Keramahan dan layanan mesra penyanyi, Tomok bersama peminat ciliknya ketika pulang dari solat Jumaat minggu lalu menerima pujian ramai.
Mana tidaknya, walaupun baru balik dari bersolat namun Tomok tetap melayan setiap karenah anak-anak kecil itu dengan baik.
Menerusi Instagramnya, Tomok memuat naik videonya bersama peminat cilik yang ingin mendapatkan tanda tangannya ketika berada di dalam kereta.
“Pakcik pun pakcik lah,” tulis Tomok menerusi ruangan kapsyennya.
Ads
Apa yang menarik pastinya panggilan pakcik buat Tomok yang membuatkan pengikutnya terhibur.
Ramah melayan peminat malah ada yang turut meminta nombor telefon bimbitnya.
Bukan itu sahaja, malah jawapan Tomok yang meminta anak-anak kecil itu belajar hingga pandai dan cemerlang, kemudiannya barulah diberikan nombor telefonnya turut dipuji ramai.
Ads
“Nanti belajar pandai-pandai, dapat no satu, baru pakcik bagi nombor telefon,” kata Tomok ringkas.
Dalam pada itu ruang komen pastinya dihujani dengan pelbagai komen dan pujian buat Tomok yang bersifat kebapaan buat peminat ciliknya.
Hakikatnya begitu banyak keberkatan yang diperolehi oleh seorang anak apabila menjaga mak ayah apabila dilakukan dengan ikhlas dan tanpa ungkitan. Pun begitu, ada juga daripadanya melepaskan peluang menjaga ayah dan ibu yang semakin uzur dengan pelbagai alasan.
Sedangkang sebagai anak, wajar dalam diri setiap antara kita mempunyai rasa tanggungjawab dan kasih sayang kepada ibu ayah yang telah banyak berkorbon membesarkan kita. Teruslah berbakti kepada orang tua selagi nyawa dikandung badan!
Pun begitu, melalui perkongsian daripada Khairul Hakimin Muhammad yang berpeluang seharian berada di pusat jagaan orang-orang tua untuk melihat sendiri senario di sana, nyata ada 1001 kisah dan perasaan yang tersirat dan tersurat cuba disampaikan. Semoga perkongsian ini dapat ‘menjentik’ emosi dan peringatan buat mendepati masa depan bersama ibu bapa yang semakin berusia.
Saya minta izin dengan beliau untuk duduk di situ dari awal pagi seawal sebelum anak-anak mereka itu hantar ibu bapa mereka ke situ untuk dijaga. Kemudian saya akan pulang selepas mereka juga pulang ke rumah masing-masing.
Saya sampai sekitar 6.45 pagi. Sunyi sepi. Kakak misi dan penjaga rumah itu sudah ketahui kehadiran saya, lalu mereka berikan tempat duduk untuk saya. Selang beberapa minit, sebuah kereta masuk. Keluar seorang lelaki dari pintu hadapan kereta dan membuka pintu belakang dan memimpin seorang wanita tua ke dalam rumah. Perlahan-lahan mereka berjalan.
Kemudian lelaki itu berlari-lari semula ke keretanya, dan membuka bonet belakang dan beg serta bakul di bawa ke dalam dan diserahkan kepada penjaga.
Di rumah itu ada 2 orang jururawat juga ada 2 orang penjaga.
Wanita tua itu duduk berlunjur di hadapan tv dan kami berkenalan tanya nama dari mana bagai. Kemudian beliau tertidur.
Datang lagi sebuah kereta, juga wanita tua yang dihantar. Dan kereta terakhir yang datang menghantar sepasang suami isteri. Isterinya terketar-ketar, manakala suaminya itu memimpinnya masuk ke dalam rumah. Semuanya elok-elok sahaja. Ada yang duduk depan tv, ada yang masuk bilik dan ada yang berbaring di katil.
Kekesalan Hidup
Kawan saya datang sekitar jam 11.00 pagi. Kami bersembang beriya-iya tentang rumah yang beliau bina itu. Kenapalah buat rumah jagaan orang tua. Syahdu dan sakitnya hati saya melihat anak-anak yang kuat dan membawa kereta hebat namun tidak daya menjaga ibu bapa sendiri di rumah sendiri.
Kawan saya diam sahaja. Memandang saya dengan matanya berkaca.
“hang jangan cakap macam tu lagi Kerul. Aku sendiri tak merasa jaga mak pak aku. Mak aku sakit, sebut nak aku jaga dia. tapi aku sibuk. Aku uruskan banyak bisnes. Pi sana sini. Akhirnya mak aku mati gitu ja. Aku dah on the way balik. Aku berenti kereta, mak aku nak dengar suara aku. Aku pun cakap, mak tunggu San balik mak. Tunggu maak, tungguu mak, San balik sekarang mak.
