Bukan hanya mengguna Bahasa Jepun ketika bernikah malah pengantin lelaki ini turut memberikan mas kahwin kepada isterinya dengan menggunakan duit Yen.
Umum mengetahui, antara syarat sah bagi sebuah perkahwinan adalah lafaz akad nikah.
Jika di Malaysia, kebiasaannya kita mendengar lafaz itu dinyatakan dengan menggunakan bahasa ibunda iaitu Bahasa Malaysia.
Selain Bahasa Malaysia ada juga yang melafazkannya dalam Bahasa Inggeris bagi mereka yang tidak boleh berkomunikasi dengan bahasa rasmi itu tetapi ia bukanlah sesuatu perkara yang luar biasa.
Lafaz Nikah Guna Bahasa Jepun Undang Perhatian Ramai
Namun berbeza dengan pasangan ini apabila lafaz akad nikah mereka disebut dengan menggunakan Bahasa Jepun sehingga mengundang perhatian ramai.
Menerusi video dikongsikan oleh Ajwad Azizan memaparkan situasi ketika adik perempuannya sedang bernikah bersama dengan pasangan yang berasal dari negara Jepun.
Dalam video tersebut, kelihatan lelaki yang dikenali sebagai Yoshiki sedang bersalaman dengan bapa pengantin perempuan sambil melafazkan akad dengan menggunakan Bahasa Jepun menandakan bahawa dia menerima wanita berkenaan sebagai isterinya.
Ads
Abang ipar pandai cakap Jepun jadi ‘translator’ dan saksi ketika akad nikah
Tidak lama kemudian salah seorang yang dipercayai abang ipar kepada pengantin perempuan itu telah menyambut lafaz berkenaan dengan menterjemahkannya semula dengan menggunakan Bahasa Melayu.
“Nikah dengan orang Jepun akad kena ada translator (penterjemah bahasa). Abang ipar dua orang pandai cakap jepun, sorang terjemah sorang lagi jadi saksi,” kata Ajwad.
Bagi Mas Kahwin Guna Duit Yen
Apa yang lebih menarik, Yoshiki turut memberikan mas kahwin dengan menggunakan wang dari negara matahari terbit itu.
Ads
Ketika ditanya bagaimanakah adiknya berkenalan dengan lelaki jepun tersebut, Ajwad menjawab pengantin perempuan itu bekerja di sana.
Jika tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya, setiap apa yang kita inginkan di dunia ini perlu ada usaha untuk mencapainya. Pokok pangkalnya terletak pada diri kita sendiri, tiada apa yang mustahil untuk dilakukan.
Ini samalah kisahnya yang tular baru-baru ini berkenaan seorang anak yang lahir di dalam keluarga asnaf namun kini siapa sangka mampu membawa diri dan keluarganya menghampiri golongan T20.
Memetik perkongsian gadis ini bersama mStar yang dikenali sebagai Sarihan Mustapha, akui perit dengan kehidupan yang dilalui sejak kecil dan nekad untuk mengubah nasib keluarganya.
Lalui Hidup Serba Kekurangan
Difahamkan, gadis berusia 20 tahun ini hanya dibesarkan oleh ibu yang berpendapatan kira-kira RM500 sebulan.
“Selepas berpisah, saya bersama enam lagi adik-beradik dibesarkan sepenuhnya oleh mak dari kecil sehingga umur saya 17 tahun, mak tidak mempunyai kerja tetap.”
“Memang ada bantuan ibu tunggal, tapi tak cukup pun nak tanggung perbelanjaan keluarga. Jadi dari kecil hingga tingkatan 5, setiap kali isi dalam borang ibu bapa memang saya tulis gaji mak RM500 sebulan.”
“Kadang rasa malu sebab takut orang pandang rendah dan hina apabila mereka bertanya apa pekerjaan mak… ia berlanjutan sehingga saya masuk MRSM (Maktab Rendah Sains Mara),” luahnya yang merupakan anak keenam.
