
Dr. Sivam G. Tamilselvam membuktikan bahawa kejayaan bukan hanya milik pelajar yang cemerlang sejak di bangku sekolah. Siapa sangka, pelajar yang pernah berada di kelas paling belakang kini berjaya menggenggam Ijazah Doktor Falsafah (PhD)!
Itulah kisah inspirasi graduan Universiti Malaya (UM) yang membuktikan bahawa kedudukan seseorang pelajar di dalam kelas bukanlah penentu kejayaan masa depannya.
Lebih menyentuh hati, kejayaan Sivam turut diraikan bekas gurunya, Cikgu Azian Zakaria, yang menitiskan air mata kegembiraan ketika hadir ke majlis konvokesyennya selepas 13 tahun.

Tak Mampu Pergi Tuisyen, Cikgu Sanggup Ajar Selepas Sekolah
Menerusi perkongsian di Facebook, Sivam mengimbau kembali zaman persekolahannya di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Alam Megah apabila Matematik menjadi antara mata pelajaran paling sukar dikuasainya.
Disebabkan kekangan kewangan keluarga, dia tidak mampu mengikuti kelas tuisyen seperti pelajar lain.
Bagaimanapun, Cikgu Azian tidak pernah berputus asa. Guru berkenaan sanggup meluangkan masa selepas waktu persekolahan untuk membantu Sivam memahami subjek tersebut.
Berkat kesabaran dan bimbingan gurunya, Sivam akhirnya berjaya memperoleh sekurang-kurangnya gred kredit dalam Matematik pada peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2013.

13 Tahun Berlalu, Cikgu Menangis Lihat Anak Murid Genggam PhD
Selepas 13 tahun, Cikgu Azian hadir sendiri membawa sejambak bunga bagi meraikan kejayaan bekas anak muridnya bergelar pemegang PhD.
Pertemuan penuh bermakna itu mengundang sebak apabila Cikgu Azian menitiskan air mata melihat kejayaan Sivam.
Malah, kata-kata gurunya begitu menyentuh hati.
“Hanya saya yang tahu sejauh mana kamu berjuang untuk sampai ke tahap ini.”
Bagi Sivam, kejayaan tersebut bukan miliknya seorang diri, sebaliknya turut menjadi bukti pengorbanan seorang guru yang sentiasa percaya terhadap kemampuan anak muridnya.
“Cikgu, kejayaan ini juga milik cikgu. Terima kasih kerana pernah percaya kepada saya ketika saya sendiri belum yakin dengan kemampuan diri. Terima kasih kerana tidak pernah berputus asa membimbing seorang pelajar di kelas paling belakang,” luahnya.
Lebih istimewa, Sivam masih menyimpan buku nota lama yang mempunyai tulisan tangan Cikgu Azian sebagai kenangan terhadap insan yang pernah membantunya.
Jasa Guru Tak Pernah Dilupakan
Perkongsian tersebut turut menyentuh hati warganet yang memuji keikhlasan Cikgu Azian mendidik tanpa mengira perbezaan bangsa, agama dan latar belakang.
Ramai juga mengucapkan tahniah kepada Sivam kerana tidak melupakan jasa gurunya meskipun kini sudah bergelar doktor falsafah.
Kisah Sivam menjadi bukti bahawa kedudukan seorang anak di dalam kelas bukan penentu masa depannya. Kadangkala, kepercayaan dan kesabaran seorang guru mampu menjadi titik permulaan kepada kejayaan besar dalam kehidupan anak muridnya.
Tahniah Dr. Sivam dan Cikgu Azian! Semoga kisah ini menjadi inspirasi buat ibu bapa dan pendidik agar terus percaya pada potensi setiap anak.
BACA LAGI : “Tak Semua Anak Mampu Luah Apa Dirasa…” ‘I’m Not Okay, Cikgu!’ Bongkar Realiti Emosi Remaja
Sumber: Facebook Sivam G. Tamilselvam

