
Seorang kanak-kanak berusia empat tahun dilaporkan meninggal dunia dipercayai akibat jangkitan Influenza A H1N1 pada Jumaat lalu, mencetuskan kebimbangan dalam kalangan ibu bapa di Sarawak.
Perkara menyedihkan itu dimaklumkan oleh bapa kepada arwah, Nurhan Eshan Nakquiyuddin, menerusi satu hantaran di Facebook pada awal pagi hari kejadian.
Menerusi perkongsian di akaun bernama Ujan Panas, beliau meluahkan rasa reda atas pemergian anak syurganya yang disahkan meninggal dunia akibat Influenza A H1N1
.“Terima kasih kepada semua yang telah mendoakan kesembuhan anak kami. Semoga doa itu berbalik menjadi kebaikan buat kalian semua.
“Kita hanya merancang, tetapi ketentuan ALLAH SWT adalah mutlak. Pemergian anak saya disebabkan Influenza A H1N1 berlaku dalam masa yang singkat.
“Belum sempat menemui penawar, saya sudah kehilangan cahaya mata tersayang,” tulisnya dalam hantaran tersebut.
Bapa arwah turut menambah bahawa meskipun hati terasa hancur, mereka sekeluarga tetap reda dan percaya bahawa setiap yang berlaku telah ditentukan oleh ALLAH SWT sejak azali.
“Terima kasih ya ALLAH kerana meminjamkan adek untuk kami sekeluarga walaupun sekejap.
“Peninggalan yang memberi kesan dalam jiwa, pahit yang terpaksa ditelan.
“Belum puas kami nak bermain dengannya tapi kami reda ya ALLAH. Ayah, ibu, abang Eiman, mbah, nenek semua sayang adek,” katanya dengan penuh sebak.
Difahamkan, jenazah Nurhan Eshan yang merupakan pelajar Tabika Kemas Kampung Sadong Jaya A sedang diuruskan di Hospital Umum Sarawak sebelum dibawa ke Kampung Pendam Ulu Sadong untuk dikebumikan.
Insiden menyayat hati ini turut membuka mata masyarakat terhadap bahaya jangkitan Influenza A H1N1, khususnya dalam kalangan kanak-kanak yang mempunyai sistem imunisasi lemah.
Setakat ini, dilaporkan sebanyak enam sekolah di Sarawak telah mempunyai rekod jangkitan Influenza A, termasuk jenis H1N1. Pihak berkuasa kesihatan negeri sedang memantau situasi bagi mengelakkan penyebaran lebih meluas.
Orang ramai dinasihatkan agar mengambil langkah pencegahan seperti menjaga kebersihan tangan, memakai pelitup muka apabila bergejala, dan segera mendapatkan rawatan sekiranya mengalami simptom demam tinggi atau batuk berterusan yang mungkin berkait dengan Influenza A H1N1.
Sumber: Ujan Panas
Artikel lain: Bayi Perempuan Hidap Penyakit Genetik Jarang Jumpa Perlukan RM85,400 Untuk Rawatan
Nak macam-macam info? Klik channel Telegram KELUARGA atau join keluargagader club
Dapatkan perkongsian lebih menarik dari Tik Tok Keluarga @keluarga.my