
Kita sering mendengar peribahasa Melayu ada menyebut; berat sama dipikul, ringan sama dijinjing yang memberi maksud bila saling tolong menolong semua kerja akan menjadi mudah dan senang dilakukan.
Begitu juga halnya bila suami kalau membantu isteri dalam urusan mengurus rumahtangga, kalau tak banyak kerja suami boleh dibuat, sedikit pun jadi dan sebenarnya amat dihargai oleh isteri.

Bahkan melalui perkongsian daripada seorang suami ini boleh dijadikan panduan mengenai tugas bagaimana yang en suami boleh lakukan dengan cara yang paling mudah.
Nak tahu lanjut, ini perkongsiannya.
Saya ringkas seringkas-ringkasnya cara nak bantu dan mudahkan urusan isteri untuk para suami buat.
1. Kalau tak nak basuh semua pinggan, basuh pinggan sendiri sahaja.
2. Kalau tak nak masak semua lauk, tolong masak nasi sahaja.
3. Kalau tak nak kemas meja sebelum makan, tolong susunkan pinggan dan lain-lain sebelum makan.

4. Kalau tak boleh tolong basuh baju, tolong letakkan pakaian sendiri dalam bakul baju kotor.
Artikel menarik : Rupanya Ada Teknik Nak Rebus Pasta, Barulah Sedap & Masak Sempurna.

5. Kalau tak nak basuh tandas, bersihkan sepenuhnya selepas guna.
6. Kalau tak mampu nak lipat semua baju seluar, jangan sepahkan bila ambil pakaian sendiri.
7. Kalau tak nak mop semua lantai, jangan kotorkan atau lap terus bila tertumpahkan apa-apa.
8. Kalau tak rasa nak kemas satu rumah, jangan sepahkan ruang tamu.

9. Kalau rasa diri tak romantik, janganlah garang sangat.
10. Kalau nak yakinkan isteri yang anda tak curang, jangan kunci telefon.
11. Kalau tak sabar nak jaga anak, jangan marahkan isteri apabila dia marah anak. Itu adalah perkara yang normal dalam mendidik anak.
12. Kalau perlukan masa peribadi sendiri, beri juga masa peribadi untuk isteri.
Ringkas bukan? Ini benda yang paling minimum dan sangat mudah. Jika anda buat ini, saya pasti ramai isteri yang akan lebih tenang. Saya bukan cadangkan para suami buat semua benda ini sahaja, tetapi ini untuk yang baru nak bermula atau selama ini tertanya-tanya “apa lagi yang isteri aku nak?”
Semoga dapat membantu.
Sumber : Akhtar Syamir
Nak macam-macam info? Join channel Telegram keluargagader club
Mencari bahagia bersama KELUARGA?
Download dan baca sekarang di
Bukan Hanya Makanan, Peralatan Rumah Lain Juga Ada Tarikh Luput. Ibu-Ibu Kena Baca Ni!

Kebanyakan daripada kita hanya memberikan perhatian kepada tarikh luput pada barang-barang tertentu sahaja seperti makanan kerana ia mudah rosak. Kita tak pernah terlepas pandang untuk menyemak tarikh luput susu atau roti. Bahkan, setiap kali membeli barangan tersebut, kita akan menyemak tarikh terlebih dahulu. Sedangkan untuk barangan lain, kita sering terlupa, atau mungkin kita tak tahu, bahawa peralatan rumah lain juga mempunyai tarikh luput.
Berikut beberapa barangan dan peralatan lain di dalam rumah yang mempunyai tarikh luput.
1. Bantal (2-3 tahun)

