Cabutan bertuah, kanak-kanak lelaki 6 tahun menang Perodua Axia. Seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun membawa pulang sebuah Perodua Axia apabila berjaya memilih kunci kereta yang tepat pada satu acara cabutan bertuah di sebuah pusat beli-belah, di Kota Kinabalu.
Cabutan Bertuah, Kanak-kanak Lelaki 6 Tahun Menang Perodua Axia
Ia umpama ‘hadiah tahun baharu’ kepada Norazemah Nordin sekeluarga selepas rezeki tidak disangka-sangka itu menyebelahi anaknya, Mohd Zulfikar Al Fateh Mohd Fauzi.
Terdahulu pada acara itu, tiga peserta dipanggil ke pentas selepas nombor mereka dicabut sebagai finalis.
Mereka kemudian diminta memilih satu daripada tiga kunci yang kelihatan sama tetapi hanya satu akan dapat membuka pintu kereta disediakan pada acara itu.
Apabila tiba giliran Mohd Zulfikar Al Fateh, kunci yang dipilihnya berjaya membuka pintu kereta terbabit, sekali gus dinobatkan sebagai pemenang.
“Hadiah ini adalah rezeki anak. Ia adalah hadiah tahun baharu yang tidak pernah disangkakan. Kami benar-benar bersyukur,” kata Norazemah yang bekerja sebagai pembantu tadbir sebuah jabatan akaun di Keningau.
Ibu kepada empat anak itu dikatakan datang untuk mengambil cermin mata ditempah di kedai yang menganjurkan acara cabutan bertuah berkenaan, ROBERT.T 1994 sebelum diberitahu layak menyertai program terbabit.
“Kami sudah ada kereta. Jadi bagi kereta yang baru dimenangi ini pula, kami akan menggunakannya untuk percutian istimewa,” katanya sambil memaklumkan bahawa suami beliau yang bekerja di Kota Kinabalu akan memandu Perodua Axia itu pulang ke Keningau.
Ads
Majlis Cabutan Bertuah Robert.T 1994 itu dirasmikan oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Datuk Ewon Benedick.
Akaun Fleksibel: 4 Juta ahli KWSP buat pengeluaran. Akaun Fleksibel atau Akaun 3 KWSP adalah akaun baharu yang terdiri daripada 10% jumlah simpanan ahli. Akaun ini bertujuan untuk memenuhi keperluan kewangan jangka pendek ahli.
Akaun Fleksibel: 4 Juta Ahli KWSP Buat Pengeluaran
Seramai 4.0 juta atau 30.5 peratus daripada jumlah keseluruhan ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bawah umur 55 tahun telah membuat pengeluaran Akaun Fleksibel dengan jumlah pengeluaran RM11.6 bilion.
Simpanan Akaun Fleksibel boleh dikeluarkan oleh ahli pada bila-bila masa tertakluk kepada terma dan syarat yang ditetapkan oleh KWSP.
Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Yin berkata, jumlah baki simpanan keseluruhan Akaun Fleksibel pula adalah sebanyak RM7.4 bilion setakat November 2024.
Beliau berkata, sejak penstrukturan semula akaun mula dilaksanakan pada 11 Mei 2024, seramai 4.1 juta atau 31.6 peratus daripada jumlah 13.1 juta keseluruhan ahli KWSP di bawah umur 55 tahun telah memilih untuk mempunyai amaun permulaan di dalam Akaun Fleksibel dengan jumlah perpindahan simpanan sebanyak RM14.5 bilion.
“Sejumlah RM6.6 bilion simpanan pula telah dipindahkan ke Akaun Persaraan.
“Tujuan utama Penstrukturan Semula Akaun KWSP adalah untuk memperkasa ahli dalam membuat keputusan bagi mengimbangi keperluan jangka panjang terutama untuk persaraan dengan keperluan kewangan jangka pendek dan jangka sederhana,” katanya di Dewan Negara hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Senator Roderick Wong Siew Lead mengenai jumlah permohonan dan jumlah pengeluaran yang telah diluluskan melalui KWSP Akaun 3 selepas inisiatif itu dilaksanakan.
Mengulas lanjut Hui Ying berkata, inisiatif itu juga dapat membantu meningkatkan simpanan persaraan ahli supaya mereka menerima pendapatan persaraan yang mencukupi
untuk membiayai kehidupan persaraan mereka kelak.
“Sejak penstrukturan semula akaun mula dilaksanakan pada 11 Mei 2024, KWSP telah memberi peluang kepada ahlinya bermula 12 Mei
sehingga 31 Ogos 2024 untuk memilih sama ada ingin mempunyai amaun permulaan atau tidak dalam Akaun 3.
“Sekiranya ahli membuat pilihan untuk mempunyai amaun permulaan, pindahan amaun permulaan ke Akaun Fleksibel dan Akaun Persaraan adalah
berdasarkan jumlah baki yang terdapat dalam Akaun Sejahtera ahli tersebut pada tarikh permohonan pilihan dibuat oleh ahli,” katanya.
Imran Aqil dan Dahlia Rizal sambut puteri sulung,“welcome baby Yusra.” Pelakon Imran Aqil kini bergelar bapa selepas isterinya, Dahlia Rizal, selamat melahirkan seorang bayi perempuan di sebuah pusat perubatan di ibu kota pada jam 10.35 malam semalam.
Menurut Imran, anak sulung mereka yang diberi nama Yusra pada awalnya dijangka lahir secara normal. Namun, setelah hampir 15 jam menanti tanpa sebarang bukaan walaupun air ketuban telah pecah, pihak doktor menyarankan agar kelahiran dilakukan melalui pembedahan.
Imran turut berkongsi berita kelahiran bayi sulungnya itu di laman Instagramnya.
