Azura Karim kongsi majlis bertunang anak lelaki, “Ramai kata rupa bakal menantu iras Azura.” Azura Abdul Karim, meskipun tidak lagi bergelar pengacara dan pembaca berita namun bakat Azura tetap dikagumi ramai. Apatah lagi peminat masih boleh mengenal suara penyampai otai ini yang unik dan tersendiri.
Baru-baru ini Azura sempat berkongsi foto majlis pertunangan anak lelaki sulungnya, Syadhamier yang berlangsung 4 Mei lalu. Wajah keibuan jelas terpancar pada wajahnya saat majlis berlangsung.
“Anak lelaki sulung saya telah bertunang dengan @kamiliazlkli dan akan melangsungkan perkahwinan pada November ini.
“Semoga ALLAH Azzawajalla permudahkan untuk kamu berdua Dhamier dan Mia.
“Tidak sabar untuk mengalu-alukan kedatangan Mia secara rasmi dalam keluarga kecil kami,” kongsi Azura.
Hantaran Azura tentang pertunangan anaknya itu dibanjiri dengan ucapan tahniha daripada warga maya. Ramai yang mengatakan bakal menantu seiras wajahnya.
Bekas pengacara Majalah Tiga dan Wanita Hari Ini, kini sedang meniti usia 50 tahun. Azura aktif mengusahakan bisnes miliknya iaitu Deco Patch by Azura Karim. Antara produk yang dihasilkan termasuklah beg, kole dan tiffin.
Pernah mencipta sejarah dalam dunia penyiaran Malaysia apabila muncul sebagai penyampai berita pertama berhijab penuh di kaca televisyen, perkembangan Azura sering diikuti oleh para peminatnya.
Untuk info, Azura memiliki lima orang cahaya mata hasil perkahwinannya dengan juru terbang.
Bapa raikan hari lahir anak istimewa hidap Cerebral Palsy dengan aktiviti lasak. Kasih seorang bapa. Meskipun mempunyai anak menghidap penyakit Cerebral Palsy Quadriplegia yang terlantar dan bergantung sepenuhnya kepada penjaga, ia tidak menghalang seorang bapa membawa ‘anak syurga’ itu menyertai aktiviti lasak.
Menurut Wira Sudepja Rabu, 49, bahkan setiap tahun pada bulan September dia akan menyambut hari lahir anaknya, Nur Wadihan,16 dengan menyertai misi kayuhan ketempat yang mencabar.
Katanya, antara aktiviti berbasikal yang telah disertai mereka adalah berbasikal Bukit Fraser, menjelajah bukit seperti Bukit Miku Negeri Sembilan; Bukit Sungai Como, Terengganu; Gunung Jerai, Kedah dan penutup di Bukit Wang Kelian Perlis selain menyertai Half Marathon 21 kilometer.
“Tahun ini adalah tahun ke sepuluh sertai aktiviti larian dan berbasikal. Sememangnya setiap minggu kami bersama kelab Bikeisable sebagai salah satu sistem sokongan untuk komuniti.
“Saya suka bawa Dihan keluar hanya untuk mengembirakan dia. Hidup ini satu medan ujian, setiap kita ada bahagian masing-masing,” ujarnya.
Bapa kepada dua cahaya mata itu memberitahu, dari kecil hingga umur enam tahun, anaknya hanya menghabiskan masa di hospital.
Jelas beliau, ketika itu anaknya kerap ditahan di wad kerana penyakit yang dihadapi.
“Setelah kesihatan agak stabil, saya cuba bawa keluar dan beriadah. Hingga satu hari berselisih dengan kumpulan berbasikal dan Dihan ketawa.
“Ini menjadi pencetus kami berbasikal dan kemudian berlari. Hari ini ia sudah menjadi rutin kami sekeluarga.
Wira Sudepja turut berkongsi bahawa anaknya akan terlantar seperti bayi berusia empat bulan sepanjang hayat.
“Oleh itu, hargai setiap detik yang ada bersama anak syurga kerana kita tidak tahu berapa lama yang kita ada.
“Moto kami hidup bukan sekadar bertahan hidup, hidup anak syurga luar biasa,”ujarnya.
Kebanyakan daripada kita hanya memberikan perhatian kepada tarikh luput pada barang-barang tertentu sahaja seperti makanan kerana ia mudah rosak.
