Anak Hidap Penyakit Paling Kronik, Ibu Ini Reda & Ingin Penuhi Keinginan Supaya Tidak Ada Ralat Di Hati.
Berat mata memandang berat lagi bahu yang memikul. Bagi Puan Naima Yuzi dan suaminya, Affizan Sarif, saat mengetahui anak mereka menghidap penyakit yang membawa maut, hanya Tuhan yang tahu perasaan ketika itu.
Andai boleh ditukar ganti mungkin itu yang mereka mahu, namun jodoh pertemuan, ajal maut segalanya ditangan Pencipta.
Titisan air mata sang ibu cukup meluahkan segalanya. Keperitan yang dipendam sedikit sebanyak terungkap dek wajah yang suram dan penuh hiba.
Biar bibir masih mampu melayangkan senyuman, namun jauh dek sudut hatinya hanya Tuhan yang tahu.
Cukup minat dengan pasukan bomba, Adik Akmarul Haikal Affizan cukup bertuah kerana impiannya untuk menyambut hari jadi ke 12 bersama abang bomba dimakbulkan.
Majlis berlangsung di Wad 7A, PPUM baru-baru ini, nyata menyuntik senyuman Akmarul biarkan tampak cukup lemah ketika itu.
Sambil menantikan kehadiran pasukan Bomba Dan penyelamat dari Balai Bomba Pantai yang diketuai oleh YS Pengarah JBPM Kuala Lumpur PKPjB Khirudin Bin Drahman @ Hussaini, Akmarul terlelap seketika.
Penulis yang berpeluang menghadiri majlis ketika itu berkesempatan menemu bual ibunya, Naima Yuzi berkenaan penyakit yang dihadapi anak sulungnya itu.
“Akmarul lahir normal tanpa ada sebarang masalah, sehinggalah usianya menjangkau setahun, kesihatannya mulai merosot. Demam, muntah-muntah, perut buncit, dan berak berdarah.
Sehinggalah dibuat pemeriksaan terperinci, doktor mengesahkan Akmarul yang menghidap penyakit usus terkeluar atau chron’s disease atau bahasa mudahnya Usus Kronik dan radang otak.
“Waktu itu, punggungnya bernanah, apa sahaja maknanan yang ditelan keluar balik, dan ususnya di luar. Usus besarnya bermasalah dan penuh nanah.
Doktor cakap buatlah apa yang dia kerana sekarang Akmarul bergantung pada ubat semata.
“Sebelum ini kami pernah sampai ke Jerman untuk rawatan. Waktu itu usianya baru 8 tahun.
Menurut doktor, penyakit Akmarul ini sangat kronik dan kami terpilih antara pesakit di Asia untuk mengikuti rawatan di sana. Pihak Jerman yang taja dan minta kami ke sana.
“Awalnya saya dan suami menolak kerana tak ada duit, tetapi doktor yang merawat Akmarul bersungguh-sungguh dan mencari jalan untuk mendapatkan dana.
Alhamdulillah masalah kami didengari dan ramai yang menghulurkan sumbangan untuk kami membeli peralatan dan barangan keperluan ke sana.
Sampai di sana bukan hanya Akmarul, sebaliknya kami satu keluarga juga di ambil sampel darah dan di buat ujian itu ini.
“Selepas pulang ke Malaysia, saya menunggu juga laporan kesihatan tapi alasan mereka masih dalam kajian. Rupa-rupanya pihak sana juga tidka mampu berbuat apa-apa.
Baru-baru ini saya tanyakan tahap kesihatan Akmarul yang makin merosot hari ke hari, jadi doktor yang merawatnya berterus-terang, penyakit anak saya ini kedua paling kronik di dunia. Yang pertama dari Pakistan, tetapi sudah meninggal dunia.
Hanya mampu bertahan dua tahun. Hanya Akmarul yang kuat semangat dan melawan penyakit. Itu yang dia masih bertahan sehingga berumur 12 tahun sekarang.
“Tetapi kata doktor lagi, sampai satu tahap beginilah keadaannya, selalu sakit-sakit. Jadi, saya tanyakan sama ada Akmarul ada harapan atau tidak.
Doktor cakap sekarang segalanya bergantung kepada Akmarul sama ada kuat dan mampu bertahan.
Memang penyakitnya tidak dapat disembuhkan sebaliknya hanya bergantung pada rawatan untuk meneruskan kehidupan.
‘Doktor pun sudah terangkan sampai satu tahap Akmarul akan bergantung dengan ubat dan akan selalu keluar masuk wad. Dari tahun lepas lagi memang nampak perubahan dia.
Dulu dia aktif walaupun tidak boleh berjalan dan pergerakannya cukup terhad, manakan tidaknya dia terpaksa bergantung pada kerusi roda untuk bergerak.
