Bila anak kena chicken pox, ibu-ibu kena jaga pemakanan anak. Risau nanti, salah makan anak akan gatal.

Ikuti perkongsian Dr Zubaidi Haji Zubaidi yang sungguh bermanfaat.

IKLAN

Bila Anak Kena Chicken Pox, Ikut Nasihat Pemakanan Oleh Doktor Ini.
.
“Doktor, saya ingin bertanya anak saya mengalami Chicken Pox sudah beberapa hari. Ibu saya menasihatkan agar menghindarkan kicap, telur, ayam dan pelbagai lagi agar ia mudah sembuh. Adakah boleh saya mengikuti nasihat ibu saya?”
.
Chicken Pox atau dikenali sebagai penyakit cacar air (kerana ia menyebabkan gelembung air pada kulit) merupakan penyakit kanak-kanak yang disebabkan oleh virus varicella. Ia akan menyebabkan ruam pada badan, kulit akan menjadi seperti melepuh dan kemerah-merahan. Selepas beberapa hari, ruam mula kering dan mengeras. Pada tahap ini, ia mungkin akan menyebabkan kegatalan.
.
Ruam akibat cacar air ini boleh berlaku pada mana-mana anggota badan, termasuklah di dalam mulut dan menyebabkan luka pada mukosa mulut. Oleh itu pesakit yang mengalami cacar air harus meminum air secukupnya dan kekal terhidrat, mengambil makanan yang berkhasiat supaya tubuh cepat sembuh dan pulih dari serangan virus.
.
“Anak saya mengalami luka di mulutnya. Dia tidak mahu makan. Minum air pun sedikit. Apa yang perlu saya lakukan? Dia mahu makan jajan saja. Bolehkah saya memberikannya?”
.
Kanak-kanak yang mengalami luka di dalam mulut akibat cacar air perlu mengambil makanan yang lembut dan tidak perlu dikunyah, supaya ia tidak membuatkan keadaan ruam di dalam mulut bertambah teruk. Antara contoh makanan yang lembut ialah kentang lenyek, sup hirisan ayam. Elakkan mengambil makan yang diproses dan makanan ringan (jajan) yang tidak mengandungi banyak nutrisi. Garam yang berlebihan dalam makanan ringan dan jajan ini akan menyebabkan luka dalam mulut bertambah parah.

IKLAN

BILA ANAK TAK SELERA MAKAN
.
Selain daripada masalah luka dalam mulut, jangkitan virus yang menyebabkan demam menyebabkan kanak-kanak mengalami selera makan yang berkurangan. Oleh kerana jumlah makanan yang dimakan berkurangan, pastikan setiap hidangan yang diambil mengandungi nutris yang secukupnya.
.
Jika kanak-kanak itu tidak mampu menelan makanan separuh pepejal, galakkan dia mengambil banyak makanan yang berbentuk sup atau sekurang-kurangnya minum air suam secukupnya. Makanan sejuk juga membantu melegakan kesakitan. Makanan seperti yogurt sejuk dan minuman sejuk, seperti jus buah membantu member kelegaan pada mulut dan tekak.
.
Buah-buahan yang kaya dengan vitamin, mineral dan serat adalah sesuai untuk dimakan dan baik untuk membantu tubuh untuk lebih cepat sembuh dari cacar air. Pilihlah buah-buahan yang lembut seperti pisang atau tembikai. Elakkan mengambil buah yang berasid seperti oren dan anggur, kerana boleh menyebabkan luka dalam mulut menjadi lebih pedih dan sakit. Buah-buahan ini boleh disejukkan dicampur dengan susu atau yogurt dan ais untuk mendapatkan minuman yang tinggi nutrisi dan sedap.
.
“Bolehkah anak saya minum air bergas?”
.
Kanak-kanak yang mengalami cacar air perlu memastikan pengambilan air yang cukup. 8 gelas air sehari, termasuklah, air kosong, jus, atau air berperisa. Elakkan air bikarbonat yang akan menyebabkan kesakitan pada luka dalam mulut. Elakkan makanan yang pedas dan panas. Makanan yang rangup seperti kerepek dan keropok perlu dihindar.
.
Secara saintifiknya, makanan seperti kicap, telur dan daging ayam tidak mengganggu proses penyembuhan. Namun jika terdapat bukti seseorang itu akan mengalami kegatalan terhadap sesuatu makanan, ia harus dielakkan bagi mengelakkan ketidakselesaan akibat kegatalan yang secara tidak langsung akan melambatkan proses penyembuhan.
.
Andai kata pesakit cacar air tidak boleh makan atau minum akibat luka dalam mulut yang terlalu teruk, dapatkan nasihat doktor. Pesakit seperti ini mungkin perlu dimasukkan ke dalam wad dan diberikan IV drip untuk kekalkan hidrasinya. Cacar air jarang menyebabkan komplikasi, kecuali individu yang mengalami risiko sistem imunisasi yang lemah seperti pesakit diabetes, pesakit kanser atau pesakit yang mengambil rawatan steroid.
.
#HealthDrZubaidi

IKLAN

Kredit: Dr Zubaidi Hj Ahmad

Mencari bahagia bersama KELUARGA?
Download dan baca sekarang di seeNI.

KLIK DI SEENI