Meniti akhir-akhir ramadan, semua orang bersiap sedia melakukan persediaan untuk menyambut Syawal tidak kira dari aspek persiapan dari sudut juadah ataupun kelengkapan raya seperti baju baru, perhiasan rumah dan sebagainya. Yang paling gembira menantikan bulan penuh kemuliaan itu semestinya anak-anak kecil sama ada yang mengerti maksud sebenar bulan kemenangan itu atau tidak.

Dalam persiapan yang melebihi keperluan itu, perlu diingatkan ada insan lain di luar sana yang tetap bersyukur sama-sama membuat persiapan meskipun dalam keadaan serba kekurangan. Seperti yang dikongsian oleh  Tuan Abd Ghani Haron di laman sosial Facebook, tentang pasangan suami isteri dan anak mereka yang sedang memilih baju terpakai untuk anak-anak mereka.

Sebuah kisah akhir Ramadhan buat renungan

Petang menjelang 1 syawal yang lalu, kami menerima kunjungan sebuah keluarga kecil yang datang untuk memilih pakaian terpakai yang digantung di bawah bumbung di luar pagar. Pasangan suami isteri itu tampak berpakaian lusuh, si suami mengendong anak lelaki yang tidak berbaju, manakala si isteri memegang tangan anak perempuan lingkungan usia 8 tahun.

Mereka begitu tekun membelek helaian baju yang digantung. Sekejap-sekejap kedengaran tawa riang anak perempuan kecil itu bila ibunya mengacu baju ke badannya..barangkali gembira beroleh pakaian baru yang sesuai. Saya dan isteri kebetulan berada di luar rumah selepas melawat ibu kami. Isteri saya menegur mereka dan bertanya dari mana mereka datang. Nyata mereka datang dari sebuah kawasan perumahan flat di sungai petani yang jaraknya hampir 20km dari rumah kami. Bila ditanya kenapa datang begitu jauh, jawapan si ayah membuat saya bungkam.

“Kak, saya tak mampu nak beli pakaian baru untuk anak-anak sempena hari raya ini. Cukuplah saya dapatkan pakaian terpakai ni untuk gembirakan hati anak kami, lagipun baju-baju di sini nampak masih elok untuk dipakai”.

Tak Mampu Beli Pakaian Baru Untuk Anak-Anak, Jawapan Ayah Ini Buat Orang Ramai Sebak

IKLAN

Kata- kata ini membuat saya merenung betapa seringkali kita lupa untuk mensyukuri nikmat yang dikurniakan, meminta-minta untuk mendapatkan yang lebih, sedang ada manusia yang serba kekurangan memanjatkan syukur yang amat pada rezeki yang tidak seberapa di mata kita. Sedang kita asyik mendongak memandang ke langit, cemburu melihat apa yang tidak mampu dicapai, kita lupa menunduk ke bawah merenung apa yang di bumi, mensyukuri apa yang telah dikecapi.

Ketika kita merungut tidak boleh beraya dan bergaya sakan dengan baju raya tahun ini dek kerana pkp, keluarga ini cukup bahagia memilih gantungan pakaian terpakai untuk menyambut hari raya. Seolah tiada gundah di hati mereka pada riak wajah yang gembira melayan anak-anak memilih baju terpakai. Demikianlah rasa cukup apa yang ada yang melahirkan ketenangan pada jiwa-jiwa yang bersyukur.

Allah berfirman dalam Surat Ibrahim ayat 7 berikut:

IKLAN

وَإِذْ تَأَذَّنَ رَبُّكُمْ لَئِنْ شَكَرْتُمْ لَأَزِيدَنَّكُمْ ۖ وَلَئِنْ كَفَرْتُمْ إِنَّ عَذَابِيلَشَدِيدٌ

Ertinya: Dan (ingatlah juga) tatkala Tuhan kalian memaklumkan, “Sesungguhnya jika kalian bersyukur (atas nikmat-Ku), pasti Kami akan menambah (nikmat) kepada kalian; dan jika kalian mengingkari (nikmat-Ku), maka sesungguhnya azab-Ku sangatlah pedih.”

Dari Abu Hurairah berkata: Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Pandanglah orang yang berada dibawah kalian, jangan memandang yang ada di atas kalian, itu lebih baik membuat kalian tidak mengkufuri nikmat Allah” (HR. Muslim)

IKLAN

Ingatlah pesan Rasulullah SAW kepada umatnya: “Kekayaan (yang hakiki) bukanlah dengan banyaknya harta. Namun kekayaan (yang hakiki) adalah hati yang sentiasa berasa cukup.” ( hadith riwayat Bukhari dan Muslim)

Tak Mampu Beli Pakaian Baru Untuk Anak-Anak, Jawapan Ayah Ini Buat Orang Ramai SebakAyuh kita muhasabah diri, sudahkah kita melafazkan syukur hari ini kepada Allah, atas nikmat nafas yang dihela, nikmat mata yang boleh melihat, nikmat tangan yang boleh memegang, nikmat kaki yang boleh berjalan, nikmat pakaian yang menyamankan, nikmat kereta yang memudahkan pergerakan, nikmat rumah untuk perlindungan. Berhentilah merungut pada perkara yang tidak dimiliki, mulalah menghitung nikmat yang lupa untuk disyukuri.

#maag
#nhag
**************************************

Untuk makluman, Projek sedekah pakaian terpakai ini telah berlangsung hampir 9 tahun. Ia telah menjadi saksi beribu-ribu pakaian bertukar tangan. Beribu-ribu hati yang gembira dan berbunga menyarung pakaian hasil sumbangan anda para dermawan. Sehingga kini, kami masih menerima sumbangan pakaian terpakai untuk disedekahkan. Malah ada juga yang menyumbangkan periuk, pinggan mangkuk, kasut, buku cerita dan kelengkapan bayi seperti stroller dan child car seat. Sumbangan boleh disampaikan dengan datang sendiri ke rumah Cikgu Ghani ( sebelum jam 6petang) di Tikam Batu atau poskan ke alamat 318B, Kg Masjid, 08600, Tikam Batu, Kedah. Semoga sumbangan kecil kita ini terus dapat menggembirakan hati mereka yang memerlukan. InsyaAllah.

Mencari bahagia bersama KELUARGA?
Download dan baca sekarang di seeNI.

KLIK DI SEENI