Tujuh pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) yang didapati terbabit buli fizikal termasuk bersubahat dengan perbuatan itu akan ditamatkan pengajian.
Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata keputusan itu berdasarkan syor dibuat Jawatankuasa Disiplin MRSM.
“Keputusan kes buli MRSM Jawatan Kuasa Displin Maktab: 7 pelajar didapati terlibat, Dua terlibat buli fizikal, 5 subahat. Disyorkan semuanya ditamatkan pengajian dari MRSM,” katanya menerusi Facebooknya hari ini.
Dalam pada itu beliau menegaskan tidak akan memberi peluang kedua kerana baginya tiada kompromi bagi pembuli di institusi pendidikan berkenaan.
Ads
“Maaf saya tidak setuju untuk diberikan peluang kedua kerana sejak dari awal saya diamanahkan sebagai Pengerusi MARA, berulang kali saya ingatkan dan tegaskan bahawa prinsip saya #YouTouchYouGo.
“Tiada kompromi dan tiada tempat untuk pembuli dan apa jua bentuk budaya buli di mana-mana Institusi Pendidikan MARA (IPMA) termasuk MRSM.”
Ads
“Tidak kira anak sesiapa sekalipun, Tan Sri, Datuk hatta anak orang berpengaruh macam mana sekalipun, jika terlibat dalam BULI, tindakan tegas dan keras akan diambil.”
“Tidak perlu cari jalan untuk bertemu saya bagi maksud merayu. Pejabat saya tidak sesekali melayani pelaku-pelaku yang melanggar prinsip kemanusiaan seperti ini.” tegasnya
Ia rentetan tular video yang mengaitkan perbuatan buli membabitkan pelajar MRSM. Rakaman video berdurasi 1.31 minit tersebar di media sosial memaparkan sekumpulan pelajar lelaki menghempap kepala dan badan seorang pelajar lain dalam keadaan tertiarap di atas katil.
Remaja lelaki berkenaan turut dilihat disebat dengan tali pinggang pada punggung, namun tidak dapat dipastikan ia cuma suatu gurauan atau perbuatan buli.
Tragedi Sungai Korok, keluarga teruskan perniagaan roti canai. “Kami akan teruskan perniagaan roti canai di Tanah Merah, Pendang yang baru diusahakan arwah dan suaminya sejak sebulan lalu sebab mereka susah payah cari tapak niaga,” Roswati Zainol, 52.
Tragedi meragut nyawa sepasang suami isteri selepas kenderaan dinaiki mereka terjunam ke dalam terusan di Sungai Korok, Jitra baru-baru ini meninggalkan luka mendalam buat ahli keluarga, khususnya ibu kepada arwah wanita berkenaan.
Roswati, ibu kepada Nurul Hidayah Khadijah Razman Efendi, 31, yang maut bersama suaminya, Mohamad Azim Izat Ishak, 32, menyifatkan kehilangan mereka sebagai satu tamparan hebat buat seluruh keluarga.
Menurut Roswati, pasangan tersebut pernah menjalankan perniagaan roti canai berhampiran Hospital Lama Alor Setar namun terpaksa menukar lokasi berniaga disebabkan sambutan yang kurang memberangsangkan.
“Kebiasaannya, menantu saya yang bekerja sebagai pengawal keselamatan akan singgah ke gerai sejurus selesai syif malam. Selepas itu barulah dia pulang, menukar pakaian dan uruskan anak-anak termasuk mengambil mereka dari sekolah,” katanya ketika ditemui.
Sebelum kejadian malang itu, tular satu video di media sosial memaparkan pasangan berkenaan yang gigih menjalankan perniagaan kecil demi menyara kehidupan. Video tersebut, dimuat naik di TikTok sekitar April tahun lalu, menyentuh hati netizen apabila tragedi menyayat hati itu berlaku.
Roswati berkata, anak sulungnya itu terkenal sebagai seorang yang rajin, ringan tulang dan sangat mengambil berat terhadap adik-beradiknya.
“Arwah selalu bantu adik-adik bila mereka susah. Bila dia pergi, memang terasa kehilangan sangat besar sampai kami semua rasa hilang semangat,” ujarnya sebak.
Tambahnya lagi, kereta Proton Iswara yang digunakan pasangan itu bukan sahaja untuk kegunaan harian, malah menjadi kenderaan utama dalam membantu mereka mencari rezeki.
“KAMI SEKELUARGA CUMA ADA MOTOSIKAL SAJA, JADI KERETA ITULAH YANG DIGUNAKAN UNTUK BERNIAGA. TAPI KERETA ITU TENGGELAM BERSAMA MEREKA DALAM TERUSAN… DAN KINI, SEMUANYA HANYA TINGGAL KENANGAN,” KATANYA PILU.
