Tentunya sesiapa pun boleh panik jika duit di dalam bank tiba-tiba menyusut di sebabkan berlakunya transaksi luar biasa. Kejadian ini berlaku pada beberapa pelanggan bank di tanah air dan laporan insiden tersebut telah dikongsikan di portal Malaysia Kini.
Memetik berita tersebut, dikatakan ada beberapa orang pelanggan Maybank mengalami insiden pelik minggu lepas apabila kad bank mereka dikenakan caj dalam beberapa siri transaksi, yang didakwa tidak mendapat kebenaran, menyebabkan mereka percaya butiran kad itu telah dikompromi.
Pelanggan Maybak Dakwa Duit Dalam Bank Hilang
Insiden itu menyaksikan sejumlah kecil wang ditolak daripada akaun bank mereka melalui pelbagai transaksi.
Malaysiakini mendapati sekurang-kurangnya lima kes setakat ini, termasuk mereka yang menceritakan pengalaman secara terus kepada portal berita ini.
Bagaimanapun dipercayai jumlah pelanggan yang menghadapi masalah serupa mungkin lebih ramai.
Salah seorang mangsa yang bercakap kepada Malaysiakini dengan syarat tidak mahu namanya disiarkan berkata, dia hanya menyedari transaksi luar biasa berlaku apabila menyemak akaun banknya pada 23 Okt lalu.
“Saya menyedari kad debit Maybank saya telah dicaj melebihi RM70, dibayar ke akaun lain dalam 19 transaksi debit jualan berasingan. Setiap transaksi sebanyak RM3.90 dicaj ke kad saya.
“Saya segera menghubungi talian penipuan dan diberitahu bahawa semua transaksi telah dibayar untuk membeli akses kepada beberapa permainan dalam talian. Saya meminta pihak bank membatalkan kad saya serta-merta dan menghantar e-mel laporan pertikaian kepada Maybank,” kata mangsa.
Dia membuat laporan polis selepas itu dan Maybank bersetuju untuk memberikannya kad baru, tambahnya.
“Pegawai penyiasat polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Komersial menghubungi saya. Dia cakap kes macam ni perkara biasa, dan polis pun tak boleh buat apa-apa.
“(Pegawai itu kata) dalam apa jua keadaan, wang itu biasanya akan dikembalikan selepas unit penipuan bank selesaikan siasatan, tapi ini akan ambil masa,” kata mangsa.
Seorang lagi pemegang akaun Maybank berkata dia mengetahui ada ramai lagi pengguna yang menghadapi pengalaman serupa pada hujung minggu.
“Teknologi seperti ini sepatutnya menjadikan hidup kita lebih mudah, tetapi entah bagaimana ia jadi sebaliknya,” katanya.
Mangsa berkata, bank hanya memberitahunya perkara itu sedang dalam siasatan dan dia masih belum mendapatkan wangnya semula sehingga kini.
Mangsa kedua yang juga enggan dikenali berkata dia segera menghubungi Maybank selepas rentetan pemberitahuan transaksi pelik muncul pada telefonnya pada 19 Okt.
“Saya sedang menonton televisyen di rumah apabila notifikasi mula masuk ke telefon saya. Potongan itu berlaku setiap saat sehingga akaun saya telah dikurangkan kepada RM1.
Photo by Warren Wong on Unsplash
“Apabila saya melihat pemberitahuan itu, saya terus menghubungi talian penipuan bank,” katanya kepada Malaysiakini.
Katanya lagi transaksi itu masih berlaku apabila dia mengadu kepada Maybank.
“Saya rasa terdapat kira-kira lima hingga tujuh soalan untuk mengesahkan identiti saya dan pada masa pengesahan selesai, akaun saya telah dipadamkan,” katanya.
Mangsa kedua pula mendakwa dia jarang menggunakan kad debitnya dan sentiasa disimpan di tempat selamat.
Dia juga tidak pernah menggunakan kad itu untuk mana-mana perkhidmatan dalam talian.
“Inilah sebabnya saya hairan bagaimana penjenayah boleh mendapatkan nombor kad dan butiran saya,” katanya.
Dia membuat laporan polis dan aduan kepada Bank Negara. Maybank akhirnya mengkreditkan semula wang itu ke akaunnya semalam.
