Kisah ‘Abang Viva’ atau nama sebenarnya Azwan Omar rasanya tidak perlu diperkenalkan lagi.
Kemuliaan hati pemuda dari Melaka ini dalam membantu mangsa-mangsa banjir dengan merentas negeri menggunakan kereta Viva dan membawa bot persendiriannya, telah membuatkan ramai yang kagum dengan keikhlasan dan kebaikan yang ditunjukan olehnya.
Lantaran itu, tampil beberapa pihak untuk membantunya dan antaranya adalah salah seorang usahawan wanita yang dikenali sebagai Sha Hassan ingin menghadiahkan kereta 4X4.
Perkara ini menimbulkan pelbagai spekulasi di media sosial apabila tular beberapa portal melaporkan pemberian kereta oleh usahawan itu ditolak kerana bertujuan untuk pemasaran semata-mata.
Lantaran itu menerusi sebuah video yang dimuat naik di laman sosial, Sha menjelaskan bahawa Abang Viva tidak pernah menolak tawarannya itu malah memberitahu akan menghubunginya selepas selesai membantu mangsa banjir di Pahang.
“Pada mulanya, saya hanya diamkan diri kerana tidak mahu keadaan bertambah teruk dan saya juga tidak memaksa Abang Viva untuk menerima pemberian saya itu.
“Dari awal niat saya ikhlas dan tidak lain tidak bukan untuk memberikan sumbangan demi memudahkan segala urusan untuk membantu lebih ramai orang.
Ads
“Malah Abang Viva pun tidak pernah tolak dan hanya menghantar mesej untuk menghubungi saya selepas ini,” katanya.
Dalam pada itu, Sha turut memuat naik beberapa gambar serta sebuah video menunjukkan perjumpaannya bersama Abang Viva di sebuah restoran di Bangi, Selangor semalam.
“Saya minta izin dengan abang Azwan untuk rakam video ini supaya dapat jelaskan kepada orang ramai yang membuat pelbagai andaian sebelum ini.
“Saya dan Abang Viva tidak ada masalah malah saya seronok dengar kisahnya yang menggalas tanggungjawab besar menjaga orang tuanya dan sekarang membantu orang ramai tanpa menghiraukan apa sahaja halangan,” ujarnya.
Ads
Sementara itu, Azwan melalui Live Facebook memberitahu akan menerima kereta pacuan empat roda daripada Sha minggu hadapan selepas beberapa urusan diselesaikan. Dia juga meminta orang ramai tidak lagi mengecam Sha dan membuat pelbagai tuduhan.
Prosedur bekam dan derma darah jika kita lihat seakan sama iaitu dengan mengeluarkan darah daripada badan, namun kedua-duanya mempunyai kebaikan dan manfaatnya yang berbeza. Hal ini dijelaskan dengan lebih detail oleh seorang doktor, dan diharapkan sedikit sebanyak dapat memberi pencerahan untuk kita sekeluarga.
Jom semak perkongsian bermanfaat ini.
BEKAM VS DERMA DARAH
Persoalan yang mengelirukan, orang yang bertanya pada saya juga kelihatan sangat keliru.
Kemungkinan kerana prosedur keduanya sama yang mana darah dikeluarkan daripada badan. Jadi adakah manfaat keduanya sama? Ada yang sama mungkin tapi banyak bezanya!
Derma darah sangat penting bagi menyelamatkan nyawa. Ini bagi saya manfaat terbesar melebihi semua manfaat lain termasuk manfaat bekam. Niat pada yang ni bila derma darah, insha Allah akan dibalasNYA dengan kesihatan yang lebih baik.
Bekam pula banyak manfaatnya. Ramai lebih percaya pada gimiknya, iaitu “buang darah kotor” menyebabkan terdapat mereka yang skeptik dan memandang serong pada terapi bekam ini. Walhal banyak kajian ke atas terapi ini secara saintifik telah dijalankan terutama oleh negara-negara timur tengah, China, india dan juga Malaysia.