Kita tak pernah terlepas pandang untuk menyemak tarikh luput susu atau roti. Bahkan, setiap kali membeli barangan tersebut, kita akan menyemak tarikh terlebih dahulu.
Sedangkan untuk barangan lain, kita sering terlupa, atau mungkin kita tak tahu, bahawa peralatan rumah lain juga mempunyai tarikh luput.
Berikut beberapa barangan dan peralatan lain di dalam rumah yang mempunyai tarikh luput.
1. Bantal (2-3 tahun)
Mungkin ramai yang tak tahu, atau tidak kisah, selagi bantal tersebut boleh dipakai, kita akan pakai. Apatah lagi bagi mereka yang mempunyai ‘bantal busuk’ sejak kecil. Sebenarnya bantal mempunyai jangka hayat selama 2 hingga 3 tahun. Bantal akan menjadi rumah kepada hama, yang akan memberikan banyak masalah kepada kesihatan kita. Bantal lama juga akan menyebabkan kesakitan pada leher kerana kehilangan bentuk asalnya disebabkan penggunaan melebihi jangka masanya.
2. Tuala (1-3 tahun)
Pernah tengok orang memakai tuala sehingga nipis dan gelap warnanya? Ia bukanlah disebabkan kualiti tuala itu tidak bagus, tetapi kerana penggunaan sesebuah tuala untuk jangka masa yang terlalu lama.
Jika anak-anak anda tinggal di asrama, cuba periksa tuala anak anda. Sama ada ianya masih elok atau tidak. Disebabkan tuala sentiasa basah, ia adalah tempat yang paling baik untuk pertumbuhan bakteria, dan akan menjadi punca kepada pelbagai penyakit kulit.
Walaupun kerap dibasuh, tuala akan tetap tidak dapat menyelesaikan masalah itu. Sentiasa tukar kepada tuala yang baru, setiap 1-2 tahun.
3. Berus gigi (3 bulan)
Ya, kebanyakan di antara kita hanya akan menukar kepada berus gigi yang baru hanya apabila bulu-bulunya sudah tercabut atau rosak.
Doktor gigi mengesyorkan agar kita menukar berus gigi setiap 2 atau 3 bulan. Berus gigi yang rosak dan keras akan menyebabkan hakisan pada gigi.
4. Span mandian / Loofah (2-3 minggu)
Span mandian atau loofah akan mula membiakkan bakterian dan kuman hanya dalam beberapa minggu. Disebabkan ia sentiasa dalam keadaan basah, ini akan mempercepatkan lagi proses pembiakan tersebut.
Loofah yang diperbuat daripada plastik dan berjaring seperti gambar di atas adalah lebih selamat dan tahan lebih lama, kira-kira 8 minggu kerana ia mempunyai ruang antaranya yang lebih besar berbanding span mandian biasa.
Untuk memastikan span anda tahan lebih lama, sentiasa bilas dan keringkan span dan loofah anda selepas setiap kali digunakan. Gantikannya selepas beberapa minggu.
5. Produk pencuci / pembersih
Pernah tak anda mengalami situasi ini, anda baru berpindah ke rumah baru, dan terdapat produk pembersih atau pencuci seperti pencuci lantai atau sabun basuh baju. Berasa rugi untuk buang barang-barang ini anda pun gunakannya untuk mencuci lantai dan baju anda. Pernah?
Ini adalah kerana kita mengganggap produk-produk ini tidak mempunyai tarikh luput, dan berasa rugi jika membuangnya.
Menurut Good Housekeeping, keberkesanan produk-produk ini akan berkurangan selepas tempoh tertentu dan bekas plastik produk itu juga akan memberi kesan kepada formula produk itu. Kami sertakan tarikh luput bagi produk-produk pembersih yang mungkin ada di rumah anda.
Sabun basuh baju : 6 hingga 12 bulan
Pelembut pakaian : 1 tahun
Pembersih lantai / sinki : 2 tahun
Pembasmi kuman (Dettol) : 3 bulan
Sabun basuh pinggan : 12 hingga 18 bulan
6. Minyak wangi (1-3 tahun)
Minyak wangi dan eau de parfum boleh tahan selama 3 tahun jika tidak dibuka dan digunakan, dan tahan untuk 2 tahun jika digunakan. Manakala eau de toilette pula boleh bertahan selama 4 tahun jika tidak dibuka, dan 2 tahun jika dibuka. Jadi sebelum anda membeli minyak, jangan hanya pilih bau yang anda suka sahaja, anda juga perlu periksa tarikh luput.
