Melihat kulit wajah wanita yang tinggal di sempadan terutama orang Siam membuatkan ramai yang cemburu. Apa tidaknya, muka mereka semuanya cantik dan paling penting kulit licin dan gebu. Jerawat? Memang susah nak cari kan.
Rupa-rupanya mereka ada rahsia bagaimana mendapatkan kulit yang gebu, cantik dan licin. Nak tahu jom baca ni!
Orang kata amalan mereka makan pulut sejak kecil dan inilah rahsianya. Ya, itu hakikatnya. Pulut Ayam yang jadi makanan popular mereka adalah menu ruji saban hari. Makan pulut macam makan nasi agaknya dan inilah rahsia kulit cantik mereka.
Jika tak mampu nak amalkan makan pulut setiap hari, apa kata kita amalkan petua buat masker daripada beras pulut yang dikongsikan Siti Zainab di facebooknya. Malah MamaAmoi juga dah cuba! Jom tengok apa bahan-bahannya.
Masker Putih Gebu
Bahan-Bahan:
4 sudu besar beras pulut
Ads
2 sudu besar Rose Bud
1 sudu besar susu tepung
Sedikit air mawar -Facemist Bunga Kampung Suzy Honey
1. Kisar kering semua satu persatu. Kisar sampai jadi halus.
2. Kemudian bancuh ketiga-tiga bahan ini ikut keperluan yang anda nak guna.
3. Kemudian baru titikkan air mawar mengikut tahap kepekatan. Paling penting senang nak sapu pada muka nanti.
Ads
4. Sapu pada seluruh wajah dan boleh juga digunakan pada seluruh badan.
5. Biarkan kering, sekurang-kurangnya 30 minit.
6. Sebelum bilas dengan air bersih, basahkan masker dan lulurkan dahulu sebentar.
7. Sental kulit muka dengan perlahan-lahan.
8. Basuhlah kulit muka dengan air suam hingga bersih.
Setelah dah cuba baru anda akan tahu hasilnya. Gabungan beras pulut dan rose bud ini buat muka jadi lebih cerah dan gebu. Malah ia juga boleh menghilangkan parut-parut jerawat serta menghaluskan lagi kulit anda. Jadi rugi kalau tak cuba!
Rose bud mengandungi dua kali Vitamin C berbanding buah oren. Susu tepung pula bagi kesan cerah dan lembap. Lakukan rawatan ini dua tiga kali seminggu untuk hasil superb glow dan cerah gebu.
Kredit: Siti Zainab
Foto: MamaAmoi
Mencari bahagia bersama KELUARGA?
Download dan baca sekarang di
Dalam mendidik anak-anak, kita sebagai ibu ayah turut berasa bimbang andai apa yang kita lakukan selama ini tidak sempurna untuk membimbang anak-anak menjadi insan yang berguna. Besar harapan kita juga agar setiap pengorbanan yang kita lakukan akan dihargai oleh anak-anak bilamereka besar kelak.
Berkongsi tip untuk jadikan anak-anak akan berterima kasih kepada ibu ayah, Aminat Matt Yusoff ada berkongsi cara yang boleh dipraktikkan oleh yang lain. Nak tahu lanjut, ini perkongsiannya.
Anak akan berterima kasih pada ibu ayah. Jika..
1. Kejut mereka solat subuh, seperti mengejutkan mereka lari dari kebakaran. Inilah yang arwah ayah saya buat dulu. Sebelum azan subuh, ayah akan ketuk pintu bilik sehingga anak-anaknya bangun dan berwuduk . Permulaan memang agak seksa dan payah tapi ibu ayah kena kental. Setelah anak-anak ini menjadi dewasa, mereka tidak akan putus-putus berterima kasih kerana bersabar dalam mendidik mereka.
2. Paksa mereka belajar al-Quran. Ajar sendiri atau cari guru mengaji. Arwah ayah guru agama tapi tetap menyuruh anak-anaknya cari guru ngaji sampingan untuk cuti hujung minggu dan cuti sekolah. Kat rumah waktu pagi wajib talaqi dengan ayah, malam bersama dengan kawan-kawan sekampung ke kelas ngaji. Sampai sekarang terasa indahnya zaman kecil-kecil dulu. Tiada perkara yang membosankan hidup, penuh dan bermanfaat. Kadang tu peristiwa yang berlaku dalam kelas ngaji buatkan kita belajar sesuatu dan kenangan itu terus subur hingga kini.
Ada kajian yang dilakukan pada tahun 2018 mengatakan bahawa ramai murid tidak menguasai bacaan al-Quran kerana mereka skip kelas mengaji.