Antara kebaikan berbekam yang saya ingin kongsikan hasil pembacaan berkenaan kajian saintifk yang dijalankan :
1) Bekam meningkatkan antioksida badan melalui adaptasi terhadap stress. Kawasan bekam akan mengalami keradangan hasil tekanan darah di dalam cawan dan pengaktifan sel darah. Badan juga menjadi lebih bertenaga hasil daripada penjanaan bateri sel badan iaitu mitokondria yang membebaskan ATP (tenaga).
• Manipulasi redoks mampu memberi kesan positif kepada mereka yang mempunyai masalah alergi, autoimmune, kanser, jangkitan kuman dll.
( Bergantung individu case by case bukan pukul rata )
2) Bekam membuang “substance P” (penyebab radang) daripada saraf hujung sumber kesakitan (nociceptor). Hasilnya kesakitan akan berkurangan.
Maka sebab itu bekam sangat popular untuk mengurangkan sakit kepala,carpal tunnel syndrome, lutut, sakit belakang dll kerana ia mampu mengurangkan kesakitan dengan KETARA.
3) Bekam meningkatkan pemulihan sel melalui peningkatan “growth factor” hasil daripada pengaktifan sel pembekuan darah. Vasculoendothelial growth factor (VEGF) contohnya penting untuk pembinaan salur darah baru. FGF pula merupakan growth factor yang mempunyai pelbagai fungsi (pluripotent growth factor). Antara fungsinya mengikut beberapa kajian ialah membina salur darah baru di jantung (angiogenesis), menyusun dan menumbuhkan sel-sel kulit, memulihkan luka dan penting bagi perkembangan sistem saraf badan.
4) Terdapat juga kajian menunjukkan bekam mengurangkan kerosakan buah pinggang, merendahkan gula darah, memperbaiki profil kolesterol (meningkatkan HDL, mengurangkan TG dan LDL) darah. Terdapat juga kajian ke atas perokok yang berbekam menunjukkan saturasi oksigen yang lebih tinggi dan lebih senang bernafas.
Banyak lagi yang saya belum baca, tetapi rasanya kebaikan bekam yang saya nyatakan tu BANYAK BEZA manfaatnya berbanding derma darah. Namun saya masih berpendapat manfaat derma darah paling utama iaitu untuk menyelamatkan nyawa lebih bermakna jika ikhlas insha Allah.
Tujuan saya menulis bukanlah untuk membuktikan BEKAM lebih baik berbanding derma darah atau sebaliknya. Saya juga bukan yang paling layak. Mana-mana yang berminat mengetahui lebih lanjut boleh hubungi Prof Dr. Aziz dari HUSM untuk pandangan kepakarannya dalam kajian terapi bekam ini.
Hajat saya ingin menangkis pandangan negatif menganggap bahawa terapi bekam merupakan terapi PSEUDOSCIENCE yang tiada asas saintifik. Ia mungkin bukan EVIDENCE BASED MEDICINE (EBM) peringkat tertinggi bagi anda, tapi berlambak kajian ada di pubmed dan journal-journal saintifik.
IQRA’ ya akhi.
Semoga kita tergolong dalam saintis-saintis dan perawat yang mengangkat tradisi perawatan sunnah ini insha Allah. Insha Allah terapi bekam akan menjadi terapi oldschool terbaru dalam bidang REGENERATIVE MEDICINE!
Nama Dr Amalina bukanlah asing bagi masyarakat kita, dahulu dia dikenali kerana mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan SPM sehingga ditawarkan melanjutkan pengajian di luar negara.
Baru- baru ini namanya sekali lagi meniti di bibir masyarakat bila mana muncul antara individu terawal yang bertanggungjawab dalam proses pembedahan adik Ainul Mardiah Ahmad Safiuddin yang menghidap ketumbuhan di dalam mulut.
Rentetan daripada kejayaan itu, ramai netizen menzahirkan ucapan terima kasih kepada Dr Amalina dan pasukannya yang berjaya melakukan pembedahan itu dengan selamat. Tak kurang ada ada yang melemparkan kata-kata negatif kononnya dia tidak menutup aurat dengan sempurna kerana tidak bertudung.
