Buat ibu bapa yang bakal menimang cahaya mata, pemilihan nama anak sememangnya antara momen paling bermakna. Ada yang sudah menyimpan nama pilihan sejak awal perkahwinan, ada juga yang mencari nama dengan maksud indah agar menjadi doa sepanjang hayat buat si kecil.
Namun dalam memilih nama anak, ibu bapa bukan sahaja perlu melihat kepada maksud dan keindahan sebutannya, tetapi juga perlu memastikan ejaan nama tersebut sesuai serta boleh didaftarkan secara rasmi dalam sijil kelahiran.
Terbaharu, ibu bapa tidak lagi dibenarkan menggunakan nama Mohd bagi pendaftaran nama anak. Sebaliknya, ejaan tersebut perlu ditulis secara penuh sebagai Mohamad, Muhamad atau Muhammad.
Perkara ini dimaklumkan oleh Jabatan Pendaftaran Negara Pulau Pinang (JPNPP) menerusi satu perkongsian di laman Threads. Menurut JPN, nama singkatan seperti Mohd sudah tidak digunakan lagi bagi pendaftaran nama anak-anak pada masa kini.
“Nama yang tiada dah pada anak-anak sekarang ialah Mohd. Nama tersebut perlu ditulis penuh Mohamad, Muhamad atau Muhammad,” jelas JPN.
Berdasarkan makluman tersebut, hanya tiga variasi ejaan berkaitan nama ini yang dibenarkan iaitu Mohamad, Muhamad atau Muhammad.
Nama Mohd Tidak Lagi Digunakan Untuk Pendaftaran Anak
Pengumuman itu nyata mencuri perhatian ramai, khususnya dalam kalangan mereka yang mempunyai singkatan Mohd pada kad pengenalan masing-masing. Ini kerana penggunaan nama Mohd sudah begitu sinonim dalam masyarakat Malaysia sejak sekian lama.
Ads
Tidak kurang juga yang menganggap langkah ini sebagai sesuatu yang baik kerana penggunaan ejaan penuh dilihat lebih kemas, jelas dan sesuai untuk dokumen rasmi.
“Saya generasi yang di IC bernama MOHD. Tapi memang lebih indah kalau ditulis penuh Muhammad,” kata seorang pengguna Threads.
Selain itu, seorang lagi pengguna turut berkongsi pandangan mengenai asal usul singkatan tersebut. Menurutnya, singkatan Mohd dikatakan wujud kerana berkait dengan singkatan nama Muhammad dalam tulisan Jawi.
“Fun fact: MOHD tu wujud sebab singkatan Muhammad dalam tulisan Jawi yakni mim ha mim dal. Jadi MOHD adalah bentuk hibrid rumi yang merujuk kepada ejaan jawi/arab bagi nama tersebut,” tulisnya.
Image via @jpnppofficial / Threads
Ramai Setuju Nama Penuh Lebih Sesuai Untuk Dokumen Rasmi
Perkongsian itu turut membuatkan ramai berasa nostalgia. Mana tidaknya, nama Mohd cukup biasa digunakan oleh generasi terdahulu dan masih banyak terdapat pada kad pengenalan rakyat Malaysia hari ini.
Dalam masa sama, ramai juga yang bersetuju sekiranya ejaan nama dalam dokumen rasmi diseragamkan. Bagi mereka, penggunaan nama penuh lebih memudahkan urusan harian, terutama apabila melibatkan pengisian borang, urusan persekolahan, perbankan, pasport, dokumen kerajaan dan pelbagai lagi urusan rasmi.
Ads
Kadangkala, singkatan nama boleh menimbulkan kekeliruan apabila perlu dijelaskan berulang kali sama ada ia perlu ditulis sebagai Mohd, Mohamed, Muhamad atau Muhammad. Justeru, penyeragaman ejaan ini dilihat dapat membantu mengurangkan kesilapan pada dokumen penting anak-anak pada masa hadapan.
Ada juga warganet yang mengambil kesempatan memberi pandangan agar garis panduan pemilihan nama anak terus diberi perhatian. Ini termasuklah nama-nama yang terlalu unik, terlalu panjang atau kurang sesuai digunakan sebagai nama rasmi.
View on Threads
Panduan Penting Pilih Nama Anak
Hakikatnya, nama bukan sekadar panggilan harian. Nama adalah identiti, doa dan amanah yang akan dibawa oleh anak sepanjang hayat.
Ads
Sebab itu, ibu bapa disarankan supaya memilih nama yang mempunyai maksud baik, mudah disebut, indah didengar dan sesuai digunakan dalam semua urusan rasmi.
Dalam keterujaan memilih nama anak, ibu bapa juga boleh membuat semakan terlebih dahulu dengan pihak JPN sekiranya tidak pasti sama ada nama pilihan boleh didaftarkan atau sebaliknya. Langkah ini penting agar proses pendaftaran kelahiran berjalan lancar dan tidak menimbulkan kesulitan di kemudian hari.
