Tular foto wajah lebam Ardell di media sosial, dalam kesakitan dia masih boleh tersenyum, warga maya sebak. Pihak hospital di Istanbul telah menghubungi pelakon Nadzmi Adhwa bagi memaklumkan keadaan isterinya, Ardell Aryana yang kini dalam keadaan lemah selepas beberapa hari berada di bawah tahanan tentera Israel.
Foto Wajah Lebam Ardell Yang Tular Di Media Sosial Buatkan Hati Warga Maya Sebak
Ardell yang juga salah seorang aktivis kemanusiaan dalam misi Global Sumud Flotilla (GSF) disahkan mengalami kecederaan serius akibat layanan kasar yang diterimanya semasa ditahan. Difahamkan, tisu di bahu kirinya koyak dan wajahnya turut menjadi sasaran tumbukan tentera Zionis.
Menerusi platform Threads, tular beberapa keping foto yang menunjukkan kesan lebam jelas pada wajah Ardell, dipercayai berpunca daripada insiden ketika dia berada dalam tahanan penjara Israel.
“Dia Masih Lagi Mampu Tersenyum”
View on Threads
Gambar tersebut menimbulkan rasa pilu dalam kalangan pengguna media sosial yang rata-ratanya tersentuh melihat keadaan pelakon itu yang masih berusaha menampilkan ketenangan di hadapan umum meskipun dalam kesakitan.
Ads
Sekadar makluman, Ardell bukan sahaja berdepan dengan tisu bahu yang koyak dan kesan lebam di muka, malah turut dilaporkan mengalami muntah berulang kali serta kehilangan tenaga selepas tudungnya direntap dengan kasar oleh tentera Israel. Ramai yang terus mendoakan agar beliau segera pulih dan kekal kuat menghadapi ujian getir ini.
Zizi Kirana tak takut, berani melawan, kongsi pengalaman dalam tahanan, baju digunting, hijab direntap. Penyanyi dan aktivis kemanusiaan, Zizi Kirana berkongsi pengalaman perit ketika berada di bawah tahanan rejim Zionis sewaktu menyertai misi Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza, Palestin.
Dalam temu bual eksklusif bersama Astro Awani, Zizi menceritakan detik mencemaskan apabila dirinya dipaksa berlutut di bawah terik matahari selama lebih satu jam sambil menunggu giliran untuk berdepan dengan pihak imigresen Israel.
Menurut Zizi, dia bukan sahaja tidak dibenarkan membaca al-Quran, malah turut dipaksa menanggalkan kasut, stoking dan tudung di hadapan pegawai imigresen.
“Saya bersama dengan penganjur saya dibiarkan berpanas berjemur selama satu jam lebih dengan keadaan melutut. Masa itu saya pakai topi, dia suruh buka.
Saya nak tenangkan diri nak mengaji.. dia ambil al-Quran, tarik dan tanya apa ini? Saya cakap ini adalah al-Quran. Dia suruh simpan dalam beg,” katanya.
Zizi turut menjelaskan detik mencabar apabila pihak imigresen mengarahkan dirinya menanggalkan stoking dan tudung, namun dia menolak dengan tegas kerana aurat tidak boleh didedahkan.
“Apabila nama saya dipanggil untuk masuk ke imigresen, mereka suruh buka stokin, kasut. Saya buka kasut tapi tak nak buka stokin. Mereka tak bagi, kena juga buka. Saya cakap tak boleh sebab haram (dedah aurat).
Dia paksa saya buka tudung. Saya cakap tidak. It’s haram, I’m the Muslim. Mereka tetap cakap ‘no.’ Saya pegang juga tudung sambil mereka dah tarik bahagian belakang. Saya cakap ‘no.’
Sampaikan kawan-kawan saya yang bukan beragama Islam pun menangis. Mereka jerit cakap ‘be strong’. Saya masih ulang cakap ‘no! it’s haram.’”
Menurut Zizi, ketika itu dia hanya mampu berdoa agar Allah memberikan pembalasan setimpal terhadap kezaliman yang dilakukan terhadap umat Islam.
“Masa itu saya berdoa, ‘Ya Allah kau berikanlah balasan yang paling setimpal dengan kezaliman yang mereka buat kepada seluruh umat Islam di dunia ini.’
Masa tudung ditarik ke belakang, mereka bawa ke satu ruangan yang mana di situ ada perempuan dia suruh buka semua. Saya ulang cakap ‘Ya Allah, Ya Allah, Ya Allah’ sampai habis pemeriksaan.”
