
Menjelang peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2026, bukan sahaja anak-anak berdebar, malah ibu ayah turut merasai kegusaran yang sama. Pastinya setiap ibu bapa mengharapkan anak mereka diberikan ketenangan, kefahaman dan kemudahan menjawab setiap soalan peperiksaan.
Selain usaha dan persediaan rapi, doa ibu ayah untuk anak SPM 2026 juga menjadi antara ikhtiar penting untuk memohon pertolongan serta keberkatan daripada Allah SWT.
Antara amalan yang boleh dilakukan adalah dengan berdoa menggunakan nama-nama Allah SWT yang indah menerusi Asmaul Husna.

Amalan berdoa ini bukan sahaja menjadi pengharapan ibu ayah kepada Allah SWT, malah dapat memberikan kekuatan emosi kepada anak-anak apabila mengetahui mereka sentiasa mendapat sokongan dan doa daripada keluarga.
4 Doa Ibu Ayah Untuk Anak SPM 2026
1. Memohon Kefahaman Dan Kebijaksanaan
Allahumma Ya ‘Alim, Ya Hakim, Ya Rashid.
“Ya Allah Yang Maha Mengetahui, Maha Bijaksana dan Maha Memberi Petunjuk, kurniakanlah anak-anak kami kefahaman terhadap ilmu yang dipelajari serta kebijaksanaan menjawab setiap soalan dengan baik.”
2. Memohon Ketenangan Hati
Allahumma Ya Basit.
“Ya Allah Yang Maha Melapangkan, lapangkanlah dada anak-anak kami agar mereka tenang ketika berada di dewan peperiksaan dan diberikan kejernihan fikiran ketika menjawab soalan.”
3. Memohon Kesihatan Dan Kesejahteraan
Allahumma Ya Salam, Ya Mu’min.
“Ya Allah Yang Maha Sejahtera dan Maha Memberi Keamanan, kurniakanlah kesihatan yang baik serta lindungilah anak-anak kami sepanjang tempoh peperiksaan.”
4. Memohon Perlindungan Daripada Lupa Dan Kegelisahan
Allahumma Ya Mani’.
“Ya Allah Yang Maha Mencegah, jauhkanlah anak-anak kami daripada sifat lupa, kelalaian, kecuaian, waswas, keresahan dan ketakutan yang berlebihan.”
Doa Rasulullah SAW Memohon Kefahaman Ilmu
Selain doa menggunakan Asmaul Husna, ibu ayah juga boleh mengambil pengajaran daripada doa Rasulullah SAW buat Ibnu Abbas RA agar dikurniakan kefahaman dalam agama.
اللَّهُمَّ فَقِّهْهُ فِي الدِّينِ وَعَلِّمْهُ التَّأْوِيلَ
Allahumma faqqihhu fid-din, wa ‘allimhut-ta’wil.
Maksudnya:
“Ya Allah, berikanlah kepadanya kefahaman dalam agama serta ajarkanlah kepadanya takwil.”
(Riwayat Ahmad)
Doa ini mengingatkan kita bahawa ilmu dan kefahaman merupakan anugerah Allah SWT yang perlu sentiasa dipohon.
Buat ibu ayah, teruskan menitipkan doa dan kata-kata semangat buat anak-anak. Elakkan memberi tekanan berlebihan kerana ketenangan emosi juga penting ketika mereka menghadapi peperiksaan.
Semoga semua calon SPM 2026 dipermudahkan urusan, diberikan ketenangan, tidak mudah lupa ilmu yang dipelajari serta memperoleh kejayaan yang diberkati Allah SWT. Amin.
Sumber : Facebook Ustazah Asma Harun

