Setiap kali sang suami Shuib, berkongsi cerita tentang arwah Sarah, pasti membuatkan ramai tidak dapat menahan sebak.
Terbaru bapa kepada empat cahaya mata ini memuatnaik perbualan terakhir bersama arwah Isteri,sebelum dia ditidurkan.
“You jangan nangis…daddy jangan sedih. Ampunkan dosa-dosa I ya. Love you!”. Itulah antara kata-kata terakhir Siti Sarah sebelum ditidurkan kerana jangkitan Covid-19 pada 6 Ogos lalu.
Malah, Shuib turut meminta Siti Sarah untuk kuatkan diri untuk melawan virus covid tersebut.
“Ibu..satu step ni je you kena lepaskan..you minta dengan Allah kuatkan semangat you, InsyAllah lepas ni kita tengok baby kita.
“Ibu..sumpah I sayang you sangat,” kata Shuib dalam rakaman tersebut.
Perbualan terakhir tersebut diselitkan menerusi video muzik (MV) lagu Tinggalkan Diriku yang dimuat naik di laman Youtube.
“Enam hari selepas pemergian arwah, saya mendengar rakaman lagu Tinggalkan Diriku yang dirakam ketika sesi latihan untuk showcase Siti Sarah pada tahun 2018.
“Rasa sebak, hiba dan segala rasa hadir menerpa jiwa sepanjang mendengar semula lagu tersebut.
“Cara penyampaian arwah sangat berbeza dan istimewa sekali, seperti sudah tahu apa yang bakal terjadi nanti. Bait-bait lirik yang cukup indah sangat meninggalkan kesan kepada pendengar,” ujar Shuib atau Nama sebenarnya Shahmira Muhamad.
Ads
“Menerusi MV ini saya selitkan perbualan akhir bersama Siti Sarah ketika memberikan kata-kata semangat bagi memujuk arwah untuk ‘ditidurkan’.
“Ini adalah momen paling sukar dalam hidup saya sebagai seorang suami dan bapa kepada anak-anak.
“Perbualan tersebut adalah tanda pengorbanan besar seorang ibu yang bertarung nyawa untuk melahirkan anak,” ujarnya.
Siti Sarah, 37, menghembuskan nafas terakhir pada pukul 5.13 pagi Isnin, 9 Ogos di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia, Kuala Lumpur akibat Covid19.
Sebelum itu, arwah telah menjalani pembedahan mengeluarkan bayi lelaki yang diberi nama Ayash Affan ketika kandungannya berusia 8 bulan pada 6 Ogos lalu.
Selain Ayash, tiga lagi anak arwah iaitu Uwais Alqarni, 10, Dzahira Talita Zahra, 8 dan Ariq Matin, 6.
Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas Allahyarham Siti Sarah dan menempatkan dia dikalangan orang beriman. Al-Fatihah.
Apakah kesan pemakanan tinggi karbohidrat terhadap diri kita seperti lemang, ketupat, kuah kacang dan rendang?
Aidilfitri sudah menjelang tiba. Di hari raya ini, kita berkecenderung untuk makan lebih makanan yang berat berkalori tinggi. Makanan dan minuman yang diambil semasa hari raya kebiasaannya mengandungi kandungan lemak, gula, garam dan kalori yang tinggi.
Ini kerana kebanyakan juadah tradisi kita berasaskan karbohidrat. Karbohidrat adalah sumber tenaga yang utama dan membekalkan tenaga dengan cepat. Karbohidrat datang dari makanan yang bersumberkan tumbuh-tumbuhan seperti buah-buahan, sayur-sayuran, bijiran penuh, legume, kekacang dan biji benih (seed).
Ia mengandungi banyak karbohidrat, vitamin, mineral dan sebatian semulajadi yang menggalakkan kita menjadi lebih sihat (sebatian ini dinamakan phytonutrein).
Pengambilan karbohidrat kompleks yang tidak berproses (dari sayur-sayuran dan buah-buahan) membekalkan fiber sangat baik bagi untuk kesihatan usus, menurunkan penyerapan kolestrol dan secara tidak langsung membantu menurunkan berat badan dan mengurangkan risiko mendapat serangan sakit jantung.
Namun begitu pengambilan karbohidrat yang terlalu banyak adalah amalan yang tidak sihat. Terutama dalam kehidupan kita di zaman ini yang mana kita hidup dalam keadaan sedentari (kehidupan yang tidak memerlukan banyak tenaga), dan terdapat banyak makanan di sekeliling kita (di pasaraya dan di restoren) yang menyediakan makan yang berproses, tinggi kalori dan sangat rendah nutrisi.
