Menanam sayur walau sekadar hobi di masa lapang jika hasilnya subur memang puas hati jadinya. Malah tidak hairan pun jika sebelum ini tanam sepokok dua, boleh jadi penuh satu laman dibuatnya. Maklumlah makin semangat lihat tanaman yang subur.
Umpamanya kalau menanam bayam merah seperti yang dikongsikan oleh Enkay Nik Mustaffa di group Kebun Bandar : Jom Tanam Sendiri. Lihatlah betapa besarnya daun bayam tersebut hingga menyamai telapak tangan.
Menurutnya bayam merah saiz mega tersebut dapat dihasilkan dengan penggunaan baja yang dihasilkan sendiri olehnya, iaitu baja cecair bokashi.
“Saya suka tanam bayam. Sekali saja tanam, biarkan satu pokok matang, nanti akan tumbuh la anak bayam di mana mana tempat. Alihkan saja ke dalam pasu. Diam tak diam, dah 7 tahun produce baja sendiri,”- tulisnya ringkas.
Cara Buat Bokashi
Bokashi yang saya buat ringkas sahaja. Sesiapa saja boleh buat.
Alat :
Tong sampah/tong cat yang ada penutup, dipasangkan paip- senang nak ambil air peraman.
Penapis – menapis sisa supaya paip tidak tersumbat.
Gula merah/bokashi bran
Sisa dapur yang tidak berlemak dan berminyak
Optional bahan booster lain seperti tempe, yakult, belacan boleh add on secara berkala.
Caranya.
1. Basuh sisa makanan yang tidak habis seperti mee goreng, mee rebus dan sebagainya supaya minyak dapat dikeluarkan secara maksimum. Sejatkan sekejap supaya tidak berair.
2. Gaulkan sisa dengan gula merah/bokashi bran dengan ratio 1:1.
3. Masukkan ke dalam tong yang telah siap dipasang penapis.
4. Cecair bokashi boleh dituai selepas tiga hari peraman.
5. Cairkan dengan ratio 1:10 air tanpa klorin dan boleh guna sebagai siraman 2kali seminggu.
Bila tong penuh, peram selama 3 bulan..dan boleh digunakan sebagai media tanaman. Campurkan 1:1 dengan tanah topsoil.
Ads
Ekstra tip :
Kalau komposisi antara bahan dan agen peraman cukup, inshaAllah tak busuk. Cuma tak boleh dimasukkan lemak ayam, daging, tenusu, telur.
2. Kalau ada ulat, itu normal asalkan baunya tidak busuk. Bokashi akan berbau manis. Ulat tu adalah ulat bsf yang berfungsi mempercepatkan penguraian sisa makanan. Kalau tak nak ada ulat, kena tutup dengan plastik supaya lalat tidak boleh hinggap.
3.Tong apa pun tak kisah, boleh dgunakan. Yang penting adalah bahan yang digunakan untuk buat bokashi ni. Kalau tak ada bokashi bran, boleh guna gula merah saja. Cuma ratio perlu sama banyak.
Andai ada kesalahan yang anak-anak kita lakukan, acap kali juga kita akan mudah marah-marah hingga keterlaluan. Alasan kita biasanya untuk mendidik, apa yang kita buat ke atas mereka, kita rasakan betul dan wajar.
Namun, sekali sekala kita juga sering terlupa bahawa apa yang telah kita lakukan itu tiada kewajarannya dan akhirnya akan timbul rasa sesal di dalam diri. Perasaan yang sama juga telah dirasai oleh seorang ayah ini dan ini kisahnya dikongsikan agar turut memberi manfaat dan panduan untuk ibu ayah yang lainnya dalam mendidik anak-anak.
Ada orang tanya saya, bagaimana cara terbaik untuk mendidik anak. Saya tidak layak menjawab soalan begitu. Yang saya boleh katakan, saya bukanlah bapa yang baik, yang boleh dijadikan contoh kepada yang lain.
Ada satu peristiwa yang benar-benar sehingga kini mengganggu diri saya. Setiap kali dikenang, saya tidak malu katakan bahawa saya menangis. Pernah juga saya teresak-esak tidak dapat menahan betapa sesalnya saya berbuat perkara tidak baik dalam mendidik anak saya, Safiyyah. Apalah beban yang perlu ditanggung pada usianya yang hanya berumur empat tahun ketika itu.
Ceritanya begini.
Sejak Safiyyah mempunyai adik, dapat dilihat bahawa dia banyak cemburu. Safiyyah ini sejak lahir tidak pernah meragam besar, hanya kecil-kecil sahaja ragamnya seperti mahukan susu, mahu tidur dan mahu berjalan di luar rumah. Budaknya diam, tidak banyak bercakap. Melainkan apabila diacah oleh kami dan saudara mara.