Menurut Roswati, sejak Nurul Hidayah mengandungkan anak kembar pada tahun lalu, mereka sekeluarga berpindah ke rumahnya bagi memudahkan urusan harian. Sepanjang itu juga, dia membantu menjaga cucu-cucunya termasuk menghantar empat daripada mereka ke sekolah setiap hari.
“Saya sempat jaga Tuah Haydar sejak lahir sampai umur enam bulan saja. Kembar dia, Jebat Haydar, dah meninggal dunia Februari lalu sebab masalah kesihatan.
“Sekarang ni Putri Qisya, cucu sulung saya yang berumur 12 tahun, masih belajar di tahun enam di SK Seberang Perak dan belum ada keputusan untuk pindah sekolah lagi,” katanya.
Roswati turut berkongsi bahawa Nurul Hidayah tidak pernah mengecewakan dirinya sepanjang hayatnya.
“Apa yang saya minta, walaupun lambat, dia tetap usahakan. Hari Jumaat sebelum kejadian mereka tak berniaga sebab kuah roti canai tak menjadi dan masa tu dia nampak murung. Saya pun kurang sihat hari tu… mungkin mereka terlalu penat dan mengantuk,” jelasnya lagi.
Ditanya mengenai penjagaan cucunya selepas ini, Roswati berkata keputusan sepenuhnya diserahkan kepada cucunya sendiri.
“Saya tak akan paksa. Kalau dia rasa selesa tinggal dengan saya, alhamdulillah. Tapi kalau dia nak bersama ibu saudaranya pun saya izinkan. Yang penting, biar dia buat keputusan dari hati, bukan sebab nak jaga hati orang lain,” katanya dengan nada tenang namun penuh kesayuan.
Kisah ini menjadi peringatan tentang kasih sayang yang tidak pernah pudar walau jasad sudah tiada. Semangat kental pasangan suami isteri ini dalam mencari rezeki dan kasih sayang seorang ibu yang terus kuat demi cucu-cucunya, benar-benar meruntun jiwa.
Perkataan Malaysia Singapura Kamus Oxford kini menjadi topik hangat apabila beberapa istilah harian tempatan menerima pengiktirafan di peringkat antarabangsa.
Perkembangan ini pastinya mengundang rasa bangga, apatah lagi perkataan yang selama ini dianggap biasa dalam perbualan seharian seperti agak-agak, kaypoh dan boleh kini secara rasmi dimasukkan ke dalam Kamus Bahasa Inggeris Oxford (OED). Ia bukan sekadar tentang bahasa, tetapi turut menggambarkan betapa uniknya budaya dan cara hidup masyarakat Malaysia serta Singapura.
Pengumuman itu dibuat oleh Oxford Languages pada Selasa, yang memaklumkan sebanyak 14 perkataan baharu dari Malaysia dan Singapura dimasukkan dalam kemas kini OED edisi Mac 2026. Selain entri baharu, beberapa perkataan sedia ada turut disemak semula.
Antara yang paling mencuri perhatian ialah perkataan “agak-agak”, yang boleh digunakan sebagai kata nama dan kata kerja. Istilah ini merujuk kepada tekaan atau anggaran, terutama dalam konteks masakan apabila bahan dimasukkan tanpa sukatan yang tepat. Bagi kebanyakan keluarga di Malaysia, perkataan ini sememangnya cukup biasa didengar, lebih-lebih lagi ketika ibu atau nenek berkongsi resipi di dapur.
Turut tersenarai ialah “wayang”, yang bukan sahaja merujuk kepada persembahan teater menggunakan boneka atau penari, tetapi juga membawa maksud kiasan seperti kepura-puraan atau sesuatu yang dibuat-buat. Penggunaan perkataan ini dalam kehidupan harian juga cukup meluas dan mudah difahami oleh masyarakat tempatan.
Perkataan “boleh” pula diberikan definisi sebagai kata kerja yang menunjukkan keupayaan melakukan sesuatu. Lebih menarik, ia juga diiktiraf sebagai kata seru yang membawa maksud persetujuan atau kelulusan. Ringkasnya, satu perkataan, tetapi dengan makna yang sangat dekat dengan gaya percakapan masyarakat kita.
Dalam masa sama, beberapa kata pinjaman daripada bahasa Hokkien turut dimasukkan, termasuk “kaypoh” yang merujuk kepada individu yang suka mengambil tahu hal orang lain, serta “jialat” yang menggambarkan keadaan sukar, rumit atau bermasalah.