Dia berkongsi pengalamannya di media sosial mengenai kejadian itu dan apa yang mengejutkannya, beberapa kenalannya juga menghadapi masalah yang sama.
Ads
Mangsa kedua meluahkan kekecewaannya terhadap cara Maybank mengendalikan isu itu dan mengatakan adalah tidak bertanggungjawab apabila bank itu tidak memberitahu pelanggan mengenai perkara itu.
“Mereka patut sekurang-kurangnya beritahu pelanggan bahawa ini sedang berlaku atau sekurang-kurangnya beri amaran kepada orang ramai agar melihat had transaksi dan menghentikannya.
“Saya rasa ia sangat tidak bertanggungjawab di pihak Maybank dan mungkin lebih ramai orang terkena.
“Sekurang-kurangnya yang boleh mereka lakukan ialah beri amaran kepada pelanggan,” katanya.
Kesemua kes yang ditemui oleh Malaysiakini melibatkan caj yang dibuat kepada merchant Google Scott Wolf.
Maybank nafi isu keselamatan
Dalam respons kepada Malaysiakini, Maybank mendakwa bank itu tidak menghadapi sebarang isu keselamatan.
Sebaliknya, pihak bank itu berkata kes berkenaan melibatkan urus niaga e-dagang tanpa kebenaran menggunakan butiran kad pelanggan, dan meminta agar pelanggan berhati-hati menjaga butiran kad mereka.
Photo by rupixen.com on Unsplash
“Bank ini ingin menyatakan bahawa tiada isu keselamatan yang terjejas berkaitan kad kredit/debit kami.
“Pelanggan dinasihatkan untuk menjaga butiran kad mereka dengan berhati-hati pada setiap masa untuk mengelakkan penggunaan tanpa kebenaran oleh pihak ketiga,” kata Maybank dalam e-mel melalui Jabatan Komunikasinya.
Bank itu juga menggesa pemegang kad yang mengesan transaksi luar biasa untuk segera menghubungi talian khidmat pelanggan Maybank di 1300-88-6688 atau merujuk kepada nombor di belakang kad mereka untuk membuat aduan.
“Ini akan membolehkan bank untuk segera menangani sebarang transaksi yang mencurigakan dan mengatur pembayaran balik yang perlu jika pemegang kad telah menjadi mangsa kepada sebarang aktiviti penipuan atau tanpa kebenaran.
“Dalam kes di mana urus niaga tanpa kebenaran itu berlaku tanpa kebenaran pemegang kad, mereka boleh mempertikaikan urus niaga itu dan bayaran balik akan dibuat jika urus niaga itu didapati tidak dibenarkan setelah disiasat,” katanya.
Ketika ditanya berapa banyak aduan serupa yang diterima daripada pelanggan setakat ini, jurucakap Maybank berkata mereka tidak melihat sebarang peningkatan dalam kes penipuan kad yang dilaporkan oleh pelanggan.
Bank Negara beri jaminan isu akan ditangani
Bank Negara memberi jaminan kepada orang ramai bahawa semua bank berlesen dikehendaki menggunakan sistem kawalan dan perlindungan yang sewajarnya untuk memastikan keselamatan operasi perbankan.
Ads
“Sehubungan itu, Bank Negara akan memastikan insiden ini ditangani dengan segera dan saksama,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mekanisme yang diperlukan oleh bank termasuk pengesahan untuk semua transaksi dan pengeluaran, katanya.
Bank pusat itu menambah ia mungkin mengambil tindakan penyeliaan dan penguatkuasaan tambahan dan berkata orang ramai boleh menghubungi Telelink BNM untuk maklumat dan bantuan di talian 1300-88-5465 pada waktu bekerja pada hari bekerja.
Orang ramai juga boleh mengemukakan pertanyaan atau aduan secara dalam talian atau mendapatkan rundingan secara bersemuka mulai 1 Nov di pejabat BNMLink di Jalan Dato Onn, Kuala Lumpur dengan membuat tempahan temu janji menggunakan pautan yang sama.
