“Ada orang datang maklumkan arwah terkurung dalam tandas yang sedang terbakar. Saya tanya teruk atau tidak (keadaan arwah) tetapi orang itu meminta saya datang ke tempat kejadian.
“Dalam keadaan menggigil, saya bergegas ke lokasi dan sebaik tiba, saya nampak pihak berkuasa membuat garisan tidak boleh masuk,” kata Hizanawati Abu Bakar, 48.
Hizanawati adalah ibu kepada Muhammad Damin Mikhail Kamsol, 16, yang meninggal dunia dalam tandas awam yang terbakar di Bandar Puncak Alam Fasa 3 di sini, semalam.
Menurutnya, pada masa sama dia lihat ada trak polis dan melihat keadaan itu mula dapat mengagak bahawa anaknya sudah meninggal dunia.
“Semalam, arwah teringin sangat nak makan sambal ikan kembung dan minta saya masak untuk dia.
“Kebetulan, saya jarang sediakan juadah itu kerana ia merupakan kegemaran abang arwah (Muhammad Danial Haikal Khamsol) yang meninggal dunia kerana penyakit kencing tikus, tiga tahun lalu,” katanya.
Kejadian itu dipercayai berlaku ketika mangsa bersama dua rakannya iaitu remaja lelaki masing-masing berusia 15 dan 16 tahun sedang berbaring di atas sofa di dalam tandas berkenaan.
Kebakaran bermula apabila dua rakan mangsa bermain api di hadapan pintu tandas berkenaan sebelum berlaku kebakaran.
Ads
Mangsa dikatakan tertidur di atas sofa berkenaan, namun sudah terjaga ketika kejadian tetapi baring semula.
Mengimbau kembali detik terakhir bersama anak kelima daripada enam beradik itu, Hizanawati berkata, dia menitipkan pesanan melalui aplikasi WhatsApp kepada Muhammad Damin yang mahu keluar ke restoran mamak supaya mencuci luka di dua jari kanan yang terkena kaca, Jumaat lalu.
“Kedua-dua jari arwah luka ketika dalam perjalanan untuk bermain futsal di Alam Jaya.
“Jadi, saya ingatkan dia ajak kawan pergi ke klinik berhampiran untuk temankan dia cuci luka.
“Menerusi mesej sama, saya tanya arwah sama ada dia sudah makan atau belum. Dia kata sudah makan dan saya beritahu sambal ikan kembung sudah siap masak.
Ads
“Arwah membalas ‘okey’ dan memberitahu dia sudah makan ubat. Waktu saya mesej dengan arwah pada jam 2.26 petang,” katanya sambil menahan sebak ketika ditemui di kediamannya di Bandar Puncak Alam Fasa 3 di sini, hari ini.
Hizanawati berkata, dia tidak pernah terfikir akan kehilangan Muhammad Damin selepas pemergian Muhammad Danial dan suaminya, Kamsol Abd Kadir.
“Suami meninggal dunia akibat strok pada April 2019. Selang beberapa bulan kemudian (September), Muhammad Danial pula menyusul.
“Pemergian arwah adalah kehilangan besar buat kami kerana dia banyak membantu keluarga terutamanya menghantar dan mengambil adik bongsunya (Qawiem Razin, 10) pulang sekolah.
“Jiran dan guru sekolahnya juga terasa kehilangan arwah yang mana sifatnya peramah dan rajin,” katanya.
Ads
Pada masa sama katanya, dia sekeluarga menuntut polis menjalankan siasatan menyeluruh berhubung punca sebenar kematian Muhammad Damin.
“Ketika ini, kami masih menanti keputusan bedah siasat arwah yang dijangka diperoleh pada petang hari ini (semalam).
“Walaupun reda dengan pemergiannya, kami mahu tuntut keadilan agar punca sebenar dapat diketahui dan didedahkan kepada orang ramai,” katanya.
Hizanawati berkata, sekiranya kes itu meragukan dia akan membuat laporan.
“Saya tidak anggap kejadian ini sebagai satu gurauan kerana ia membabitkan kehilangan nyawa selain bimbang selepas ini perlakuan tidak disengajakan seperti ini berlaku kepada pihak lain,” katanya.
Cium suami gugur dosa, cium isteri bahagia selamanya dan cium anak dapat pahala, betapa beruntungnya hidup kan. Sebab itu dalam rumah tangga jika mahu aman kena mencipta bahagia seperti mana yang dituntut Islam. Itulah rahsia kasih sayang lebih padu antara suami isteri dan anak-anak.
Namun, tak ramai yang berbuat demikian, dengan alasan sibuk tak punya masa dan segan kononnya anak-anak sudah besar, malu dilihat oleh rakan-rakan. Tetapi percayalah, jika ia diamalkan banyak manfaat yang anda peroleh. Salah satunya hubungan kekeluargaan semakin erat dan anak-anak serta pasangan lebih hormat dan menghargai kita.
Bukan sahaja bahagia dalam rumah tangga, bahkan dalam satu kajian dilakukan oleh seorang pakar di Jerman mengenai hubung kait antara sentuhan dan tahap kesihatan, seorang suami yang memeluk isterinya untuk sekurang-kurangnya 10 saat setiap hari akan panjang umurnya lima tahun.