Mungkin ramai yang tak tahu, atau tidak kisah, selagi bantal tersebut boleh dipakai, kita akan pakai. Apatah lagi bagi mereka yang mempunyai ‘bantal busuk’ sejak kecil. Sebenarnya bantal mempunyai jangka hayat selama 2 hingga 3 tahun. Bantal akan menjadi rumah kepada hama, yang akan memberikan banyak masalah kepada kesihatan kita. Bantal lama juga akan menyebabkan kesakitan pada leher kerana kehilangan bentuk asalnya disebabkan penggunaan melebihi jangka masanya.
2. Tuala (1-3 tahun)
Pernah tengok orang memakai tuala sehingga nipis dan gelap warnanya? Ia bukanlah disebabkan kualiti tuala itu tidak bagus, tetapi kerana penggunaan sesebuah tuala untuk jangka masa yang terlalu lama. Jika anak-anak anda tinggal di asrama, cuba periksa tuala anak anda. Sama ada ianya masih elok atau tidak. Disebabkan tuala sentiasa basah, ia adalah tempat yang paling baik untuk pertumbuhan bakteria, dan akan menjadi punca kepada pelbagai penyakit kulit.
Walaupun kerap dibasuh, tuala akan tetap tidak dapat menyelesaikan masalah itu. Sentiasa tukar kepada tuala yang baru, setiap 1-2 tahun.
3. Berus gigi (3 bulan)
Ya, kebanyakan di antara kita hanya akan menukar kepada berus gigi yang baru hanya apabila bulu-bulunya sudah tercabut atau rosak. Doktor gigi mengesyorkan agar kita menukar berus gigi setiap 2 atau 3 bulan. Berus gigi yang rosak dan keras akan menyebabkan hakisan pada gigi.
4. Span mandian / Loofah (2-3 minggu)
Span mandian atau loofah akan mula membiakkan bakterian dan kuman hanya dalam beberapa minggu. Disebabkan ia sentiasa dalam keadaan basah, ini akan mempercepatkan lagi proses pembiakan tersebut. Loofah yang diperbuat daripada plastik dan berjaring seperti gambar di atas adalah lebih selamat dan tahan lebih lama, kira-kira 8 minggu kerana ia mempunyai ruang antaranya yang lebih besar berbanding span mandian biasa.
Untuk memastikan span anda tahan lebih lama, sentiasa bilas dan keringkan span dan loofah anda selepas setiap kali digunakan. Gantikannya selepas beberapa minggu.
5. Produk pencuci / pembersih

Pernah tak anda mengalami situasi ini, anda baru berpindah ke rumah baru, dan terdapat produk pembersih atau pencuci seperti pencuci lantai atau sabun basuh baju. Berasa rugi untuk buang barang-barang ini anda pun gunakannya untuk mencuci lantai dan baju anda. Pernah?
Ini adalah kerana kita mengganggap produk-produk ini tidak mempunyai tarikh luput, dan berasa rugi jika membuangnya. Menurut Good Housekeeping, keberkesanan produk-produk ini akan berkurangan selepas tempoh tertentu dan bekas plastik produk itu juga akan memberi kesan kepada formula produk itu. Kami sertakan tarikh luput bagi produk-produk pembersih yang mungkin ada di rumah anda.
Sabun basuh baju : 6 hingga 12 bulan
Pelembut pakaian : 1 tahun
Pembersih lantai / sinki : 2 tahun
Pembasmi kuman (Dettol) : 3 bulan
Sabun basuh pinggan : 12 hingga 18 bulan
6. Minyak wangi (1-3 tahun)

Minyak wangi dan eau de parfum boleh tahan selama 3 tahun jika tidak dibuka dan digunakan, dan tahan untuk 2 tahun jika digunakan. Manakala eau de toilette pula boleh bertahan selama 4 tahun jika tidak dibuka, dan 2 tahun jika dibuka. Jadi sebelum anda membeli minyak, jangan hanya pilih bau yang anda suka sahaja, anda juga perlu periksa tarikh luput.
7. Puting bayi (2-5 minggu)
Bagi yang mempunyai anak kecil, pastikan anda sentiasa memantau puting yang diberikan kepada si kecil. Puting yang diperbuat daripada getah perlu digantikan, tak kiralah berapa lama ia telah digunakan dan keadaan puting itu. Ia amat mudah rosak dan boleh menyebabkan pembiakan kuman dan bakteria.
8. Kerusi kereta kanak-kanak (6-10 tahun)