Di dalam rumah kami, Safiyyah mempunyai motor beroda tiga berkuasa bateri yang boleh ditunggangnya di dalam rumah. Yang saya perasan, apabila adiknya Riyadh, ketika itu sudah berusia 2 tahun mahu bermain bersama, akan ditolak adiknya. Yalah, padanya itu harta dia. Budak-budak. Banyak kali saya lihat, Safiyyah suka menolak adiknya itu apabila cuba menaiki motornya.
Sampailah suatu hari pada waktu senja, mereka bergaduh pasal motor tu. Safiyyah seperti biasa akan jadi pemenang, menolak adiknya sehingga jatuh terduduk. Riyadh menangis besar.
Saya yang masa itu mahu ke bilik air untuk mandi, naik marah. Memarahi Safiyyah sunguh-sungguh dengan mengatakan padanya, dia seorang kakak yang kedekut, suka cari pasal, bencikan adik dan paling saya ingat sampai sekarang “Abah tak akan cakap lagi dengan Safiyyah”.
Kau bayangkan kawan, saya berkata kasar begitu kepada anak kecil yang baru berusia empat tahun.
Safiyyah menangis. Tersedu-sedu dan membawa diri ke bilik wan (nenek) nya. Berjalan penuh sayu, menunduk sambil tangan kanan mengesat-ngesat air mata yang jatuh berjurai di pipinya. Sayu, teramat sayu dan pilu.
Saya terus dalam keadaan marah masuk ke bilik air. Mulut masih lagi membebel. Selesai mandi saya kembali ke bilik. Sudah sahaja memakai pakaian, saya pun bersedia untuk keluar dari bilik menuju untuk bersolat maghrib di ruang tamu. Ketika mahu keluar,di dinding, bersebelahan pintu bilik, Safiyyah duduk di situ.
Dengan kedua-dua tangan memeluk lutut yang mana lututnya itu di paras dadanya, kepalanya tertunduk, dan dia kemudian memujuk saya dengan mengangkat kepala memandang ke arah saya, perlahan suaranya tersedu-sedu memanggil “Abah, abah, Safiyyah ni”.
Itulah Safiyyah. Kena marah macamana pun, tak sampai seminit dia akan cuba mengambil hati saya dengan menunggu di pintu bilik. Banyak kali sudah dibuatnya begitu.
Itulah perkara paling bodoh saya lakukan dalam hidup saya hari itu. Saya langsung tidak menyahut panggilan Safiyyah, dan lebih malang bagi Safiyyah, saya tidak langsung menghiraukannya. Terus membentang sejadah dan bersolat maghrib, dalam keadaan marah hanya reda sedikit.
Safiyyah pula, kekal duduk bersandar di dinding, dengan harapan saya akan memujuknya.
Tidak. Saya terus tidak melayannya. Keluar dari rumah, untuk ke masjid pula, saya terus dengan ego bodoh saya terhadap anak kecil itu, tidak memandang dan melayannya.
Ketika saya bergerak ke masjid dengan menaiki motorsikal, saya sempat memandang ke arah pintu cermin, kelihatan Safiyyah memandang sayu ke arah saya. Saya pula, kekal tidak pedulikannya.
Kalian tahu, hari itu anak kecil bernama Safiyyah ini diuji perasaannya pada usia begitu dengan sikap sombong dan bodoh bapanya, iaitu saya.
Sungguh, pandangan sayu Safiyyah hari itu, masih kekal dalam ingatan saya.
Didikan Terbaik
Di masjid, sebelum Ustaz Jauhari memulakan kuliahnya, beliau suka bermula dengan mukadimah berkaitan isu-isu semasa. Entah kenapa hari itu, beliau memberi peringatan dan pengajaran berkaitan mendidik anak dengan betul. Katanya:
1. Mendidik anak bukan seperti mendidik orang dewasa, perlu belaian dan kasih sayang yang berlebihan daripada walinya dan ibunya.
2. Tarik minat anak-anak dengan ilmu agama, sirah nabi.
3. Tegur anak dengan baik, bukan menengking, memboikot malah menarik muka mahupun tidak bertegur sapa beberapa hari.
4. Rujuk cara nabi Muhammad melayan anak-anak.
5. Anak kalau bergaduh sesama, itu biasa. Bagi masa untuk mereka suaikan diri, bagi peluang semua merasa dan bagi menang-menang, bukan sorang menang, sorang kalah.
