Apabila sudah mendapat rumah pula, pasti satu perkara akan bermain di fikiran pemilik: bagaimana untuk membuat ruang dalam rumah kelihatan lebih luas.
Ini lebih-lebih lagi bagi para pembeli rumah Bina Ikut Tempahan (BTO) yang rata-ratanya lebih kecil berbanding rumah lama.
Sebelum anda tergesa-gesa angkat pengetuk untuk memecahkan tembok, baca dahulu enam tip ini yang boleh membuat mahligai anda kelihatan lebih luas dan selesa.
1. ‘Sembunyikan’ barang
Ruang yang kecil akan nampak lebih sempit jika terlalu sarat dengan barang. Cari cara untuk menyusun dan menyimpan barang ara ‘tersembunyi’ – sama ada di balik tabir, belakang pintu atau atas rak-rak. Terdapat juga perabot pelbagai fungsi seperti katil ‘storage bed’ dan kerusi yang bukan sahaja untuk dibuat baring atau duduk, malah boleh menyimpan barang.
Dengan cara ini, ruang-ruang yang ada akan kelihatan teratur, kemas dan lebih penting lagi, luas.
2. Pilih warna yang terang dan lembut
Ads
Anda mungkin mempunyai warna kegemaran sendiri, namun adalah penting untuk memilih warna yang terang, lembut dan sejuk (soft and cool) agar membuat suatu ruang nampak lebih terbuka dan luas. Menurut The Spruce, warna hijau dan biru akan memberi kesan yang paling optimum.
3. Padankan warna
Ya, peranan warna lagi. Selain memilih jenis warna, campuran warna juga boleh membawa kesan kepada ‘keluasan’ ruang dalam rumah. Warna yang senjang atau kontras akan membuat sebuah ruang kelihatan berpecah-belah atau terpisah. Sebaliknya, jika anda memadankan warna perabot dan dinding atau langsir, ia membuat ruang kelihatan lebih tersambung lantas lebih luas.
4. Lebih cahaya, lebih luas!
Ads
Mana-mana ruang bilik apabila dilimpahi cahaya, tidak kira cahaya semula jadi atau buatan, pasti nampak lebih luas. Buka pintu dan tingkap dengan luas pada siang hari untuk manfaatkan cahaya dari luar. Gunakan lampu untuk menghiaskan dan meluaskan lagi ruang rumah anda.
Oh ya, elakkan juga daripada menggunakan langsir tebal yang menghalang cahaya. Lagipun dengan jadual padat kehidupan hari ini, siapa yang mahu mencari masa mencuci langsir-langsir berat itu?
5. Letak cermin
Ads
Penggunaan permukaan cermin dan lutsinar (see-through) juga dapat membantu dalam membuat sebuah ruang nampak lebih luas. Misalnya, meletakkan skrin mandi yang legap (opaque) akan membahagi ruang yang semamangnya sudah sempit. Jika digantikan dengan skrin lutsinar dan tanpa bingkai, secara semulajadi ia tidak lagi kelihatan begitu merimaskan.
Begitu juga dengan menggunakan cermin. Satu atau dua cermin tinggi dan besar yang diletakkan pada dinding, serta merta meluaskan lagi pemandangan dalam rumah.
6. Besar perabot, besarlah ruang!
Ya, anda tidak tersilap baca. Bayangkan satu ruang yang dipenuhi dengan lima atau enam kerusi kecil di sana sini. Bandingkan pula jika dalam ruang yang sama, kesemua kerusi kecil itu digantikan dengan satu atau dua sofa sahaja yang boleh dinikmati beramai-ramai. Pasti lebih kemas dan teratur, bukan?
Jika seseorang bijak menggantikan perabot kecil yang banyak dengan perabot yang besar sedikit namun kurang bilangannya, ia akan membuka ruang di dalam rumah anda.
Kredit: WKK Bina via The Spruce
Mencari bahagia bersama KELUARGA?
Download dan baca sekarang di
Buta sebelah mata dibaling mainan, pemuda 29 tahun kini OKU penglihatan. Harith Luqman Ismail dilahirkan sebagai individu normal, namun satu insiden tragis sembilan tahun lalu mengubah segalanya. Insiden tersebut berlaku apabila sebuah objek keras dilemparkan ke arah beliau, menyebabkan mata kirinya kehilangan fungsi penglihatan sehingga ke hari ini.
Sejak kejadian itu, Harith Luqman, 29, memulakan kehidupan baharu sebagai individu orang kurang upaya (OKU) penglihatan. Beliau terpaksa menyesuaikan diri dengan keadaan dan menerima takdir yang telah ditentukan untuknya.