Persoalan tersebut turut diajukan kepada Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin atau lebih mesra dengan panggilan Dr Maza. Semoga pandangan yang diutarakan oleh Mufti Perlis ini menjawab segala persoalan dan menutup cercaan kepada mereka yang tidak menutup aurat dengan sempurna.
BUAT BAIK TAPI TAK PAKAI TUDUNG.. Catatan Dr MAZA
Sejumlah orang menghantar soalan kepada saya tentang kebaikan seorang doktor perubatan yang membantu menyelamatkan seorang kanak-kanak yang menghidap Germ Sell Tumour. Kisah itu viral dan menjadi trending sehari dua ini. Persoalan mereka “patutkah kita memuji-muji doktor tersebut sedangkan beliau tidak bertudung kepala dan agak seksi?”.
Walaupun kita rasa persoalan seperti itu tidak wajar, namun itulah persoalan yang bermain dalam fikiran sebahagian mereka yang terkena versi kefahaman Islam yang bersifat punitif. Kadang-kala bukanlah salah mereka, sebab mereka telah dididik dalam versi kefahaman agama seperti itu. Kefahaman agama mereka bersifat begitu menghukum sesuatu kekurangan yang mereka lihat pada seseorang dan gagal melihat kebaikan-kebaikan lain yang ada pada individu yang sama.
Versi kefahaman atau cara fikir seperti itu menjadikan mereka memilih satu amalan yang menjadi satu ukuran utama mereka seperti bertudung, atau menyokong perjuangan mereka atau seumpamanya. Itu dijadikan penentu tunggal bagi kebaikan dan keburukan seseorang. Segala amalan baik akan dinafikan jika tidak mempunyai ciri yang mereka pilih itu.
Mereka itu lupa bahawa di akhirat kelak, ALLAH menimbang dengan adil setiap kebaikan dan kejahatan seperti yang ALLAH nyatakan dalam Surah al-Zalzalah. Mereka juga lupa al-Quran dalam Surah al-Qari’ah menyatakan bahawa sesiapa yang pahalanya mengatasi dosanya maka dia akan ke syurga. Sesiapa yang sebaliknya, maka dia ke neraka. Ertinya, penilaian ke syurga bukan dibuat atas siapa yang tidak mempunyai dosa, tetapi siapa yang pahalanya mengatasi dosanya.
Mereka lupa dalam hadis sahih riwayat al-Bukhari dan selainnya Nabi s. a. w. memberitahu bagaimana diampun dosa pelacur kerana memberi minum kepada anjing yang kehausan hampir mati. Tentulah betapa lebih layak untuk mendapat keampunan seseorang yang memberi minum atau menyelamatkan nyawa manusia yang terancam jika dilakukan dengan jiwa yang kudus.
Ya, dosa tetap dosa. Kita tidak menghalalkan dosa disebabkan sesuatu kebaikan yang lain. Namun, kita tidak boleh menafikan kebaikan seseorang disebabkan satu dosa yang lain. Boleh jadi orang yang kita lihat melakukan sesuatu dosa itu, dia lebih baik di sisi ALLAH disebabkan pahalanya yang lain atau kemurnian niatnya yang kita mungkin tidak tahu. Boleh jadi kita yang tidak melakukan dosa tertentu ini, lebih buruk di sisi ALLAH disebabkan dosa yang lain.
Justeru, janganlah kita cuba menentu syurga dan neraka sesiapapun. Tugasan kita hanya memberitahu bahawa itu dosa, ini pahala. Pahala boleh membawa ke syurga, sementara dosa boleh membawa ke neraka. Beritahu apa yang ALLAH suruh dan apa DIA larang.
Adapun kedudukan pelaku dosa dan pahala di sisi ALLAH, hanya DIA yang maha tahu. Dia Yang Maha Mengetahui hakikat keseluruhan hidup seseorang zahir dan batin. DIA yang mengetahui timbangan antara dosa dan pahala seseorang.