Selain itu anda juga boleh lakukan apa yang disarankan oleh Peguam Messrs. Azimah & Co di media sosial yang boleh dijadikan panduan untuk semua jika berdepan dengan masalah duit hilang di dalam akaun.
Ini perkongsiannya.
BUNTU DUIT HILANG DALAM AKAUN BANK ANDA? INI LANGKAH YANG ANDA BOLEH LAKUKAN..
1) HUBUNGI TALIAN HOTLINE BANK ANDA UNTUK
MEMBUAT SEKATAN KE ATAS AKAUN ANDA.
– maklumkan kepada pihak bank anda mengesyaki
pihak lain melakukan transaksi tanpa kebenaran anda.
2) KUMPUL BUKTI
i – Mesej pengeluaran/pemindahan yang diterima
daripada pihak bank ke telefon anda.
ii – Screenshot online transaction daripada website bank
anda (sekiranya anda mempunyai akaun utk online
transaction.). Jika tidak, boleh minta salinan transaksi
di kaunter bank.
2) REPOT POLIS
– Buat report polis di balai polis berhampiran mengenai
pengeluaran/ pemindahan duit yang berlaku.
3) PERGI KE CAWANGAN BANK TEMPAT ANDA BUKA AKAUN
i – Namun sekiranya jauh dari tempat anda berada
sekarang, anda boleh pergi ke mana-mana cawangan
bank berdekatan. Bawa segala dokumen yang
berkaitan termasuk repot polis.
ii – Maklumkan kepada pihak mereka kejadian yang
berlaku. (Pihak bank akan memaklumkan tempoh
masa untuk mereka melakukan siasatan).
iii – Ambil nombor telefon pegawai bank yang berurusan
dengan anda.
4) ANDA BOLEH TUNGGU SEHINGGA DIHUBUNGI OLEH PIHAK BANK.
ATAU
5) JIKA TIDAK MAHU MENUNGGU LAMA, ANDA BOLEH MENGHANTAR LETTER OF DEMAND (LOD) KEPADA PIHAK BANK
i – Lantik peguam untuk menyediakan LOD bagi
mendapatkan penjelasan tentang transaksi yang
berlaku tanpa pengetahuan anda.
ii – Peguam akan request pihak bank untuk melakukan
siasatan dalam tempoh yang diberikan.
6) Sekiranya penjelasan yang di berikan oleh pihak bank tidak memuaskan, atau anda mendapati wujud faktor kelalaian, atau kemungkinan data privasi anda dicerobohi, anda boleh mengambil tindakan lanjut dengan MEMFAILKAN SAMAN.
Kos untuk menyediakan LOD tidak seperti kos memfailkan saman. Ia jauh lebuh murah dan merupakan langkah yang cepat jika anda ingin mendesak bank meneliti apa yang berlaku pada akaun bank anda dengan kadar segera. Namun perlu diingat, langkah ini hanyalah membantu mempercepatkan proses siasatan. Ini bukanlah suatu jaminan bahawa duit anda akan dipulangkan!
Setelah maklum balas diperolehi dari pihak bank, sekiranya anda masih tidak berpuas hati dengan jawapan yang diberikan pihak bank, anda boleh mendapatkan nasihat daripada peguam anda untuk langkah seterusnya.
Hati mana yang tak pilu, jiwa mana yang tak galau, buat pertama kalinya sambutan ramadan tanpa insan tersayang di sisi cukup dirasai oleh isteri Arwah Abam Bocey. Dalam satu perkongsian di laman instagram milik arwah, Nur Hidayah meluahkan isi hatinya.
“Tahun lepas puasa balik Sabak Bernam, mesti pergi bazar Ramadan beli juadah berbuka bersama arwah abang. Beli murtabak, ayam panggang, ayam golek dan macam-macam lagi.’
“Adik-beradik pun semua balik berkumpul berbuka sama-sama. Ramadan tahun ni terasa sangat berpuasa tanpa arwah abang di sisi sayang. Semoga abang tenang di sana,” luahnya.
Dalam posting tersebut, Hidayah berkongsi sebuah video kenangan yang memaparkan arwah Abam dan ahli keluarga yang lain pulang daripada bazar membeli juadah.
