
Di sebalik ketokohannya dalam dunia kesusasteraan negara, Allahyarham Sasterawan Negara Datuk Seri Dr A Samad Said rupanya memiliki sisi keperibadian yang cukup menyentuh hati.
Bukan sekadar hebat dalam berkarya, insan yang mesra disapa Pak Samad itu juga tidak berkira membantu golongan susah, terutama anak muda yang ingin mengubah nasib menerusi pendidikan.
Itulah antara kenangan yang dikongsikan Sasterawan Negara Datuk Dr Zurinah Hassan mengenai kemurahan hati Allahyarham yang pernah membantunya melanjutkan pengajian ke universiti.

Di sebalik nama besar A Samad Said sebagai tokoh sastera yang disegani, tersimpan kisah kebaikan seorang insan yang cukup bermakna buat mereka yang pernah menerima pertolongannya.
A Samad Said Tak Teragak-Agak Jadi Penjamin Pinjaman Pelajaran
Menerusi temu bual khas bersama Bernama Radio, Zurinah mendedahkan bahawa Pak Samad pernah menjadi penjamin pinjaman pelajaran Majlis Amanah Rakyat (MARA) ketika beliau ingin melanjutkan pengajian di Universiti Sains Malaysia (USM).
“Masa saya hendak sambung pengajian ke universiti, saya perlukan seorang penjamin untuk menjamin pinjaman pelajaran Majlis Amanah Rakyat (MARA) saya. Allahyarham tidak teragak-agak untuk bantu saya ketika itu.
“Kalau dia tiada, susah saya hendak teruskan pengajian. Dia sangat membantu, bukan sahaja dalam penulisan, tetapi juga dalam pelajaran,” katanya.
Tak Lokek Hulur Duit, Sanggup Tumpangkan Rumah
Lebih menyentuh hati, bukan Zurinah seorang yang menerima bantuan Allahyarham, malah ramai lagi anak muda dan golongan kurang berkemampuan turut merasai kemurahan hatinya.
“Bukan saya sahaja yang dia jamin, ramai lagi. Dia memang begitu, seorang yang pemurah. Kalau orang susah datang bercakap dengannya, dia terus bantu tidak kira perempuan atau lelaki, dia terus bagi duit.
“Kalau ada yang datang ke Kuala Lumpur, dia akan tumpangkan rumahnya, apa-apa yang dia boleh tolong, dia akan tolong,” katanya.
Perginya Insan Hebat, Budi Kekal Dikenang
Selain sifat pemurah, Zurinah turut mengenang pesanan Allahyarham agar generasi muda sentiasa ikhlas dalam berkarya serta mencontohi kegigihannya menghasilkan karya meskipun dalam keadaan serba kekurangan.
Sesungguhnya, bukan kecil nilai sebuah pertolongan apabila ia mampu mengubah masa depan seseorang, sekali gus membuka peluang untuk mereka membela nasib keluarga.
Pemergian Pak Samad bukan sahaja kehilangan besar buat dunia kesusasteraan negara, malah buat insan-insan yang pernah menerima jasa dan kebaikannya.
Allahyarham meninggalkan bukan sekadar khazanah sastera, tetapi juga teladan tentang betapa indahnya kehidupan apabila kita mampu memberi manfaat kepada orang lain.
Semoga segala kebaikan Allahyarham menjadi amal jariah yang berpanjangan.
Al-Fatihah.
BACA SINI : Amalkan Surah Ni Kalau Anak Susah Tidur, Memang Menjadi!
Sumber: Harian Metro

