Lumrah hidup sebagai suami isteri, kena saling memahami dan tolak ansur. Barulah rumah tangga bahagia dan aman selalu. Namun, tuntutan hidup masa kini memerlukan isteri lebih bijak bertindak dan tidak mengharapkan sepenuhnya bantuan suami. Dek kerana itu, ramai isteri dan ibu sekarang yang bekerja dalam membantu menambahkan pendapatan keluarga.
Wanita memang perlu diajar berdikari terutama apabila berdepan sebarang kemungkinan akan datang namun bukanlah dengan cara melakukan semua tugasan sendiri hinggakan mereka langsung tidak ada masa berehat.
Namun, ada juga yang bekerja kerana minat dan tidak mahu mengharapkan duit dari suami semata-mata. Mungkin kerana sejak bujang sudah biasa berdikari, maka sifat itu terbawa-bawa sehingga ke alam rumah tangga. Wanita ini tidak kisah berpenat lelah kerana itu sudah menjadi minatnya, dan sebagai suami tak salah menyokong.
Dia bukan minta sangat pun kita tanggung dia, malah ada wanita boleh tanggung diri sendiri. Apa yang dia perlukan cuma perhatian. Jika korang mahu isteri makin gembira setiap hari mudah je, ajak diorang bercerita. Lepas tu bagi perhatian, nescaya senyuman lebar akan terukir dengan mudah.
Semalam petang ambil rania terus ke al ikhsan beli kasut sukan ni.
Isteri cakap kasut yang beli hari tu keras sangat, kaki jadi sakit bila pakai. Jadi dia nak beli kasut baru yang lebih baik untuk ke kelab fitness dia.
Satu sen pun dia tak minta duit dari saya. Semua dia beli guna duit sendiri. Dari yuran kelab sampai la ke pakaian dan sekarang kasut pula. Dia tak pernah meminta dengan saya.
Tapi setiap hari dia mesti cerita pengalaman masa di kelab tu.
Apa dia buat. Apa yang ada di dalam kelab tu. Bagaimana trainer tu mengajar. Berapa orang ada masa tu. Ada sofa, ada dapur dah macam rumah. Malah dia tersadung kaki masa sedang menari pun ada dia ceritakan pada saya.
Ads
Dia punya bercerita sangat terperinci sehinggakan saya boleh bayang seolah-olah saya ada di sebelah.
By the way kelab fitness tu untuk wanita sahaja, lelaki tak dibenarkan masuk. Tak mungkin saya boleh tahu keadaan di dalam.
Pada pandangan saya asalkan dia gembira dan sihat cukup memadai dah, tak perlu pun cerita. Bukan kita boleh komen apa-apa sebab tak ada kat situ.
Tapi saya perasan semakin banyak dia bercerita, nada suara dia semakin berubah. Semakin lama nada suara tu jadi semakin enak di dengari.
Makin saya fokus dengar makin lebar pula senyuman terukir di bibir. Semakin kerap pula ketawa padahal cerita tersadung kaki patut sakit.
Ads
Jelas terpancar kegembiraan ketika dia bercerita. Bukan gembira sebab pengalaman tu sendiri tapi gembira sebab suami betul-betul beri perhatian masa isteri bercerita.
Itulah wanita. Dia bukan minta sangat pun kita tanggung dia, malah ada wanita boleh tanggung diri sendiri.
Apa yang dia perlukan cuma perhatian. Jika korang mahu isteri makin gembira setiap hari mudah je, ajak diorang bercerita. Lepas tu bagi perhatian, nescaya senyuman lebar akan terukir dengan mudah.
Wallahu A’lam,
Mohd Fhais Wanita berdikari itu bagus tapi wanita berdikari yang ada lelaki di belakang sentiasa menyokong itu lebih bagus.
Melihatkan pokok-pokok di Thailand yang berbuah lebat, mungkin ada yang menyangka mereka menggunakan baja kimia.
Rupa-rupanya ada resipi rahsia yang dipraktikkan oleh pekebun di Thailand untuk memastikan pokok yang ditanam walaupun masih muda tapi buah merimbun. Malah ada buah lebih banyak dari daun. Mereka menggunakan hormon penggalak buah.
Untuk anda yang ingin memastikan pokok berbuah lebat, apa kata cuba resipi ini:
Bahan-bahan:
2 kg Kulit telur dibasuh bersih dan dikeringkan
2 kg Gula Perang
1 biji Ragi tapai
1 botol Yakult
2 kotak Susu segar
2 biji Air kelapa muda
Cara-cara:
1. Kisar halus kulit telur dengan mengunakan pengisar kering.
2. Adun kesemua bahan bersama di dalam satu bekas
3. Peram selama 14 hari dan perlu dikacau sekurang-kurangnya 2 hari sekali
4. Selepas 14 hari, saringkan bahan untuk mengambil pati air perapan
5. Buangkan daun-daun yang terlalu matang pada pokok yang bakal disembur
6. Gunakan 10 ml pati bersama 20 Liter air dan semburkan pada permukaan daun seminggu sekali.
Sumber: Sinarfm
Mencari bahagia bersama KELUARGA? Download dan baca sekarang di seeNI.