Hari tu juga penuhnya accident atas jalan. Aku sampai rumah mak aku semua dah siap kebumi. Orang kampung tak mau tunggu. Aku pitam depan rumah mak aku.
Dan aku menangis sampai la ni.”
Beliau cerita yang adik beradiknya berusaha sedaya upaya pujuk ibunya sendiri supaya sabar yang beliau akan balik, akan balik selepas semua kerjanya selesai. Namun tak berjaya.
Itulah kekesalan yang paling besar dalam hidupnya. Si San ini kenalan lama. Kami pernah belajar sama-sama. Namun beliau nun jauh meninggalkan kami dalam dunia bisnes. Keluar masuk China membeli borong dan membuka banyaknya rangkaian jualan berbagai-bagai barang.
Buka Pusat Jagaan Orang Tua
Saya minta izin beliau untuk ceritakan kisah ini. Supaya ramainya dapat manfaat.
Katanya lagi, dia berjaya sebab doa emaknya. Lancarkan berniaga sebab harapan emak dia. dan segala yang dia buat mesti dia telefon emak dia dulu tanya. Itulah yang beliau sering buat.
Namun, dalam banyak-banyak hal, beliau tak sempat menjaga ibunya sendiri kerana sibuknya berniaga. Dan oleh sebab itulah beliau buka pusat jagaan orang-orang tua. Supaya beliau dapat jaga ramainya orang tua yang lain, berharap dosa beliau itu terhapus dengan sedikitnya pertolongan itu.
Saya pula yang menitis-nitis air mata. Kisahnya itu menjadi sebuah peringatan buat saya sendiri.
Saya tanya beliau, kenapa rumah orang tua?
Jawabnya mudah sahaja. Beliau hanya beri kemudahan. Setiap sesiapa yang mahu hantar emak ayah ke sini, wajibnya hantar dan ambil sendiri. Ianya sebuah pusat jagaan untuk dijaga sahaja. Bukan pusat meninggalkan ibu ayah.
Ada banyak kes yang anak-anak kaya raya ini menyediakan jururawat dan bibik untuk menjaga orang tua, namun semuanya tak sabar dan berbuat macam-macam kepada mereka di saat anak-anak ke tempat kerja. Jadi beliau buka pusat ini untuk mereka yang sibuk dan ibu bapa yang tinggal dengan mereka hantar ibu bapa yang dah tak larat menguruskan diri ini di sini.
Saya angguk faham. Mana yang masih pandai menguruskan diri, ok ja tinggal di rumah.
Saya lihat beliau memandang ruang dalam rumah 6 bilik itu dengan pandangan sebuah harapan yang sangat besar. Kami bersalam, beliau terpaksa keluar dan menghadiri beberapa mesyuarat. Saya tinggal di situ bersembang dengan misi cun sepatah dua. Eh. Haha taklah, bersembang dengan pasangan ibu bapa yang datang tadi.
Sukanya saya apabila si ayah itu sendiri mahu ke situ. Rupanya mereka sendiri yang minta kerana tak pandai menguruskannya sendiri memandangkan isteri beliau ada penyakit Parkinson yang agak teruk. Hingga mahu makan, mahu buang air semuanya perlu dibantu. Suaminya pula sudah tua dan tidak terlarat lagi mahu menguruskannya. Saya diam dan angguk faham.
Beliau cakap dengan saya,
“encik, I was a banker long time ago. U takkan pernah tahu u akan sakit, tua dan wajar dihantar ke rumah macam ini. Namun, inilah hidup. If I die here, ok ja! I ok. but please, don’t take my nyawa sebelum my wife mati. Dia kena mati dulu sebelum i. kalau I mati dulu, macammanalah minah ni nak hidup. Dia my other half. Tengoklah tu, dia bukan ingat I pun. I kena introduce diri I everytime nak sembang dengan dia. bayanglah kalau orang tak sabar macam mana.”
Saya pandang sahaja.
Berbeza Situasi
Sebelah petangnya, sebuah kereta datang, kemudian datang lagi dan lagi.
Dikira, pagi tadi mereka keluar dari kereta perlahan-lahan. Berjalan pun perlahan-lahan masuk ke rumah itu. Namun di sebelah petangnya seorang mereka ini ada tenaga luar biasa. Lajunya keluar, lajunya buka pintu kereta tergocoh-gocoh sangat mahu balik.
Dan saya duduk di pangkin itu memerhati. Sama sahaja seperti anak-anak kita merindui rumah selepas pulang sekolah. Itu tetap sebuah sekolah, bukan rumah yang nyaman untuk duduk-duduk dan rehat-rehat. Pastinya ibu bapa ini merasakan benda yang sama.