“Kenangan kekal abadi hingga ke syurga. Al-Fatihah untuk Allahyarham suamiku sayang. Syed Umar Mokhtar,” tulisnya dengan nada sayu.
Video yang memaparkan kenangannya bersama arwah Abam di bulan Ramadan itu mencatatkan lebih 145,000 tontonan di Instagram miliknya.
Perkongsian Hidayah itu kemudian menerima pelbagai respons. Rata-rata memintanya supaya kuat semangat dan tabah dengan dugaan tersebut
zazazilAl-Fatihah…semoga Dayah sabar dan kuat semangat.. saya juga merasa apa yg Dayah rasa.. kehilangan suami yg tersayang.. Ramadhan dan Syawal tanpanya.. sama-samalah kita berdoa moga roh arwah dicucuri rahmatnya…amin…
Tahniah kepada anak yang berjaya dengan keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan UPSR baru-baru ini. Bagi yang sebaliknya usah rasa kecewa dan rendah diri. Masih jauh lagi perjalanan anak-anak. Sebagaimana nukilan Cikgu Mohd Fadli Salleh yang menyatakan bahawa kegagalan bukan penentu masa depan anak-anak. Moga menjadi inspirasi buat ibu bapa supaya sentiasa memberi kata-kata semangat kepada anak tersayang.
Ini pula sebahagian murid kelas 6 Arif. Kelas paling hujung. Kelas paling perlahan. Aku juga ajar kelas ini.
Setiap kali peperiksaan, pentadbir akan tanya aku sambil lihat slip keputusan mereka,
“Cikgu Fadli, agak-agak berapa orang murid 6 Arif boleh lulus Matematik tahun ni?”
Aku meneliti keputusan mereka. Exam sebenar kurang dua bulan pun markah mereka majoriti bawah 10%.
“Puan. Saya cuba target untuk dua orang ni lulus. Markah mereka 13% dan seorang lagi 15% ni. Kalau drill betul-betul, boleh pergi kot,” balas aku yakin tak yakin.
Ye lah, masa suntuk sangat dah. Kemampuan murid aku, aku tahu lah. Namun aku tak putus asa.
Aku masuk ke kelas mereka, aku cakap kat mereka,
“Cikgu tahu awak semua perlahan dalam pelajaran. Awak pun sedar awak jawab periksa pun main hentam.
Tapi tadi cikgu pergi jumpa Guru Besar. Cikgu cakap kat dia awak semua rajin belajar. Awak semua mampu buktikan sesuatu.
Cikgu cakap, semua murid kelas ni nak lulus dalam Matematik. Nak ke tak nak?”
“Nakk, cikgu!”
“Tak dengar! Jawab biar sampai dengar kat pondok jaga sana. Nak ke tak nakkkk?”
“Nakkkkk, cikguuuuu!!!”
Bergema laungan murid-murid ini. Semangat betul.
Dan ya, macam kau orang maklum, semangat mereka macam tahi. Panas sekejap je. Lepas tu main tak ingat dunia. Haha.
Nak belajar ke paksa. Kena smackdown, kena kejar, kena marah. Baru buat.
Aku tidak menaruh harapan tinggi pada mereka. Selain cuba memberi faham, aku cuba merapatkan diri dengan mereka.
Selami dunia mereka, berkawan dengan mereka. Agar mereka tahu, aku bukan sekadar guru yang hanya tahu marah-marah.
Agar mereka sedar bukan semua guru harus ditakuti. Aku ajar mereka sikap. Aku ajar mereka adab. Aku ajar mereka realiti kehidupan. Aku mendekati mereka sebagai seorang guru dan kawan.
Pernah suatu hari, aku terdengar salah seorang dari mereka berkata kat kawan mereka,
“Kau ni tak patut betul lah. Kesian Cikgu Fadli. Dia buat kelas tambahan kau tak datang pun. Kau dah la bodoh, datanglah kelas. Asyik main basikal saja.”
“Ah, kau pun bodoh juga.”
“Aku tahu lah aku bodoh, tapi aku datang kelas tambahan.”
Lepas tu aku masuk dan sergah,
“Apa hal main gelar orang bodoh ni?”