Tetapi sekarang walaupun dia atas kerusi roda pun dia tak larat dan nampak penat. Sekarang ini kami ikut segala apa kemahuan Akmarul. Di rumah kalau nampak dia tidak sihat kami akan bawa ke hospital.
“Kadang-kadang baru sampai rumah dia sakit semula dan cepat-cepat kami bergegas ke hospital semula. Sekarang ini kalau Akmarul minta nak balik rumah kami akan bawa, kemudian sakit kami akan kembali semula ke hospital. Boleh dikatakan hospital sudah menjadi rumah kedua kepada Akmarul.
“Saya ada seorang lagi anak, dan dia selalu selalu tanya, ibu tak sayang adik ke, asyik dengan abang sahaja. Waktu itu saya tidak tahu apa yang patut cakap sebab dia masih kecil.
Dalam usia 8 tahun dia terpaksa menumpang kasih orang lain kerana saya banyak berulang alik ke hospital menguruskan abangnya.
“Kalau ditanya tentang sudahkah saya bersedia ‘kehilangan’ Akmarul, Ibu mana yang sanggup kan. Tetapi melihat anak menderita sebegini, kalau boleh biarlah dia ‘pergi’ dari menderita sakit begini.
Sedih memang sedih, ibu mana yang tak ralat kan tetapi saya sudah tak sanggup melihat anak saya terseksa sakit.
SAYA SUDAH REDA DAN BERSEDIA KEHILANGAN AKMARUL.
Dalam masa yang sama, doa saya tidak pernah putus supaya ada keajaiban untuk Akmarul. Namun jika Tuhan sudah menetapkan begini, saya reda dan cukup bersedia.
Sekarang ini yang penting saya mahu penuhi segala keinginan Akmarul supaya bila dia ‘pergi ‘ nanti tidak ada ralat di hati saya.
Saya juga ingin berterima kasih kepada para doktor, jururawat, keluarga, rakan-rakan dan pelawat yang datang meraikan dan melawat Akmarul selama ini.
Jasa doktor dan jururawat memang tak mampu saya balas,”ujar Naima sebelum menutup perbualan bersama penulis.
Pasangan Tegur Sebab Cinta & Sayang. Perbaikilah Diri & Begini Caranya!
Bila suami menasihati isteri dan ada ketikanya isteri pula menegur tindakan suami, tidaklah perkara tersebut pelik dilakukan. Malah kedua-dua pihak harus melihat daripada sudut yang positif.
Ini sebagaimana apa yang dikongsikan oleh seorang suami ini. Bersama ambil manfaat daripada nukilan ini agar kita juga dapat menerima teguran pasangan dengan hati yang lebih terbuka.
Saat paling indah apabila dapat dating berdua duaan dengan isteri untuk saling memperdengarkan bacaan Al Quran. Rindu saat ini apabila berjauhan.
Saya paling banyak belajar Al Quran dari isteri. Dari jauh isteri menegur bacaan saya walaupun beliau tidak melihat Al Quran. Saya perbaiki dan teruskan bacaan.
Begitulah dalam rumah tangga, jika saling menasihati, rendahkan ego, terima dengan lapang dada segala kesilapan kita. InsyaAllah tiang kebahagiaan itu tidak akan goyang sedikit pun.
Jika bukan isteri atau suami siapa lagi nak menasihati kita. Orang lain belum tentu mampu istiqomah untuk berusaha, sabar, berdoa agar kita sentiasa dalam kebaikan.
Namun tidak pasangan kita, dia menasihati kita dengan penuh kecintaan dan kasih sayang. Dia taknak lihat kita dalam kegelapan, kemusnahan.
Saya bersyukur dapat isteri seindah ini. Menerima seadanya walaupun banyak kelemahan, kekurangan, keaiban.
Percaya wahai suami. Setiap nasihat dan teguran isteri itu tidaklah sia sia. Ia tanda sayang kepada kita, ia tanda kasih kepada kita. Ia tanda cinta kepada kita.
Dan ingatlah. Saat kita diuji, menerima musibah, boleh jadi semua orang membenci kita, menjauh dari kita, namun tidak sesekali isteri. Dia tetap bersama kita, dia tetap memberi peluang kepada kita. Dia mahu kita jadi insan yang baik untuk bimbing dia masuk syurga.
Terima kasih Isteri.
Sumber : Muhammad Hassan
Kahwin Ketika Masih Belajar, PU Amin Akui Isteri Tulang Belakang Dalam Mendidik Dan Membina Keluarga.
Namanya meniti di bibir masyarakat dek caranya berdakwah lebih moden dan terbuka terutama dalam menangani isu LGBT. Pencetus Ummah ( PU) Mohammad Amirul Amin Maula LokmanHakim, 28 tahun kini bertugas sebagai pendakwah bebas.