Oleh kerana kerusi ini diperbuat daripada bahan yang mengembang dan mengecut berdasarkan jangka umur dan suhu, dan suhu dalam kereta yang berubah terlalu kerap, kebanyakan kerusi kereta kanak-kanak mempunyai jangka hayat selama 6 hingga 10 tahun SELEPAS dari tarikh pembuatan. Tarikh luput biasanya dipaparkan pada bahagian bawah atau tepi produk tersebut.
Juga, kerosakan terdahulu, atau jika anda terbabit dalam kemalangan juga boleh memberikan kesan kepada keselamatan kerusi ini. Jadi, jangan sesekali anda cuba untuk membeli kerusi kereta bayi terpakai, kerana tidak tahu tahap keselamatannya. Lebih baik membelanjakan lebih wang daripada mengambil risiko yang sangat bahaya.
9. Baju dalam wanita (1-2 tahun)

Ya, baju dalam wanita juga mempunyai tarikh luput. Sebaik sahaja baju dalam anda hilang bentuk, keanjalan, menjadi besar atau kecil, dan juga menjadi tidak selesa, tiba masanya untuk anda membuangnya dan membeli yang baru tanpa rasa kesal. Ia tidak baik untuk kesihatan payu dara anda, dan juga keselesaan yang kurang dalam seharian anda.
10. Kasut sukan (1 tahun)

Jika anda seorang atlit, atau suka bersenam, anda mungkin tahu bahawa kasut sukan mempunyai tarikh luput. Setelah kasut sukan anda digunakan untuk larian sebanyak 400 hingga 500 kilometer, ia kusyen pada kasut tersebut akan mula hilang dan ini akan memberi kesan kepada sendi-sendi anda. Namun, jika anda jarang menggunakannya, tukar kepada kasut baru jika anda berasa tidak selesa dan rasa sakit-sakit.
11. Wayar sambung (1-2 tahun)
Setiap wayar sambung mempunyai kapasiti yang tertentu. Jika anda melebihi kapasitinya, ia akan merosakkan wayar sambung tersebut dan boleh menyebabkan masalah besar seperti litar pintas yang akan menyebabkan kebakaran. Tidak berbaloi untuk mengambil risiko yang besar hanya kerana anda tidak mahu menukarnya.
12. Krim pelindung matahari (3 tahun)

Biasanya, krim pelindung matahari mempunyai jangka hayat selama 3 tahun, walaupun tidak dipaparkan pada produk tersebut, menurut pakar-pakar. Setelah melepasi jangka hayat ini, keberkesannya akan menjadi kurang. Jadi, sebelum membeli, anda perlulah menyemak tarikh luputnya terlebih dahulu, dan jika ia tidak mempunyai tarikh luput, semak tarikh produk itu dihasilkan, dan buang selepas 3 tahun tidak digunakan.
Jadi selepas ini, diharapkan kita semua lebih peka dan teliti ketika membeli barangan-barangan ini dan juga barangan lain, supaya mendapat faedah dan manfaat yang lebih. Juga bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini.
.
Sumber rujukan :
1. Buzzfeed
2. Dadgab
3. Linkis
Mencari bahagia bersama KELUARGA?
Download dan baca sekarang di
Doktor Beri Hint, Ibu Hanya Ada 3 Hari Lagi. Nyata Bukan Mudah Menghadapi Pemergian Orang Tersayang!