7. Puting bayi (2-5 minggu)
Bagi yang mempunyai anak kecil, pastikan anda sentiasa memantau puting yang diberikan kepada si kecil. Puting yang diperbuat daripada getah perlu digantikan, tak kiralah berapa lama ia telah digunakan dan keadaan puting itu. Ia amat mudah rosak dan boleh menyebabkan pembiakan kuman dan bakteria.
8. Kerusi kereta kanak-kanak (6-10 tahun)
Oleh kerana kerusi ini diperbuat daripada bahan yang mengembang dan mengecut berdasarkan jangka umur dan suhu, dan suhu dalam kereta yang berubah terlalu kerap, kebanyakan kerusi kereta kanak-kanak mempunyai jangka hayat selama 6 hingga 10 tahun SELEPAS dari tarikh pembuatan. Tarikh luput biasanya dipaparkan pada bahagian bawah atau tepi produk tersebut.
Juga, kerosakan terdahulu, atau jika anda terbabit dalam kemalangan juga boleh memberikan kesan kepada keselamatan kerusi ini. Jadi, jangan sesekali anda cuba untuk membeli kerusi kereta bayi terpakai, kerana tidak tahu tahap keselamatannya. Lebih baik membelanjakan lebih wang daripada mengambil risiko yang sangat bahaya.
9. Baju dalam wanita (1-2 tahun
Ya, baju dalam wanita juga mempunyai tarikh luput. Sebaik sahaja baju dalam anda hilang bentuk, keanjalan, menjadi besar atau kecil, dan juga menjadi tidak selesa, tiba masanya untuk anda membuangnya dan membeli yang baru tanpa rasa kesal. Ia tidak baik untuk kesihatan payu dara anda, dan juga keselesaan yang kurang dalam seharian anda.
10. Kasut sukan (1 tahun)
Jika anda seorang atlit, atau suka bersenam, anda mungkin tahu bahawa kasut sukan mempunyai tarikh luput. Setelah kasut sukan anda digunakan untuk larian sebanyak 400 hingga 500 kilometer, ia kusyen pada kasut tersebut akan mula hilang dan ini akan memberi kesan kepada sendi-sendi anda. Namun, jika anda jarang menggunakannya, tukar kepada kasut baru jika anda berasa tidak selesa dan rasa sakit-sakit.
11. Wayar sambung (1-2 tahun)
Setiap wayar sambung mempunyai kapasiti yang tertentu. Jika anda melebihi kapasitinya, ia akan merosakkan wayar sambung tersebut dan boleh menyebabkan masalah besar seperti litar pintas yang akan menyebabkan kebakaran. Tidak berbaloi untuk mengambil risiko yang besar hanya kerana anda tidak mahu menukarnya.
12. Krim pelindung matahari (3 tahun)
Biasanya, krim pelindung matahari mempunyai jangka hayat selama 3 tahun, walaupun tidak dipaparkan pada produk tersebut, menurut pakar-pakar. Setelah melepasi jangka hayat ini, keberkesannya akan menjadi kurang. Jadi, sebelum membeli, anda perlulah menyemak tarikh luputnya terlebih dahulu, dan jika ia tidak mempunyai tarikh luput, semak tarikh produk itu dihasilkan, dan buang selepas 3 tahun tidak digunakan.
Jadi selepas ini, diharapkan kita semua lebih peka dan teliti ketika membeli barangan-barangan ini dan juga barangan lain, supaya mendapat faedah dan manfaat yang lebih. Juga bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini.
Sumber rujukan :
1. Buzzfeed
2. Dadgab
3. Linkis
Mencari bahagia bersama KELUARGA?
Download dan baca sekarang di
Tidak kira anak lelaki mahupun anak perempuan, kedua-duanya punya tanggungjawab untuk menjaga ibu bapa. Pakar motivasi dan pendakwah, Noor Laila Aniza Zakaria, berkata hukum menjaga ibu bapa terutama yang uzur terletak bukan sahaja di bahu anak lelaki, bahkan anak perempuan.
Tanggapan anak perempuan terlepas daripada tanggungjawab menjaga ibu bapa selepas berkahwin tidak benar sama sekali. Setiap anak wajib berbuat baik bukan sahaja terhadap ibu kandung, bahkan mentua, ibu angkat, ibu tiri mahupun sekadar ibu susuan.