Wajah penuh keibuan ini nyata sangat mesra dengan siapa sahaja biar pertama kali bersua muka.
Penulis menelusuri isi hati insan bernama Tun Dr. Siti Hasmah binti Haji Mohd Ali mengenai kehidupannya yang pernah bergelar Wanita Pertama ke-4 apabila suami kesayangannya, Tun Dr Mahathir Mohamad bergelar Perdana Menteri.
Dan kini sekali lagi, beliau menyandang gelaran tersebut bila mana suami kesayangannya sekali lagi dilantik sebagai orang nombor satu negara sekali gus bergelar PM ke-7.
penulis berpeluang mengabadikan kenangan bersama Idola dan Ikon Wanita, Tun Dr Siti Hasmah
Jujur mengakui tidak pernah menyiapkan diri sebagai isteri perdana menteri, sebaliknya jawatan doktor yang disandangnya banyak membantunya.
“Cabaran sentiasa ada tetapi tidak banyak sebab saya sudah biasa berkecimpung dengan masyarakat. Meskipun mereka masyarakat yang berpenyakit tetapi saya mudah mesra dengan mereka dan sebagai isteri pemimpin itu yang penting sekali.
“Bermesra dan bergaul dengan masyarakat secara tidak langsung dapat menjaga watak atau karakter kita supaya bukan sahaja bagi gambaran yang baik tetapi secara tidak langsung menjaga nama baik suami. Jika kita buat sesuatu nanti orang akan menyebut itulah isteri kepada orang itu ini. Gambaran sebegini sudah menjadi perkara biasa yang sering berlaku dalam masyarakat.
Risiko tidak diterima oleh masyarakat memang buruk terutama bagi isteri kepada pemimpin. Alhamdulillah sepanjang suami saya menjadi pemimpin, yang buruk itu tiada, apatah lagi yang boleh menjejaskan suami. Baik ketika suami bergelar menteri sehinggalah menjadi orang nombor satu Negara.
“Bukan kerana saya sudah siapkan diri untuk itu tetapi jawatan doktor yang saya sandang itu banyak membantu. Masyarakat sangat hormat pada doktor kerana kita membuat kebaikan. Keduanya, bagaimana kita berusaha dengan masyarakat dengan berhubung rapat dengan mereka. Kalau kita tidak tegur, sombong dan wajah itu akan menunjukkan penampilan kita. Justeru, sebagai doktor sudah bersiap sedia bagaimana mahu kerjasama dengan masyarakat.
“Tidak kira suami menjadi pemimpin atau tidak, tetapi status isteri yang disandang itu, kita kena bersiap sedia dalam segala hal,”ulas Tun Hasmah sambil memberitahu tanggungjawab isteri pemimpin kena sentiasa berada di belakang suami dan memberi sokongan sepenuhnya dalam apa jua yang dilakukan kerana itulah tugas utama seorang isteri.
Sentiasa di belakang suami
Jujur mengakui bukan mudah untuk melaksanakan tanggungjawab sebagai isteri pemimpin, namun berkat sokongan suami dan keluarga, beliau berjaya mengharunginya.
“Bergelar isteri pemimpin dan dalam masa yang sama menggalas tanggungjawab sebagai doktor, bukan perkara yang mudah. Apatah lagi, saya perlu berhadapan dengan masyarakat yang mempunyai masalah kesihatan. Bagaimana cara kita yakinkan untuk membantu mengubati penyakit mereka itu yang penting. Alhamdulillah, saya melalui perjalanan sebagai doktor dan isteri pemimpin negara dengan baik.
“Sebagai ibu pula, lebih-lebih lagi apabila kita sebagai pegawai kerajaan. Kena bijak atur masa sebagai isteri, ibu dan tidak lupa wanita berkerjaya. Soal masa tidak timbul kerana tidak ada banyak masalah. Waktu dulu nak cari pengasuh mudah. Dulu ada ipar duai di rumah yang boleh diharap untuk bantu jaga anak-anak. Begitu juga dengan pembantu rumah yang tua dan berumur yang memang boleh diharap untuk menjaga anak-anak. Memang mudah dan tidak perlu peningkan kepala seperti sekarang.
“Kami dikurniakan tujuh orang anak iaitu Marina , Mirzan, Melinda, Mokhzani , Mukhriz , Mazhar dan Maizura. Yang sulung, Marina ada pemikiran sendiri dan sedikit mengikut jejak langkah ayahnya. Berdikari dan tegas dalam pendirian. Yang kedua, Mirzan lebih minat pada kewangan dan pandai uruskan bidang tersebut. Yang ketiga, Melinda pula sepenuh masa suri rumah yang menjaga anak-anak sepenuh masa. Dia sangat low profile.