Luahan hati seorang anak yang telah kehilangan kasih seorang ibu ini cukup terkesan di jiwa. Beberapa tahun yang lalu, ibunya disahkan mengidap kanser payudara dan ini dianggap ujian yang cukup besar untuk mereka tiga beradik hinggalah pada satu hari doktor menyampaikan perkhabaran yang sungguh memilukan bila mana dikatakan ibunya hanya ada 3 hari lagi.
Ikuti perkongsian selanjutnya.
Beberapa tahun lepas sejak arwah mak sakit beria bila payudara yang dah dibuang sebelah akibat kanser melarat pula ke sebelah lagi, kami 3 beradik mula berkampung di hospital putrajaya.
Bergilir-gilir lah kami waktu itu mengikut shift masing-masing. Kebiasaannya Kak Eli kena shift malam sebab masa itu Malaeka masih belum sekolah jadi esoknya tak perlu kalut macam adik beradik yang lain.
Bila weekend dapatlah Kak Eli shift pagi, rotate semula jadual dengan kakak dan abang. Yang penting arwah mak tak pernah ditinggalkan seorang diri dalam wad walaupun dalam 1 wad tu ada 3 pesakit lain.
Cuma Ada 3 Hari
Ada satu pagi tu, Kak Eli tiba di wad dan kebetulan ada doktor perempuan yang baru keluar dari bilik mak. Dia tarik tangan Kak Eli dan bawa ke sudut dinding.
‘Saya nak beritahu ni, mak awak cuma ada 3 hari saja lagi. Beri dia makan apa dia nak makan, bagitahu saudara mara dan kawan-kawan dia, saya nak awak dan adik beradik awak ready.’
Awak, awak dan awak, Andai ditoreh pipi Kak Eli waktu tu memang rasanya takkan keluar darah. Lembik dan longgar terus lutut dan rasanya kalau tak kawal mungkin Kak Eli dah rebah kelantai.
Ingin sekali Kak Eli tampar muka doktor waktu itu. How dare you, how could you say that to my mother?
Tapi Kak Eli berterima kasih pada doktor tu sebab sebenarnya dia sudah memberi hint pada kami adik beradik yang kami hanya ada 3 hari saja lagi untuk berbakti untuk mak.Hanya ada 3 hari untuk mengisytiharkan dan mempersembahkan cinta yang paling tulus kepada mak.
Kak Eli masuk bilik wad mak dan mak tersenyum ceria seperti biasa. Kak Eli tenung dia, this is the moment when a word doesn’t come to me. Kelu.
Mak masih ceria, tanya mana Malaeka? Tanya itu ini dan tiada langsung pernah mengeluh dan menyatakan sakit.
Menagis Semahunya
Kak Eli bagitahu ada barang tertinggal dalam kereta dan nak ambil sekejap. Sampai saja di parking kereta terus Kak Eli meraung bagai nak gila di situ.
Telefon adik beradik dan kami pakat menangis bersama-sama dan semua nekad takkan ada shift dah selepas ini. Semua adik beradik mesti ada disisi mak pada waktu genting begini.
Naik semula atas, makcik di sebelah katil mak dah beberapa hari tak sedar, bergantung pada oksigen sepenuhnya. Anak perempuan beliau setiap hari tanpa gagal menemani mak dia tu.
Tapi waktu tu, dia sibuk baca suratkhabar di sebelah mak dia. Mak Kak Eli toleh pada katil sebelah dan tegur perempuan tersebut.
‘Adik cuba tengok mak tu, makcik rasa mak tu dah tak ada.’
Ringkas saja ayat mak, dan perempuan tu bingkas panggil mak dia.
‘Mak, mak, makkkkkkkk!!!’
Dia jerit pada nurse dan bila mereka datang doktor sahkan mak dia baru saja meninggal, waktu dia sedang leka membaca suratkhabar.