Dikelilingi Rakan Yang Kaya
Bercerita lanjut lagi, anak kelahiran Bachok, Kelantan ini lagi bahawa keadaan lebih menyedihkan apabila dia berada di sekolah menengah.
Mana tidaknya, pendapatan ibu dan bapa rakan-rakan sekelas sangat besar dan ada yang mencecah puluhan ribu ringgit.
“Tingkatan 4 dan 5 saya dimasukkan ke MRSM Bitara (program khas)… di situ kebanyakan pelajarnya adalah daripada keluarga yang kaya serta mempunyai status seperti Datuk dan Datin.”
“Sedangkan semasa berada di tingkatan 5, mak saya tidak lagi bekerja kantin sebaliknya melakukan kerja kampung dengan gaji sekitar RM500.”
“Di MRSM pula, sesi pembelajarannya menggunakan iPad sahaja. Jadi saya dengan famili yang sangat susah serta tiada adik-beradik yang boleh tolong pada masa itu, tidak mampu memiliki gajet berkenaan. Malah permohonan bantuan yang dihantar ke wakil rakyat tidak pernah dibalas, jadi saya teruskan pembelajaran tanpa iPad selama dua tahun,” ujarnya sebak mengimbau keperitan hidup yang dilaluinya.
Tambahnya lagi, “Ketika itu, hanya dua daripada 20 pelajar tidak mempunyai iPad dan keadaan itu menyebabkan saya belajar dalam keadaan sedih sebab dikelilingi orang kaya. Apa yang mereka nak gunakan dalam pelajaran sentiasa dapat.”
“Walaupun saya mempunyai biasiswa, tetapi buku dipegang oleh kaunselor… tetap rasa tak seronok sebab bila duit kurang kena jumpa kaunselor untuk minta dan pelajar lain memang dah tahu hanya pelajar miskin yang akan berjumpa kaunselor,” jelasnya.
Impikan Hidup Senang
Terganggu dengan situasi seumpama itu menyebabkan dia tidak mampu untuk mendapatkan keputusan cemerlang seperti yang ditetapkan pihak sekolah.
“Saya bersyukur sebab kawan-kawan rapat tidak menyampah dan berkira dengan saya pada masa itu.”
“Memang saya rasa insecure dengan diri, selalu bersedih dan menangis… saya telefon mak dan mengadu yang kawan-kawan saya kaya-kaya serta pandai. Alhamdulillah walaupun saya rasa nak berhenti dari MRSM, mak saya sentiasa bagi semangat sehingga saya habis,” ceritanya lagi.
Seperti anak remaja yang lain, Sarihan juga mengimpikan hidup senang dan mahu mengubah nasib keluarga.
Dapat Bonus Bisnes
“Tamat sahaja persekolahan, saya berdoa supaya apa yang saya nak buat dipermudahkan. Masa tu fikir bagaimana nak ubah kehidupan yang berstatus asnaf dan tak sangka yang saya akan terfikir untuk buat bisnes selepas peperiksaan SPM (Sijil Pelajaran Malaysia). Alhamdulillah Allah bukakan mata saya untuk melihat pelajar-pelajar universiti buat bisnes.”
“Memasuki usia 18 tahun, saya mula berdaftar sebagai ejen satu produk dan tiga bulan selepas itu saya berjaya menjana pendapatan empat angka. Pada masa itu saya dalam proses pendaftaran di matrikulasi.”
“Rasa seronok kerana orang lain beratur untuk mengeluarkan elaun belajar, saya pula dapat bonus bisnes. Pendapatan yang diperoleh membuatkan saya mampu memberi duit belanja RM1,000 kepada mak manakala RM1,000 untuk saya berbelanja,” ujarnya yang pernah peroleh pendapatan sehingga RM9,000 ketika usia 19 tahun.
Menzahirkan rasa syukur dengan rezeki di usia muda, dia turut gembira apabila pensyarah tidak menghalang bisnes sebaliknya turut memberi sokongan padu.