Kajian mendapati, seseorang itu boleh panjang umur jika memeluk isterinya setiap hari kerana pelukan dan sentuhan boleh menyebabkan tubuh manusia mengeluarkan pelbagai hormon termasuk endorfin yang baik untuk kesihatan tubuh.
Hormon endorfin adalah sejenis bahan kimia semula jadi yang bertindak sebagai penahan sakit dan mengurangkan keresahan. Selain mempunyai kesan positif dari segi saintifik dan kesihatan sentuhan, pelukan dan gurau senda antara suami dan isteri juga merupakan sunah Rasulullah S.A.W.
Gambar sekadar hiasan
Terdapat kajian di Amerika Syarikat (AS) mendapati pelukan suami dapat mengurangkan tahap kolesterol dan meningkatkan kesihatan isteri. Oleh itu suami yang ingin isterinya menurunkan berat badan digalakkan peluk isterinya lebih kerap.
Hubungan seks dengan penuh rasa kasih sayang juga dapat membantu pasangan untuk kekal awet muda dan berketerampilan menarik. Wanita yang mempunyai kehidupan seks yang baik dan bahagia akan lebih cenderung untuk menghiasi diri.
Gambar sekadar hiasan
Fadhilat mencium suami
Apabila isteri bersalaman dan mencium tangan suami, maka gugurlah dosa-dosa kecil si isteri. Restu seorang suami tu penting dalam rumahtangga. Lagipun isteri juga akan dapat pahala. Suami pun mendapat pahala juga jika dia kucup dahi isteri. Satu lagi perkara yang ramai isteri tidak sedar ialah tabiat tidur berbantalkan lengan suami. Hanya sedikit sahaja isteri yang tahu bahawa tidur berbantalkan lengan suami atau dalam dakapan suami, boleh membuatkan hati suaminya luluh.
Gambar sekadar hiasan
Fadhilat mencium isteri
Mencium isteri juga merupakan ibadah. Islam memandang tindakan tersebut sebagai satu perkara yang baik, bahkan dapat memberikan pahala kepada suami. Isteri pasti akan gembira apabila mereka selalu dicium oleh suami mereka. Hati yang gundah, bisa menjadi bahagia. Gelap kesedihan, bisa menjadi cerah dengan keriangan. Dilihat kepada Nabi, siri tauladan ini menjadi amalan harian Nabi SAW dikala bersama Isteri.
Gambar sekadar hiasan
Mencari bahagia bersama KELUARGA?
Download dan baca sekarang di
Mencari rezeki bukan sahaja untuk mendapatkan kesenangan buat insan tersayang bahkan pernahkah kita menganggap bahawa dengan harta yang kita kumpul saban waktu, ada amanah dan perlu diberikan hak harta tersebut kepada golongan-golongan tertentu yang serba kekurangan.
Konsep berkongsi rezeki ini andai diterapkan dalam kehidupan harian, yakinlah harta yang terkumpul bukan sahaja dapat disucikan malah akan diberkati.
Hal ini bukan sahaja kita sebagai orang dewasa perlu memahaminya malah anak-anak kecil juga perlu dididik tentang kepentingan untuk berbahagi rezeki agar mereka mempunyai kepedulian kepada golongan yang kurang bernasib baik.
Lantaran itu ibu ayah perlu membudayakan perkara positif dalam menguruskan harta agar turut terkesan pada anak-anak. Ini sebagaimana pepatah Melayu ada menyebut, melentur buluh biarlah dari rebungnya. Bahkan anak-anak kecil juga dikatakan sifat mereka seperti span yang akan menyerap sepenuhnya apa yang didengar dan dilihat dalam lingkungan persekitaran mereka.
Menyedari hakikat itu, ibu ayah perlu main peranan dalam mendidik anak-anak apatah lagi pada zaman ini ramai antaranya memiliki kelayakan dan kefahaman yang tinggi dalam akademi sekali gus menjadi satu bonus kepada anak-anak untuk lebih memahami berkaitan banyak perkara dan antaranya berkaitan zakat harta.
Anak Pun Perlu Berzakat
Tahukah anda sebenarnya banyak kebaikan yang diperolehi oleh kita sebagai ibu ayah bila mana memberi pendedahan yang tepat kepada anak-anak berkaitan zakat harta meskipun pada usia mereka masih kecil.
Hakikatnya terdapat syarat asas wajib bagi seseorang itu mengeluarkan zakat iaitu seorang yang beragama Islam, merdeka, sempurna milik, cukup nisab dan cukup haul.
Daripada kelima-lima syarat tersebut, tidak dinyatakan bahawa akil dan baligh menjadi syarat dan ini bermaksud bahawa anak yang berusia bawah 18 tahun juga wajib membayar zakat sekiranya telah cukup syaratnya.
Prihatin & Berkasih Sayang
Apabila hal ini dapat difahami oleh anak-anak maka dengan sendirinya mereka akan berasa seronok untuk melaksanakan ibadah zakat kerana mereka sendiri dapat membantu orang yang kurang berkemampuan dengan duit mereka sendiri.