Dalam hati mereka entah-entah, ‘tak apalah aku ada anak yang sibuk. Hantarlah aku ke rumah mana-mana, biar orang lain jaga, yang penting aku di jaga. Namun, jika aku dijaga oleh anak aku sendiri, lagi aku suka. Dan aku maafkan anak-anak aku kalau dia tak jaga pun. Aku sayang mereka. Biar aku tak dijaga, janji aku sayang mereka.’
O Allah.
Baca artikel menarik lain di sini:
Sesungguhnya aku belajar hari ini
Satunya, seorang anak membina rumah orang tua hanya kerana dia tak berjaya menjaga ibunya sendiri semasa ibunya sakit hingga putus nyawa. Lalu dia kesal sampai dia membina sebuah rumah kasih sayang untuknya.
Ke-dua, aku perhatikan sakitnya menjadi orang tua yang ditinggalkan anak-anak. walau ia hanya 7-8 jam sehari. Malamnya pulang dan menikmati momen makan malam keluarga dan tidur. Hari siang itu tetap hari yang perit untuk dilalui hari-hari hingga berlari-lari mahu pulang dan kembali ke rumah cinta itu.
Ia sebuah derita kawan-kawan. Sungguh. Walau mereka ini iyakan sahaja untuk sesiapa jaga, namun sisa-sisa yang tak terdaya itu masih ada hati yang sama mahukan anak-anak berubah, dan kembalilah menjaga mereka.
Dan kawan-kawan semua,
Jauh di sudut hati saya, iya benar apa yang kawan saya buat ini sebuah pengorbanan yang sangat besar. Namun, tolonglah jaga ibu bapa sendiri. Tolonglah. Walau mereka sendiri mahu ke rumah-rumah ini, halanglah sampai habis daya.
Kerana itu sahaja jasa terakhir kita.
Kawan saya ini pesan kepada saya, “ziarahlah mak hang masa hang paling sibuk. Bukan masa hang tunggu lapang. Lagi sibuk, lagi banyak ziarah mak. Itu yang betul. Sebab emak kita ini kita kena dahulukan.
Kerjaya boleh datang dan pergi berganti-ganti. Ibu bapa, tak ada. Hilang 1, hilang terus.”
Kisah lelaki ini tular semalam gara-gara dia mengambil keputusan untuk berjalan kaki pulang ke kampung halaman, Kelantan demi menemui keluarga tercinta.
Matnoe Poksu Din mengambil keputusan untuk meredah jarak sejauh 428 kilometer dari Kuala Lumpur untuk ke Tanah Merah, Kelantan dengan berjalan kaki dan dijangka mengambil masa selama tiga hari untuk sampai.
Walau bagaimanapun, malam tadi isteri kepada Poksu Din berkongsi khabar gembira, memaklumkan suaminya sudah tiba di rumah.
Siti Nur Fatend Sefeai, 29, berkata, tindakan suaminya, Muhamad Nor Ramlee, 29, hanya diketahui menerusi status yang dimuat naik di Facebook semalam.
“Saya terus menghubungi suami dan dia memberitahu sudah berada di Ipoh, Perak,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.
Menurutnya, dia tidak pasti sama ada suaminya itu berjalan kaki sepenuhnya atau ada menumpang kenderaan sepanjang perjalanan untuk pulang ke Tanah Merah ketika umat Islam sedang menjalani ibadah puasa.
Katanya, sebelum ini suaminya bekerja sebagai tukang masak di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam.
“Kontraknya tamat pada 16 Mac lalu dan selepas itu dia bercadang untuk terus pulang ke rumah.
“Bagaimanapun dia terpaksa menangguhkan hasrat itu kerana masih belum menerima gaji dan kebetulan dua hari kemudian PKP dilaksanakan.
“Situasi itu menyebabkan suami tidak dapat pulang ke kampung seperti yang dirancang,” katanya.
Siti Nur Fatend berkata, dia telah ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tanah Merah untuk mendapatkan surat kebenaran mengambil suaminya tetapi polis tidak meluluskan permohonan berkenaan.
Dalam pada itu, Matnoe Poksu Din atau nama sebenarnya Muhamad Nor Ramlee 29 berkata, dia nekad pulang berjalan kaki kerana terkesan dengan kata-kata yang dilontarkan oleh anak keduanya itu ketika mereka berbual menerusi panggilan video pada 24 April lalu.
“Saya buat semua ini…kerana Puteri Sarah Anisa, 5. Dia ada tanya bila nak balik, saya cakap bas tak ada…macam mana nak balik jumpa Anisa.
“Dia (Anisa) balas balik, jadi Anisa tak boleh jumpa abah sampai bila-bila lah. Abah…baliklah jalan kaki,” demikian luahan Muhamad Nor Ramlee yang nekad berjalan kaki diselang seli menumpang kenderaan dari Shah Alam, Selangor untuk pulang ke rumahnya di Kampung Lawang, Jedok di sini.