Namun, Harith Luqman tidak membiarkan kesedihan menguasai dirinya. Beliau bangkit dan kini aktif menjalankan perniagaan dengan menjual pelbagai jenis makanan di sebuah gerai di Bandar Baru Uda, Johor Bahru.
Mengimbau kembali kejadian tersebut, Harith Luqman menceritakan bahawa ia berlaku ketika beliau sedang pulang ke rumah selepas tamat semester pengajian di kampus.
“Waktu itu, seorang kanak-kanak secara tidak sengaja membaling mainan kecil yang keras ke arah mata saya. Selepas menjalani pemeriksaan di hospital, doktor mendapati saraf di belakang mata kiri tidak lagi berfungsi. Pada mulanya, saya sangat sedih kerana mata adalah bahagian penting untuk berinteraksi dengan orang lain. Saya mula merasa malu dan hilang keyakinan diri,” katanya.
Kejadian itu turut memberi kesan kepada penglihatan mata kanannya yang menjadi silau. Akibatnya, beliau kerap mengalami sakit kepala, sukar memberi tumpuan dalam pelajaran, dan terpaksa berhenti daripada menyertai sukan, walaupun sebelum itu beliau sangat aktif.
Doktor turut memberi pilihan untuk membuang bola mata yang rosak atau mengekalkannya.
“Saya memilih untuk mengekalkannya, tetapi doktor mencadangkan penggunaan mata palsu. Lama-kelamaan, saya menerima takdir ini dengan reda dan bersyukur kerana mata kanan saya masih dapat digunakan untuk melihat,” ujarnya lagi.
Sokongan Keluarga dan Kejayaan Berniaga
Harith Luqman bersyukur kerana keluarga, termasuk ibu bapa, adik-beradik, dan rakan-rakan rapat, sentiasa memberikan sokongan moral kepadanya. Beliau juga berterima kasih kerana tidak pernah berdepan dengan situasi di mana kekurangan dirinya diperlekehkan.
Kehidupan hariannya kini dihabiskan dengan sibuk berniaga di gerai. Walaupun pernah menganggur selepas tamat pengajian, beliau akhirnya menemui minat dalam perniagaan apabila ahli keluarga mengajaknya menjual minuman boba di tepi jalan.
“Dari situ, minat untuk berniaga mula timbul. Saya belajar dengan memerhatikan cara peniaga lain menjaga kualiti dan kuantiti produk mereka. Daripada pemerhatian itu, saya cuba mengusahakan perniagaan sendiri dengan menjual nasi ayam kunyit, daging kunyit, ayam ‘black mamba’ (nama ciptaan sendiri), dan daging dendeng. Alhamdulillah, sambutan pelanggan sangat memberangsangkan sejak awal sehingga kini,” jelas Harith Luqman.
Sebagai seorang OKU, Harith Luqman lebih suka berdikari dan tidak mahu menjadikan kekurangannya sebagai alasan untuk menagih simpati.
“Saya sebenarnya enggan berkongsi cerita ini, tetapi ramai yang bertanya bagaimana saya menjadi OKU. Disebabkan gambar saya sebelum dan selepas kejadian tular di media sosial, saya rasa sudah tiba masanya untuk bercerita agar dapat memberi inspirasi kepada orang lain,” katanya.
Beliau juga bersyukur dengan sokongan positif yang diterima daripada orang ramai, termasuk mereka yang berkongsi pengalaman hidup masing-masing. Harith Luqman kini menyimpan impian untuk menjadi seorang usahawan berjaya dan individu yang berguna kepada masyarakat.
“Apa yang saya harapkan hanyalah doa dan sokongan. Saya ingin terus maju dan mencapai cita-cita saya,” katanya mengakhiri cerita.
Garam adalah salah satu bahan yang wajib digunakan dalam masakan. Jika tak ada bahan ini, masakan jadi tidak enak.
Namun tahukah anda, jika salah penggunaannya dalam masakan, khasiatnya akan hilang. Nampak remeh. Tapi ia penting untuk kesihatan tubuh badan ini. Sebagaimana perkongsian Dr Fatimah Salim.
Dapatkan My Qalam Elite Digital Perjuzuk Set dengan diskaun RM5 apabila anda menggunakan kod KELGST5 di sini
GARAM
Sejak dahulu lagi, garam telah menjadi bahan perasa dan pengawet dalam makanan dan minuman. Percaya atau tidak, rasa sedikit masin garam mampu memberikan rasa manis kepada buah, dan mengurangkan rasa pahit sayuran. Manakala penambahan garam kasar kepada makanan juga boleh memberikan tekstur unik dan sesasi ranggup kepada makanan.