Terkejut mereka tiba-tiba aku masuk dari pintu belakang. Kemudian aku bercerita tentang kisah hidup kawan-kawan aku dan tokoh yang dulunya tak pandai akhirnya menjadi orang yang berjaya.
Khusyuk mereka keliling aku, siap ada yang picit bahu picit lengan lagi waktu aku bercerita.
Lepas aku cerita, mereka nampak bersemangat sungguh. Bermotivasi nak belajar rajin-rajin. Tapi macam biasa, macam tahi juga. Hangatnya sementara. Hahaha.
Tak apalah. Mungkin kali ini mereka belum berjaya. Masa depan siapa tahu. Dan walau berapa results mereka pun, aku sentiasa berbangga dan dengan megah akan berkata,
“Ini anak-anak murid yang aku ajar.”
Lihatlah mereka. Lihatlah kami. Menikmati moment persekolahan diluar dari kebiasaan orang lain. Kami nikmati cara kami, kami belajar cara kami, kami enjoy cara kami, dan kami bersemangat macam tahi. Haha.
27 orang semuanya murid kelas ini. Disaat hendak meluluskan seorang dua pun menjadi misi mustahil, ye lah. Apa logik akal peperiksaan percubaan markah 8% pun nak target lulus?
Hari ini 7 orang dari mereka LULUS Matematik UPSR 2018!
Allahu, rasa nak sujud syukur weh.
Dan buat 20 orang lagi ‘kawan-kawan’ cikgu yang belum lulus, teruskan usaha. Cikgu sentiasa menyokong kalian. Cikgu sentiasa bangga pernah mendidik kalian.
Namanya tidak pernah tercicir dari senarai 10 pelajar terbaik di sekolah. Usaha gigihnya yang sentiasa mengulang kaji pelajaran dan tidak suka membuang masa antara faktor yang membolehkan dia mencapai kejayaan cemerlang dalam UPSR tahun lepas.
Muhammad Zaki Mahdi bin Chamam, muncul sebagai anak Melayu pertama yang memperoleh 8A di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SRJKC).
“Zaki merupakan seorang yang sensitif dan boleh dikatakan manja. Selagi kerja rumah atau hasrat dia tidak saya turut selagi itu dia tidak akan berhenti berusaha. Dalam erti kata lain dia seorang yang konsisten dan tahu apa yang dia nak.
Dia juga lebih suka habiskan masa dengan membaca buku cerita pada waktu lapang. Sekiranya kami ke Ampang Point, kedai buku Popular sudah menjadi keutamaan untuk dia singgah. Selain itu, di rumah dia ada jadual belajar sendiri yang memang dia akan ikut sepenuhnya.
“Malah, dia rajin buat peta minda dengan pen warna-warni. Zaki juga gemar membaca buku cerita. Untuk memperbaiki bahasa Mandarin saya bawa dia ke kedai buku Popular dan belikan buku cerita yang dia pilih sendiri. Setiap buku cerita yang dibeli pasti Zaki akan meminta saya balut terlebih dahulu.
“Seminggu 3 kali mereka akan ikuti kelas bimbingan untuk mata pelajaran UPSR. Saya menyediakan mereka dengan pelbagai jenis kamus sebagai bahan rujukan. Saya juga beli kan buku latih tubi sebagai persediaan dan saya akan tetapkan masa seperti peperiksaan sebenar agar mereka terbiasa untuk menyiapkan soalan dalam masa yang ditetapkan. Selain dari itu saya juga menyediakan whiteboard untuk mereka gunakan sebagai alat bantuan agar dapat ajar satu sama lain,”jelas Nurhidayu ibu kepada si kembar Muhammad Aqil Mahdi dan Muhammad Zaki Mahdi ketika ditemu bual oleh Majalah Keluarga baru-baru ini.
Kembar tidak bermakna minat dan pemikiran sama. Namun satu kelebihannya mereka punya hati dan perasaan yang sama. Saling menyayangi dan tidak wujud perasaan iri hati jauh sekali cemburu biarpun salah seorang daripada mereka lebih berjaya.