Sekali gus dengan berzakat dapat memupuk kesedaran di kalangan anak-anak agar lebih prihatin kepada orang-orang yang susah. Apatah lagi bila bersekolah anak-anak akan bergaul dengan rakan-rakan yang berbeza latar belakang. Jadi setidak-tidaknya dalam hati anak-anak kita akan ada rasa untuk membantu rakan yang hidup dalam serba kekurangan dan menghindarkan diri mereka daripada berkawan ikut ‘pilih bulu’.
Asuh Jadi Dermawan
Tidak dinafikan amalan berzakat juga boleh membiasakan diri anak-anak supaya bersifat pemurah dan sekali gus membuang sifat kedekut dalam diri mereka. Bahkan lebih daripada itu dapat membentuk keperibadian sebagai seorang yang dermawan dalam diri anak-anak kita.
Semua ini tidak mungkin boleh terjadi dengan sendirinya, melainkan ibu ayah asuh sebaiknya untuk menyerlahkan karekter yang terbaik dan positif. Rahsia berjaya mendidik anak-anak pula terletak pada strategi didikan secara berulang-ulang dan melalui tauladan. Ini sebagaimana mengambil motivasi daripada ayat; anak-anak itu cerminan kepada ibu bapanya.
Justeru itu, bagi mencapai KPI tersebut kita sebagai role model anak, tidak boleh ambil mudah bagi memastikan anak-anak kita menjadi insan yang berjaya di dunia dan di akhirat.
Semoga dengan kefahaman yang jelas kita sebagai orang dewasa, dapat kiranya memberi kefahaman pula kepada anak-anak kita berkaitan kewajipan berzakat dan sama-sama rasai kebaikan daripada ibadah tersebut.
Untuk lebih mengetahui berkaitan zakat anda juga boleh layari di dalam web www.zakat.com.my
.
Mencari bahagia bersama KELUARGA?
Download dan baca sekarang di
Kata orang jauh perjalanan luas pengetahuan. Jadi elok sangatlah kita bawa anak-anak pergi melancong agar mereka lebih berfikiran terbuka dan dalam masa yang sama dapat melihat sendiri perbezaan bahasa, budaya dan cuaca di negara orang.
Pun begitu, dalam kita mencari pengalaman baharu di luar negara, ada satu perkara perlu diberi perhatian sebelum melancong. Selain memastikan kelengkapan lainnya cukup, ubat-ubatan juga perlu dibawa sekali. Maklumlah, perubahan cuaca sering membuatkan kita sekeluarga boleh jatuh sakit.
Andai tiada ubat-ubatan dibawa, bimbang sukar pula untuk mendapatkan bekalan ubat di sana. Ialah, kata orang lain padang lain belalangnya. Jadi apa kata kita ikuti perkongsian daripada fb Khairul Hakimin Muhammad. Jom semak.
Apabila kalian travel ke luar negara, pastikan pergi klinik atau farmasi untuk beli ubat-ubat ini. Lain negara lain prosesnya. Ada yang tak jual ubat di klinik, hanya dapat konsultansi, kemudian diberi preskripsi baru beli di farmasi, dan harganya agak mahal.
Termasuk kalau menunaikan umrah, inilah ubat-ubat yang saya sering bawa.
Ianya memudahkan kalian dan paling kurang kalian ada kit mudah untuk sentiasa sihat dalam perjalanan.
Tengok cuaca tempat tersebut, dan suasananya. Ia semua beri kesan kepada kesihatan kita.
Sekiranya memang dah ada sakit macam kencing manis, jantung dan sebagainya, yang itu memang wajib bawa dan ikut kata doktor untuk jaga diri di tempat orang ya.
Tengok gambar ya kawan-kawan.
Panadol. Biasanya saya beli 1 papan atau lebih. Mana tahu ada kawan lain memerlukan.
Charcoal. Yang ini sekiranya kena cirit-birit, ia akan bantu legakan dan percepatkan najis supaya tak lagi cair.
Ubat kahak. Kalau pergi ke negara yang banyak debu, cepat batuk. Jadi ubat kahak ni penting.
Ini ubat loya / muntah. Kadang-kadang kita mabuk semasa perjalanan dan kerap nak muntah. Jadi ini membantu.
Ini pula oral rehydration. Kalau dah duk muntah dan cirit birit, kita akan kekurangan air dalam badan. Ini akan membantu. Bawa dalam 4-5 sachet okey.
Ubat alahan / selsema. Penting woih.
Ini untuk manusia gastrik seperti saya. Ianya sangat membantu kalau-kalau terlambat makan dan sebagainya. Bawalah sekotak.
Vitamin C. Ha ini saya memang ambil setiap pagi. Letak dalam air, minum. Kasi immune booster!
Ini pula lomotil, ubat cirit birit.
Dan terakhir sekali, bawa juga hansaplast. Mana tahu ada luka kecil dan sebagainya, bolehlah terus tampal.
Mencari bahagia bersama KELUARGA?
Download dan baca sekarang di