Ads

Anak Tamat IGCSE Usia 15 Tahun, Dr Azu Dedah Strategi Pendidikan Sejak Kecil

Setiap ibu bapa pasti mahu memberikan pendidikan terbaik buat anak-anak. Namun bagi Pakar Motivasi Minda dan usahawan, Dr Hjh Azuraida Shahadan atau lebih dikenali sebagai Dr Azu Shahadan, pendidikan terbaik bukan semestinya bermaksud kekal di sebuah sekolah yang sama sehingga tamat pengajian.

Anak sulungnya, Adam Adrian, telah melalui pengalaman belajar di enam buah sekolah berbeza sebelum berjaya menamatkan silibus International General Certificate of Secondary Education (IGCSE) pada usia 15 tahun. Perjalanan pendidikan anak Dr Azu Shahadan ini membuktikan bahawa setiap anak mempunyai laluan pembelajaran yang unik mengikut keperluan dan potensi masing-masing.

Anak Tamat IGCSE Usia 15 Tahun, Dr Azu Dedah Strategi Pendidikan Sejak Kecil

Permulaan Pendidikan Anak Dr Azu Shahadan

Menurut Dr Azu, setiap pertukaran sekolah itu bukan dilakukan secara suka-suka, sebaliknya dirancang dengan teliti berdasarkan keperluan, potensi dan perkembangan Adam pada setiap fasa usianya.

Adam dilahirkan di Amerika Syarikat dan kembali ke Malaysia ketika berusia enam tahun. Memandangkan bahasa pertamanya ialah bahasa Inggeris, Dr Azu memilih Sekolah Antarabangsa Sri KDU sebagai langkah awal untuk membantu anaknya menyesuaikan diri dengan sistem pendidikan serta persekitaran di Malaysia.

Selepas tiga tahun, Adam berpindah ke International Islamic School Malaysia (IISM), sekolah milik Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), bagi menerima pendedahan lebih mendalam terhadap pendidikan agama dan nilai-nilai Islam.

Dua tahun kemudian, Adam meneruskan pembelajaran di Maahad Tahfiz Darul Mubarak untuk mendalami al-Quran sehingga berjaya mengkhatamkannya.

Anak Tamat IGCSE Usia 15 Tahun, Dr Azu Dedah Strategi Pendidikan Sejak Kecil

Setiap Sekolah Mempunyai Peranan Berbeza

Perjalanan pendidikan Adam diteruskan di Kolej Yayasan Saad Melaka, sebuah sekolah berasrama penuh yang dipilih bagi membantu membentuk disiplin, akhlak, jati diri dan sikap berdikari.

Ads

Selepas berada selama beberapa bulan di Amerika Syarikat, Adam kembali ke tanah air dan mengikuti pembelajaran di Learning Oasis Wangsa Maju selama tujuh bulan sebagai persediaan intensif untuk silibus IGCSE.

Adam kemudiannya diterima masuk ke Kolej Yayasan Saad KL East dan berjaya menamatkan pengajiannya di situ.

Dr Azu menjelaskan bahawa kemasukan Adam ke KYS KL East sebenarnya telah dirancang lebih setahun lebih awal. Namun, beliau sedar proses kemasukan ke sekolah tersebut bukan mudah.

Justeru, Learning Oasis dipilih sebagai batu loncatan bagi memastikan Adam benar-benar bersedia dari sudut akademik.

“Tiada satu sekolah yang mampu memenuhi semua keperluan perkembangan seorang anak. Ada sekolah yang cemerlang dari sudut akademik, ada yang menitikberatkan pembinaan sahsiah, ada yang memberi penekanan kepada hafazan al-Quran dan ada pula yang menyediakan laluan pendidikan seperti IGCSE.

Sebagai ibu, saya memilih sekolah berdasarkan keperluan anak saya pada setiap fasa usianya, bukan semata-mata kerana nama atau populariti sesebuah sekolah.”

Anak Tamat IGCSE Usia 15 Tahun, Dr Azu Dedah Strategi Pendidikan Sejak Kecil

Pendidikan Anak Dr Azu Shahadan Perlu Disesuaikan Mengikut Keperluan

Menurut Dr Azu, setiap anak memiliki perjalanan yang berbeza. Oleh itu, ibu bapa perlu memahami kekuatan, kelemahan dan keperluan anak sebelum membuat sesuatu keputusan berkaitan pendidikan mereka.

Ads

Beliau turut mengingatkan masyarakat agar tidak terlalu cepat menilai kemampuan seseorang pelajar hanya kerana mereka kerap bertukar sekolah atau melalui laluan pendidikan yang berbeza.