“Semangat itu saya dapat kerana dah berjanji dengan diri untuk ubah nasib diri dan keluarga… saya tak mahu keluarga berstatus asnaf. Jadi sibuk atau tidak saya tetap jalankan bisnes, walaupun tengah peperiksaan, saya berjaya capai bonus sehingga RM9,000 bersih.”
“Bila buat bisnes saya berjaya ‘lompat’ sehingga hampir mencapai status T20,” luahnya yang turut menyeru insan senasib dengannya untuk tidak berdiam diri sebaliknya menggunakan peluang yang ada untuk mengubah taraf hidup.
Kini dia melanjutkan pelajaran dalam jurusan keusahawanan di Universiti Malaysia Kelantan, keputusan yang diperoleh tetap cemerlang iaitu 3.74 walaupun jadual hariannya padat.
Ketika kecil dia sering diejek sumbing, senget dan sengau. Semuanya kerana dia dilahirkan sebegitu. Hasnoradiah Abu Hassan yang mengalami masalah lelangit rekah dan mulut sumbing.
Tidak mahu nasib yang sama dialami oleh pesakit lelangit rekah dan mulut sumbing membuatkan wanita berusia 55 tahun ini menghasilkan sebuah buku bagi memberi kesedaran kepada masyarakat berkaitan masalah kecacatan muka tersebut.
“Segelintir masyarakat tahu perkara yang dipanggil cleft lip and palate ini (lelangit rekah dan mulut sumbing). Tetapi mungkin tidak ada sebarang kesedaran terhadapnya.
“Niat saya bercerita mengenai kisah hidup dalam buku yang dihasilkan ini adalah untuk memberi inspirasi kepada mereka yang mengalami masalah yang sama seperti saya. Saya mahu masyarakat peka terhadap masalah sumbing mulut ini, ” terangnya yang mesra disapa dengan panggilan Nora.
Pembedahan pertama usia 3 bulan
Bagi memastikan mulut dan hidungnya seperti sekarang, Nora perlu melakukan hampir 10 pembedahan.
“Seawal usia tiga bulan saya telah melakukan pembedahan pertama. Bagi kanak-kanak yang dilahirkan dalam keadaan sebegini, bukan satu pembedahan sahaja sudah cukup. Masih banyak lagi proses pembedahan yang perlu dilakukan. Tidak mudah untuk membetulkan hidung dan mulut saya.
“Bila dilahirkan dengan lelangit rekah, ia memberi kesan pada muka. Hidung dan mulut saya tidak dilahirkan sempurna. Ia memberi kesan pada percakapan kerana lelangit pecah. Jadi sebelum pembedahan berlaku apabila bercakap, suara saya akan nyata sengau,” kata Nora tentang dirinya.
Sejak kecil diejek
Dilahirkan sebegini rupa, banyak perkara telah mengusik jiwanya. Sejak kecil dia sering diejek.
“Saya merana dalaman. Saya memang telah menjangkakan perkara sebegitu akan berlaku pada diri saya. Sering diejek dan dibuli ketika saya sekolah rendah sehinggalah saya berumur 17 tahun. Di sekolah, mereka akan panggil nama-nama tidak elok pada saya. Sumbing, senget dan sengau. Itulah nama saya yang mereka panggil. Diejek juga telah menyebabkan saya hilang keyakinan dalam diri.
“Ketika umur 30-an, saya berhenti melakukan pembedahan. Saya langsung tidak bercerita tentang masalah sumbing saya ini kerana terlalu malu. Kenapa saya malu?Sebab masa kecil kita telah diejek dengan pelbagai nama. Saya tiada keyakinan diri.
“Pada mulanya saya sendiri tidak boleh terima keadaan ini pada diri saya. Saya tertanya-tanya kenapa diri saya dilahirkan begini. Hanya beberapa tahun yang lepas barulah saya terima kenyataan bahawa inilah Allah hendak beri pada saya. Saya terima dengan hati yang terbuka.