“Waktu mengambil keputusan UPSR baru-baru ini, saya dari awal sudah tahu keputusan mereka kerana menerima melalui SMS. Sebagai ibu, saya rasa gembira dan terharu sehingga menitis air mata. Cuma saya kena bijak main peranan supaya tidak ada yang terasa hati. Walaupun abang tidak mendapat A dalam Bahasa Mandarin, tetapi dia seolah olah dapat menjangka yang adiknya pasti mendapat keputusan lebih baik dan dia turut rasa bangga atas pencapaian adiknya. Keputusan Zaki mendapat 8A’s juga semuanya atas izin Allah SWT. Saya selalu mengingatkan Aqil dan Zaki, UPSR hanya permulaan, mereka perlu tempuh ujian yang lebih besar lagi selepas ini. Justeru, sebagai ibu, saya sentiasa mendoakan anak-anak saya akan mendapat keputusan yang cemerlang juga di PT3 dan SPM.
“Bab layanan tidak timbul soal berat sebelah kerana sejak dahulu lagi saya berusaha sedaya upaya untuk memberi layanan sama rata baik abang mahupun adik. Soal gaduh itu perkara biasa nama pun adik- beradik kan. Oleh kerana mereka belajar di SJKC, setiap Sabtu dan Ahad pagi mereka akan belajar agama dan mengaji Al-Quran di Azraq Center. Selepas itu kami akan melakukan aktiviti bersama seperti bermain badminton di Sport Planet, roller blade di Taman Cabaran Putrajaya, berenang di rumah. Aktiviti seperti ini setiap minggu saya akan ganti-ganti agar mereka tidak bosan.
“Pada hujung minggu juga saya akan bawa Aqil Zaki untuk berjumpa atok dan nyang mereka di Kota Warisan Sepang. Bila di rumah atok pasti Tok Wan akan masakan kari ayam lauk kegemaran Aqil Zaki. Di sana mereka juga akan meluangkan masa bermain bersama sepupu,” ujar Nurhidayu Kamaludin sambil memberitahu anaknya gemar makan bijirin dengan susu sebelum pergi sekolah dan setiap hujung minggu dia akan bawa anak-anak ke bakery untuk memilih roti kegemaran mereka sebagai bekal sekolah.
Memegang jawatan sebagai Regional Sales Manager, GeoTeric di salah sebuah syarikat oil & gas services, Nurhidayu bagaimanapun tidak mahu kerjaya menyebabkan masanya dengan anak-anak terbatas. Bahkan, setiap kali menjelang peperiksaan baik dia mahupun suami, Chamam Zulkarnen yang bertugas sebagai Freelance Konsultant Geophysicist sentiasa menadah telinga dan membuka mata untuk anak-anak andai diperlukan.
“Satu yang penting apabila menghantar anak-anak ke sekolah jenis kebangsaan adalah menyediakan pelbagai kamus supaya mereka dapat banyak manfaat daripadanya. Saya dan suami tiada pengetahuan dengan Bahasa Mandarin, jadi kami kena banyak guna kamus untuk membantu mereka. Sebab itu saya belikan pelbagai kamus kerana dapat memahami banyak perkataan baru.
“Dua minggu sebelum UPSR, ibu saya iaitu nenek kepada Aqil dan Zaki yang telah pun bersara merupakan seorang guru bahasa Melayu, turut membantu mereka mengulang kaji dalam subjek bahasa Melayu. Sehari sebelum peperiksaan, saya mengingatkan mereka untuk menelefon nenek dan atok agar mendoakan kejayaan buat mereka.
“Ketika hari peperiksaan UPSR saya memberi mereka motivasi dengan menghantar mereka ke sekolah dan teman mereka ulang kaji di dewan sekolah sehingga lah loceng berbunyi. Saya cuma berpesan, lakukan yang terbaik dan berserah pada Allah. Sekiranya panik ingat pada Allah dan berdoa lah.
“Kami tidak pernah bertanya bagaimana kertas soalan peperiksaan pada hari tersebut sehingga lah semua kertas UPSR telah selesai sepenuhnya. Yang sudah selesai tidak perlu dibicarakan. Fokus pada kertas yang seterusnya,” ujar Nurhidayu lagi sambil memberitahu anak-anaknya juga seperti kanak-kanak lain yang berminat main game dan mereka hanya boleh berbuat demikian pada hujung minggu selepas selesai kerja sekolah dan membasuh kasut.