“Selepas menunggu lebih 15 jam dan masih tiada perkembangan pada bukaan, doktor mencadangkan agar Dahlia menjalani kaedah pembedahan. Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar. Saya juga diberi kesempatan untuk menemani isteri dalam bilik pembedahan walaupun saya agak takut melihat darah,” kata Imran.
Imran turut meluahkan rasa terharu dapat menyaksikan sendiri detik kelahiran cahaya mata pertama mereka dan mengakui pengalaman itu membuatkan beliau lebih menghargai pengorbanan seorang ibu.
“Saya sangat bersyukur dapat melihat sendiri proses pembedahan yang membawa kelahiran anak kami. Ia benar-benar membuka mata saya tentang betapa besar pengorbanan seorang ibu yang sanggup bertarung nyawa demi anak,” tambahnya.
Dalam pada itu, Dahlia yang juga dikenali sebagai pempengaruh media sosial turut berkongsi kegembiraan di akaun Instagram miliknya, mendedahkan bahawa puteri mereka akan memanggilnya ‘mommy’.
Nahas pelajar UiTM Dungun, Muhammad Ammar Danish sebak ingat kenangan manis bersama rakan. Muhammad Ammar Danish juga mengakui tidak begitu ingat bagaimana kemalangan itu berlaku.
Nahas Pelajar UiTM Dungun
“Saya tak ingat sepenuhnya kejadian yang berlaku itu, sedar-sedar sudah berada dalam longkang,” kata pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dungun yang terselamat dalam kemalangan mengakibatkan tiga rakannya maut akibat dirempuh sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) di Jalan Pantai Sura dekat sini pada Rabu.
Muhammad Ammar Danish Mohammad Ridwan, 20, berkata, kejadian berlaku ketika dia menunggang motosikal bersama Allahyarham Khairil Anwar Jamaludin, 20, setelah pulang dari membeli barang di bandar Dungun.
Menurutnya, dua rakannya iaitu Allahyarham Muhammad Akmal Md Tukirin, 25 dan Allahyarham Ku Adib Aizad Ku Azmi, 20, turut serta bersama mereka dengan menaiki sebuah lagi motosikal.
Muhammad Ammar Danish Sebak Ingat Kenangan Manis Bersama Rakan
“Pada awalnya, hanya saya dan Khairil nak pergi beli barang selepas melakukan aktiviti kokorikulum di kampus namun ketika itu Akmal dan Adib turut sama nyatakan hasrat nak ikut kami membeli barang.
“Jadi kami berempat pergi bersama-sama. Saya masih ingat lagi kami sempat bergurau sebelum bergerak balik dan itulah kenangan terakhir saya ingat bersama mereka.
“Saya tak ingat sepenuhnya kejadian itu namun saksi menyatakan kami dilanggar dari belakang,” katanya.
Mengulas lanjut, Muhammad Ammar Danish berkata, dia terkesan dengan pemergian tiga sahabat baiknya itu namun reda dengan perkara yang menimpa mereka.
“Memang sangat sedih sebab tidak sangka kejadian keluar membeli barang bersama merupakan kenangan terakhir saya bersama dengan mereka.
“Saya doakan semoga roh ketiga-tiga sahabat baik saya itu dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama golongan orang-orang beriman dan beramal soleh,” katanya dengan nada sebak.
“Setakat ini saya tak boleh berjalan dengan laju sebab kaki kiri dan kanan berjahit.
“Kepala pun rasa sakit, doktor kata kesan jatuh. Doakan supaya saya kuat dan kembali sembuh sedia kala,” ujarnya.
Dalam pada itu, Muhammad Ammar Danish memberitahu keadaan kesihatannya semakin beransur pulih. Terbaharu Muhammad Amar Danish dibenarkan pulang pada Ahad.
Exco Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Maliaman Kassim berkata, Pelajar Tahun Dua Sarjana Muda Perakaunan UiTM kampus Dungun, Muhammad Ammar Danish bersama keluarganya akan dihantar pulang ke Keramat, Kuala Lumpur menggunakan ambulans universiti tersebut.
Menurutnya, pelajar berkenaan dilaporkan semakin pulih dan stabil, namun masih memerlukan penjagaan dari sudut mental dan emosi.
“Kita nampak dia sudah tidak begitu trauma cuma proses penjagaan dari sudut kaunseling akan terus berjalan supaya tidak berlaku perkara-perkara yang mengganggu emosi ketika belajar kerana kejadian yang berlaku itu memberi kesan yang sangat besar kepada dirinya dan semua yang terlibat.
“UiTM dengan kerjasama pihak hospital akan terus beri perhatian bagi penyediaan kaunseling bagi rawatan emosi pelajar berkenaan,” katanya.
Dalam pada itu, Maliaman turut merakam ucapan takziah atas kejadian menimpa semua mangsa.
Katanya, kerajaan negeri sentiasa bersedia membantu sekiranya memerlukan sebarang keperluan.
Dalam kejadian pada 7.35 malam itu, tiga pelajar UiTM Kampus Dungun maut manakala seorang lagi rakan mereka parah selepas dua motosikal yang dinaiki mereka dirempuh kenderaan utiliti sukan (SUV) di Jalan Pantai, berhadapan UiTM Dungun.
Nahas berlaku ketika kesemua pelajar itu dalam perjalanan pulang ke kampus mereka selepas menyertai aktiviti kokurikulum dan makan malam.
Tiga mangsa yang maut ialah dua penuntut Ijazah Sarjana Muda Perakaunan Ku Adib Aizad Ku Azmi dan Khairil Anwar Jamaludin masing-masing berusia 20 tahun dan Muhammad Akmal Md Tukirin, 25, pelajar Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Perkhidmatan Makanan.