“Setelah saya menerima keadaan diri ini, barulah saya terfikir, apa yang saya boleh lakukan? Saya mula berfikir-fikir untuk bercerita dan menulis buku tentang diri saya. Salah satu sebab sya ingin menulis buku kerana merasakan dalam masyarakat Malaysia ini tidak ada orang yang bercerita mengenai struggle dan accept mereka yang dilahirkan dengan kecacatan muka ini,” ujarnya lagi dan hasil peratusan jualan buku bertajuk Born To Smile itu akan disumbangkan kepada Persatuan Klef Bibir dan Lelangit Malaysia (CLAPAM) serta Kiwanis Malaysia.
Mahu beri inspirasi
Bersandarkan kepada pengalaman hidup sebagai pesakit lelangit rekah dan mulut sumbing, mantan Presiden Kelab Kiwanis Ampang Jaya, Selangor ini mahu memberi inspirasi kepada kanak-kanak yang dilahirkan dengan masalah yang sama.
“Saya tahu bagaimana keadaan mereka apabila diejek. Saya tahu sebab saya merasa. Insya Allah dengan keizinan Allah, saya harap cerita saya akan memberi semangat kepada kanak-kanak yang dilahirkan begini dan kepada kanak-kanak yang ada perasaan rendah diri.
“Banyak orang dalam dunia ini ada perasaan rendah diri. Saya hendak beritahu bahawa kita tidak perlu rasa rendah diri kerana kita ada cara-cara untuk overcome perasaan rendah diri itu. Perasaan rendah diri itu adalah masalah utama untuk kita pergi ke hadapan.
“Jadi sekarang ini saya tidak mahu bersembunyi lagi. Saya tidak mahu menyorok di belakang kejadian saya dilahirkan begini. Tetapi saya mahu menggunakan kisah saya untuk memberi inspirasi,” kataya dengan penuh semangat.
Beban bahu ringan
Setelah tidak menyorok mengenai keadaan dirinya, Nora merasakan seperti beban di bahunya telah ringan.
“Mungkin apabila saya berjumpa dengan orang mereka lihat wajah saya setelah disolek. Apabila solekan dibuang mereka akan nampak wajah asal saya. Apa perasaan mereka setelah melihat wajah asal saya?
“Saya juga mahu orang suka saya sebab apa ada dalam hati bukannya sebab apa yang saya tunjukkan di luar. Saya sedar masyarakat sekarang ini akan lihat luaran. Jika kita cantik, apa yang boleh kita berikan kepada mereka? Apa status dan kedudukan kita? Saya tidak mahu ada perasaan sebegitu lagi.
“Kalau ada orang nak kata kenapa muka saya begini. Saya tidak mahu ada tanda tanya. Jika kamu suka pada saya, ini adalah saya. Saya tidak malu untuk menyatakan sekarang bahawa saya dilahirkan begini.
“Tetapi saya mahu menggunakan cerita saya sebagai satu harapan dan inspirasi kepada kanak-kanak yang dilahirkan begini. Kadang-kadang kita tidak tahu mengapa Allah berikan cabaran. Tetapi setiap cabaran ada hikmah di sebaliknya. Ini cabaran saya,” ujar nenek kepada seorang cucu ini mengakhiri perbualan.
Mencari bahagia bersama KELUARGA?
Download dan baca sekarang di
Mengimbau kembali tentang kaedah pembelajaran anak-anak kita sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang lalu, boleh dikatakan pengalamannya hampir sama bagi kita yang tinggal di bandar-bandar.
Anak-anak kita umumnya akan mendapat tugasan daripada guru-guru secara online dan kita sebagai ibu ayah pula akan memantau tugasan tersebut untuk disiapkan oleh anak-anak kita.
Setiap hari ada sahaja kerja sekolah dan dalam masa yang sama sepanjang PKP itu jugalah kita menjadi ‘guru tak bertauliah’ untuk anak-anak. Begitulah kelazimannya dan ini memberi satu momen yang tidak mungkin kita lupakan.