Tidak ada sesiapa yang terlepas sekalipun wanita itu sudah berkahwin. Bukan anak lelaki sahaja perlu dipertanggungjawabkan menjaga ibu bapa yang sakit. Malah kerana tanggapan ‘wajib’ itu, tugasan berkenaan diserahkan pula kepada menantu perempuan untuk menjaganya yang sama sekali tidak benar.
SUAMI TIDAK BOLEH HALANG
Seandainya ibu bapa kandung isteri uzur atau terlantar sakit dan isteri ingin menjaganya, suami tidak boleh menghalang sebaliknya perlu membantu dalam menyediakan keperluan serta kebajikan mentua.
Apabila perempuan berkahwin, memang isteri dan segala dibawa adalah di bawah tanggungjawab suami termasuk nafkah ibu bapa isteri sekiranya mereka dalam kalangan orang miskin atau memerlukan bantuan perubatan. Nafkah itu perlu ditanggung menantu lelaki mengikut kemampuannya.
Ia menunjukkan keadilan Islam termasuk kepada ibu bapa yang tidak mempunyai anak lelaki. Bayangkan sekiranya anak lelaki sahaja dituntut menjaga ibu bapa, mungkin ramai dalam kalangan wanita yang sudah berkahwin mengabaikan orang tua mereka.
Di sinilah ditunjukkan pembelaan Allah SWT terhadap ibu bapa yang tidak berbelah bahagi dan saksama kerana ia tidak mengira sama ada kewajipan menjaga ibu bapa kandung atau mentua.
DOSA BESAR DERHAKA TERHADAP KEDUA ORANG TUA
Ini turut ditekankan Rasulullah SAW yang menjelaskan antara salah satu dosa besar, selain mensyirikkan Allah SWT adalah bagi orang derhaka terhadap kedua orang tua.
Rasulullah SAW bersabda: “Adakah kalian mahu aku beritahu mengenai dosa besar?” Sahabat kemudian menjawab: “Kami mahu, wahai Rasulullah SAW.” Rasulullah berkata: “Menyekutukan Allah SWT dan derhaka kepada orang tua.” (HR Bukhari dan Muslim)
Begitu juga dalam situasi suami ingin menjaga ibu bapanya yang sakit, jatuh hukum haram kepada isteri yang tidak membenarkannya. Bagaimanapun, keadaan berbeza bagi menantu perempuan yang tidak diwajibkan menjaga ibu bapa suami yang sedang sakit.
Tanggungjawab menjaga ibu bapa suami yang sakit terletak sepenuhnya kepada tangan suami. Bagaimanapun suami boleh berbincang dengan isteri atau jika mampu sediakan pembantu rumah bagi meringankan tugasan isteri.
Mengikut hukum, isteri wajib diberikan upah jika suami ingin pasangan menjaga ibu bapanya yang uzur. Oleh itu masyarakat supaya tidak sesekali bertindak melabelkan menantu perempuan yang menolak menjaga mentua sebagai kejam atau tidak berhati perut kerana ia hukum asas dalam agama.
JANGAN TERLALU BERKIRA
Amat pelik bagi sikap sesetengah pasangan suami atau isteri yang sengaja tidak mahu menjaga ibu bapa masing-masing. Hierarki membezakan ibu bapa kandung dan mentua sebenarnya tanpa berasaskan dalil sahih daripada al-Quran dan hadis, sekali gus mendorong kita berpecah-belah, bertelagah, terlalu berkira serta saling cemburu dan meragut sifat kasih-sayang mukmin sebenar.
Apabila diuji menjaga ibu bapa sakit, apa lebih penting adalah melakukan persiapan mental dan emosi dengan rapi. Ibu bapa yang tinggal bersama perlu diutamakan keselesaan mereka dengan menyediakan keperluan sepatutnya termasuk tempat tidur kondusif dan aktiviti harian yang diisi dengan perkara bermanfaat.
Perbuatan mencela, menghamburkan kata kesat atau memperlekehkan ibu bapa atau mentua perlu dielakkan dengan sentiasa mengingati azab Allah SWT kepada setiap hamba-Nya yang derhaka.
Semoga Allah SWT menjadikan kita anak-anak yang soleh dan solehah serta anak-anak yang sentiasa berbakti kepada kedua orang tuanya sama ada semasa hayat mereka atau selepas ketiadaan mereka
Sumber kredit: Hijabista via Berita Harian Online (Rencana)