Jujur mengakui sangat sibuk dengan aktiviti dakwahnya menyebabkan masanya agak terhad dengan anak-anak. Begitu pun, PU Amin bijak ‘mencuri’ masa supaya anak-anak dan isteri tidak terabai.
“Biasanya saya memang sangat menitikberatkan disiplin masa pada anak-anak. Awal pagi saya akan peruntukkan bersama anak-anak. Selepas pulang dari bersenam, anak-anak sudah bangun, jadi saya habiskan masa dengan melayan mereka. Saya mengajak mereka bermain. Sama ada melukis, main bola dan sebagainya.
“Ada masa kami makan depan televisyen ramai-ramai sambil tengok kartun atau sebagainya, ada masa makan di meja. Tetapi satu yang saya amalkan adalah terapkan pada anak-anak, dahulukan orang tua untuk mengambil makanan dengan pelawa ibu bapa terlebih dahulu. Itu yang dipraktikan oleh ibu bapa saya dulu dan kini diturunkan pula pada anak-anak saya. itu cara kita mendahulukan orang lain.
“Kebiasaannya jika ada perkara yang mereka buat saya marah, saya akan denda mereka. manakala jika mereka berbuat baik saya akan bagi ganjaran dengan memberikan bintang. Selepas itu, saya berikan hadiah supaya ada sifat bersaing untuk membuat baik dan disiplin selain mereka rasa pendidikan itu saya benda yang membebankan,”jelas PU Amin sambil memberitahu peranan isteri sangat besar dalam mendidik anak selain ibu bapa yang menjadi mata dan telinga untuk anak-anaknya.
Mengakui pernah meninggalkan isteri dan anak-anak 2-3 bulan sewaktu melakukan penggambaran program, dia cukup berterima kasih dan bersyukur dengan peranan yang dimainkan oleh isterinya sewaktu ketiadaannya.
“Pernah dulu saya terbabit dengan penggambaran berbulan-bulan sehinggakan anak yang kedua dari kecil sudah besar, tetapi mereka berada dalam keadaan yang baik berkat asuhan isteri. Walaupun isteri sibuk dengan kerja, tetapi dia masih boleh memainkan peranan yang besar dan boleh dikatakan mampu menguruskan anak-anak. Sekarang ini dia bakal menyambung pengajian dalam bidang pendidikan untuk mendapat taraf tetap dalam kerajaan.
“Walaupun bebanan kerja dan tanggung jawab yang besar, tapi anak-anak berada dalam kawalan dan jagaan yang baik. Dalam keluarga isteri juga bantu menjadi tulang belakang dalam membina anak-anak.
Sesebuah keluarga tidak akan dibina dengan baik jika suami isteri tidak saling memainkan peranan masing-masing,” tegas PU Amin lagi sambil memberitahu dia dan isterinya berkahwin dalam usia yang masih muda dan ketika itu sedang menuntut di universiti.
Beliau yang bertemu jodoh ketika masih belajar mengakui berkahwin pada tahun 2012 dalam tahun kedua di Universiti Al-Azhar.
“Kami dikurniakan anak sulung ketika saya berada di tahun 4 dan menariknya sewaktu mengambil keputusan untuk berkahwin, keluarga tidak bersetuju. Mereka bimbang pengajian kami terabai sementelah waktu itu belum ada yang berkahwin ketika belajar. Jadi, kami buat satu janji akan dapat keputusan yang cemerlang dalam pengajian. Kebetulan kami memperoleh biasiswa dari pihak zakat Selangor.
“Selepas berkahwin, kami tinggal dan belajar bersama-sama sehingga dapat mencapai kejayaan yang cemerlang. Itu menjadi motivasi kepada pelajar lain yang ingin mendirikan rumah tangga. Untuk pasangan lain, elakkan dari menggunakan alasan berkahwin kerana mahu menghalalkan pergaulan, seks dan sebagainya.
“Sebaliknya kenal pasti terlebih dahulu pasangan sebelum serius. Kena ada ilmu rumah tangga, disiplin diri, dan sahsiah diperelok terlebih dahulu. Bila kahwin wajib keluar nafkah,. Justeru kena ada wang dan simpanan dan tidak menganiayai isteri mahupun keluarga kita.
“Itu benda yang wajib iaitu ilmu dan kewangan yang kukuh. Kena usaha untuk naik taraf kehidupan dengan memberi kesempurnaan dan kelengkapan yang membawa kita dekat dengan Allah. Jika kaya dan berjaya itu boleh dekatkan kita dengan Allah, maka kena berusaha ke arah terserbut.
“Jangan guna alasan elak maksiat sedangkan nafkah tidak diberi dan tidak pandai melayan pasangan dengan baik. Bebanan yang perlu ditanggung bukan sekadar menanggung masalah sebaliknya dia perlu menanggung ilmu yang banyak sebelum menanggung manusia,”tegas PU Amin sebelum menutup perbualan bersama penulis.