Berbanding dengan orang zaman dulu yang menggunakan banyak tenaga dalam pekerjaan mereka (seperti berladang dan berkebun), pengambilan karbohidrat yang banyak tentu tidak menjadi isu kesihatan.
Oleh itu secara logiknya kita tidak memerlukan makanan yang sebegini dalam kuantiti yang terlalu banyak. Juadah hari raya yang beraneka sudah tentu menarik selera kita, terutama di musim Perintah Kawalan Pergerakan yang tidak membenarkan kita keluar rumah. Dengan selera yang bertambah, makanan yang tinggi kalori tersedia di atas meja dan tiada pergerakan fizikal akan membuatkan kita akan menjadi bertambah tidak sihat dan mungkin akan meningkatkan berat badan.
Bagi pesakit kronik metabolic seperti pesakit diabetis, hipertensi dan tinggi paras kolestrol, ia akan menyebabkan kawalan gula, tekanan darah dan kolestrol akan menjadi tidak terkawal, walaupun mengambil ubat yang diberikan secara berkala.
Bagi pesakit metabolik yang telah mengalami komplikasi seperti pesakit ginjal yang menjalani rawatan hemodialisis, pesakit jantung, dan pesakit stroke sudah tentu akan menyebabkan mereka berasa tidak sihat dan berkemungkinan ditahan wad untuk pemeriksaan lanjut.
Bagi mereka yang masih muda dan sihat, perubahan yang mungkin kelihatan adalah peningkatan berat badan. Namun sebenarnya proses menjadikan mereka berpenyakit metabolic sedang bermula tanpa disedari.
Oleh kerana juadah hari raya kita banyak yang berasaskan karbohidrat ringkas terutamanya seperti lemang, nasi impit, ketuput dan lontong, pengambilan juadah ini tidak digalakkan diambil secara berlebihan. Tidak salah menjamu diri dengan juadah tradisi ini, namun pengambilannya haruslah dikawal.
Seseorang mungkin mengambil jumlah makanan yang berkalori tinggi tanpa mereka sedari. Ini boleh menyebabkan seseorang itu mengalami penambahan berat badan lebih kurang 3-5 kg semasa musim hari raya. Kalori berlebihan bukan sahaja membuatkan ukur lilit pinggang anda bertambah, ia juga boleh menjadi punca kepada masalah yang lain seperti gastrik dan makanan sukar dihadam. Selain itu, ia juga boleh menyebabkan keadaan menjadi lebih teruk terutama bagi pesakit kronik seperti kencing manis dan darah tinggi.
Sebagai contoh pengambilan tiga potong lemang (1cm tebal) bersama satu senduk kuah rendang yang mengandungi 4 ketul daging membekalkan 500kCal. Hidang sebegini ringkas telah memenuhi kuota kalori kita untuk makana tengah hari! Tenaga sebanyak ini boleh digunakan untuk aktiviti berjalan kaki selama satu setengah jam, berjogging selama 45 minit dan mengayuh basikal selama satu jam.
TIPS BAGI MENGAWAL PEMAKANAN SEMASA HARI RAYA
Di bawah dikongsikan beberapa tips yang boleh membantu anda untuk kekal sihat semasa hari raya Aidilfitri:
1. Kebiasaannya pelbagai jenis makanan yang dihidangkan semasa hari raya Aidilfitri seperti rendang, ketupat, rendang, dan 1001 macam jenis kuih raya. Anda dinasihatkan mengawal nafsu semasa melihat makanan yang terhidang. Cuba ambil masa beberapa saat untuk melihat semua makanan sebelum membuat keputusan untuk memilih makanan yang anda ingin makan. Dengan cara ini, boleh membantu anda untuk mengambil jumlah setiap makanan yang anda inginkan secara terkawal. Seterusnya, dengan makan makanan dalam jumlah yang sederhana dan terkawal, ia akan memberi peluang kepada system penghadaman badan anda untuk terus berfungsi dengan baik sepanjang Aidilfitri nanti.
2. Dalam keghairahan untuk mencuba semua jenis hidangan hari raya yang tersedia, anda dinasihatkan untuk tidak lupa minum air dengan cukup dan mengambil makanan yang kaya dengan fiber. Ini adalah untuk mengelakkan anda mengalami masalah sembelit semasa hari raya. Tentu tidak seronok, bukan? Orang lain bergembira bertemu sanak saudara di hari raya, tetapi anda ter’perangkap’ di dalam tandas sepanjang hari.
