
Realiti 6 tahun bermadu didedahkan oleh seorang wanita yang pernah menjadi isteri kedua dan melalui kehidupan rumah tangga secara bergilir. Perkongsian tersebut tular di media sosial serta mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan netizen, khususnya wanita yang tersentuh dengan luahan jujurnya.
Menurutnya, pendedahan ini bukan bertujuan membuka aib sesiapa, sebaliknya sebagai peringatan agar wanita tidak terburu-buru menerima poligami tanpa persediaan mental dan emosi yang benar-benar kukuh.

Realiti 6 Tahun Bermadu: Pada Awalnya Sangka Mampu Kawal Cemburu
Wanita berkenaan berkongsi bahawa sebelum mendirikan rumah tangga, dia sudah mengetahui status bakal suaminya yang mempunyai isteri pertama. Malah ketika itu, dia yakin dirinya cukup bersedia untuk menghadapi cabaran yang bakal datang.
“Sebelum masuk ke dunia itu, kita rasa memang tak akan cemburu dan sedih sebab dah tahu dia ada isteri pertama. Rasa boleh hadap,” kongsinya.
Namun, realiti 6 tahun bermadu yang dilalui ternyata jauh berbeza daripada jangkaan awal. Segalanya berubah selepas sah bergelar isteri dan menjalani rutin kehidupan sebenar secara bergilir. Tinggal dalam situasi berkongsi masa, perhatian dan kasih sayang bukanlah perkara mudah seperti yang dibayangkan.

Naluri Isteri Mahu Suami Sepenuh Masa
Tambahnya lagi, naluri seorang isteri secara semula jadi mahu bersama suami sepanjang masa. Apabila terpaksa berkongsi, perasaan tamak dan cemburu mula hadir tanpa disedari.
“Lepas duduk serumah dan lalui kehidupan bergilir, awak akan jadi tamak sebab sifat kita nak menempel dengan suami 24 jam,” luahnya jujur.
Dalam realiti 6 tahun bermadu itu, dia mengakui perasaan yang sebelum ini disangka mampu dikawal akhirnya menjadi ujian emosi paling berat. Layanan istimewa yang dirasai sebelum berkahwin atau pada awal perkahwinan selalunya tidak kekal lama.
Selepas beberapa bulan, keadaan mula berubah apabila suami berdepan tekanan untuk berlaku adil dan dalam masa sama menjaga hati isteri pertama.
Perubahan Sikap Suami & Ujian Emosi Berpanjangan
Menurut wanita itu, antara ujian paling berat sepanjang realiti 6 tahun bermadu adalah apabila suami mula memberi perhatian lebih kepada isteri pertama kerana timbul rasa bersalah. Dalam usaha menenangkan keadaan, suami cuba mengambil hati dan memujuk isteri pertama, menyebabkan isteri kedua berasa terpinggir.
Di situlah bermulanya konflik dalaman yang sukar dijelaskan. Rasa dibandingkan, tidak dihargai dan sentiasa berperang dengan perasaan sendiri menjadi ujian harian.
Katanya lagi, kehidupan poligami bukan sekadar soal pembahagian giliran bermalam atau nafkah, tetapi melibatkan kestabilan emosi yang sangat mencabar. Setiap hari menuntut kekuatan mental yang bukan sedikit.
“Tak Berbaloi Dengan Kesakitan Dilalui”
Selepas melalui realiti 6 tahun bermadu, dia akhirnya membuat keputusan untuk berpisah dan membina kehidupan baharu. Baginya, segala drama dan kesakitan yang dilalui tidak setimpal dengan pengorbanan emosi yang terpaksa ditanggung.
Kini, dia memilih untuk meneruskan kehidupan dengan lebih tenang dan berharap pengalamannya menjadi panduan buat wanita lain agar tidak mengulangi kesilapan yang sama.
Fikir Sedalam-Dalamnya Sebelum Terima Poligami
Perkongsian tentang realiti 6 tahun bermadu ini membuka mata ramai bahawa alam poligami menuntut kekuatan luar biasa, bukan sahaja daripada suami yang wajib berlaku adil, tetapi juga daripada isteri yang perlu bersedia berkongsi kasih sayang.
Dalam Islam, poligami dibenarkan dengan syarat suami mampu berlaku adil dari segi zahir dan batin. Namun hakikatnya, keadilan bukan sesuatu yang mudah dilaksanakan jika tiada tanggungjawab dan kejujuran sepenuhnya.
Buat wanita yang mungkin sedang mempertimbangkan untuk menjadi isteri kedua, pesannya cukup jelas jangan hanya bersandarkan cinta dan janji manis. Nilai kemampuan diri dengan jujur sebelum membuat keputusan besar dalam hidup.
Kerana dalam rumah tangga, yang diuji bukan sekadar hati, tetapi seluruh emosi, masa depan dan kebahagiaan diri sendiri. Semoga kisah ini menjadi iktibar dan panduan yang bermanfaat.
BACA LAGI : Pahit Manis Dalam Poligami, Umisya Kongsi Pengalaman Bermadu
Sumber: Threads
Mencari bahagia bersama KELUARGA?
Download dan baca sekarang di




