Kenapakah memakan sesetengah buah atau sayur boleh menyebabkan ‘angin’ dan ‘kembang urat’?

Jawapan umum untuk pertanyaan mengenai ‘angin’ dalam badan:

Sebenarnya jenis tumbuhan seperti nangka, sukun, tarap, kekacang (legumes) dan yang seangkatan dengannya… mengandungi bahan kimia dari kumpulan karbohidrat seperti raffinose, stachyose, verbascose… yang tidak boleh dicerna oleh tubuh manusia kerana kekurangan atau ketiadaan enzim alfa-galactoside. Dan keberadaan enzim ini adalah bergantung kepada genetik dan peningkatan usia. Maka, usahlah hairan jika dulu kita makan tiada masalah dan kini mudah terkesan.

Disebabkan ketiadaan enzim khusus, maka tugas pencernaan ini akan diambil alih oleh bakteria yang ada dalam usus besar kita melalui fermentasi. Semasa proses fermentasi, bakteria akan menghasilkan bahan kimia berbentuk gas seperti gas hidrogen dan metana. Gas ini kemudiannya akan dikeluarkan dari sistem usus besar sebagai kentut.

Sekiranya gas ini tidak dikeluarkan, ianya akan terus terkumpul/ terperangkap dalam usus yang juga dikenali dengan istilah ‘kembung perut’ atau orang kita bahasakan sebagai ‘angin’. Harus diingat ‘angin’ ini ialah ‘benda asing’ yang berada dalam badan. Maka badan akan seboleh mungkin untuk mengeluarkannya dengan mekanisma yang mampu menggangu keseimbangan proses kimia badan yang lain.

Ketidakseimbangan kimia badan ini akan menyebabkan kita berasa ‘kurang selesa’ atau ‘sakit’ pada bahagian tertentu. Keadaan inilah yang agaknya orang lama istilahkan dengan ‘kembang urat’.

Tujuannya adalah sebagai ‘signal’ untuk kita berbuat sesuatu atau badan akan beradaptasi untuk mengembalikan semula keseimbangan kimia (Self-healing). Bahagian mana yang terkesan dan bagaimana, adalah bergantung kepada tahap kesihatan sedia ada dan mekanisma yang ‘paling’ kurang mudarat kepada system badan.

Untuk mengembalikan keselesaan, ada yang pergi berurut. Ada yang ambil ubat tahan sakit, ada juga yang ambil ubat buang angin. Ada yang baik sendiri hasil daripada pemakanan yang mengandungi pelbagai bahan kimia semulajadi yang membantu menyeimbang punca sakit tadi.

Pun begitu, sesetengah orang tidak mengalami masalah ‘angin’ ini disebabkan mempunyai enzim alpha-galactoside yang cukup dan/ atau juga memiliki kepelbagaian jenis bakteria dalam usus yang boleh saling ‘meneutralkan’ gas yang dihasilkan.

Tips untuk sistem penghadaman yang baik:

1) Amalkan senaman yang bersesuaian untuk mengaktifkan sel-sel badan termasuklah dalam sistem penghadaman. Bakteria yang baik sukakan badan yang sihat untuk ditumpang (win win situation).

2) Kunyah makanan jenis ini lama-lama untuk mengecilkan saiz makanan. Air liur mungkin mengandungi enzim alpha-galactoside yang boleh membantu dalam proses penguraian bahan kimia karbohidrat ini dan mengurangkan fermentasi oleh bakteria dalam usus besar.

3) Jenis kekacang atau beras pulut boleh rendam dulu untuk memudahkan proses penghadaman, seterusnya mengurangkan fermentasi oleh bakteria.

4) Amalkan sayuran dalam diet pemakanan sebagai sumber serat (prebiotik) dan fitokimia yang bagus.

5) Kurangkan makanan terproses. Kurangkan pengambilan gula tersedia.

6) Boleh tambahkan makanan difermentasi yang mengandungi mikrob baik (sumber probiotik) seperti yoghurt, tempoyak, tapai… untuk mempelbagaikan flora bakteria dalam usus.

Sumber: Fatimah Salim

Mencari bahagia bersama KELUARGA?
Download dan baca sekarang di seeNI.

KLIK DI SEENI