Katanya, masih terdapat segelintir ibu bapa dan pendidik yang mudah memandang rendah terhadap anak-anak yang tidak melalui perjalanan pendidikan secara konvensional.

“Saya percaya kehidupan seorang anak ibarat sekeping puzzle. Setiap pengalaman, guru, sekolah, kemahiran dan cabaran merupakan cebisan yang melengkapkan gambaran besar kehidupan mereka.

Tanggungjawab ibu bapa bukan sekadar menghantar anak ke sekolah, tetapi memastikan setiap kepingan penting itu diisi sebelum mereka melangkah ke alam dewasa.

Apabila puzzle itu lengkap, mereka bukan sahaja memiliki ilmu, tetapi juga nilai, karakter, daya tahan dan kebijaksanaan untuk menghadapi kehidupan.”

Pendidikan Bukan Sekadar Akademik

Penulis buku Rahsia Kuasa Minda itu berpandangan bahawa zaman kanak-kanak hingga awal dewasa merupakan tempoh paling penting dalam pembentukan seseorang individu.

Dalam tempoh tersebut, ibu bapa memainkan peranan besar dalam membentuk pemikiran, kepercayaan, karakter dan kebolehan anak membuat keputusan.

Menurut Dr Azu, ramai ibu bapa terlalu sibuk mencari sekolah terbaik sedangkan apa yang lebih penting ialah membina perjalanan pendidikan terbaik mengikut keperluan dan potensi anak.

Ads

“Jangan mentertawakan anak-anak yang sering bertukar sekolah kerana pasti ibu bapa mereka mempunyai sebab tersendiri. Jangan juga cepat merendahkan kebolehan seseorang pelajar.

Setiap anak mempunyai potensi yang luar biasa sekiranya mereka dibimbing, diberi peluang dan berada dalam persekitaran yang sesuai.”

Beliau turut mengingatkan bahawa tempoh anak-anak berada di bawah jagaan ibu bapa amat singkat dan perlu digunakan sebaik mungkin.

“Gunakan masa yang singkat itu untuk mengisi diri dan minda mereka dengan perkara yang terbaik. Lengkapkan puzzle kehidupan mereka kerana suatu hari nanti, merekalah yang akan memimpin masyarakat, negara, malah dunia.”

Terima Biasiswa Perubatan di Rusia

Selepas menamatkan pengajian IGCSE pada usia 15 tahun, Adam kini bersedia membuka lembaran baharu dalam perjalanan pendidikannya.

Menurut Dr Azu, anak sulungnya itu telah menerima tawaran biasiswa untuk melanjutkan pengajian dalam bidang perubatan di Rusia pada penghujung tahun ini.

Bagi Dr Azu, pencapaian tersebut merupakan hasil daripada perjalanan pendidikan yang dirancang dengan teliti sejak kecil serta kepercayaan bahawa setiap anak mempunyai kekuatan dan keunikan tersendiri.

Kisah pendidikan anak Dr Azu Shahadan membuktikan bahawa pendidikan bukan hanya tentang sekolah mana yang dipilih atau berapa kali seorang anak berpindah sekolah. Lebih penting, setiap keputusan perlu dibuat dengan memahami keperluan anak, membina karakter dan menyediakan mereka untuk menghadapi dunia sebenar yang semakin mencabar.

Perkongsian ini turut menjadi inspirasi kepada ibu bapa agar melihat pendidikan sebagai satu perjalanan yang fleksibel dan menyeluruh. Kejayaan tidak semestinya bergantung kepada satu sistem pendidikan sahaja, sebaliknya kepada kebijaksanaan ibu bapa dalam memilih pengalaman terbaik untuk perkembangan anak pada setiap peringkat usia.

BACA LAGI : Engku Emran Terharu Aleesya Cemerlang IGCSE -“Tahniah 7A Anak Ayah, 11 Tahun Teman Ulang Kaji & Kelas Tambahan”

Dapatkan cerita, perkongsian dan info menarik. Free jer!
Dengan ini saya bersetuju dengan Terma Penggunaan dan Polisi Privasi

Mencari bahagia bersama KELUARGA? Download dan baca sekarang di

KLIK DI SEENI
Ads

Cerita Keluarga Lain

“Tak Suka Sakitkan Hati Pasangan” Tun Mahathir & Tun Hasmah Rai...

Tun Mahathir dan Tun Hasmah menyambut ulang tahun perkahwinan ke-70 dengan kisah cinta, rahsia rumah tangga bahagia serta nasihat kepada golongan muda mengenai kepentingan membina keluarga.