3. Semua pun sedia maklum, hidangan di hari raya ini kebanyakannya terdiri dari makanan yang manis, berlemak, dan tidak kurang juga mengandungi kandungan garam yang tinggi. Oleh itu, anda dinasihatkan untuk mengurangkan pengambilan makanan seperti ini. Selain itu, tidak kurang juga hidangan minuman bikarbonat seperti coca-cola merupakan minuman yang popular di hari raya. Anda perlu ingat, kandungan gula dan kafein di dalam air bikarbonat adalah sangat tinggi. Oleh itu, tidak salah jika anda minum setengah gelas air coca-cola, dan kemudian segelas air kosong sekiranya anda masih berasa dahaga. Makanan dan minuman yang tinggi kandungan gula, lemak, garam, dan kafein boleh menyebabkan masalah seperti makanan tidak hadam dan sembelit.
4. Pengambilan beberapa biji kurma sebelum sembahyang raya adalah sangat digalakkan. Kemudian, anda dicadangkan makan makanan seperi roti gandum penuh, susu rendah lemak, dan sepotong buah-buahan sebagai sarapan ringan sebelum anda menjamah ketupat dan rendang.
5. Untuk makan tengahari dan makan malam, saya pasti kebanyakan dari kita yang mungkin sudah terlalu kenyang dengan ketupat dan lemang serta hidangan hari raya yang lain. Namun, sekiranya anda berjaya mengawal pemakanan anda pada hari tersebut, anda bolehlah menambah pengambilan sayur-sayuran, dan buah-buahan segar. Ini kerana saya dapati pada hari raya amat sukar sekali kita lihat makanan yang tersedia yang boleh dihidang bersama sayur-sayuran dan buah-buahan. Sayur-sayuran dan buah-buahan ini sangat penting untuk membantu penghadaman makanan yang anda ambil sepanjang hari tersebut.
Diharap panduan yang dikongsikan sedikit sebanyak dapat membantu anda untuk mengawal pengambilan makanan di hari raya nanti. Suka saya ingatkan, tubuh badan kita ini bukan untuk kita pakai sehari dua, tetapi sepanjang hidup kita.
TIPS BOLEH DIAMALKAN BAGI MENJADIKAN HIDANGAN DI HARI RAYA LEBIH SIHAT ?
Apa yang perlu setiap individu sama ada yang berpenyakit atau sihat, kuantiti dan jenis juadah perlu diberi perhatian terutama untuk makanan yang tinggi kandungan gula, garam dan lemak.
Kurangkan pengambilan makanan yang jatuh pada kategori itu bagi mengelakkan risiko penyakit, selain anda dapat mengelakkan berat badan ideal.
Sebaiknya jadikan apa sahaja yang kita lakukan dalam hidup ini bersama keluarga tersayang, biarlah matlamanya untuk menuju kehidupan bahagia di dunia hingga akhirat.
InsyaAllah jika ini niat kita, pasti hidup ini dilalui dengan tenang dan bahagia walau dalam apa keadaan sekali pun.
Mengambil kisah inspirasi seperti itu, ayuh kita baca perkongsian kisah penghijrahan keluarga ini, melepaskan dunia walau mampu hidip mewah untuk akhirat. Semoga terinspirasi kisah keluarga ini.
KURANG TAPI CUKUP
“Pernah tak dengar penulis akan diuji dengan tulisannya? Jadi, agaknya penulis buku Dekor Dekor Cinta, rumahnya macam mana?”
Tergelak besar satu bilik seminar.
Bukanlah maksud saya rumah saya teruk tidak didekor. Malah, ramai yang puji akan dekorasi unik yang dihasilkan di sini. Cuma, kehidupan kami lain dari orang lain.
Sebab apa?
Sebab yang terkini, rumah kami kecil. Kecilnya benar-benar sekangkang kera.
Mungkin hanya sebesar anjung kereta rumah Tuan Puan.
Mungkin juga hanya sebesar bilik tidur master Tuan Puan.
Ya, hanya sebuah unit studio berukuran 400 kaki persegi yang hanya ada satu pintu iaitu pintu ke bilik air.
Bayangkan, kami tinggal 7 beranak dalam unit ini!
“Macam mana nak jaga aurat anak lelaki dan anak perempuan?”
“Macam mana nak bersama suami isteri?”
Ramai bertanyakan hal yang sama.