Namun berbeza kisahnya bagi anak-anak yang berada nun jauh di pedalaman. Tiada jaringan internet dan sekali gus menyukarkan untuk guru-guru merealisasikan dan melaksanakan pembelajaran dan pemudahcaraan (PdPc) sepanjang waktu PKP yang lalu.
Pun begitu tidak mahu membiarkan anak didik terlepas peluang belajar, Cikgu Muhammad Nazmi Rosli yang mengajar di Sekolah Kebangsaan (SK) Long Sukang, Sarawak sanggup menempuh perjalanan 200Km untuk menghantar bahan pembelajaran kepada 111 muridnya di 13 kampung yang terletak pedalaman di Lawas, Sarawak. Nyata suatu pengorbanan yang cukup besar dilakukan oleh guru muda ini demi anak didik kesayangannya.
Homework COD
Saya di sini tidak banyak pilihan, memandangkan pertamanya tiada kemudahan internet dan ibu ayah pelajar-pelajar adalah petani, pekebun dan ada yang berburu di hutan. Mereka tiada telefon, laptop atau sebarang gajet di rumah mereka.
Jadi dengan menghantar tugasan kepada anak murid yang saya namakan ‘Homework COD’ secara percuma adalah solusinya. Ini adalah sebagai satu inisiatif untuk saya edarkan kerja sekolah untuk murid pendidikan khas, pra-sekolah dan juga untuk murid Tahun Satu hingga Tahun Enam.
Usaha murni ini turut mendapat kerjasama daripada Pejabat Pendidikan Daerah bagi membantu mendapatkan kebenaran untuk saya menyerahkan homework ke tangan anak-anak murid. Bahkan saya ketika itu juga diselia dengan ketat oleh wakil pejabat kesihatan.
Ini bagi memastikan setiap bahan cetakan yang dibekalkan kepada anak murid tidak terdedah kepada risiko jangkitan Covid-19, ada SOP perlu dipatuhi dan antaranya memastikan murid perlu mencuci tangan sebelum dan selepas menerima bahan cetakan yang saya berikan.
Bermalam Dalam Kereta
Mengimbas kembali kesukaran menyerahkan homework ke tangan setiap pelajarnya, selain perlu menempuh perjalanan yang panjang dan berliku. Ada suatu hari tu, berlaku satu kejadian di mana kereta pacuan empat roda yang saya naiki mengalami masalah ketika melalui jalan balak yang amat mencabar.
Akibatnya, berlaku kerosakan dan menyebabkan kereta tidak boleh bergerak.
Hendak telefon minta bantuan, tiada talian telefon dan kerana itu saya terpaksa bermalam dalam kereta sehinggalah menunggu keesokan harinya untuk mendapatkan bantuan daripada orang yang lalu di kawasan tersebut.
Bagi saya, tugas ini bukan beban dan sejujurnya saya sangat berbangga untuk membantu sedaya boleh agar anak-anak di pedalaman ini dapat menimba ilmu.
Besar harapan saya untuk terus berbakti lebih lama lagi di sini untuk melihat setiap usaha yang dilakukan pada hari ini dapat ‘dituai’ kemanisannya dengan melihat kejayaan yang mereka peroleh kelak.
Untuk anda yang ingin melihat kisah guru ini lebih lanjut, ianya akan disiarkan di dalam sebuah dokufilem Malaysia vs Covid-19 pada 12 September 2020, Sabtu, 6 Petang di siarkan secara serentak di ASTRO RIA, ASTRO AEC, ASTRO VINMEEN, ASTRO HELLO, ASTRO AWANI atau string di ASTRO GO
Mencari bahagia bersama KELUARGA?
Download dan baca sekarang di
Sejak sekian lama, gambaran isteri tradisional sering dikaitkan dengan peranan di dapur, mengurus rumah tangga sepenuh masa, taat tanpa soal dan meletakkan keperluan diri...