Selain itu, beberapa istilah lain dari rantau ini yang kini menerima pengiktirafan global termasuklah “assam laksa”, “ais kacang”, “Mat Salleh” dan “main-main”, yang membawa maksud tidak serius atau sekadar bergurau.
Menurut Oxford Languages, sesuatu perkataan hanya akan dipertimbangkan untuk dimasukkan ke dalam OED selepas bukti penggunaannya dikumpulkan daripada pelbagai sumber bebas. Bukan itu sahaja, perkataan tersebut juga perlu menunjukkan penggunaan yang meluas serta konsisten dalam tempoh masa tertentu.
Proses ini memastikan hanya istilah yang benar-benar relevan dan digunakan secara meluas sahaja akan diterima, sekali gus menjadikan pengiktirafan ini lebih bermakna kepada masyarakat Malaysia dan Singapura.
Pengiktirafan ini jelas membuktikan bahawa bahasa harian yang digunakan masyarakat Malaysia dan Singapura mempunyai nilai budaya yang tinggi. Ia juga menjadi simbol bahawa bahasa bukan sekadar alat komunikasi, tetapi turut mencerminkan identiti, gaya hidup dan warisan masyarakat.
Bagi ibu bapa, ini juga boleh menjadi momen menarik untuk memperkenalkan kepada anak-anak bahawa perkataan yang biasa digunakan di rumah, di sekolah atau dalam gurauan harian sebenarnya mempunyai tempat tersendiri di mata dunia.
Sesungguhnya, bahasa yang lahir daripada budaya dan kehidupan seharian itulah yang menjadikannya lebih hidup, dekat dan bermakna. Tidak keterlaluan jika dikatakan kemasukan 14 istilah tempatan ini ke dalam Kamus Oxford adalah satu pengiktirafan yang membanggakan.
Daripada dapur hingga ke perbualan santai di meja makan, bahasa kita akhirnya diangkat ke pentas antarabangsa melalui perkataan Malaysia Singapura Kamus Oxford yang kini menjadi simbol kebanggaan bersama.
Hebat betul! Seorang kanak-kanak comel bernama M Rajamitheran, baru je berusia 2 tahun 11 bulan, dah berjaya mencipta sejarah dalam Malaysian Book of Records (MBOR) pada 25 Oktober lepas. Rajamitheran dengan pantasnya dapat menyebut 57 logo kereta dalam masa satu minit sahaja. Ini merupakan suatu pencapaian luar biasa bagi anak sekecil ini!
Memetik laporan Sinar Harian, ibunya, C Saranyaa, 33, berkata, pencapaian tersebut diterima bagi kategori bilangan logo kereta terbanyak yang dikenal pasti oleh kanak-kanak.
Rajamitheran yang merupakan anak tunggal mula menunjukkan minat terhadap logo kereta sejak berumur satu tahun selepas melihat kereta model Volkswagen di jalan raya buat pertama kali.
“Bermula dari situ, suami saya, S M Mugilan, 35, mula ajar (Rajamitheran) dengan kenal lima logo kereta dahulu menggunakan kad imbas kanak-kanak. Keesokan harinya, anak saya boleh ingat lima logo itu.
“Dalam masa dua bulan sahaja, dia sudah tahu 70 logo kereta. Dari situ selepas bincang dengan suami, kami cadang bawa Rajamitheran untuk MBOR,” katanya yang menetap di Ipoh, Perak.
200 LOGO KERETA
Menurut Saranyaa, sehingga kini Rajamitheran mampu menamakan 200 logo kereta.
Ujarnya, ketika sesi ujian bersama panel MBOR, Rajamitheran hanya dapat menjawab 45 logo kereta bagi percubaan kali pertama sebelum mencuba untuk kali kedua.
“Tapi hanya dapat jawab 10 logo sahaja dan untuk pengiktirafan ini, kami hanya diberi tiga kali percubaan.
“Saya ingat mereka hanya soal 70 logo kereta yang saya ajar sahaja, tetapi tidak sangka logo kereta yang Rajamitheran tidak tahu pun mereka tanya juga,” ujarnya.
Jelas Saranyaa, bagi percubaan terakhir, mereka diberi tempoh selama sebulan untuk membuat persediaan.
“Rajamitheran berjaya jawab 70 logo tetapi selepas tolak dari segi salah sebutan, pihak MBOR tetapkan sebanyak 57 logo yang berjaya dinamakan.”
Sumber: Sinar Harian
Mencari bahagia bersama KELUARGA?
Download dan baca sekarang di
Noryn Aziz berkongsi rahsia gaya hidup sihat apabila berjaya meninggalkan makanan segera selama bertahun-tahun, mengurangkan pengambilan nasi dan mengamalkan kawalan kalori setiap hari.