Melihat kebesaran Allah SWT dengan melancong ke luar negara adalah satu kesempatan yang ingin diraih semua. Pun begitu, bukan semua percutian meninggalkan kenangan indah, tragedi adakalanya datang tanpa kita jangka.

Pengalaman Puan Nor Aziah Abd Aziz, 56, bekas guru Sains dan Matematik, Sekolah Kebangsaan Dengkil yang telah pun menamatkan perkhidmatannya sejak tahun 2014 ini mengakui ada hikmah sebalik kejadian yang menimpanya dan suaminya, Hashim Ahmad, 58 ketika bercuti ke Tehran, Iran.

Dipukau ketika sedang beratur di kaunter tukaran wang adalah sesuatu yang tak mungkin terjangka oleh sesiapa sahaja. Namun inilah yang dilalui oleh pasangan yang sudah menjelajah ke lebih 30 destinasi seluruh dunia ini.

“Saya dan suami memang sedia maklum kes-kes penipuan sebegini kalau bercuti ke Iran. Banyak blog bercerita hal ini dan minta berhati-hati ketika berada di Iran tapi kami langsung tak sangka kami terkena secepat itu, iaitu ketika di lapangan terbang.

Ketika itu saya dan suami sedang beratur di kaunter tukaran wang di lapangan terbang kerana di negara kita tak ada wang Iranian Rials (IRR) Iran, jadi memang terpaksa ditukarkan di sana.

Ketika duit sudah ditukar, suami saya pegang duit tersebut untuk mengira kerana keliru dengan jumlah juta dan kosongnya yang sangat banyak.

Ketika sedang memegang wang, datang seorang pemandu teksi lelaki terus ambil dua keping wang di tangan suami dan mahu menghantar kami terus ke hotel.

Peliknya ketika itu saya dan suami langsung tak marah bila wang diambil dari tangan dan kami terus menuju ke teksinya. Katanya, bayaran tambang yang dikenakan 250 ribu IRR. Kami berborak seperti biasa ketika di dalam teksi dan sebaik tiba kami berikan dia 50 USD sebagai baki bayaran.

Ketika di dalam bilik barulah kami sedar yang dia telah mengambil dua keping wang bernilai 2 juta IRR dan juga termasuk 50 USD. Saya dan suami terdiam dan terkesima dengan apa yang berlaku. Ketika itulah baru kami sedar kami seolah-olah dipukau. Langsung tiada reaksi dari saya dan suami ketika itu.

Itulah detik paling meninggalkan kesan buat saya dan suami. Sedih tak terkata, jumlah yang begitu banyak kami serahkan sebaik menjejak bumi Iran.”

Dibaling Batu Di India

Tidak hanya dipukau, ketika bercuti ke Kashmir, India, pasangan ini juga pernah disekat dipertengahan jalan ketika perjalanan dari Serinagar ke Gulmarg. Semuanya disebabkan adanya sekatan jalan raya dan rusuhan yang dilakukan oleh pengangkutan awam.

“Bas berkumpul dan buat tunjuk perasaan di bandar, akibatnya kami terpaksa ikut jalan kampung. Ketika melalui sebuah kampung kami disekat oleh penduduk kampung yang cuba membaling batu ke arah van kami.

Cemas juga ketika itu kerana belum pernah alami suasana begini, apa lagi di negara orang. Setelah berbincang, kami dilarang melalui jalan tersebut dan terpaksa berpatah balik.

Dek kerana kami bertegas untuk Gulmarg juga, sudahnya kami terpaksa diiringi oleh anggota tentera India yang mengiringi konvoi 5 buah kereta kami hingga selamat tiba di pergunungan. Dua buah kereta askar setia mengiringi di hadapan dan belakang konvoi kami demi memastikan kami selamat sampai,” luahnya lagi.

Di Tahan Di China

IKLAN

Lain pula kesnya ketika keluarga ini bercuti ke Xian, China. Menurut Aziah lagi, anak bongsunya yang berusia 16 tahun ketika itu disekat daripada memasuki negara itu gara-gara pastport yang dimilikinya ketika berusia 12 tahun.

“ Ketika dilapangan terbang, anak saya disekat kerana rupa parasnya yang tidak sama seperti di dalam pastport. Maklum sahaja pastport itu dibuat ketika usianya 12 tahun dan kini dia sudahpun remaja dan berusia 16 tahun. Dia di bawa ke satu tempat dan saya minta untuk mengiringinya.

Lama kami ditahan. Pihak kastam China mahu saya buktikan bahawa dia anak saya. Kad pengenalan kita juga tidak diterima oleh pihak kastam.

Akhirnya saya buka kesemua video anak bongsu saya ketika dia masih kecil dan tunjukkan pada mereka. Itu sahaja cara yang saya ada untuk membuktikan dia anak saya. Mujur usaha saya diterima atas budi bicara mereka. Langsung tak sangka video yang sekecil itu sangat membantu ketika dalam situasi genting sebegini,” katanya lagi yang bakal bercuti ke Balkan pada penghujung tahun ini.

Jejak Langkah Ke 30 Destinasi Dunia
Bercerita mengenai kisah pasangan ini yang suka melancong ke luar negara memang buat kita rasa terinspirasi.

Pasangan ini memulakan langkah untuk melihat dunia luar ciptaan Allah SWT ketika tahun 1986. Ketika mereka ke Medan, Indonesia dan anak pertama yang baru berusia 1 tahun ditinggalkan.

IKLAN

Seterusnya ibu kepada Amir Hakim, 32, Amirah Halwa, 31, Ammar Hazwan, 29, Akhmal Hafiz, 18 dan Aqilah Hanis, 17 tahun ini mula mengorak langkah lebih jauh.

Sehingga kini pasangan ini telahpun menjejakkan kaki ke 30 destinasi dunia. Antara negara yang dilawati mereka termasuklah Turki, negara-negara

Eropah seperti Belgium, Amsterdam, Paris dan London. Tidak ketinggalan juga Korea, Japan, India, New Zealand, Australia, Cairo, Iran, Lubnan, Dubai, Vietnam serta tidak ketinggalan Los Angeles, California, Amerika Syarikat.

Menariknya pasangan ini hanya sesekali sahaja menggunakan travel agensi untuk menguruskan percutian mereka, selebihnya mereka lebih senang menguruskan sendiri dan bergerak sendiri sepanjang percutian ke lebih 30 buah negara ini.

“Bagi saya melancong ke luar negara bukan hanya release tension tetapi paling penting dapat melihat budaya dan tempat orang. Bila lihat tempat orang buat kita lebih menghargai negara kita sendiri. Saya langsung tak fikirkan soal beli belah tetapi dapat lihat ciptaan Allah dan lihat budaya orang lain, itu yang lebih penting,” katanya yang menjadikan koleksi frame dari setiap negara sebagai buah tangan wajib yang dikumpulkansetiap kali melancong.