Tahukah anda garam juga merupakan nutrisi sangat perlu untuk memastikan proses biologi badan berjalan dengan optimum?
YA. Garam penting untuk penyeimbangan cecair badan, dan memastikan sistem saraf dan otot badan kita berfungsi dengan baik.
Garam terbentuk daripada bahan kimia ionik iaitu natrium klorida (NaCl). Asasnya rasa masin garam adalah disebabkan oleh ion natrium (aka sodium), Na+ yang berinteraksi dengan reseptor masin pada lidah. Terdapat beberapa jenis garam iaitu, garam meja/ garam putih (table salt), garam batu (rock salt), garam kosher, garam merah jamu Himalaya/ garam pink (Himalayan pink salt), garam celtic dan garam hitam (black salt), dan garam laut (sea salt).
Antara jenis garam ini, yang sering dibandingkan adalah garam meja/garam putih dan garam Himalaya. Garam putih diperolehi daripada air laut dan dasar bumi. Garam ini melalui proses pemurnian untuk mengasingkan sebarang bahan asing. Setelah dimurnikan, garam putih biasanya ditambah dengan bahan penstabil natrium ferrocyanide, natrium aluminosilicate dan magnesium carbonate. Umumnya garam putih mengandungi 99.7% natrium klorida.
Garam pink Himalaya pula berasal dari kawasan perlombongan garam Khewra, berhampiran Himalaya, Pakistan. Garam pink mengandungi 98% natrium klorida dan 2% lagi mineral lain seperti potassium, magnesium, calcium, iron, zinc dan chromium.
Bergantung kepada tempat melombong, disebabkan tiada proses pemurnian, garam jenis ini ada potensi mengandungi pasir, juga logam toksik seperti merkuri, asenik dan plumbum. Perlu diketahui, warna pink pada garam ini disebabkan oleh mineral iron aka ferum yang teroksida, atau dalam bahasa mudahnya karat.
Jika dilihat pada kandungan natrium klorida garam putih dan garam pink, ia lebih banyak dalam garam putih. Maksudnya garam putih lebih masin. Maksudnya untuk menghasilkan rasa masin yang sama, jumlah garam putih yang perlu ditambah dalam masakan adalah sedikit jika dibandingkan garam pink. Kajian menunjukkan perbandingan kandungan minerals dalam garam putih dan garam pink adalah sangat sedikit.
Menariknya, garam putih juga ditambah dengan iodin. Di sesetengah negara, garam juga boleh ditambah dengan zat lain seperti asid folik, zat besi, florida dan diethylcarbamazine untuk menghalang penyakit yang berkaitan. Garam dijadikan sebagai bahan yang sangat berkesan untuk memberikan iodin kepada umum kerana ia tidak mudah rosak dan merupakan keperluan asas dalam memberikan rasa kepada makanan.
Sesungguhnya kekurangan iodin yang berpanjangan boleh menyebabkan muka menjadi sembab atau bengkak dan goiter. Ia boleh menyebabkan kerosakkan intelektual hingga terencat akal yang teruk di kalangan kanak-kanak dan hipotiroidisme (di mana pengeluaran hormon tiroid di bawah paras normal) pada golongan dewasa.
Umumnya iodin boleh diperolehi daripada pemakanan harian seperti kebanyakkan makanan laut seperti ikan, udang dan rumpai laut, produk tenusu seperti susu, yogurt dan keju serta telur.
Iodin ditambah ke dalam garam komersial biasanya berbentuk potassium iodate, potassium iodide, sodium iodate, atau sodium iodide. Jumlah yang ditambah adalah bergantung kepada pengeluar (5-25 mg/ kg garam). Bagi mengurangkan kadar kemeruapan iodin dan pengumpalan serta retakan pada struktur garam, ia juga ditambah dengan dextrose dan sodium silicoaluminate.
Pun begitu, keberadaan iodin yang ditambah dalam garam ini adalah bergantung kepada beberapa faktor termasuklah
• Jumlah iodin yang ditambah semasa proses pengiodinan
• ketidakseragaman taburan iodin dalam garam di antara batch dan setiap paket bungkusan.
• kehilangan/ degradasi iodin disebabkan oleh bahan asing seperti magnesium klorida, pembungkusan dan faktor persekitaran semasa pengendalian dan penghantaran.
• kehilangan iodin dalam garam boleh berlaku semasa penyimpanan paket yang telah dibuka disebabkan suhu persekitaran dan kelembapan yang tinggi melalui proses pengoksidaan dan pemejalwapan (sublimation).