6. Anak merajuk, ambil hati anak. Bukan dibiarkan begitu sahaja dengan dunia rajuknya.
7. Dengarkan anak dengan bacaan al Quran dari bibir kita sendiri, perlahan-lahan anak ini akan jadi anak yang patuh pada arahan kita, lembut hatinya mendengar kata.
Saya termenung. Semasa itulah saya sedar, betapa bodoh dan sombongnya tindakan saya terhadap Safiyyah. Tindakan paling bodoh diambil untuk budak seusia begitu. Ya Tuhan, ampuni aku.
Sesal Menyapa
Mengikut marah saya, saya lupa perasaan Safiyyah yang masih kecil. Saya lupa betapa dia perlukan kasih sayang saya. Saya lupa, betapa dia suka duduk di atas riba saya. Saya lupa, bahawa umurnya ketika itu baru empat tahun. Saya silap, bukan itu didikan untuk Safiyyah pada usianya begitu. Saat itu, hati saya mendesak untuk pulang segera, bertemu dan memeluknya erat sepuas-puasnya.
Selesai solat isyak, saya lekas pulang. Hati saya memberontak, mahu terus berjumpa dengan puteri si jantung hati saya. Sesampainya di rumah, isteri membuka pintu, kemudian berkata pula dalam sayu,
“Kasihan Safiyyah. Dia sudah tidur, menangis tidak henti-henti. Abang ni, nak marah ke budak pun, janganlah sampai begitu sekali sikapnya. Tak layan ke dia, tak pandang ke dia, tak tegur ke dia. Apalah yang dia tahu pada umurnya begitu. Dunianya hanya kegembiraan, dunianya hanya penuh permainan yang menyeronokkan. Dunianya, sudah pasti ada cemburu pada adik-beradiknya. Kita pun begitu kan dulu-dulu?”
Saya terduduk di atas sofa. Menghadap wajah Safiyyah yang sedang lena di atas toto, dibentang di ruang tamu. Wajah comel itu, sayu dan menyimpan rindu buat ayah yang baru sahaja memarahinya tanpa memikirkan tahap usianya, tanpa memikirkan bahawa Safiyyah itu anak perempuan, yang memerlukan kelembutan dalam asuhan berbeza dengan lelaki.
Saya, bertegas tidak bertempat. Itu semua mencipta tindakan bodoh dari diri sendiri.
Saya perlahan turun dari sofa dan merapati Safiyyah. Mengusap-ngusap kepalanya, menyentuh lembut pipinya. Ketika jari saya menyentuh tapak tangannya, seakan dia tahu ketika itu saya yang menyentuhnya, cepat dia menggenggam dengan jari kecilnya. Erat. Lama bagai tidak mahu dilepaskan.
Saya sebak. Menyesal dengan tindakan melulu saya, menyesal dengan dosa yang telah saya lakukan kepada Safiyyah. Entah kenapa saya hari itu, menuruti kata syaitan memenuhi nafsu amarah, meninggi ego kononnya saya betul lakunya.
Anak Anugerah Agung
Wahai kawan,
Anak ini anugerah agung kurniaan Allah. Didiklah mereka dengan jalan dan ajaran yang betul dan benar. Tegurlah mereka, perbaikilah sikap mereka mengikut usianya, berikanlah kasih dan sayang sepenuhnya selagi berpeluang. Kawal emosi kita ketika berhadapan dengan mereka. Berikan masa untuk mereka bermanja dengan kita, luangkan masa untuk bersama bergurau senda bermain.
Saya pernah tersasar dalam memperbaiki sikap anak. Betapa sakitnya dan perasaan sesal itu kekal terpahat dijiwa sehingga sekarang. Tak pernah pudar walau sesaat.
Anak menghadirkan berkat dan rahmat buat kita, menambah rezeki keluarga. Tidak pula mereka membebankan kita, apatah lagi menyusahkan hidup kita.
Hadir mereka membawa keindahan dalam kehidupan berkeluarga. Indah jugalah hendaknya cara didikan kita, kelak harapannya apabila membesar setiap tahun, mereka mengikut segala didikan dan ajaran yang baik-baik, dan dapat menempuh alam kehidupan penuh cabaran dengan berpandukan jalan-jalan disukai agama dan masyarakat.
Mereka, pengirim doa bahagia kita di sana, asuhlah sebaiknya.
sumber : WS Adli,
Belajar dari kesalahan dan kesilapan diri.
Mencari bahagia bersama KELUARGA?
