
Usia semakin menghampiri 70 tahun, namun penyanyi rock legenda, Datuk Amy Search masih sihat dan bertenaga. Menariknya, rahsia kekal aktif bukanlah senaman berat, sebaliknya rajin melakukan kerja rumah setiap hari.
Amy Search atau nama sebenarnya Suhaimi Abdul Rahman, 68, mengakui gemar melakukan pelbagai aktiviti di rumah bagi memastikan tubuhnya sentiasa bergerak.
Walaupun sudah berada pada usia emas, penyanyi rock legenda itu tetap mengutamakan pergerakan fizikal dalam kehidupan seharian. Baginya, melakukan kerja rumah juga merupakan salah satu cara untuk memastikan badan terus aktif tanpa perlu bergantung sepenuhnya kepada senaman berat.

Isteri Pun Bising, Tak Habis-Habis Buat Kerja Rumah!
Memetik HibGlam, pelantun lagu Isabella itu berkata, masanya banyak dihabiskan dengan mengemas rumah, menguruskan tanaman dan naik turun tangga.
“Kalau tidak bekerja, rutin saya dari pagi sampai petang memang buat kerja rumah saja. Saya suka buat kerja rumah sampai berpeluh.
“Kadang-kadang naik turun tangga, uruskan pokok dan macam-macam lagi. Ada saja kerja yang hendak dibuat sampai orang rumah pun bising kerana saya tidak habis-habis buat kerja.
“Bagi saya, itu pun satu cara untuk bergerak aktif,” katanya ketika ditemui pada sidang media A Night Of Soul.
Syukur Pemeriksaan Kesihatan Baik
Dalam pada itu, Amy turut menjalani pemeriksaan kesihatan setiap tahun termasuk pemeriksaan jantung.
Kali ini, beliau menjalani imbasan CT dan angiogram bagi memastikan keadaan kesihatannya berada pada tahap baik.
“Tapi alhamdulillah semuanya okay,” ujarnya.
Mengenai pemakanan, Amy mengakui tidak mengamalkan diet terlalu ketat, namun jarang mengambil makanan berat pada waktu malam.
Perkongsian Amy menjadi inspirasi bahawa usia bukan penghalang untuk terus aktif. Aktiviti harian seperti mengemas rumah dan berkebun juga mampu membantu mengekalkan kecergasan apabila dilakukan secara konsisten mengikut kemampuan.
Sumber: HibGlam / Kosmo!

