Terjaga dari tidur pada waktu tengah malam itu perkara lumrah terjadi pada kita. Biasanya bila terjaga, kita akan menarik selimut dan menyambung tidur semula.
Namun alangkah bagusnya sekiranya waktu kita terjaga itu tidak dibiarkan sia-sia. Andai berkemampuan, dirikanlah solat-solat sunat. Namun andai terasa tidak mampu untuk mengerjakannya cukuplah sekurang-kurangnya membaca sepotong doa ini.
Berikut perkongsian daripada puan Farhana Muhammad yang boleh dijadikan info buat kita semua.
Duhai ibu, jangan disia-siakan saat anak kecil ‘mengejutkan’ si ibu pada waktu malam!
Apabila bergelar ibu, lebih-lebih lagi ibu yang mempunyai anak-anak kecil, pasti pada waktu malam si kecil ‘mengejutkan’ ibunya. Mungkin kerana lapar atau mungkin kerana lampin basah.
Jadi, jangan biarkan ‘aktiviti di tengah-tengah malam’ berlalu begitu sahaja tanpa si ibu memanfaatkannya sambil-sambil menyusukan anak atau menukar lampin yang basah.
Apa kata usai menukar lampin atau ketika menyusukan anak, si ibu berdoa sebegini;
لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيكَ لَهُ.
لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ.
سُبْحَانَ اللَّه وَِ الْحَمْدُ لِلَّهِ وَلاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَاللَّهُ أَكْبَرُ وَلاَ حَوْلَ وَلاَ قُوَّةَ إِلاَّ بِاللَّهِ.
ثُمَّ قَالَ: “اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِي” أَوْ دَعَا اسْتُجِيبَ لَهُ فَإِنْ تَوَضَّأَ وَصَلَّى قُبِلَتْ صَلاَتُهُ.
“Tidak ada Tuhan yang disembah kecuali Allah semata, tiada sekutu bagiNya. BagiNya kerajaan dan untukNya segala pujian, dan Dia berkuasa atas segala sesuatu. Segala puji bagi Allah, Maha Suci Allah, Tiada Tuhan yang berhak disembah selain Allah, Allah Maha Besar. Dan tidak ada daya serta kekuatan kecuali dengan pertolongan Allah. Kemudian diucapkan: “Ya Allah ampunilah aku” atau dia berdoa nescaya akan dimakbulkan untuknya. Apabila dia berwuduk nescaya diterima solatnya.” (HR: Muslim)
Doa ini diajar oleh Ustazah Norhafizah Musa dalam salah satu kuliahnya di Masjid Hulu Kelang. Kata ustazah, apabila kita terjaga di tengah malam, seeloknya baca doa demikian dan disusuli dengan doa yang kita sendiri hajatkan. InshaaAllah, doa tersebut akan dimaqbulkan. Lebih elok lagi sekiranya kita mampu bangun menunaikan solat selepas membaca doa tersebut.
Mungkin bagi si ibu yang anaknya suka mengempeng, bangun menunaikan solat di tengah malam satu mujahadah yang cukup besar. Ditambah lagi dengan rasa kantuk, bersengkang mata dengan karenah si kecil memang menjadi bertambah sukar. Setidak-tidaknya, ibu boleh memanfaatkan berjaga malam itu dengan membaca doa sedemikian.
Ummu Haura’
Ingatan buat diri sendiri.
sumber: Farhana Muhammad