Tambahnya lagi, pegawai imigresen turut bertanya sama ada dia pernah datang ke Israel sebelum ini, selain menyedari identitinya sebagai selebriti Malaysia.
“Pergi ke imigresen dengan bangganya mereka cakap ‘Welcome to Israel, have you been to Israel?’
Saya dengan bangganya bercakap ‘Maybe you should see the front page of my passport. You are not recognised in my country.’
Mereka cakap ‘haa’. Kemudian mereka cakap ‘I saw you on TikTok, on Instagram, famous!’
Dengan sinis saya senyum. Mereka cakap ‘no smiling.’ Saya tengok saja. Walaupun dalam hati rasa ‘Ya Allah, inilah orang-orang yang paling zalim di muka bumi ini yang aku kena hadap sekarang ini.’”
Dalam pengalaman getir itu, Zizi turut mendedahkan pakaian yang dipakainya turut digunting oleh tentera Israel sebagai sebahagian daripada pemeriksaan mereka.
“Saya tak tahu kenapa saya kena tarik ke sana sini. Sebelum saya naik bas, sekali lagi tudung saya ditarik. Masa itu saya betul selamatkan tudung sebab itu saja yang tinggal.
Baju saya di bahagian dalam digunting sebab tak nak ada baju lain. Nak ada satu baju saja.”
Kisah keberanian dan ketegasan Zizi dalam mempertahankan maruah serta auratnya mendapat perhatian ramai yang kagum dengan kekuatan imannya menghadapi kezaliman rejim Zionis.
Seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun di Melaka dilaporkan positif dadah jenis tetrahydrocannabinol (THC) atau ganja, dalam satu kejadian yang mengejutkan ramai.
Kes kanak-kanak positif THC Melaka ini menimbulkan kebimbangan serius dalam kalangan masyarakat, khususnya ibu bapa dan penjaga yang mempercayakan anak mereka kepada pihak pengasuh.
Lebih membimbangkan, seorang lelaki berusia 39 tahun yang juga pempengaruh media sosial telah ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes berkenaan.
Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, lelaki itu merupakan anak kepada pengasuh kanak-kanak terbabit. Suspek telah direman selama tujuh hari bermula 16 April dan tempoh reman itu disambung lagi selama lima hari bermula esok hingga Isnin depan, 27 April, bagi membantu siasatan.
Menurut beliau, pada 14 April kira-kira jam 5 petang, seorang pegawai perubatan di Hospital Melaka menerima mangsa dalam keadaan separuh sedar. Hasil ujian saringan air kencing mendapati kanak-kanak itu positif tetrahydrocannabinol.
Ibu mangsa kemudian memaklumkan kepada pegawai perubatan bahawa anaknya diambil dari rumah pengasuh di Sungai Putat. Difahamkan, pada 11 April lalu, mangsa turut menerima bantuan rawatan pernafasan melalui tiub di zon merah Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Melaka.
Situasi ini menguatkan lagi kebimbangan terhadap kes kanak-kanak positif THC Melaka kerana ia menunjukkan kesan serius terhadap kesihatan mangsa dalam tempoh singkat.
Susulan kejadian itu, sepasukan pegawai dan anggota dari Cawangan D11 Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka telah membuat tangkapan ke atas suspek kira-kira jam 9.30 malam pada 15 April.
Kes berkenaan kini disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.
Dalam pada itu, semakan rekod lampau mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah. Saringan ujian air kencing ke atasnya juga didapati negatif.
Bagaimanapun, perkembangan yang melegakan apabila kanak-kanak perempuan tersebut dilaporkan telah pulih dan dibenarkan pulang ke rumah.
Walaupun mangsa telah sembuh, kes ini menjadi pengajaran besar kepada masyarakat tentang kepentingan pemantauan rapi terhadap persekitaran kanak-kanak.
Kejadian ini membuka mata ramai pihak tentang risiko tersembunyi yang mungkin berlaku di tempat jagaan kanak-kanak. Ibu bapa disarankan untuk melakukan pemeriksaan latar belakang pengasuh serta memastikan persekitaran yang selamat untuk anak-anak mereka.
Anak lemas dalam kolam, ibu harap keajaiban, “Moga ada doa kalian yang diangkat dan dimakbulkan Allah.” Niat Nurul Izzati Barni, berkongsi kisah pilu tentang anak bongsunya yang sedang bertarung nyawa bukanlah untuk meraih simpati.
