
Kutu emas semakin mendapat perhatian sebagai salah satu cara masyarakat mengurus simpanan bersama. Ada yang menyertainya untuk membantu disiplin menyimpan, ada juga yang melihat emas sebagai aset bernilai untuk simpanan jangka panjang.
Namun apabila semakin ramai berminat menyertai kaedah ini, timbul pula persoalan dalam kalangan umat Islam. Apakah hukumnya? Adakah ia dibenarkan dalam Islam, atau ada unsur yang boleh menyebabkan urusan tersebut menjadi tidak patuh syariah?

Bagi menjawab persoalan ini, Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan telah memberikan penjelasan berhubung hukum menyertai program kutu emas menerusi laman rasmi mereka.
Menurut Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan, hukum menyertainya adalah harus, dengan syarat tidak berlaku unsur riba dan setiap ahli menepati perjanjian jual beli emas pada waktu yang telah ditetapkan.
Kutu Emas Harus Jika Tiada Unsur Riba
Dalam penjelasan tersebut, Mufti Wilayah menyatakan bahawa hukumnya adalah harus sekiranya ia memenuhi syarat tertentu. Perkara paling utama yang perlu dijaga ialah tidak wujud unsur riba, penipuan, penindasan atau keuntungan yang tidak jelas.
Setiap ahli juga perlu memahami perjanjian yang dibuat sejak awal. Ini termasuk jumlah bayaran, giliran, cara pembelian emas, harga yang digunakan dan waktu emas dibeli.
Pendek kata, sistem ini mestilah telus, dipersetujui semua pihak dan manfaatnya diberikan secara adil.

Gambaran Pertama: Sama Seperti Kutu Duit Biasa
Bagi gambaran pertama, kutu emas boleh berlaku dalam bentuk yang hampir sama seperti kutu duit biasa.
Dalam keadaan ini, ahli-ahli menyumbang sejumlah wang mengikut persetujuan. Apabila tiba giliran seseorang, wang yang terkumpul digunakan oleh pemilik giliran untuk membeli emas mengikut harga semasa.
Hukumnya adalah harus kerana ia mengambil hukum akad qurud mutabadilah, iaitu pinjam-meminjam sesama ahli yang dibenarkan oleh sebahagian ulama.
Bagi urusan pembelian emas pula, tidak berlaku riba nasi’ah atau riba bertangguh kerana emas dibeli dengan harga semasa dan secara tunai oleh pemilik giliran.
Ini bermaksud, pembelian emas perlu berlaku secara jelas pada waktu tersebut, bukan secara ansuran atau bertangguh.

Harga Emas Dikunci Awal Dalam Kutu Emas
Gambaran kedua pula melibatkan situasi apabila “Mak Kutu” dan ahli membuat perjanjian awal berkaitan harga emas yang dikunci atau locked price.
Dalam keadaan ini, hukumnya juga adalah harus. Perjanjian yang dibuat antara Mak Kutu dan ahli untuk membeli emas pada waktu tertentu wajib dipatuhi oleh semua pihak berdasarkan prinsip perjanjian bersama atau muwa’adah.
Sekiranya ada pihak yang melanggar janji sehingga menyebabkan kerugian kepada pihak lain, maka pihak yang melanggar janji perlu menanggung kos kerugian sebenar tersebut.
Begitu juga hutang yang berlangsung sesama ahli. Ia adalah harus berdasarkan keharusan qurud mutabadilah, sama seperti gambaran pertama.
Jangan Jadikan Ia Jual Beli Emas Secara Ansuran
Walaupun hukum menyertai kutu emas adalah harus dalam keadaan tertentu, umat Islam tetap perlu berhati-hati. Ini kerana urusan jual beli emas mempunyai syarat yang perlu dipatuhi.
Pembelian emas tidak boleh dilakukan secara ansuran yang boleh membawa kepada riba. Sebaliknya, akad jual beli emas perlu berlaku secara tunai pada waktu yang ditetapkan.
Sebab itu penting untuk setiap ahli memahami perbezaan antara menyertai sistem simpanan bersama dan membeli emas secara bertangguh. Jangan sampai niat untuk menyimpan akhirnya menyebabkan kita terlibat dalam urusan yang meragukan.
Berhati-Hati Dengan Ibu Kutu Yang Mengenakan Yuran
Dalam masa sama, Mufti Wilayah turut berpesan supaya umat Islam lebih berhati-hati agar tidak terjebak dengan perkara yang menyalahi hukum syarak.
Ahli juga perlu berhati-hati supaya tidak diperdaya oleh sebahagian ibu kutu yang mengenakan yuran keahlian atau caj tertentu yang tidak jelas.
Perkara seperti ini boleh menimbulkan masalah, terutama jika yuran tersebut tidak dimaklumkan dengan telus atau mengandungi unsur keuntungan yang tidak dipersetujui bersama.
Justeru, sebelum menyertai mana-mana kutu emas, pastikan semua syarat kontrak, perjanjian dan tanggungjawab difahami dengan baik.
Pastikan Semua Ahli Faham Perjanjian
Bagi keluarga yang mahu menjadikan emas sebagai simpanan, tidak salah untuk mencari kaedah yang memudahkan. Namun, setiap keputusan kewangan perlu dibuat dengan ilmu, kefahaman dan sikap berhati-hati.
Jangan menyertai kutu emas semata-mata kerana ikut kawan atau terpengaruh dengan cerita orang lain. Pastikan penganjur boleh dipercayai, sistem kutipan jelas, giliran diketahui dan kaedah pembelian emas benar-benar patuh syariah.
Antara perkara yang perlu diteliti ialah berapa jumlah bayaran setiap bulan, bila giliran diterima, siapa yang membeli emas, harga apa yang digunakan dan adakah pembayaran dilakukan secara tunai ketika akad jual beli berlaku.
Kesimpulan
Kesimpulannya, hukum menyertai kutu emas adalah harus sekiranya ia memenuhi syarat yang ditetapkan. Antaranya, tiada unsur riba, tiada penipuan, tiada penindasan, sistemnya telus dan semua ahli mematuhi perjanjian yang dibuat.
Dalam soal simpanan keluarga, emas boleh menjadi pilihan yang baik jika diurus dengan betul. Namun pastikan setiap urusan kewangan dilakukan dengan jelas dan berlandaskan hukum syarak.
Paling penting, jangan hanya melihat keuntungan atau kemudahan memiliki emas semata-mata. Fahami dahulu hukum, akad dan syaratnya agar simpanan yang dibuat bukan sahaja memberi manfaat di dunia, tetapi juga menenangkan hati dari sudut agama.
BACA LAGI : Hukum Barang Kemas Bentuk Haiwan! Mufti Selangor Ingatkan Elak Pilih Corak Ini
Sumber : Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan
Mencari bahagia bersama KELUARGA?
Download dan baca sekarang di