Sudah pasti itu adalah hal yang paling kami utamakan. Rumah yang sejahtera ialah rumah yang mengikut sunnah Rasullullah. Tak mungkin kami ketepikan perkara sebegitu.
“Sayang tahu tak, ustaz kata, rumah Rasullullah ketika baring kakinya menyentuh dinding. Ketika berdiri, kepalanya menyentuh siling. Malamnya Rasullullah tidur dengan alas nipis di lantai kerana takut terlena sehingga tidak bangun untuk solat malam” kata suami satu pagi selepas balik dari solat Subuh di masjid.
Benar-benar lain. Kalau dulu dialah yang sibuk dengan meeting, suka mendengar lagu dan bermain alat muzik, sekarang penuh dengan kecintaan kepada amalan soleh dan semahunya mendekati para ilmuan dan ulama’.
“Abang balik lambat. Terus sampai solat Isyak. Sekarang berada di taman syurga” message suami yang sedang mengikuti kuliah maghrib.
Alhamdulillah. Itulah yang pernah diri ini angkat tangan menadah doa. Biar banyak masa kami habis dengan majlis ilmu terutamanya ilmu agama. Bukan sibuk mengejar ‘rezeki’ yang entah bila cukup dibuatnya.
Rumah ini, siangnya lain. Malamnya bertukar menjadi lain.
Jika disiang hari, rumah ini luas seperti rumah biasa. Ada ruang dapur, ruang tamu, ruang makan, ruang bermain, ruang membaca, ruang membuat kerja dan ruang menonton.
Tetapi, di malam hari, ia bertukar menjadi ruang tidur! Tiada lagi sofa, tetapi semuanya berubah menjadi katil. Meja sisi yang tadinya meja kopi, menjadi meja lampu tidur di mana baju anak ada di lacinya.
Ruang boleh dibahagikan dengan pintu sliding yang sebelumnya bertindak seperti dinding pembahagi ruang di tepi.
Paling penting, boleh dikunci!
Apabila mendongak ke siling, ada tangga-tangga yang membolehkan anak-anak panjat ke bilik tidur masing-masing.
Loteng anak lelaki dan loteng anak perempuan.
Setiap seorang ada tempat tidurnya. Dan setiap sudut berfungsi sepenuhnya siang dan malam tanpa ada yang terbiar atau tidak terusik.
“Ini rumah orang rajin!” kata ibu saya. Apa tidaknya, mahu mengubah perlukan kudrat yang kuat. Perlukan rajin yang amat.
“Ayah rasa kalau orang tahu ni, mahu kau anak beranak masuk suratkhabar” tak habis-habis ayah dengan idea masuk suratkhabarnya.
Kata ayah, kami duduk di Malaysia tapi cara hidup sudah macam orang yang duduk di Hong Kong atau di Jepun dibuatnya.
Ada banyak sebab kenapa kami bertukar kepada kehidupan sekecil ini. Itupun tidak disengajakan. Pastinya semua orang mahukan rumah yang luas. Siapa yang mahu berlelah setiap hari untuk transform rumah malam lain, siang lain?
Tapi saya percaya, Allah letakkan kami pada situasi sekarang ini agar kami memandang banyak perkara. Allah sedang membentuk kami untuk menjadi orang yang paling bersyukur, kreatif, inovatif, rajin dan mengharapkan sesuatu dariNya.
Paling pasti, Allah swt merancang semuanya untuk kami redha dan belajar untuk melepaskan banyak hal di dunia.
Bayangkan dari tinggal di rumah yang besar, kemudian semakin mengecil, mengecil, dan terus mengecil!
7 beranak, hanya 1 almari.
Kau mampu?
Inilah perkara yang sangat sukar dilakukan.
Kami terpaksa melepaskan banyak perkara yang sebelum ini kami anggap penting.
Setelah pelbagai ujian hidup, Allah bagi kami kemanisan melepaskan banyak perkara.
Mana mungkin kita menjadi mampu jika tidak kita berada dalam kesulitan.
Mana mungkin kita menjadi mahu jika kita tidak berada dalam kesempitan.
Senang dan susah,
Lapang dan sempit,
Kaya dan miskin,
Bahagia dan derita,
Sihat dan sakit,
Itu semua bukan ukuran kebahagiaan di dunia. Tetapi itu semua asbab kita makin dekat atau makin jauh dengan sang pencipta.
Allah lebih tahu saat bila kita akan tunduk padaNya.
Kalau dulu kami alpa, kini sebelum Subuh sudah berjaga.
Kalau dulu kami sibuk, kini setiap majlis kami mahu turut meraikan bersama.