Bagi ibu bapa yang mahu membuat perubahan nama pada sijil kelahiran anak pula, perkara tersebut boleh dilakukan tertakluk kepada syarat-syarat yang ditetapkan oleh JPN.
Semoga perkongsian ini menjadi panduan buat ibu bapa yang sedang memilih nama terbaik untuk cahaya mata tersayang. Pilihlah nama yang indah, membawa maksud baik dan mudah digunakan oleh anak apabila mereka membesar kelak.
Intan Najuwa kongsi persiapan sambut baby girl,”I can’t wait to finally hold you in my arms.”Pelakon jelita Datin Intan Najuwa yang kini sedang hamil anak pertama kelihatannya ‘rancak’ membuat persiapan kedatangan anak sulungnya.
Intan Najuwa dan suami bakal bakal menimang cahaya mata perempuan. Tambah Intan lagi, dia dan suami tidak sabar untuk menimang cahaya mata malah banyak membeli barangan bayi bukan sahaja di dalam negara tetapi juga di luar negara.
Bahkan Intan juga turut mendapatkan pelbagai idea melalui Pinterest untuk memilih kelengkapan buat bayinya. Kebanyakan barang-barang bayinya selain dibeli di Malaysia turut dibeli dari London, Sepanyol.
Melalui perkongsian di laman Instagramnya, Intan berkongsi barang-barang bayi serta bilik untuk anak sulungnya yang bakal lahir tidak lama lagi.
JUST KEEPING IT HERE AS MEMORIES, SO ONE DAY SHE’LL SEE THE SMALL THINGS I DID FOR HER.
COUNTING DOWN THE DAYS UNTIL I SEE YOU, BABY GIRL, AND I CAN’T WAIT TO FINALLY HOLD YOU IN MY ARMS – TULIS INTAN DI RUANGAN KAPSYEN.
Umie Aida terbang RM1k, tak sengaja terseludup sebiji epal ke New Zealand. Gara-gara sebiji epal, pelakon terkenal Datin Seri Umie Aida ‘terbang’RM1,000. Bagaimanapun Umie tetap tenang menerima ujian tersebut ketika dikenakan denda oleh pihak Bahagian Biosekuriti New Zealand, sebaik tiba di Lapangan Terbang Auckland baru-baru ini.
Umie atau nama penuhnya, Umi Khalsum Rahmad Ali, 51, mengakui insiden itu berpunca daripada kelalaiannya sendiri, namun menganggap ia sebagai satu pengalaman yang sudah tertulis dalam hidupnya.
“Ini semua sudah ketentuan Allah. Sebenarnya saya memang tak bawa apa-apa makanan ke New Zealand sebab nak mudahkan urusan di imigresen.
“Tapi masa duduk di lounge MAS Airline, saya ambil sebiji epal untuk makan dalam penerbangan. Disebabkan terlalu penat, saya tertidur terus dan terlupa tentang epal tu,” jelas Umie dalam perkongsian video di Instagram miliknya.
PELAKON DAN PENERBIT ITU BERKATA, SEBAIK TIBA DI NEW ZEALAND, PIHAK BERKUASA MENGIMBAS BEG MILIKNYA DAN MENEMUI EPAL BERKENAAN, SEKALI GUS MENYEBABKAN DIA DIKENAKAN DENDA SEBANYAK NZD400, BERSAMAAN KIRA-KIRA RM1,024.
Difahamkan, Umie ke negara itu pada 1 Julai lalu bagi menjayakan penggambaran drama bersiri yang turut menampilkan barisan pelakon popular seperti Nora Danish, Datuk Remy Ishak dan Fattah Amin.
Dalam nada bergurau, rakan-rakan artis dan kru produksi turut mengusik Umie bahawa epal dari Malaysia ternyata luar biasa kerana ‘bernilai’ sehingga RM1,000 sebiji.
Malah, ruangan komen di media sosialnya turut dihujani pelbagai reaksi daripada pengikut yang berkongsi pengalaman serupa apabila tanpa sedar membawa barangan larangan ke negara tersebut.
“Ada juga geng kami bulan lepas kena denda sebab terbawa telur rebus, sama juga, terlupa,” kongsi seorang warga maya.
“Epal RM1,000, ini memang tragedi buah epal,” tulis seorang pengguna lain berseloroh.
Namun begitu, Umie berharap kejadian yang menimpanya boleh dijadikan pengajaran buat orang ramai supaya lebih berhati-hati apabila melancong ke luar negara, khususnya ke New Zealand yang sangat ketat dari segi kawalan biosekuriti.
Wanita 36 tahun meninggal dunia, doktor pakar tinggalkan pesakit lepas bersalin. Dua orang doktor dengan gabungan kepakaran lebih 60 tahun dalam bidang perbidanan termasuk pernah mengendalikan 8,500 kes bersalin, didapati bersalah atas kesalahan kecuaian perubatan selepas meninggalkan pesakit yang mengalami pendarahan kritikal dalam jagaan jururawat tidak berdaftar, hanya untuk keluar minum.
