Orang dulu-dulu mudah sangat memberi nama anak. Tidak perlu merujuk pada mana-mana kitab, mereka melihat keindahan alam keliling dan terus mendapat ilham untuk memilih nama bagi bayi yang baharu lahir. Kadang-kadang janin baharu melekat pada rahim, macam-macam nama telah difikirkan.

Kalau yang lahir bayi perempuan bunga di halaman rumah akan dijadikan nama anak. Sebab itu nenek-nenek kita ada yang nama Melati, Ros, Cempaka, Kemboja, Melur, Kuntum. Tetapi mereka hanya pilih bunga yang sedap disebut. Sebab itu tidak ada anak yang dinamakan Tahi Ayam.

Nama bunga memang sesuai untuk perempuan. Tentulah tidak sedap dan janggal disebut sekiranya buah-buah pun dijadikan nama anak. Kalau tidak pasti ada opah kita yang bernama Kundur, Duku, Rambai, Durian Belanda, Jambu Batu dan sebagainya.

Sesetengah nama lelaki pun diambil dari alam keliling. Salah satu yang saya ingat sangat ialah nama rakan sekelas sejak darjah satu, iaitu Mohd Dahan. Dalam cerita-cerita rakyat kita ada tokoh lelaki bernama Demang Lebar Daun. Agaknya dia lahir di bawah pokok ketapang yang daunnya lebar.

Ikut Buku

Orang sekarang mudah memilih nama anak, sebab ada banyak buku khusus untuk memilih nama bayi. Nama-nama dalam buku berkenaan biasanya diambil dari al-Quran dengan makna yang cantik dan menarik. Kata opah, nama saya adalah dari bahasa Arab yang bermaksud ‘tinggi’. Secara kebetulan, saya paling tinggi dalam keluarga.

IKLAN

Tetapi ada juga memilih nama bayi tanpa merujuk mana-mana pihak. Nama diberi keranya sebutannya yang indah. Hanya setelah besar baru diketahui nama yang diberi itu membawa erti yang tidak berapa sedap, seperti yang dihebuhkan di media mengenai nama perempuan yang bermaksud ‘tempat keluar darah’.

Ada juga nama yang sebutan Arabnya indah tetapi membawa makna yang tidak sedap apabila diterjemahkan ke bahasa Melayu, seperti ‘binatang’, ‘penzina’, ‘sejahat-jahat makhluk’ dan sebagainya. Seorang kawan saya namanya juga dari istilah Arab. Baru sekarang dia tahu namanya jika diterjemahkan ke bahasa kita maknanya ‘unta’.

Sebenarnya nama-nama orang putih pun bukan semua cantik maknanya. David Copperfield (padang tembaga), Blacksmith (tukang besi). Ada juga orang putih yang menggunakan alam keliling untuk nama, seperti George Bush (semak-samun).

Ini biasa berlaku

IKLAN

Dalam masyarakat kita nama cantik pada kad pengenalan pun tidak semestinya disebut cantik dalam kehidupan harian. Contoh: Zubaidah dalam sijil beranak, tetapi hari-hari disebut ‘Bedut’. Ada yang nama hebat dalam kad pengenalan, tetapi dipanggil dengan pelbagai gelaran seperti ‘Ketot’, ‘Sendo’, ‘Batman’, ‘Mat Tempe’, dan sebagainya.

Agak-agak apa nama yang paling panjang? Walaupun sesak nafas untuk menyebutnya, saya mengucapkan tahniah kepada Nur Fathaniah Tariyah Karimah Farwizah Zahabiyah Syahirah binti Airol Anizam. Dia telah diiktiraf sebagai nama terpanjang pernah didaftarkan di Jabatan Perdaftaran Negara (JPN) sejak jabatan itu beroperasi pada tahun 1948.

Seperti yang dilaporkan media, nama terpanjang lagi unik itu diumumkan Ketua Pengarah Pendaftaran Negara, Datuk Sulaiman Keling ketika berucap pada Hari Pendaftaran Negara dan Hari Inovasi 2014 di Ibu Pejabat JPN. Difahamkan, pada ketika itu pemilik nama terpanjang di Malaysia itu berusia lapan tahun, dan masih menuntut di sebuah sekolah rendah. Cuba kira berapa usianya sekarang?
Setelah dikira, inilah nama paling banyak huruf – 67, termasuk ‘binti’ – setakat ini. Ada sesiapa yang ingin memecah rekod nama terpanjang ini? Sebelum ini saya ingat pelakon orang putih bertubuh sasa, Arnold Alois Schwarzenegger – 25 huruf – adalah nama terpanjang dalam dunia. Syabas, orang Melayu telah memecahkan rekod nama terpanjang dunia. Pasti ini boleh masuk dalam Guinness Book of World Records.

Gabung Nama

IKLAN

Ada pasangan suami isteri yang mencantumkan nama mereka untuk dijadikan nama anak. Sekiranya nama suami ‘Ramli’ dan isteri ‘Azilla’, anak mereka dinamakan ‘Ramzilla’. ‘Gafar’ dan ‘Sawiyah’ digabungkan menjadi ‘Gayah’. ‘Aziz’ dan ‘Salwa’ menjadi ‘Azwa’.

Tetapi, kena hati-hati juga sekiranya hendak menggabungkan nama, terutama sekiranya suami ‘Bahar’ dan isteri ‘Ruby’. Kalau tersilap gabung jadi nama ‘Baby’. Walaupun ejaannya macam istilah Inggeris, tetapi sebutan Melayunya tidak berapa sedap, orang tidak berani hendak sentuh.

Kesimpulannya, kalau ditanya apa ada pada nama, jawapannya ‘macam-macam ada!’

sumber :Abd Jalil Ali

 

Mencari bahagia bersama KELUARGA?
Download dan baca sekarang di seeNI.

KLIK DI SEENI