Kecil atau besar, bukan ukuran.
Andai hari ini kita terpaksa tinggal di bawah jambatan, teruskanlah kehidupan.
Dekorlah bawah jambatan itu dengan keselesaan yang mampu engkau usahakan.
Satu doaku, moga kau dan aku berjiran di syurga dengan rumah yang paling elok dan kegembiraan yang nyata.
Hidup dengan berani melepaskan barang kesayangan dengan bersedekah dan diagihkan, pasti akan membuatkan kita berasa seolah-olah menjadi sangat ringan berjalan di atas muka bumi! Tiada beban mengikut. Tiada gundah terasa.
Allahuakbar.
“Sayang, abang bayangkan kita sekeluarga mengembara satu dunia dengan caravan” kata suami banyak kali.
Hari demi hari juga dia sibuk make over sebuah van lama untuk menjadi van kembaranya.
Kalau dulu dia seorang yang sibuk mengejar kekayaan dunia, tetapi kini dia mengajak kami untuk membina kehidupan di akhirat sana.
Jika Mommy Daddy Decor bijak make over rumah orang di dunia, doakan kami juga bijak make over rumah kami di alam sana.
“Tak apalah abang. Jika kita tidak hidup mewah di dunia, Insya-Allah, akan tersiap mahligai buat kita di sana”
Mommy, pujuklah hati.
Tapi kalau ada yang ikhlas memberi, pastilah ia perlu dirai
InsyaAllah, tahun depan kami akan berpindah kali ke-10. Kehidupan jenis apakah pula?
Allah lebih mengetahui
Selamat Tahun Baru Hijrah semua!!!
Saya doakan semua yang baca post saya ini akan dilimpahi dengan ilham, kasih sayang, ukhuwah, rezeki dan barakah yang baru
Mommy Dekor
Khairunnisa Hamzah
Senibina kehidupan di rumah
Penulis buku Dekor Dekor Cinta
Kanak-kanak tunjang harapan dan aspirasi negara untuk hari mendatang. Justeru pendekatan holistik perlu diambil ke arah kecemerlangan pendidikan awal kanak-kanak.
Cakna dengan hal ini, Al Kauthar Eduqids menandatangani perjanjian bersama Cybernetics International College of Technology bagi meningkatkan kualiti pendidikan awal kanak-kanak.
Objektif kerjasama ini adalah untuk saling meningkatkan kepakaran dan faedah bersama bagi menyumbang kepada negara untuk membentuk graduan yang kompeten melalui pendedahan kepada industri menerusi kemudahan-kemudahan yang ada.
Menurut Pengasas Al Kauthar Eduqids Dato Bakhtiar Aliff, kerjasama ini dilaksanakan dengan persetujuan kedua-dua pihak dan punya peranan masing-masing dalam memastikan objektifnya tercapai.
“Antara peranan utama Al Kauthar Eduqids ialah memberi peluang kepada Cybernetics menempatkan pelajar-pelajar atau lepasan pelajar sebagai pelatih industri dari Cybernetics International College of Technology atau memberi khidmat sokongan di Al Kauthar Eduqids (tertakluk kepada syarat kelayakan) bagi suatu tempoh yang dipersetujui kedua-dua pihak.
Tidak hanya itu, Cybernetics juga berpeluang memanfaatkan khidmat nasihat Al Kauthar Eduqids dan menganjurkan ceramah teknikal kepada pelajar Kolej Cybernetics mengikut bidang perniagaan Al Kauthar Eduqids,” ulas beliau.
Tambah beliau lagi, selain daripada peranan Al Kauthar pihak Cybernetics juga akan memainkan peranan dalam menjayakan kerjasama ini. Antaranya ialah Cybernetics akan mengutamakan Al Kauthar Eduqids berbanding syarikat lain dalam memberikan peluang pekerjaan kepada pelajar dan bekas pelajar dalam bidang pekerjaan yang ditawarkan oleh Al Kauthar Eduqids.
Seterusnya, dari segi promosi syarikat Al Kauthar Eduqids berpeluang untuk membuat penerangan atau seminar kerjaya bersama, mengiklankan kekosongan jawatan di Cybernetics dan mengadakan sesi temuduga dengan pelajar-pelajar Cybernetics bagi tujuan pemilihan dan pengambilan pekerja yang sesuai.
Apa yang menarik lagi, bagi memberi peluang kepada pelajar Cybernetics merasai pengalaman sebenar Al Kauthar Eduqids akan memberikan kemudahan kepada aktiviti-aktiviti pelajar Kolej Cybernetics seperti lawatan ke persekitaran industri.