3. Ajar mereka tentang ikhtiar hidup. Mula dengan tanam touge, pokok-pokok kecil sehingga kepada kemahiran dan aktiviti yang lebih mencabar. Jangan biarkan mereka hidup dalam dunia khayalan, mengisi masa dengan bermain semata-mata dan menjadikan phone teman sejati. Anak lelaki arwah ayah berikan mereka tanggungjawab dan tanamkan keberanian, anak perempuan arwah ayah akan sediakan kelas-kelas untuk tambah ilmu ketuhanan dan adab. Alhamdulillah syukur..
4. Bantu anak-anak berkomunikasi dengan baik. Banyakkan berinteraksi, bermunaqashah dan lakukan aktiviti bersama-sama. Sekarang, bila mengimbau kenangan lalu, buat saya senyum sendiri. Aktiviti yang saya anggap biasa-biasa dulu tapi hari ini ia memberi inspirasi. Berkelah tepi parit yang di kelilingi sawah padi, arwah ayah bentang tikar dan adik beradik duduk bersantai sambil melihat pepatung berwarna warni. Allahu.. Bila saya lihat gambar pepatung, kenangan tu datang menyapa.
5. Anak-anak akan sangat-sangat berterima kasih kepada ibu ayah yang tidak pernah jemu melakukan solat secara berjemaah, masak berjamaah, makan berjamaah dan kemas berjamaah. Semangat kekeluargaan akan lahir setiap kali ada unsur kebersamaan dalam setiap tindakan.
6. 10 tahun kemudian, kenangan ini makin segar dan subur dalam ingatan anak-anak kerana setiap suatu yang memberi kesan positif dalam hidup akan memberi moment terbaik kepada seseorang.
Selamat berusaha ibu ayah yang hebat. Sinsing lengan, ketatkan kilas..Anak-anak comel sedang menunggu.
Sebenarnya ada banyak cara untuk mengekalkan ketahanan cili padi ini. Perkongsian puan Yatie Eimra di facebooknya dengan menggabungkan bahan ini, iaitu cili padi, garam dan cuka lain dari yang lain.
Caranya mudah sahaja dan sepertimana petua lain, bekas bersih beserta tisu dapur diperlukan untuk meletakkan cili padi tersebut. Simple je caranya tapi berkesan dan cili bole tahan lama. Jadi kita kenalah cuba!
🌶️TIP SIMPAN CILI API🌶️
1. Basuh cili api untuk hilangkan kekotoran
2. Rendam cili dalam air bersama garam & sedikit cuka makan.
3. Tindih dengan bekas berat/pinggan/dll supaya keseluruhan tangkai tenggelam. Langkah ni penting ye! Ni bertujuan nak keringkan batang cili supaya tak mudah berkulat/rosak. Rendam 5-10 minit.
4. Tos kering tanpa perlu dibilas.
5. Simpan dalam bekas yang lapik dengan tisu dapur.
P/S: Saya tak guna bekas bertutup pun, hanya simpan dalam botol recycle & dilapik tisu dapur (reusable). Lama² pasti akan ada sebiji-2 cili yang kering/mula rosak. Pastikan gunakan cili² yang makin kering tu dulu👌🏻
**Gambar first masa simpan cili 27/3. Gambar last tu hari ni (17/5). Dalam gambar last tu, baki cili api dah sebulan++ sebab tak sempat masak akibat asyik tak sihat.. Boleh tengok ada yang masih segar & hanya 3-4 biji cili yang makin kering & dah mula rosak sikit.
Boleh kata musim cuti raya yang panjang ramai antara kita akan ambil kesempatan untuk mengadakan majlis reunion kawan-kawan sekolah. Maklumlah ketika raya inilah semua orang akan balik ke kampung dan mudahlah untuk menjayakan majlis reunion yang julung-julung kalinya dapat diadakan.
Terasa teruja sungguh untuk bertemu kawan lama bagi mengeratkan lagi hubungan silaturahim. Pun begitu tidak dinafikan ramai juga yang mengatakan majlis reunion sekolah ni banyak juga mengundang musibahnya.
Untuk itu, apa kata kita baca salah satu petikan teks yang telah disiarkan di dalam majalah Keluarga yang ditulis oleh Datuk Abd Jalil Ali. Memang menarik perkongsiannya!
SAYA percaya ‘reunion’ boleh membangkitkan kenangan silam. Tetapi saya tidak bersetuju bahawa pertemuan teman-teman lama itu boleh meruntuhkan rumah tangga.
Memang menghairankan apabila ada tanggapan kononnya pertemuan semula teman sekolah, atau teman sekampus, boleh merenggangkan hubungan suami-isteri.
Harap-harap ada kajian ilmiah dilakukan dalam waktu terdekat ini untuk menolak tanggapan seperti ini. Kalau tidak mungkin ramai tidak berani menghadirkan diri pada majlis ‘reunion’, bimbang rumah tangga berantakan.