Download dan baca sekarang di
Sakit itu penghapus dosa, namun bagaimana nak menghapuskan dosa jika dalam keadaan tersebut anda mengabaikan tanggung jawab sebagai umatNya.
Doktor ini berkongsi pengalaman dalam berhadapan dengan pesakit yang tidak solat dengan alasan sakit.
Menurut doktor bernama Fahd Razy, sakit menyebabkan manusia lebih mengingati mati, lebih menginsafi keterbatasan dan kelemahan diri. Sepatutnya… namun yang berlaku sebaliknya.
DAH SOLAT KE BELUM? . “Doktor, sarapan ada lagi?” “Eh, tadi tak sarapan ke?” “Saya tidur, mengantuk sangat. Ni baru bangun”. . Saya menjeling jam di dinding, hampir 10 pagi. Semasa round dengan pakar tadi pun pesakit ini bangun tak bangun saja. . “Tak bangun solat Subuh ke?” “Ala doktor, susah lah nak solat. Leceh. Kotor baju ni. Nak wudhu pun susah.” “Minta lah baju baru dengan nurse.” “Tak apa lah doktor. Orang lain pun semua tak solat,” menunjukkan tangan kepada semua pesakit di kubikelnya. “Mereka cakap sakit tak payah solat.” . Ya. Ia bukan lagi satu yang aneh. Bukan satu yang jarang. Bahkan ia gejala yang agak merisaukan. . Sakit sepatutnya mendekatkan kita dengan Tuhan. Melalui sakit Tuhan menggugurkan dosa-dosa hamba-Nya. Sakit menyebabkan manusia lebih mengingati mati, lebih menginsafi keterbatasan dan kelemahan diri. Sepatutnya… . Tetapi semasa di wad, kalau kita tinjau berapa peratus pesakit yang solat lima waktu sehari (ah, ini asas, paling asas!) dan kita akan terperanjat! . Alasannya: 1) Pakaian kotor 2) Sakit 3) Susah nak wudhu 4) Boleh qada’ 5) Tak tahu solat orang sakit 6) Memang jarang solat pun di rumah . Ini terutama masalah bagi pesakit muda. Posting pertama sebagai houseman di wad ortho hal ini amat ketara. Ramai pesakitnya muda-muda, sebahagian ada luka-luka (jadi alasan tak boleh wudhu), dan kaki tergantung / bersimen / on traction. Pesakit yang lebih berusia, mungkin kurang, seperti pengalaman saya di wad oftalmologi (ramai pesakit katarak, glaucoma, diabetic retinopati orang berusia). . Pesanan untuk Ibu bapa, kalau anak anda masuk wad, sila pastikan mereka solat. Ajarkan mereka solat orang sakit. Boleh tanya doktor/nurse. Ia penting. Pesan setiap kali anda melawat mereka. Bantu mereka berwudhu (jangan anda pula tumpang sekaki tak solat). Sakit bukan alasan tak solat, bahkan sakit sepatutnya lebih menambahkan rasa takwa kita. Dan jangan harapkan nurse atau doktor nak jaga solat anda/anak anda. Kerja-kerja rutin pun tak terkejar. . Semasa houseman dulu, selalu saya kejut pesakit ketika round pagi (tetapi kadangkala tak terkejar juga, ah, rasa bersalah sebenarnya). Sengaja tanya soalan (yang mungkin tak perlu pun) untuk timbulkan perbualan, supaya mereka alert dan terjaga. Sekurang-kurangnya mereka bangun. Para houseman (dan juga nurse) ketika melakukan morning round (atau ambil vital sign pagi), jangan lupa kejutkan pesakit. . Dan cadangan saya, mulai hari ini, kalau anda nak melawat pesakit, tak payah bawa makanan banyak-banyak. Tak perlu bunga, atau kad, atau KFC (di Terengganu hospital sebelah KFC, ahah). . PERTAMA. Bawalah botol penyembur air ini, untuk membantu pesakit berwudhu dengan mudah. Tidak terlalu basah. Tak perlu ke bilik air. . KEDUA, belilah buku panduan solat ketika sakit. Banyak di kedai buku. Paling kurang, ajarlah pesakit, dan kalau tak arif di internet boleh dapat banyak (rujuklah laman yang autentik) atau tanya ustaz-ustaz. . KETIGA, mak-ayah… sedia lah peluru siap-siap. Pesanlah kepada anak-anak yang masuk wad tu. Cakap, jangan tak cakap. Dosa anak tak solat, share nya sampai kepada ibu bapa juga (kalau tak tegur atau tak ambil tindakan). . KEEMPAT, beri perhatian betul-betul. Waktu melawat adalah bermula jam lima hingga tujuh petang. Waktu ini wad penuh dengan pelawat. Nak solat agak susah/sempit. Pesakit sibuk melayan pelawat. Jadi pelawat jangan lupa tanya, “Asar dah solat ke?”. Dan bagi ruang pesakit solat dulu. Mana prioriti, anda (pelawat), atau solat? Ha! Anda bertanggungjawab tau kalau terlalu sibukkan pesakit sampai dia lupa solat (dan sesetengah pesakit memang saja gedik buat sibuk melayan sebab malas nak solat). . KELIMA, Ibu-ibu yang nak bersalin pun, jaga-jaga, selagi belum bersalin (wiladah) anda wajib solat ya. Kalau sekadar contraction, itu bukan alasan tak solat. Minta bantuan suami dan nurse. (Hukum detail, saya serahkan kepada yang lebih arif untuk huraikan)
InsyaAllah, sebarkan semoga semakin ramai pesakit yang terjaga ibadahnya di hospital.