“Yang keempat, Mokhzani pula bijak dalam pengurusan dan kini bekerja dalam industri minyak dan gas. Dia ada karakter seorang pengurus yang cekap baik dalam kerjaya mahupun rumah tangga. Mukhriz pula lebih menjurus kepada saya. Tetapi bab tanggungjawab dia banyak ikut jejak langkah ayahnya. Dia lembut tetapi tegas. Yang keenam Mazhar dan yang ketujuh, Maizura masih bujang dan ada cita-cita sendiri.
“Cuma, sekarang ini memandangkan yang lain ada yang sudah berkahwin dan mempunyai keluarga sendiri, tinggal yang bongsu lebih rapat memandangkan dia masih bujang dan kebetulan tinggal bersama kami. Sebagai ibu saya sentiasa galakkan anak-anak dan demikian juga untuk yang bongsu ini. Saya bantu dan galakkan supaya dia tidak rasa ketinggalan dalam keluarga.
Saya ada tiga anak lelaki dan masing-masing ada karenah tersendiri. Kalau ikutkan anak yang paling nakal Mokhzani waktu kecil dahulu. Tetapi dia yang paling prihatin dalam banyak hal dan sangat melayan andai ada tetamu datang ke rumah. Mirzan pula pernah sekali dapat surat daripada ayahnya kerana malas belajar, selepas itu barulah dia berubah.
“Waktu kecil juga, jika ada yang membuat salah dan ayahnya mahu jatuhkan hukuman, semua anak-anak akan dipanggil supaya mereka dengar apa kesalahan dan denda yang dikenakan,” jelas Tun sambil memberitahu, dia tidak mengamalkan pilih kasih terhadap anak-anak sebaliknya bersedia bila-bila masa untuk mereka datang bercerita masalah atau sebagainya.
Kena banyak sabar
Status dan pangkat yang disandang bagaimana pun bukanlah tiket untuk anak-anaknya bermewah dan hidup seperti di dalam sangkar emas. Sebaliknya, Tun menegaskan kepada anak-anak supaya kena usaha sendiri jika mahukan sesuatu.
“Apa jua kemudahan tidak akan datang bergolek jika tidak berusaha. Ini nilai-nilai mulia yang harus diajar pada anak-anak. Yang utama, hormat kepada ibu bapa atau sesiapa sahaja yang memberikan sesuatu kepada kita. Jadi kita kena balas dengan ucapan terima kasih. Kedua, kerja keras manakala yang ketiga amanah dan keempat jangan boros dan kena tahu uruskan wang ringgit dengan bijak.
“Selain itu kena juga praktik kan dalam diri anak-anak amal bakti dan kebajikan supaya dalam diri terbit rasa kesedaran dan keinsafan selain bersyukur dengan apa yang kita peroleh dan lagi satu kena banyak bersabar.
“Saya berkahwin lambat. Waktu itu, umur 29 tahun tu kira lambat tetapi Alhamdulillah kami dikurniakan anak dan dapat membesarkan mereka dengan baik. Lebih membahagiakan apabila dikurniakan anak-anak yang cerdik dan cemerlang dalam pelajaran. Saya dan suami sudah sepakat, apabila anak-anak lulus dengan cemerlang, kami akan hadir di konvokesyen mereka dan itu kami praktik kan pada semua anak-anak.
“Zaman dulu tidak sama seperti sekarang. Dulu waktu anak-anak tengah periksa, saya tidak terbang kerana ingin berada bersama mereka supaya mereka tidak risau. Seperti menantu-menantu lakukan kini bagi anak-anak mereka.
“Kalau nak dibandingkan ibu dahulu dengan kini jauh bezanya. Saya faham situasi ibu sekarang kerana era sudah bertukar, kalau zaman saya dulu tiada internet, sosial media dan sebagainya. Anak-anak dulu tekun dengan apa yang ibu cakap. Malah minat mereka juga simple tetapi sekarang sudah bertukar ditambah pula kini zaman informasi. Tidak perlu penat mencari, segalanya boleh diperoleh hanya di hujung jari sahaja. Ibu bapa sekarang profesional dan masa untuk anak-anak terbatas
“Tetapi itu bukan alasan untuk mengabaikan tanggungjawab kita. Walaupun sibuk wajib ambil berat pada anak-anak. Tiada alasan sibuk dengan kerja jika sayangkan masa depan anak-anak. Sungguhpun sekarang zaman informasi, elakkan membiarkan anak-anak terperuk atau terkurung dalam bilik dan melayani komputer.