Kemudian kita hendaklah kita tahu di sana ada dosa peribadi hanya antara hamba dengan TuhanNYA tanpa membabitkan hamba-hamba ALLAH yang lain. Dosa jenis ini mudah diampunkan oleh ALLAH. Di sana pula ada dosa yang membabitkan kezaliman antara kita dengan hamba-hamba ALLAH yang lain. Dosa ini tidak diampuni sehingga kita memohon kemaafan atau membayar pahala kita di akhirat kelak. Jika tidak, kita mesti menanggung dosa orang yang kita zalimi. Inilah yang Nabi s. a.w tegaskan dalam hadis riwayat Muslim.
Maka, boleh jadi ada orang yang di mata kita lekeh disebabkan dosa peribadi seperti tidak menutup aurat, namun dia kurang melakukan dosa dengan hamba-hamba ALLAH yang lain. Boleh jadi orang yang kita pandang tinggi dengan penampilannya, tapi betapa banyak dosanya dengan hamba-hamba ALLAH yang lain.
Justeru, janganlah kita menafikan kebaikan orang lain disebabkan sesuatu kekurangan yang kita lihat. Ini tidaklah bererti menjustifikasi dosa yang dia lakukan, tapi kita dituntut untuk adil dalam menilai orang lain. Dosa dinilai dosa, baik dinilai baik. Ada dosa tidak semestinya tiada kebaikan. Ada pahala tidak semestinya tiada dosa.
Akhirnya, hendaklah kita sedar, kita semua sebenarnya pendosa. Cumanya, antara yang diketahui orang dan tidak ketahui oleh orang lain. Seperti mana kita mahu orang adil kepada kita, maka adillah kita terhadap setiap orang. Apa yang salah ia tetap salah tetapi tidak bererti menafikan kebaikan yang lain jika ada. Apa yang baik tetap baik, tetapi tidaklah menjustifikasi dosa yang lain.
Hidangan yang berasaskan mee sering menjadi perhatian bagi yang suka hidangan yang mudah dan sedap.
Ia termasuk mee suah. Rasanya memang membangkitkan selera makan. Memang sedap!
Sebagaimana perkongsian oleh puan ini menerusi facebook miliknya, Ibu Zarah.
MEE SUAH POWER Ni masakan dari resepi aruah mak dulu. Katanya dia belajar dengan kawan bangsa tionghua masa bekerja digudang getah. Aruah mak ramai geng sekerja dari kaum india, cina dan benggali. Tak heranlah aruah mak boleh berbahasa hokkien sikit-sikit. Dulu kalau mak masak mee suah ni berebut-rebut kami makan. Kalau ada yang tak sihat, biasanya mak akan hidang mee suah ni panas-panas. Makan sampai peluh-peluh dan terus telan cortal . Mee suah ni tak perlu direbus atau dibasuh, dia macam kita masak maggi. Patah dua, terus masuk dalam kuah. Kacau- kacau sampai kembang, dah siappp!
Cara penyediaan:
2 bungkus ni boleh makan untuk 4 orang
Sediakan bahan-bahan
Udang kering, direndam, basuh dan tumbuk kasar
Cendawan dan batang celery yang dipotong-potong
Cili padi, bawang merah dan bawang putih ditumbuk kasar
Mee suah yang dipatah dua
Sedikit minyak
Tumis bawang-bawang dan cili hingga naik bau
Masukkan udang kering
Masukkan air dalam 1.5 litre
Masukkan cendawan dan batang celery
Pecahkan dua biji telur, nak sebiji-sebiji pun boleh, nak hancur-hancur pun sedap
Masukkan mee suah, kacau selalu supaya tak berketul. Rasa dulu baru masukkan garam sebab ada mee suah yang dah bergaram. Kang termasin laa pulak
Hidangkan panas-panas. Kalau lambat makan nanti dia serap air dan tak berkuah. Sedapnya makan mee suah ni, orang sakit gigi pun boleh makan sebab dia lembut dan tak perlu kunyah sangat… sedut dan telan pun boleh
Pelajar meninggal dunia, tak sempat tengok keputusan SPM, guru kongsi kisah sedih. Seorang guru berkongsi kisah menyentuh hati mengenai bekas anak muridnya yang meninggal dunia akibat jangkitan kuman selepas menjalani pembedahan apendiks, hanya beberapa hari sebelum keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 diumumkan pada hari Khamis.