
Niat seorang abang untuk mengambil adik pulang dari sekolah bertukar tragedi apabila motosikal yang dinaiki tiga beradik terbabas di Kampung Bechah Tendong, Pasir Mas, Kelantan.
Kemalangan Pasir Mas itu meragut nyawa Muhammad Saiful Haider dan Muhammad Saiful Hayyan, manakala abang sulung mereka, Muhammad Saiful Haikal, 18, mengalami kecederaan.
Kehilangan dua permata hati serentak itu cukup meruntun jiwa bapa mereka, Saiful Nizam Abdul Sani, 42.
Siapa sangka, perjalanan pulang dari sekolah yang sepatutnya berakhir dengan kepulangan anak-anak ke pangkuan keluarga bertukar menjadi detik yang cukup menyedihkan buat pasangan suami isteri ini.

Kemalangan Pasir Mas: Adik Minta Ikut Abang Ambil Adik Di Sekolah
Menurut Saiful Nizam, sebelum kejadian, anak sulungnya mengambil Muhammad Saiful Hayyan di tadika terlebih dahulu sebelum pulang ke rumah.
“Ketika hendak keluar mengambil Muhammad Saiful Haider, adiknya turut meminta untuk mengikut bersama.
“Bagaimanapun, mereka bertiga terbabit kemalangan ketika dalam perjalanan pulang ke rumah di Kampung Bechah Tendong, kira-kira satu kilometer dari lokasi kejadian,” katanya.

Luluh Hati Bapa Lihat Dua Anak
Saiful Nizam menerima panggilan daripada isterinya, Nur Zuhanis Mohd Noor, 42, kira-kira jam 2 petang sebelum bergegas ke lokasi kejadian.
“Sebaik dimaklumkan kejadian itu, saya terus bergegas ke lokasi dan mendapati dua anak sudah terbaring berlumuran darah. Keadaan ketika itu amat menyedihkan,” luahnya.
Muhammad Saiful Haider meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala Muhammad Saiful Hayyan menghembuskan nafas terakhir ketika dalam perjalanan ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II).
Sementara itu, Muhammad Saiful Haikal sedang menerima rawatan di unit kecemasan hospital berkenaan.
Selalunya Ceria, Hayyan Lebih Banyak Mendiamkan Diri
Lebih meruntun hati, Saiful Nizam turut berkongsi perubahan tingkah laku Muhammad Saiful Hayyan yang disedari oleh guru tadikanya pada hari kejadian.
Menurutnya, anaknya yang sebelum ini dikenali sebagai seorang kanak-kanak ceria, aktif dan mudah berkawan dilihat lebih banyak mendiamkan diri berbanding kebiasaan.
Jenazah kedua-dua beradik itu dijadualkan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Gaung, Tendong, Pasir Mas selepas selesai bedah siasat.
Bukan mudah buat ibu dan ayah menerima kehilangan dua anak dalam sekelip mata, sementara seorang lagi masih menerima rawatan di hospital.
Semoga Allah SWT mengurniakan ketabahan buat pasangan suami isteri ini dalam menghadapi ujian yang cukup berat serta memberikan kesembuhan buat anak sulung mereka.
Salam takziah buat seluruh ahli keluarga. Al-Fatihah.
BACA LAGI : Kronologi Tragedi Kebakaran! Abang Dan Adik Autisme Terperangkap, Ibu Cedera Cuba Selamatkan Anak
Sumber: Harian Metro

