Dapat duit raya, gadis beli emas sejak Sekolah Menengah. Sudah menjadi kelaziman anak muda hari ini menggunakan wang simpanan mereka untuk membeli gajet terbaru atau barangan fesyen yang sedang menjadi ikutan.

Dapat Duit Raya, Gadis Beli Emas Sejak Sekolah Menengah

Namun, berbeza pula dengan seorang gadis dari Kemaman, Terengganu ini. Dia memilih untuk membelanjakan wangnya dalam bentuk pelaburan yang lebih bernilai iaitu emas.

Nurulain Nazifa Azuwa @ Anith, 24 tahun, berkongsi kisah minatnya terhadap emas bermula sejak zaman persekolahannya. Ketika itu, beliau membeli sebentuk cincin seberat dua gram sebagai permulaan simpanan emasnya. Walaupun masih di bangku sekolah menengah ketika itu, beliau sudah mempunyai kesedaran awal tentang pentingnya menyimpan.

Dapat Duit Raya, Gadis Beli Emas Sejak Sekolah Menengah

Ads

“Saya berasal dari keluarga yang sederhana. Sebagai anak sulung, saya belajar untuk lebih bertanggungjawab dan berfikiran jauh ke hadapan. Selain itu, saya banyak membaca tentang kepentingan menyimpan. Setiap kali musim perayaan, saya kumpulkan duit raya dan gunakan untuk membeli emas,” ujarnya.

Graduan Ijazah Sarjana Muda Sains Pentadbiran dari Universiti Teknologi Mara itu turut menjelaskan bahawa didikan ibu bapanya yang menekankan agar berbelanja mengikut keperluan dan bukan kehendak menjadi prinsip yang dipegang hingga hari ini. Baginya, membeli emas adalah pilihan bijak memandangkan nilainya yang sentiasa meningkat.

Tambahnya lagi, emas pernah menjadi penyelamat kewangannya ketika melalui detik sukar semasa menuntut di universiti. “Pernah satu ketika saya terpaksa menggadaikan emas untuk mendapatkan wang. Jadi, walaupun harga emas kini lebih RM400 segram, saya tetap berusaha menyimpan. Setiap bulan saya peruntukkan kira-kira RM1,000 untuk membeli sekurang-kurangnya sebentuk cincin,” katanya.

Minat terhadap emas juga turut dikongsi oleh Nik Noor Azleeen Ramli, 42 tahun, yang sudah mengumpul barangan kemas sejak mula bekerja lebih dua dekad lalu. Menurut Pengurus Cawangan Affin Bank itu, minatnya terhadap emas berakar sejak kecil dan sehingga kini beliau masih aktif menambah koleksi peribadi.

Ads

Walaupun reka bentuk emas kini semakin moden, beliau menegaskan bahawa bentuk atau gaya tidak menjadi keutamaan dalam pemilihan. “Saya tidak semestinya membeli mengikut trend. Jika rekaan klasik pun tetapi menarik bagi saya, saya akan beli. Pernah juga saya menempah koleksi khas dengan nama sendiri walaupun harganya agak tinggi, tapi puas hati,” katanya yang memiliki koleksi emas bernilai sekitar RM16,000.

Anak kelahiran Kelantan itu juga memberitahu bahawa dia tidak pernah menjual mana-mana koleksi emas miliknya, malah turut membeli barang kemas untuk ketiga-tiga anak perempuannya sebagai simpanan masa depan.

Ads

Sumber: Sinar Harian

Kredit foto top image: Sinar Harian

Baca artikel lain juga: 

Mencari bahagia bersama KELUARGA?
Download dan baca sekarang di seeNI.

KLIK DI SEENI