Ditanya mengenai pemakanan untuk anak-anaknya, akui Nurhidayu selain bijirin dan susu, menu sayur antara yang wajib ada di meja makan baik siang mahupun malam.
“Sejak dari kecil mereka suka makan sayur. Sayur kegemaran mereka seperti bayam, kacang panjang, sawi dan kangkung. Susu pula minuman pilihan selepas makan malam dan sarapan mereka. Setiap minggu saya akan masak tempe dan tauhu goreng buat mereka. Selain dari itu Zaki juga suka sangat makan telur mata separuh masak. Alhamdulillah mereka pengemar sayur tetapi kurang gemar makan daging dan tidak makan seafood. Nasi goreng cina dan nasi goreng telur menjadi pilihan bila makan di luar.
“Saya jadikan waktu makan dan hujung minggu sebagai waktu bersama-sama keluarga. Oleh itu pada waktu makan malam saya akan sentiasa bertanya kegiatan dan kejadian yang berlaku seharian di sekolah. Masakan spegetti bolognise yang saya masak merupakan makanan kegemaran Zaki. Oleh itu hujung minggu saya akan hidangkan untuk mereka.
“Buah yang mereka makan hanya Buah Naga yang berwarna merah. Buah ni dari kecil mereka makan sampai lah sekarang. Kalau buah lain mereka akan makan kalau dipaksa. Kalau bab makan mereka banyak persamaan tetapi hobi sedikit berbeza, Aqil suka membaca komik dan aktiviti lasak manakala Zaki pula suka membaca buku terutama novel selain melukis.
Ditanya sama ada akan terus belajar di SJKC selepas ini, Zaki hanya menggelengkan kepala kerana dia kini sudah ada impian lain iaitu ingin menyambung pengajian di Sekolah Aminuddin Baki bersama abangnya, Aqil jika ada rezeki dan terpilih.
“Sebagai ibu, saya tidak akan memaksa mereka untuk sambung belajar di sekolah menengah cina. Saya akur dengan pilihan mereka untuk tidak sambung belajar di sekolah menengah cina. Saya sendiri telah melihat bagaimana mereka luangkan masa mengulangkaji dan cuba memahami mata pelajaran yang tidak mampu saya ajar sendiri.
“Saya cuma boleh support mereka dengan membayar kelas tambahan. Kami hanya dapat mengajar mereka subjek Bahasa Melayu dan English sahaja. Matematik dan Sains semua nya dalam bahasa Mandarin.
‘Satu lagi, saya dan suami elakkan gajet pada anak-anak. Cuma apabila mereka capai kejayaan dalam UPSR jadi saya belikan hadiah telefon kerana itu yang mereka inginkan. Cuma jika mereka mahu belajar bahasa Mandarin, saya berikan telefon saya kerana ada apps di dalamnya yang boleh membantu mereka. Malah, kami tahu siapa kawan mereka dan dengan siapa mereka bergaul. Saya suka mereka bawa kawan ke rumah, saya akan memasak dan mereka akan makan bersama.
“Alhamdullillah mereka hargai pengorbanan yang kami lalukan buat mereka. Terima kasih Zaki dan Aqil telah berusaha dan juga membuktikan di mana ada kemahuan di situ ada jalan. Saya berpesan kepada mereka agar lakukan yang terbaik untuk PT3 dan SPM agar terus mengharumkan nama bangsa Melayu,”ujar Nurhidayu lagi.
Tip belajar dari Zaki
Selepas balik sekolah pastikan di rumah luangkan masa untuk membaca buku dan buat ulang kaji sambil menyiapkan kerja sekolah.
Buat nota ketika cikgu tengah ajar agar boleh baca pada minggu peperiksaan.
Kalau tidak faham terus bertanya pada guru atau kawan supaya tidak ketinggalan.
Banyakkan buat latihan.
Banyakkan membaca kamus berbeza-beza dalam dwi bahasa untuk mendapat pengetahuan dan perkataan baru.
Buat peta minda dan nota kaki untuk lebih mudah memahami.
Sumber: Majalah Keluarga Jan-Feb 2018
Mencari bahagia bersama KELUARGA?
Download dan baca sekarang di