Pantang ada drama menarik, pasti akan tular! Baru-baru ini media sosial kecoh dengan satu drama, iaitu ‘Risik Pada Hati’ di satu stesen televisyen yang sudah tamat dramanya dengan penamat yang cukup realistik dan tidak klise.

Pengakhiran drama tersebut, selepas berundur diri dari dicerai dan nekad untuk tidak rujuk semula dengan Adam, rupanya Hayfa dedahkan dirinya sedang mengandung zuriat sulung yang selama ini dinanti-nantikan.

Walaupun sekadar rekaan dalam drama, namun orang ramai jangan pandang enteng mesej dan tauladan yang disampaikan menerusi sesebuah drama itu. Misalnya seperti yang diselitkan dalam drama ini bagaimana amarah suami isteri boleh membuatkan rumah tangga berakhir sia-sia jika ia tidak dikawal dengan baik.

Perkara ini dijelaskan oleh seorang pengguna Facebook iaitu Dr Syahr Musafir berkongsikan sudut pandangan mengenai situasi itu. Dapat disaksikan di sini, Adam dan Hayfa membuat keputusan melulu dalam keadaan marah sebelum kedua-duanya menyesal. Sepatutnya apabila pasangan anda sedang dikuasai emosi, salah seorang haruslah menjadi ‘air’ supaya pertengkaran itu tidak bertambah buruk.

Jom ikuti perkongsiannya!

_________________________________________________________________________

Ramaiiiiii sangat yang share pasal lakonan selebriti Ummi Nazeera yang cukup hebat sebagai Hayfa, lebih-lebih lagi hari ini episod akhir. Selepas anak-anak sudah masuk tidur malam ni tadi, saya pun tengoklah kejap babak Hayfa marah dan meluahkan rasa, akhirnya terlafazlah perkataan cerai daripada mulut suaminya, Adam, yang dilakonkan oleh selebriti Alif Satar.

“Let me go..” cabar Hayfa.

IKLAN

Apa Adam jawab? Adam kata, “Nak sangat, kan?”

Barulah lafaz cerai tu keluar daripada Adam. Ini babak yang paling menangkap perhatian saya. Lakonan yang sangat real oleh Alif Satar, Ummi Nazeera dan tak dilupakan Zara Zya sebagai watak Aisyah.

Saya takkan komen langsung pasal seluruh drama ni sebab saya tak menonton dari awal. Saya faham pasti ada pelbagai kesedihan yang dilalui Hayfa sehingga Hayfa mencabar Adam untuk menceraikannya. Saya tak nak nafikan apa-apa pun pasal ni.

Isteri Jangan Mudah Cabar Suami, Suami Jangan Mudah Sahut cabaran!

Cuma bagi saya, kesilapan besar seorang isteri adalah bermudah-mudah mencabar suami menceraikannya pada saat perasaan marah menguasai diri dan emosi sedang pecah berderai. Ketika ini bara sedang menyala dan api sedang marak.

IKLAN

Kesilapan besar seorang suami pula adalah menyahut cabaran si isteri yang sedang amarah itu dengan melakukan apa yang si isteri pinta dalam kemarahan. Ketika ini api marak itu dicurahkan minyak tanah.

Ambillah pengajaran, bara sedang menyala dan api sedang marak tak boleh disuakan dengan minyak tanah.

Ketika isteri marah, suami tak boleh tambahkan kemarahan. Ketika suami marah, isteri tak boleh tambahkan kemarahan.

Tak kisahlah situasi apa, sebab apa, sudah lama tanggung atau apa saja.

Kalau sama-sama ‘jadi api’ akhirnya akan jadi sebagaimana macam Adam dan Hayfa, berlaku pertambahan kemarahan yang menyebabkan lafaz cerai. Selepas tu air mata bercucuran.

“Orang yang kuat adalah orang yang dapat menahan marah…”

IKLAN

Sebagai manusia biasa, pertengkaran antara pasangan suami isteri adalah normal, terutamanya ketika fasa awal pernikahan. Dan tak pelik pun apabila isteri berkata berkata seolah ‘Jika tak suka saya, lepaskan saya’ ketika dirinya sedang marah.

Apa suami kena buat? Bagi saya cukuplah suami diam.

Nak peluk? Bagi saya, tak perlu atau bergantung kepada keadaan. Ketika isteri marah, ibaratnya macam kita si kancil nak peluk sang singa. Mana boleh nak peluk.

Tetapi kena faham, api sedang marak jadi si suami tak boleh jadi bara atau minyak yang akan menambahkan kemarakan api tu.

“Orang yang kuat adalah orang yang dapat menahan marah…” Bukan saya pesan tetapi Rasulullah pesan.

Selepas nikah, biasanya lelaki mulai faham hakikat wanita diciptakan dengan fitrah mudah berkata-kata mencabar untuk diceraikan dan seumpamanya, dan suami kena kuat, sabar dan rasional. Banyak hikmahnya kuasa talak dan cerai diletakkan pada suami, bukan isteri.
Tetapi isteri hilang kelembutan apabila bermudah-mudah mencabar suami menceraikannya dan suami hilang kejantanan apabila menceraikan atas dasar mengikut emosi.

Ini sekadar pandangan saya saja, Tuan-Puan yang tak setuju tak perlu bersetuju dengan saya. Muhasabah diri kita. Isteri, jangan bermudah mencabar. Suami, jangan terikut rasa tercabar tu. Masing-masing risik pada hati sendiri, sesuai dengan tajuknya.

#RisikPadaHati FB Syahr Musafir Rabu 03/08/2022

Sumber : Syahr Musafir 

Mencari bahagia bersama KELUARGA?
Download dan baca sekarang di seeNI.

KLIK DI SEENI