Betullah ajal itu tidak kita sangka dan kalau bukan rezeki kita dapat mengadap saat-saat terakhir kematian ibu bapa kita, memang takkan dapat walaupun kita hanya disebelah.
Berpuluh tahun mak bekerja di hospital, sedikit sebanyak pengalaman mematangkan dia. Mak minta Kak Eli ambil handbag dia dan keluarkan duit untuk sedekah pada perempuan tu.
Mak, mak tau tak doktor cakap mak ada 3 hari lagi dan mak masih tak lupa nak bersedekah jariah waktu ini? Tak, Kak Eli dan adik beradik sikitpun tak berbunyi pasal ni. Kami buat macam biasa saja.
Masa Kian Suntuk
Malam tu mak kata dia sakit belakang, dia suruh panggilkan doktor dan doktor ambik darah dia dari belakang bahu.
Doktor tu termenung lama kemudian dia cakap ‘saya minta maaf ya opah, saya tak dapat nak bantu opah. Tak mampu nak legakan opah’
Kak Eli masih ingat nama dia. Doktor Lisa.
Semua doktor yang merawat mak bahasakan diri dia sebagai opah sebab mak is over peramah. Dan para doktor memang selalu bagi special treatment pada emak walaupun sibuk.
Mak kata ‘eh tak apa doktor. Inipun opah dah lega sangat. Terima kasih ya.’
Kak Eli dan adik beradik meraung lagi dibelakang dia.
Hari kedua dan ketiga, mak dah kerap penat. Saudara mara dan kawan-kawan mak penuh setiap masa datang melawat sampai mak tak boleh nak tidur. Dia masih gagah melayan bersembang dan tersenyum.
Malam terakhir dia mintak morfin dose tinggi sebab nak berehat. Tapi waktu itu malaikat maut mungkin sudah menyapa, menunggu masa untuk mencabut nyawa. Mak tak boleh nak lelap.
Esoknya pukul 11.32 malam mak pergi selamanya sambil menyebut Allah Allah Allah tanpa henti. Setelah kami teresak-esak meminta ampun bergilir-gilir setiap seorang dan mak jawab,
‘anak-anak mak tak ada dosa dengan mak. Kenapa menangis, janganlah menangis’
Betul kata doktor, mak cuma ada 3 hari saja di dunia yang fana ini. Meninggalkan kami terpinga-pinga tetapi sudah bersedia.
Kak Eli ingat lagi selepas itu kami berpeluk 3 beradik dan menangis teresak-esak sehingga makcik yang kanser leher didepan katil mak menenangkan kami. Makcik tu tak boleh bercakap dah, tapi dia guna isyarat tangan.
Sungguh, kematian itu satu perkara yang hebat dan besar. Ia mengubah kehidupan kita yang masih di dunia ini dengan sakit merindu.
Percaturan Hidup Yang Tersusun Indah
Kak Eli memilih untuk berhenti kerja, tinggalkan rumah sendiri di kota damansara begitu saja dan balik ke Jerantut supaya dekat dengan kubur mak.
Dengan harapan bila duduk di rumah dia ni dapatlah melepaskan rindu bila tengok tombol pintu bilik dia, tengok pokok orked dia. Apa sajalah yang dia tinggalkan.
Sakit merindu yang takkan surut sambil merenung dosa yang segunung banyaknya pada mak, dengan air mata yang tak pernah kering tiap kali terkenangkan dia, Allah hadirkan Amanda Safiya.
Dia lahir genap setahun selepas mak pergi, di tarikh yang sama mak pergi, di jam yang hampir sama mak pergi, dan dia mewarisi banyak persamaan dengan mak.
Sama rupa paras dan warna kulit, sama peramah, sama terlebih mengambil berat pada orang lain, sama berhati tisu, sama bila part membebel sampai sakit rasa telinga ya ampun.