Ada yang bertanya saya, salah siapa sekiranya hubungan suami-isteri menjadi semakin dingin setelah pulang dari pertemuan dengan teman-teman lama.
Salah lelaki atau salah perempuan? Apakah lelaki yang terlalu emo? Atau, apakah perempuan yang terlebih jiwa-jiwang?
Lebih baik jangan menyalahkan sesiapa. Tidak kira lelaki atau perempuan, apabila terlalu terbawa-bawa dengan kisah-kisah indah zaman sekolah, memang boleh angau dibuatnya.
Almaklumlah, zaman persekolahan memang penuh seribu keindahan. Kalaulah jarum jam boleh diputar ke belakang, rasanya saya hendak kembali semula ke zaman itu!
Menoleh ke belakang, menelusuri lorong-lorong kenangan, tempoh lima atau enam tahun di sekolah menengah, memang semuanya indah. Hatta, kena rotan guru disiplin pun kini terasa amat nostalgik.
Kalau kena rotan pun satu kenangan yang tidak dapat dilupakan, inikan pula kisah cinta-cintan sepanjang berada di tingkatan empat atau lima.
Maka teringat seorang gadis bertocang ekor kuda yang mula saya kenali ketika di tingkatan lima. Dia pelajar baharu, berpindah dari sekolah lain.
Sejak hari pertama terserempak dia di kantin, tertarik betul saya pada ekor kudanya yang diikat dengan reben biru. Tidak ada kata-kata, hanya senyuman ketika sama-sama meninggalkan kantin sebab loceng sudah berbunyi.
Dan, malam itu saya tidak dapat menumpukan perhatian pada buku teks geografi, sebab setiap halaman yang saya buka, yang terlihat hanyalah senyuman manisnya di kantin siang tadi.
Saya terlentang di katil, terkebil-kebil dalam gelap, sebelum akhirnya terlena, dengan satu soalan yang belum dijawab: Siapakah gadis itu?
Pagi-pagi esoknya, di kantin sekolah, saya bertemu dengannya, saling berbalas senyum, dan tanpa malu-malu terus saya tanyakan namanya.
Namanya S. Sengaja saya rahsiakan nama sebenarnya, bimbang akan menimbulkan syak kepada suaminya, juga kepada isteri saya sendiri.
Bermula di kantin, kerap pula saya bertemunya di perpustakaan, di padang ketika latihan sukan. Malah, sesakali pada hujung minggu, kami makan ais kacang di pekan.
Walaupun tidak pernah dinyatakan dengan perkataan, saya sedar telah terperangkap dalam cinta. Saya pasti – dari gerak geri dan reaksinya – dia juga telah terjerat dalam babak filem Hindustan yang mengasyikkan ini.
Cinta monyet itu amat indah. Kami tidak berselindung-selindung lagi. Ke mana-mana bersama. Kalau sehari tidak berjumpa, saya tidak boleh belajar.
Satu sekolah heboh orang bergossip mengenai kami. Ada aku kisah? Kami berjanji ingin bersama, sehidup semati. Engkaulah gunung, engkaulah intan, engkaulah payung, fullamak.
Tetapi, namapun cinta monyet. Sumpah dan janji monyet tidak boleh dipegang. Lepas keputusan SPM, dia disambar oleh monyet lain.
Ketika berkelana di KL, membawa sebuah kedukaan, saya menerima perkhabaran dari kampung S akan berkahwin dengan jejaka pilihan keluarga.
Mula-mula menangis juga. Sampai hati kau mengkhianati cinta ku. Rasa hendak terjun lombong, atau minum racun tikus, lebih-lebih lagi setiap kali mendengar lagu ‘Kenangan Mengusik Jiwa’ oleh A. Ramlie yang amat populat ketika itu.
Tetapi, lama-lama monyet desa itu hilang dari ingatan. Rupanya di kota pun ada sekian banyak monyet…
Sejak habis sekolah, saya tidak pernah bertemu dengan S. Setiap kali pulang beraya dan bertemu dengan geng-geng sekolah, selalu juga kita bercerita tengang cinta-cintan zaman remaja.
Secara kebetulan rumah saya betul-betul sebelah Sekolah Menangan Kebangsaan Bukit Gambir. Setiap kali balik Kampung Sungai Jaya, Muar, saya melintasi sekolah, dan terasa kelakar pula teringat zaman monyet-monyetan
Walaupun selalu bertemu geng ketika pulang kampung, sampai sekarang saya belum berkesempatan ber‘reunion’ dengan kawan-kawan lama sekolah.