Mahkamah Tinggi Klang memutuskan Dr M Shanmugam dan Dr A Ravi bersama jururawat terdiri daripada Izaniey Nataliah Jukimin, Nur Aida Mat Isa serta Nessy Yasah, perlu membayar ganti rugi hampir RM6 juta kepada keluarga mendiang M Punita dalam kes kecuaian perubatan menyebabkan kematian mangsa ketika menerima rawatan.
Punita meninggal dunia beberapa jam selepas bersalin di Pusat Materniti dan Bersalin Shan milik Dr Shanmugam akibat pendarahan selepas bersalin (PPH) pada 9 Januari 2019.
Ketika prosiding, mahkamah diberitahu bahawa Punita yang melahirkan anak keduanya, mula mengalami pendarahan yang banyak selepas plasentanya dikeluarkan secara manual.
Walaupun memberi jaminan pesakit yang berusia 36 tahun itu stabil, Dr Ravi meninggalkan klinik dan meletakkan mendiang di bawah jagaan tiga jururawat tidak berdaftar yang ditugaskan memantau keadaan pesakit, walaupun tidak mempunyai kelayakan dan pendaftaran oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.
Dr Shanmugam juga dilihat keluar dari bilik bersalin dan meninggalkan mendiang dalam jagaan dan pengawasan tiga jururawat yang sama.
Apabila ibu Punitha memasuki bilik bersalin, dia mendapati anak perempuannya mengalami pendarahan yang banyak, manakala jururawat cuba menghentikan pendarahan itu menggunakan kapas.
Kedua-dua doktor terbabit tidak hadir pada saat kritikal ini. Dalam usaha menyelamatkan nyawa pesakit, mangsa kemudian dipindahkan ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di Klang.
Doktor HTAR menyifatkan keadaan Punitha sudah kritikal ketika ketibaan, berikutan kehilangan darah yang ketara dan mengalami pembekuan intravaskular (DIVC).
Walaupun pembedahan kecemasan dan pemindahan darah dilakukan, namun Punita meninggal dunia dan meninggalkan dua anak kecil.
Hakim, Norliza Othman, dalam keputusannya, berkata Klinik Shan kekurangan bekalan perubatan asas, termasuk ubat untuk mengawal pendarahan rahim dan peralatan untuk menguruskan komplikasi selepas bersalin.
Norliza juga menekankan kegagalan doktor bertindak segera dan menangguhkan pemindahan pesakit ke hospital yang dilengkapi peralatan untuk mengendalikan kecemasan sedemikian.
“Walaupun mereka memiliki pengalaman luas dalam bidang perbidanan, kedua-dua doktor gagal menjangka komplikasi yang biasa dikaitkan dengan bersalin, seperti eklampsia, masalah berkaitan plasenta yang membawa kepada PPH.
“Kedua-dua mereka keluar dari bilik bersalin tanpa memastikan mendiang bebas daripada komplikasi. Jururawat yang tidak terbukti mempunyai kelayakan yang sepatutnya, dibiarkan menguruskan pesakit. Kecuaian kolektif defendan secara langsung menyumbang kepada kecederaan parah terhadap mangsa, yang membawa kepada kematiannya,” katanya dalam alasan penghakimannya, yang dimuat naik di laman web Jabatan Kehakiman hari ini.
Hakim juga mengecam doktor kerana ‘tidak menghiraukan’ keadaan si mati.
“Dalam kes ini, seorang ibu muda meninggal dunia selepas bertungkus-lumus melahirkan anaknya. Selepas bersalin, dia terpaksa menahan kesakitan yang tidak terbayang sebelum dihantar ke HTAR untuk rawatan lanjut.
“Ketika dihantar ke HTAR, ibu muda itu sudah berada dalam keadaan kritikal akibat kehilangan darah yang banyak, sehingga pihak hospital ‘mengisytiharkan kematian’ ibu malang ini.
“Peristiwa tragis ini boleh dielakkan sekiranya kedua-dua doktor mengambil tindakan pantas dengan menghantarnya ke HTAR dan memantau keadaannya dengan teliti, dan tidak meninggalkannya dalam jagaan jururawat, sementara Dr Ravi keluar minum.
“Tahap pengabaian ini tidak boleh dimaafkan dan secara langsung menyumbang kepada kematian ibu yang sihat,” tambahnya.
Susulan itu, mahkamah menganugerahkan keluarga mangsa RM5,993,936 sebagai ganti rugi, merangkumi RM500,000 untuk kesakitan dan penderitaan si mati; RM1 juta untuk setiap seorang bagi dua anak si mati; RM300,000 setiap seorang untuk ibu bapanya; RM1.5 juta sebagai ganti rugi teruk terhadap Dr Ravi; RM700,000 sebagai ganti rugi teruk terhadap Dr Shanmugam dan kliniknya; dan RM100,000 sebagai ganti rugi punitif.
Tragedi Lubang Benam Masjid India terus menjadi perhatian apabila keluarga mendiang Vijaya Lakshmi menuntut pampasan RM824,000 susulan insiden tragis yang berlaku di Kuala Lumpur.