Ya Amanda adalah seperti jelmaan arwah mak.Tuhan ambil satu dan kemudian dia gantikan dengan yang hampir sama dalam versi berbeza. Bagai disusun cantik semua percaturan tuhan untuk Kak Eli. Sesungguhnya Dia maha baik.
Dan kami abadikan nama dia seakan nama arwah mak. Bila jiran-jiran tengok Amanda mereka akan kata eh sama rupa arwah kak Piah. Maka semua pakat panggil Amanda kak Piah dan makcik Piah.Ajaibnya si Amanda ni menyahut la pulak.
Lahirnya dia adalah kesyukuran dan dalam masa yang sama akan sentiasa ingatkan Kak Eli dan adik beradik bahawa tarikh inilah arwah mak pergi meninggalkan kami jauh ke negeri kekal abadi.
Kepada yang masih ada emak, berbaktilah sehabis daya seolah esok hari terakhir kita bersama dia.
sumber : Suhaili Baharudin
Mencari bahagia bersama KELUARGA?
Download dan baca sekarang di
Tak Perlu Bandingkan Isteri Kita Dengan Orang Lain, Jangan Jadikan Rumah Tangga Syurga Yang Dibenci

Dalam sesebuah rumah tangga, suami atau isteri sama-sama memainkan peranan. Biarpun sudah punya anak-anak tidak bermakna cinta dan kasih sayang terus dibiarkan sepi, sebaliknya suami harus memandang lebih hebat penuh rasa cinta pada isteri.
Tulisan wanita bernama Marlia Ramli difacebooknya ini banyak benarnya. Ramai suami yang sudah mula memandang isteri dengan rasa sepi bila mana isteri tidak lagi secantik dulu. Suami, sila baca ni dan buka mata. Tolong peluk dan sokonglah isteri yang kita cinta!
SYURGA YANG DIBENCI
1- Semaknya lahai. Masuk je pagar dah bersepah mainan dari ruang tamu hingga ke dapur. Dengan anak comot tak mandi bagai.
2- Semaknya lahai. Harap le juga bini tunggu depan pintu wangi-wangi. Rupanya sampai rumah bini ntah di mana-mana dengan baju kelawar dan bedak sejuk. Bau susu basi lagi.
3- Semaknya lahai. Nak cium dahi bini pun bau bawang la, belacan la, minyak masak tanpa GST. Kot nak bermekap, langsung tiada!

4- Semaknya lahai. Kekadang bini bukan sampai rumah lagi pun. Ntah di atas jalan mana sangkut jammed balik keja. Balik rumah hanya ada kerusi dan meja.
5- Semaknya lahai. Dulu bini bersize kerengga sekarang bersaiz lori Alam Flora pula. Nak bawak ke majlis pejabat pun rasa malu la pula.
6- Semaknya lahai. Asal balik je dengar bini membebel itu ini. Dengan jeritan anak bergaduh bagai. Mengalahkan kereta api tak cukup arang. Punyalah bingit!
7- Semaknya lahai. Ipar duai mengadu bini saya tidak sempurna dan tidak baik juga. Kata ibu saya, isteri tak pandai masak, tak reti bergaul dan tidak sempurna.
Malah banyak lagi ke”semak”kan yang kita rasa sebagai suami. Kita rasa tersalah memilih isteri. Kita rasa kita adalah suami yang paling malang di dunia.
Isteri kawan terlihat cantik, manis dan comel sentiasa. Tapi isteri kita? Nak tengok muka pun hati tak senang. Aduh! Sungguh malang!


Ya.. Sebagai arjuna perkasa kita tidaklah update di FB atau Insta tentang kekecewaan kita. Kita juga tidaklah menangis call mak di kampung untuk bercerita. Namun di dalam jiwa, kekecewaan kita meronta-ronta dan akhirnya bertukar menjadi barah yang memakan diri.
Maka duhai arjuna mulia, perlahan-lahan kita mula jadi pendiam, kita bagi silenced treatment pada anak isteri, kita semakin kurang senyuman, kita mula lepak di mamak tengok bola. Malah yang semakin hardcore, kita mula angkat tangan kaki kepada isteri. Tersalah kari terlebih masin, pinggan mula dibaling ke dinding.
Namun… Jom kita menilai sejenak…
Duhai arjuna sang suami yang dihormati… Pada saat akad dilafaz maka segala dosa pahala wanita diserahkan dari bapa kepada suami tercinta. Ironinya setiap inci jasad, jiwa, hidup dan mati seorang wanita dipersembahkan sepenuhnya kepada anda aduhai suami mulia.
Sang isteri tinggalkan ibu, tinggalkan ayah, tinggalkan keluarga dan tinggalkan keseronokan hidup sebagai si gadis muda. Penyerahan yang dipenuhi kepasrahan dengan harapan beroleh bahagia.
Duhai arjuna, sesekali pandanglah wajah isteri. Tenunglah setiap garis-garis airmata di pipi. Seperti mana anda tidak bahagia, begitulah juga wanita.
Sebab itulah sang isteri membebel itu ini. Wanita mahu didengar. Terkadang marahnya memuncak dan emosinya celaru. Peluklah isteri berbau bawang anda itu. Kasihanilah dia…
Benar.. Dulu dia bersaiz kerengga, secantik secretary di office anda, sewangi Mira Filzah dan selincah Neelofa. Namun, tanggungjawab keluarga didulukan dia.