• Jumlah iodin daripada garam juga akan berkurangan dalam proses memasak makanan.
CARA YANG BETUL DIGUNAKAN DALAM MASAKAN
Kadar kehilangan iodin dalam proses memasak adalah bergantung kepada kaedah memasak dan durasi garam dimasukkan dalam masakan. Semakin lama dan tinggi tekanan masakan yang digaram dimasak, semakin banyak iodin termusnah. Dapatan kajian menunjukkan kaedah memasak menumis seketika (1 minit 15 saat) adalah paling kurang jumlah kehilangan iodinnya (6.58%), manakala memasak dengan periuk tekanan tinggi selama 26 minit memusnahkan lebih daripada separuh kandungan iodin garam (51.08%). Untuk durasi masakan dengan kaedah memasak merebus, memanggang, menggoreng, dan penggunaan ketuhar gelombang mikro adalah masing-masing 40.24%, 10.57%, 10.40% dan 27.13%.
Ini jelas menunjukkan bagi mendapatkan khasiat iodin secara optimun daripada garam yang diiodin, kita perlulah memasukkan garam dalam masakan di akhir proses memasak. Garam juga perlu disimpan dalam bekas yang kedap udara untuk mengurangkan pengoksidaan iodin.
Kajian menunjukan, pengambilan garam yang berlebihan boleh mengurangkan kandungan kalsium tulang (osteoporosis), masalah buah pinggang and meningkatkan tekanan darah terutamanya kepada individu yang sensetif, berat badan berlebihan, berusia, dan penghidap darah tinggi. Pengambilan garam yang berlebihan juga dikaitkan dengan kanser perut.
Begitu bahaya garam berlebihan, kekurangan garam dalam badan (hyponatremia) juga mengancam kesihatan badan. Ini kerana garam mudah dikeluarkan daripada badan melalui sistem perkumuhan seperti kencing dan peluh. Kekurangan dalam badan boleh menyebabkan komplikasi seperti keletihan, kejang otot, masalah tulang dan serangan jantung.
Kesimpulannya, tidak kisah garam jenis mana pun yang anda ambil, pastikan bersederhana dan jelas tujuan. Ambil tahu tahap kesihatan dan keaktifan badan. Pastikan juga keperluan badan kepada iodin.
Trending di media sosial semalam (28 Februari 2022) apabila viral sebuah video memaparkan kegembiraan sekumpulan pendaki Gunung Kinabalu melihat keindahan alam apabila secara tiba-tiba salji turun.
Anugerah istimewa yang dirasai oleh para pendaki itu telah membuatkan ramai warga net teruja. Lebih lagi Malaysia merupakan sebuah negara beriklim khatulistiwa.
Sudah tentu kejadian itu meraih perhatian warganet. Sementara itu, dari sudut perubahan cuaca ini, menerusi Facebook Majlis Keselamatan Negara WP Labuan Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (Met Malaysia), Muhammad Helmi Abdullah memberikan penjelasan mengenai kejadian berkenaan.
Video Salji turun di Gunung Kinabalu
FENOMENA SALJI DI GUNUNG KINABALU SELEPAS 29 TAHUN
Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (Met Malaysia), Muhammad Helmi Abdullah memaklumkan salji turun bukanlah suatu perkara mustahil di kawasan tanah tinggi seperti Gunung Kinabalu.
Menurutnya, keadaan berkenaan boleh berlaku apabila suhu udara mencecah kosong darjah Celsius selain terdapat kelembapan yang mencukupi.
“Kebiasaannya kita boleh melihat proses pembekuan dan hal ini adalah menghasilkan ketulan ais di permukaan batu-batu yang sejuk.
“Tetapi dalam keadaan tertentu salji boleh terbentuk apabila suhu sejuk di bawah takat beku dan kelembapan mencukupi selain keadaan angin yang agak perlahan di sesuatu kawasan.
“Suatu fenomena yang jarang kita lihat tapi boleh berlaku,” katanya menerusi video kenyataan media berkaitan fenomena salji turun di Gunung Kinabalu, hari ini.
Terdahulu, pendaki dan malim Gunung Kinabalu terkejut selepas merasai pengalaman luar biasa melihat ketulan putih dipercayai salji jatuh dari langit ketika berada di kawasan Sayat-Sayat, dekat puncak Gunung Kinabalu, di sini, pagi tadi.
Dalam kejadian jam 6.20 pagi itu, cuaca difahamkan sangat sejuk dan secara tiba-tiba kelihatan ketulan putih menyamai salji dilaporkan jatuh dari langit berhampiran puncak gunung berkenaan selama kira-kira dua minit.