Sebaliknya, ia dilakukan dengan harapan mendapat doa daripada masyarakat yang tersentuh dengan nasib anaknya, Che Umar Rais Che Fairollah, 4 tahun.
Selama hampir lima bulan, ibu muda berusia 30 tahun itu setia menanti keajaiban Tuhan untuk anaknya yang kini berada dalam keadaan separa kritikal selepas insiden lemas dalam kolam.
Rutin hariannya bermula seawal jam 9 pagi hingga lewat malam di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar. Beliau menguruskan keperluan Umar, termasuk memandikan, mengurut, dan memberi perhatian penuh sebelum pulang ke rumah.
“Saya hanya mampu melakukan apa yang termampu sebagai seorang ibu. Kita tidak tahu doa siapa yang akan dimakbulkan Allah, jadi perkongsian ini hanyalah untuk memohon doa mereka yang tersentuh dengan keadaan Umar,” katanya.
Nurul Izzati kekal yakin bahawa Umar akan kembali pulih walaupun proses pemulihan mungkin mengambil masa. Malah, naluri keibuannya menjadi kekuatan utama untuk terus berdoa dan berikhtiar.
“Saya masih ingat satu ketika darah Umar tiba-tiba turun mendadak. Doktor meminta kami sekeluarga untuk bersedia dengan kemungkinan terburuk dan reda. Namun, saya berbisik kepada Umar bahawa saya reda jika Allah lebih menyayanginya.
Tetapi jika Allah memberi peluang untuk Umar terus hidup, kami akan lakukan apa sahaja demi dia. Alhamdulillah, darahnya kembali stabil ketika itu. Sejak detik itu, keyakinan saya terhadap keajaiban Allah semakin kuat,” jelasnya, yang kini menganggap hospital seperti rumah keduanya.
Pada September 2023, percutian keluarga bertukar menjadi ujian besar apabila Umar lemas di dalam kolam. Ketika dibawa ke hospital, nadinya telah terhenti selama hampir lima minit. Keadaan itu membuatkan doktor menjangka peluang Umar untuk hidup amat tipis. Namun, doa dan kuasa Allah memberikan keajaiban apabila nadi Umar kembali berdenyut.
“Umar ditempatkan di zon kritikal dan pada awalnya langsung tidak menunjukkan sebarang pergerakan. Tetapi pada hari ke-19, dia mula menggeliatkan badannya. Sejak itu, saya terus berusaha dan tidak berhenti berdoa untuknya,” kata Nurul Izzati.
Kini, walaupun Umar masih bergantung kepada bantuan oksigen, perkembangan positif mula kelihatan. Bagaimanapun, doktor masih memantau keadaan anak matanya yang belum memberi tindak balas apabila disuluh.
“Saya faham doktor menjalankan tugas mereka, tetapi saya percaya kuasa Allah mengatasi segala-galanya,” katanya. Nurul Izzati juga berusaha memberikan makanan tambahan bagi membantu proses pemulihan Umar.
Dua anak Nurul Izzati yang lain turut merindui kehadiran Umar di rumah. Mereka sering bertanya bila dapat berjumpa adik mereka di hospital. Malah, setiap kali membeli mainan, mereka akan teringatkan Umar dan berharap dapat berkongsi kegembiraan bersamanya.
“Saya selalu pesan kepada mereka, jika benar sayangkan Umar, jangan lupa doakan kesihatannya setiap kali selepas solat. Doa mereka sebagai abang dan kakak sangat bermakna untuk Umar,” katanya penuh emosi.
Nurul Izzati turut meluahkan rasa terima kasih kepada semua yang telah menghulurkan sumbangan dan doa sepanjang tempoh sukar ini. Sokongan tersebut menjadi sumber kekuatan untuknya terus menjaga Umar dengan penuh ketabahan.
“Saya amat menghargai setiap bantuan yang diberikan. Doa dan sokongan orang ramai benar-benar memberikan saya semangat untuk terus kuat. Semoga doa-doa ini membantu Umar kembali sembuh,” tambahnya.
Kisah ini menggambarkan betapa besarnya kasih seorang ibu terhadap anaknya dan kepercayaan penuh kepada kuasa doa. Semoga Umar diberikan kesembuhan dan keluarga ini terus diberi kekuatan menghadapi ujian hidup.
Asymawi, pelajar Politeknik Melaka, sanggup bekerja sebagai penghantar makanan demi menyambung pengajian dan membantu keluarga selepas melihat pengorbanan besar bapanya.