“Kalau nak tengok televisyen kena di ruang tamu atau bilik keluarga. Ini bagi mengelakkan anak-anak bersendirian di dalam bilik tanpa bergaul dengan ahli keluarga yang lain,” cerita Tun lagi sambil mengakui momen paling indah dalam hidupnya adalah sewaktu melahirkan anak-anak dengan selamat dan membesar dengan baik serta berjaya dalam bidang yang diceburi.
Suka muzik
Seperti mana wanita biasa lain, beliau juga mempunyai minat tersendiri terutama dalam bidang muzik selain suka membaca, menulis dan menonton.
“Kalau dulu saya suka bermain piano dan sebagainya. Saya suka muzik dan kebetulan dalam keluarga ada yang berdarah muzik. Sebab itu saya jatuh cinta dengan bidang ini. Kadangkala waktu reunion keluarga, kami akan berkumpul dan waktu masing-masing akan tunjukkan kebolehan masing-masing. Tetapi sekarang mata saya sudah tidak nampak jadi kuranglah nak main piano dah tak nampak ‘taugeh’ di kertas,” seloroh Tun lagi.
Sumber: Majalah Keluarga Edisi Khas Hari Ibu Mei 2017
Mencari bahagia bersama KELUARGA? Download dan baca sekarang di seeNI.
Setiap bulan bila tengok bil yang sampai di rumah boleh naik pitam dibuatnya. Nak nak lagi musim cuti sekolah ni kan.
Lagi tinggi penggunaannya terutama sekali bil elektrik dengan penggunaan pendingin hawa, televisyen dan sebagainya lagi.
Untuk ibu-ibu jangan risau anda boleh jimatkan bil di rumah jika lakukan tip yang dikongsikan oleh TNB ini.
Tak susah pun malah ia juga tidak menggunakan sebarang modal. Tak percaya, jom baca ni!
1. Guna ruangan mesin basuh semaksima mungkin. Jika boleh masuk lagi banyak baju, lagi bagus!
2. Pastikan filter penghawa dingin anda telah dicuci supaya ia boleh beroperasi secara efisien
3. Semasa penghawa dingin dihidupkan, tutup semua pintu dan tingkap. Lebih kecil ruangan, lebih rendah bil yang perlu ditanggung.
4. Pilih lampu mentol yang menggunakan tenaga yang sikit untuk penjimatan yang lebih
5. Gosok baju dalam jumlah yang banyak setiap seminggu sekali
6. Maksimumkan air dalam cerek elektrik ketika masak. Lebih jimat sebenarnya!
7. Pilih peralatan elektrik yang mempunyai 5 rating serta logo merah seperti di dalam gambar:
8. Jarak peti sejuk dengan dinding sejauh 10cm untuk peredaran yang lebih efisyen
9. Jangan biarkan PC, laptop atau monitor LCD berada dalam keadaan standby jika tidak digunakan
10. Boleh gunakan timer untuk peralatan yang diperlukan pada masa yang tertentu sahaja
11. Gunakan lampu fluorescent T5 sebagai langkah penjimatan elektrik anda
12. Suhu penghawa dingin yang paling efisien adalah antara 23-25 darjah celcius untuk kesejukan optimun
13. Cara susun barang di dalam peti sejuk juga menjadi faktor utama dalam penjimatan elektrik. Pastikan barangan anda tersusun kemas dan rapi.
14. Gunakan mod ‘Cold Wash’ semasa mencuci pakaian menggunakan mesin basuh untuk mengelakkan penggunaan tenaga yang banyak untuk memanaskan air
Tip lain yang boleh anda lakukan:
Gunakan lampu meja untuk pencahayaan khusus sahaja. Boleh juga gunakan cahaya semula jadi untuk menerangi bilik pada waktu siang.
Elakkan membuka peti sejuk dengan kerap kerana lebih tenaga diperlukan untuk mengekalkan suhu rendah.
Jangan meletakkan makanan yang panas ke dalam peti sejuk kerana ia boleh menyebabkan peti sejuk menggunakan tenaga yang lebih untuk mengekalkan suhu rendah.
Tukar peralatan elektrik yang melebihi tempoh 10 hingga 15 tahun bagi penggunaan tenaga yang lebih cekap.
Tutup dan tanggalkan plug peralatan elektrik yang tidak digunakan bagi menjimatkan penggunaan elektrik.
Gunakan tangga ke aras terdekat bagi menjimatkan elektrik.
Senang bukan? Jika ada yang masih belum tahu tentang tips ini, boleh kongsi untuk manfaat bersama. 😉
Murid tahun 1 dirai dengan maskot Bumblebee dan Optimus Prime, hilang gementar pergi sekolah. Murid tahun 1 sudah mula menjejakkan kaki ke sekolah. Mungkin ada yang sudah biasa dengan suasana di sekolah namun tidak kurang juga yang berasa asing bila berada di sekolah.