Menurutnya, luahan hati Puteri Sarah Anisa itu membuatkan dia sebak sehingga sanggup nekad pulang ke kampung untuk bertemu dengan permata hatinya itu.
Katanya, pada 26 April lalu dia nekad keluar dari asrama dan berjalan kaki kerana tidak mempunyai kenderaan sendiri untuk ke Balai Polis Seksyen 7 bagi mendapatkan pelepasan dan memohon bantuan bagi menguruskan perjalanan pulang ke kampung atau ke penempatan transit gelandangan.
Muhamad Nor berkata, bagaimanapun usahanya menemui jalan buntu apabila balai itu telah berpindah dan kemudian dia cuba membuka aplikasi Terminal Bas Bersepadu Selatan (TBS).
Katanya, hasil semakan di aplikasi itu mendapati perjalanan dari TBS ke Gua Musang masih ada dan pada masa sama perkhidmatan kereta api dari Gua Musang ke Tumpat juga masih beroperasi.
“Jadi cukuplah dengan duit yang ada ketika itu, dapatlah saya pulang ke Tanah Merah selepas membuat kira-kira. Sebelum itu saya sudah ‘terperangkap’ selama 38 hari di asrama pekerja selepas kontrak sebagai tukang masak di kafeteria Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam tamat pada 16 Mac lalu,” katanya.
Muhamad Nor berkata, dia terpaksa berjalan kaki ke TBS kerana bimbang wang berjumlah RM150 dalam dompetnya tidak cukup menanggung perbelanjaan pulang ke Tanah Merah sekiranya menggunakan perkhidmatan Grab.
Katanya, sejurus tiba di TBS dia mendapati hanya perkhidmatan bas ke arah utara yang masih beroperasi sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Saya tanya dekat pemandu teksi dan tukang sapu boleh ke tumpang tidur di TBS jika terkandas dan mereka beritahu tidak boleh. Kemudian saya buat carian di Google untuk mendapatkan nombor telefon pusat gelandangan namun menemui jalan buntu.
“Masa kian suntuk ketika itu dan saya buat keputusan untuk ambil tiket ke Ipoh, Perak. Bagaimanapun bas itu berhenti di Pusat Tranformasi Luar Bandar (RTC) Gopeng pada jam 9.30 malam.
“Saya ada menelefon kawan-kawan untuk mendapatkan bantuan ketika itu (9.30 malam) namun memahami situasi PKP tidak membenarkan mereka untuk keluar kawasan. Jadi dengan baki wang yang ada berjumlah RM50, saya berjalan kaki dari RTC Gopeng ke Aman Jaya,” katanya.
Muhamad Nor berkata, sejurus tiba di Aman Jaya kesemua perkhidmatan bas tidak beroperasi kerana PKP dan dia kemudian memuat naik beberapa status untuk memohon bantuan.
Katanya, selepas itu dia banyak mendapat panggilan daripada orang ramai untuk menghulurkan bantuan, namun pertolongan itu hanya boleh diberikan dari Gerik ke Jeli.
“Saya kemudian buat ‘live’ nak berjalan ke Gerik. Tiba-tiba mendapat panggilan daripada seorang pegawai polis dari Gerik dan minta saya jangan ke mana-mana bagi memudahkan bantuan diberikan.
“Selepas menunggu beberapa ketika datanglah pegawai tersebut mengambil saya dan menghantar sehingga ke sekatan jalan raya (SJR) di Gerik. Pegawai tersebut kemudian telah menahan sebuah lori yang dalam perjalanan dari Pulau Pinang ke Gong Badak, Terengganu untuk menumpangkan saya sehingga ke Tanah Merah,” katanya.
Muhamad Nor berkata, dia selamat tiba di Balai Polis Batu Gajah pada jam 11 malam tadi sebelum isteri membawa pulang ke rumah ibu bapanya di Kampung Lawang.
Katanya, pagi tadi dia telah menjalani saringan Covid-19 di Klinik Batu Gajah dan diarahkan untuk kuarantin diri sendiri selama 14 hari.
“Saya berterima kasih kepada pegawai polis yang dikenali sebagai Khairul, pemandu lori serta Setiausaha Sulit Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed iaitu Ahmad Nazree Ramli.
“Tidak lupa juga kepada rakan-rakan, orang ramai dan keluarga yang banyak membantu saya sehingga berjaya pulang dengan selamat ke Tanah Merah,” katanya.
Mencari bahagia bersama KELUARGA?
Download dan baca sekarang di
Asymawi, pelajar Politeknik Melaka, sanggup bekerja sebagai penghantar makanan demi menyambung pengajian dan membantu keluarga selepas melihat pengorbanan besar bapanya.