

Biarpun perjalanan membesarkan kedua-dua anak penuh cabaran, pasangan ini tetap reda dan percaya setiap ujian mempunyai hikmah tersendiri.

Sesungguhnya, kasih ibu ayah tiada penghujungnya. Walaupun Saqeef tidak mampu melihat dunia seperti kanak-kanak lain, kasih sayang dan pengorbanan kedua-dua ibu bapanya akan terus menjadi cahaya yang menerangi perjalanan hidupnya.

BACA SINI : “Jangka Hayat 12-18 Bulan…” Ayah Sanggup Dua Hari Dalam Ambulans Demi Anak Genggam Ijazah

Sumber : Harian Metro

Dapatkan cerita, perkongsian dan info menarik. Free jer!
Dengan ini saya bersetuju dengan Terma Penggunaan dan Polisi Privasi

Mencari bahagia bersama KELUARGA? Download dan baca sekarang di

KLIK DI SEENI
∞
∞
Ads

Cerita Keluarga Lain

Ustaz Lah Menitis Air Mata, Dua Puteri Bergelar Hafizah 30 Juzuk...

Ustaz Lah menangis sebak apabila dua anak perempuannya berjaya bergelar hafizah al-Quran selang tujuh bulan. Detik penuh emosi ini menyentuh hati ramai.