Saya tidak pasti jika bertemu ramai-ramai dengan geng sekolah apakah cinta boleh bersemi semula? Tidak dapat dipastikan apakah reunion boleh menjejaskan hubungan saya dengan isteri.
Hatta, tidak juga dapat saya pastikan apakah S, si tocang ekor kuda itu masih mengenang detik jeling-menjeling di kantin, juga keseronokan berlatih sukan di padang sekolah.
Hanya satu perkara yang pasti: semuanya tidak seperti dulu-dulu. Hakikatnya ialah kenangan bermonyet-monyetan yang indah itu terjadi kira-kira setengah abad lalu.
Melihat diri dan wajah sendiri dalam cermin, saya tidak lagi sekiut (cute) zaman awal remaja. Waktu itu saya baru 18, kini sudah 63 tahun!
Dulu zaman teruna sunti, rambut hitam lebat, disisir rapi dengan ‘suak’ terjuntai di dahi. Sekarang rambut sudah semakin jarang, tidak ada lagi yang hitam, semua putih macam bunga lalang.
Rambut semakin jarang, gigi banyak bergoyang, jalan pun sudah terhuyung-hayang. Perut gendut semacam, pandangan tidak lagi tajam, hatta suara pun semakin kedam. Dulu saya sentiasa bertenaga untuk lari 100 meter, sebab saya tahu dia ada di tepi padang memberi tepukan dan sokongan. Kini, jangankan 100 meter, berjalan sepuluh langkah pun saya sudah separuh mati.
Saya sudah tua!
Maka saya tidak fikir dia masih secantik dulu-dulu. Tocang ekor kuda agaknya sudah tidak ada; kalau ada pun pasti telah disembunyikan di dalam tudung kepala, hanya untuk tontonan suami.
Mungkin juga rambutnya tidak hitam lagi, sudah berubah warna matelic perak. sama seperti rambut saya. Dia bukan lagi gadis pingatan dengan keayuan dan kesucian kesucian desa seperti zaman sekolah dulu.
Tidak lagi saya bayangkan senyuman semanis dulu. Tidak juga pipinya yang gebu, atau jari-jemarinya yang halus lembut itu. Malah, suaranya pun pasti tidak semanja masa silam.
Dia pun sudah seperti saya, sudah meninggalkan usia remaja. Sudah beranak-pinak, bercucu-cicit. Pasti orang panggil dia opah atau tok wan.
Maka, kalau ditakdirkan saya dipertemukan dengannya dalam reunion musim raya nanti – biasanya reunion sekolah dibuat semasa cuti raya – saya tidak fikir suaminya, juga isteri saya, akan cemburu.
Memang, kita akan bercerita mengenai zaman sekolah. Dia pasti akan menceritakan kenakalan saya mengorat dia. Saya pula akan mengungkit kisah dia didenda kerana lewat memulangkan buku perpustakaan.
Memang, cerita-cerita seperti itu boleh mengembalikan nostalgia. Tetapi saya tidak fikir itu boleh mendarahkan kembali luka lama. Tidak mungkin cinta monyet akan bersemi lagi. Kelakar gila!
Sebab itu tidak masuk di akal saya apabila ada teman memberitahu hidupnya tidak tenteram setelah bertemu semula dengan kekasih lama yang ditemui semula pada satu reunion raya tahun lalu.
“Hang percaya tak, dia masih cun macam dulu!” katanya beriya-iya, dan menambah: “Dia pun kata aku masih maco macam zaman tingkatan lima. Ni yang aku tak boleh tidur!”
Sudah sama-sama tua, sama-sama ada keluarga, tiba-tiba keduanya dilanda angau zaman lampau, gara-gara bertemu pada reunion sekolah. Sudah setahun mereka bercinta di maya.
Tentu sekali saya menyokong cinta silam itu dihangatkan semula, jika keduanya sudah kematian atau kehilangan pasangan hidup. Tetapi, yang satu masih isteri, yang seorang lagi masih suami. Sebab itu saya menentang zaman monyet itu dihidupkan kembali.
Kesimpulannya, tidak salah – malah digalakkan – mengadakan reunion sekolah Aidilfitri ini. Tidak salah juga mengimbau kembali zaman remaja di bilik darjah, atau di kantin.
Tetapi, jangan terlalu terbawa-bawa dengan jiwang dan emo lampau hingga merenggangkan keintiman suami-istri.
Selamat Hari Raya, maaf zahir & batin.
Mencari bahagia bersama KELUARGA?
Download dan baca sekarang di
Yunos Laith sekali lagi mencuri perhatian apabila penyanyi, komposer dan pengarah terkenal, Yusry Abdul Halim berkongsi momen istimewa sempena sambutan ulang tahun kelahiran mereka...