Memandang pada kalender tahunan, pejam celik pejam celik tinggal beberapa hari lagi anak-anak kita akan menduduki peperiksaan besar. Begitu cepat sekali masa berlalu. Lantas, saat dan ketika ini bukan anak-anak sahaja berasa gusar di hati, malah kita sebagai ibu ayah turut sama merasai kebimbangan menanti detik tersebut.
Di sini disertakan beberapa tarikh penting. Semoga dengan adanya beberapa hari lagi ini, anak-anak kita dapat menggandakan lagi usaha agar berjaya dengan cemerlang di dalam peperiksaan tersebut.
Selain usaha mengulangkaji yang dilakukan oleh anak-anak kita bagi memastikan dapat meraih kejayaan di dalam peperiksaan. Dan kita sebagai ibu dan ayah, alangkah baiknya jika dapat mendoakan kejayaan mereka atas usaha yang telah dilakukan.
Doa Untuk Anak Menghadapi Peperiksaan
1. Al-Fatihah 7 kali
2. Selawat 7 kali
3. Subhanallah 44 kali
4. Alhamdulillah 44 kali
5. Allahhu Akbar 44 kali
6. Ya Hayyu Ya Qayyum 21 kali
7. Teruskan dengan bacaan doa berikut:
” Ya Allah Ya Hayyu Ya Qayyum,Ya Rahman,Ya Rahim,Ya Latif,Ya Jabbar,Ya Khaliq,Ya Allah permudahkanlah anak-anak kami di dalam urusan mereka dalam menimba ilmu di atas seruan dan perintah-Mu. Tenangkanlah hati mereka untuk menerima ilmu-Mu,lapangkanlah jiwa mereka untuk mengharungi ujian-Mu dan berkatilah mereka dengan rahmat-Mu.Amin Ya Rabbalalamin..”
Manakala ini pula tip untuk kukuhkan lagi ingatan anak-anak kita yang dikongsikan oleh seorang guru di akaun fbnya. Jom semak.
6 TIPS KUKUHKAN INGATAN ANAK-ANAK
Ilmu yang baru dipelajari cepat dilupai. Begitulah anak-anak kita biasanya. Baru sahaja ajar dalam kelas, bila buat aktiviti kelas bukan main meriah.
Bila buat kerja dalam kelas, hampir semua orang faham dan betul jawabnya. Sebulan kemudian, soalan yang sama keluar peperiksaan, hampir semua jawab salah.
Padahal hari tu masa belajar dalam kelas faham sangat dah.
Bagaimana nak bagi apa yang anak baru pelajari kekal diingatan mereka? Cuba tips berikut ya!
1- Ilmu yang baru dipelajari hari ini mesti dipanaskan hari ini juga di rumah.
2- Ilmu baru yang dipelajari, walau faham namun tidak disusuli dengan latihan di rumah, akan menjadi ingatan sementara.
3- Ilmu atau pelajaran bila dipanaskan semula ia akan jadi ingatan berkekalan.
Bagaimana kita ibu bapa boleh bantu anak-anak dapatkan ingatan berkekalan ini?
4- Sila pastikan anak buat 4-5 soalan tentang topik yang baru sahaja mereka belajar di sekolah untuk ingatan berkekalan.
5- Latihan tak perlu banyak pun tak apa. Cukup ambil masa 15-30 minit pun dah memadai.
6- Latihan boleh sahaja direka sendiri atau Google sahaja. Contohnya anak belajar topik peratus. Pergi sahaja kat Google, taip ‘soalan peratus’. Settle!
Mudah je nak bantu anak sebenarnya. Zaman dah maju.