Al Kauthar Eduqids berpegang teguh pada misinya sebagai tempat pembelajaran awal kanak-kanak yang menyeronokkan dan selamat berasaskan pada nilai dan ajaran Islam. Ia direka untuk membentuk dan mengukuhkan generasi baru yang mempunyai asas Islam yang baik, iman yang teguh dan nilai-nilai akhlak yang tinggi.
Dengan memiliki lebih daripada 500 orang pendidik dan 6000 orang pelajar di seluruh negara, maka tidak hairanlah AKE mendapat pengiktirafan daripada pelbagai jenama termasuklah Jenama Pilihan Pa&Ma, SME Entrepreneur Business Awards, Malaysian Prestigious Industry Awards, Superbrands Malaysia’s Choice, The Brand Laureate dan Baby Talk Readers’ Choice Awards.
Terdahulu, Al Kauthar Eduqids turut menjalinkan kerjasama dalam bidang penyelidikan berkaitan pendidikan awal kanak-kanak dengan beberapa institusi pendidikan bertauliah negara iaitu Open University Malaysia, Universiti Selangor (UNISEL), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Kolej Vokesional ERT Setapak.
Merupakan tadika swasta yang memulakan operasi pada September 2013. Kini, Al Kauthar Eduqids mempunyai sebanyak 170 cawangan di seluruh Lembah Klang dan Selangor, Pulau Pinang, Kedah, Pahang, Johor, Terengganu, Sabah dan mensasarkan sekurang-kurangnya 300 cawangan dalam tempoh dua tahun akan datang. Diasaskan oleh sepasang suami isteri Dato’ Dr.(hC) Kapten Bakhtiar Aliff dan Datin Dr.(hC) Nor Fadilah Alias.
Kapten Bakhtiar Aliff memulakan karier awal dalam industri penerbangan sebagai Juruterbang di Malaysia Airline System Berhad (MAS) pada tahun 2007. Beliau mempunyai Sarjana Pentadbiran Perniagaan, Diploma Kejuruteraan Elektrik, Diploma Eksekutif Pengurusan Penerbangan dan telah dianugerahkan Honorary Doctor of Philosophy (Honoris Causa) dalam Pentadbiran Perniagaan dari The Malaysian Honorary Doctorate Organization.
Pada tahun 2021, beliau dianugerahkan “Community Leader Of The Year” dan tersenarai dalam The 100 Top Young CEO (100TYC) pada tahun 2020 dan The 100 Most Influential Young Entrepreneur (100MIYE) dan Excellence Islamic Educational Entrepreneur pada tahun 2019. Datin Fadilah memulakan karier dalam industri pendidikan pada 2008 sebagai guru tadika di Tadika Nur Saruta, SMT (ERT) Setapak selama 14 tahun.
Beliau memiliki Sijil Awal Kanak-Kanak dan Diploma Pendidikan mengkhusus dalam bidang Pra Sekolah dari Universiti Industri Selangor pada tahun 2011, Diploma Kemahiran Malaysia dalam Pendidikan Awal Kanak-Kanak dan kini di peringkat akhir mendapat gelaran ‘Pakar Industri Negara’.
Datin Fadilah telah dianugerahkan Honorary Doctor of Philosophy (Honoris Causa) dalam Pentadbiran Perniagaan dan menjadi ahli The Malaysian Honorary Doctorate Organization.
Datin Fadilah turut dilantik sebagai Panel Penasihat Luar (Akademik) di UNISEL untuk Diploma dan program Ijazah Pendidikan Awal Kanak-Kanak dan Pra Sekolah.
Beliau telah tamat kursus “Train the Trainer” bertauliah yang dikendalikan oleh Pusat Latihan Pengajar dan Kemahiran Lanjutan (CIAST) dan Vokasional Pegawai Latihan (VTO) dari Jabatan Pembangunan Kemahiran, Kementerian Sumber Manusia Malaysia.
Al Kauthar menawarkan tempat pembelajaran untuk kanak-kanak berusia 4 hingga 6 tahun dengan program Pre Tahfiz, Montessori. Bagi kanak-kanak berusia 1 hingga 3 tahun pula lebih memfokuskan kepada program Playschool dan KAFA.
Keunikan dan keistimewaan tadika Al Kauthar juga kerana ia menyediakan program khusus untuk kanak-kanak berkeperluan khas seperti Autisme, Speech Delay, Minor Sindrom Down, GDD dan ADHD.