Dulu wang gajinya untuk perfume Estee Lauder, kasut Bonia, make up Loreal dan handbag Gucci. Namun kini wang gajinya untuk kos sara hidup bersama anda. Maka anda masih tertanya-tanya kenapa isteri tidak sewangi zaman bercinta?
Jika di zaman gadis dia punya kawan. Di hujung minggu dia ke spa bermandi susu dan minum coffee di cafe. Kini di hujung minggu dia bersama anda mengendong anak-anak. Manalah lagi bajet pembelian baju cantik selain set kelawar yang dipakai dia?
Duhai arjuna mulia, bila isteri bercerita sahutlah dia dengan cinta. Janganlah menjeling hatta bergurau untuk berpoligami dengan Neelofa. Biarpun sang isteri tersenyum, hakikatnya dia terluka. Jiwanya jadi takut dan risau. Manalah tahu kalau-kalau suami sekacak bangla dirampas sesiapa?
Duhai arjuna mulia, sejenak usaplah tangan isteri. Lihatlah tangan yang pernah gebu kini bercalar dengan minyak panas akibat berusaha menyediakan makanan buat keluarga.
Ya, wanita bergelar isteri mengorbankan keseronokan di zaman remaja demi membina hidup bersama kita.

Tidak cukupkah lagi sembilan bulan sepuluh hari wanita ini mengendong zat zuriat suami yang paling dicintai? Malamnya berkeluh kesah tidak mampu lena akibat tendangan bayi?
Tidak cukupkah lagi wanita berkali-kali mati demi melahirkan zuriat yang paling istimewa. Tanyalah secretary secantik Neelofa, sanggupkah dia mati untuk anda?
Usahlah bandingkan isteri dengan kejelitaan Che Ta. Che Ta bermandi susu sedangkan isteri bermandikan airmata!
Tidak cukupkah lagi wanita menyusukan anak hingga dua tahun? Segala bentuk badan mula mengendur dan segala kecantikan mula pudar.
Badan mula penat dan mulut mula berbunyi. Jangankan make up, mahu disapu bedak sejuk ke muka juga sudah tidak punya daya?
Ingin juga dibayar bibik dari Jawa namun gaji kita pula tidak seberapa. Maka sang isteri yang penat gagahkan juga uruskan kerja di pejabat berserta hal ehwal keluarga seusai subuh pagi sehingga lewat senja.
Di manakah kita? Sedang menonton bola bersama rakan, bergelak ketawa dan bergembira minum teh bersama secretary. Kita mungkin sedang membina badan di gym atau bermain golf di padang ketika isteri menggelupur kelelahan.
Sampainya hati kita mula rasakan dia tidak teristimewa seperti dulu. Terkadang mahu dihulur wang untuk dibeli barangan dapur pun kita marah bagaimana mahu ditaja peralatan make up pula?

Duhai arjuna mulia, kita bukan Tan Sri berharta. Kita juga boroi dan tidaklah sehensem mana. Bersyukurlah isteri kita sentiasa setia. Isteri kita sentiasa ada. Tidur kita tidak pun pernah keseorangan pula.
Adilkah kita membandingkan isteri kita dengan isteri kawan yang terlihat cantik sentiasa? Berapa banyak kos yang suami beliau habiskan supaya isterinya wangi dan cantik sentiasa?
Sedangkan kita? Mahu beli sabun jenama Lux pun masih berkira-kira syiling didalam kocek. Bila masa kita pernah hadiahkan set make up atau wangian berjenama buat isteri tercinta?
Pedulikan saja umpatan ipar duai hatta mentua jika ada. Biarpun satu dunia membenci isteri, suami yang setia sentiasa ada untuk menyinta. Baik atau tidak, isteri anda adalah ibu kepada anak-anak tercinta. Isteri juga punya hak yang perlu dijaga.
Jika salah, betulkan dia selayaknya. Jangan diabai, dibenci dan dikasari hatinya.
Duhai arjuna mulia, beritahu isteri betapa istimewanya dia dihati anda. Khabarkan betapa anda cintai dia minimum sepuluh kali sehari.
Ciumlah dahi isteri setiap pagi, tanda dia sepenuh hati kita dicintai. Bermaafanlah setiap kali sebelum tidur bermimpi Neelopa jelita.
Dengan kuasa cinta anda duhai arjuna mulia, sang isteri akan menjadi luar biasa jelita, luar biasa bahagia dan luar biasa gembira!
Yakinlah, jika sentiasa saling memperbaiki diri, rumahtangga tidak lagi akan menjadi SYURGA YANG DIBENCI.
Mencari bahagia bersama KELUARGA?
Download dan baca sekarang di

