Umum mengetahui bahawa kanak-kanak yang pernah menghidap kanser mulut Germ Cell Tumor, Ainul Mardhiah Ahmad Safiuddin, dilaporkan berada dalam keadaan kritikal dan agak tenat.
Berita itu disampaikan ibunya, Nurul Erwani Zaidi, dalam hantaran melalui Instagram milik beliau, sebentar tadi, yang memaklumkan Ainul Mardhiah sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi Pediatrik (PICU).
Di Sebalik Populariti Kerjaya Sebagai “Mr. Pilot”.
ata-rata di media sosial ramai meluahkan simpati dan menitipkan doa buat adik Ainul. Sementara itu, Pakar bedah Kelahiran Malaysia yang bertugas di London, Dr Nur Amalina Che Bakri yang pernah terbabit dalam pembedahan Ainul yang imenghidap kanser mulut, di London tiga tahun lalu, baru sahaja mendapat khabar mengenai keadaan Ainul terkini.
Menerusi twitternya, Dr Amalina memberi kata-kata semangat kepada Ainul dan menitipkan doa buatnya.
Katanya, Ainul sudah berjaya berjuang sebelum ini dan mahukan terus berjuang lagi kali ini.
“Baru sahaja mendapat khabar berita drp ibu Ainul. Ya Allah, marilah kita sama-sama doakan untuk Adik Ainul. Semoga cepat sembuh 🙏🏽
“Ainul sayang, you have done it many times before, you can do it again! Keep fighting sayang! InsyAllah.”- Dr Amalina
Ads
Dalam pada itu, pada warga maya rata-rata sebak dengan keadaan Ainul dan mendoakan kembali sihat .
Semoga adik Ainul diberikan semangat yang kuat untuk berjuang kembali sihat.
Sering kali bab menguruskan anak-anak dan rumah tangga diletakkan di bahu isteri. Lagi lagi kalau yang tidak bekerja dan bergelar suri rumah. Namun itu tidak bermakna suami kena lepas tangan.
Sebaliknya suami isteri harus berganding bahu dan sama-sama membesarkan dan melakukan kerja rumah bersama.
Kisah yang dikongsikan oleh doktor Asmi Syabil cukup menyentuh hati. Semoga para suami dan juga isteri mengambil iktibar dalam sama-sama melayari alam rumah tangga.
SUAMI KIRIMAN TUHAN.
“Puan perlu dimasukkan ke wad untuk pemerhatian dan rawatan lanjut”,ujarku kepadanya.
“Boleh saya berbincang dengan suami saya dahulu tak doktor?,sebabnya saya masih ada anak-anak kecil yang perlu dijaga dirumah.”,pintanya kepadaku.
“Tiada masalah puan.Sekejap ye saya panggilkan suami puan”,beritahuku kepadanya.
Dia merenung ke lantai.Wajahnya kelihatan sugul.Mungkin risau memikirkan jika dia dimasukkan ke wad,siapa yang ingin menjaga anak-anaknya yang masih kecil?Ditambah pula dengan anak yang masih menyusu.
Dia baru sahaja mengungkapkan keresahannya itu kepadaku jika dia ditahan di wad.
Anaknya empat orang semuanya dan yang paling kecil baru berusia 9 bulan.
“Jika dimasukkan ke wad,selama berapa hari doctor?”
“Itu belum pasti lagi untuk berapa lama puan,bergantung kepada keadaan puan sendiri dan juga doctor yang akan merawat puan di dalam wad.”,jawapan yang biasa aku berikan kerana setiap pesakit itu berbeza-beza.
Aku pasti,jawapanku itu tambah meresahkan jiwanya.Sudahlah perlu dimasukkan ke wad,untuk berapa lama itu juga masih belum pasti.Adakah hanya sehari dua?ataupun seminggu?atau mungkin lebih lama.
Pesakit dihadapanku ini pada mulanya dimasukkan ke Zon Merah kerana tekanan darahnya rendah dan nadinya sedikit laju (tachycardic) disebabkan dehidrasi.Selepas resusitasi (fluid resuscitation) dijalankan,pesakit menunjukkan respon yang positif dan kembali stabil.Disebabkan kapasiti Zon Merah agak terhad,lalu pesakit di-triage ke Zon Kuning untuk pemerhatian dan rawatan lanjut.
“Berdasarkan symptom-simptom dan keputusan darah yang ada,isteri encik mungkin menghidap demam Denggi dan dia perlu dimasukkan ke wad untuk pemerhatian dan rawatan lanjut kerana dia sudah menunjukkan tanda-tanda bahaya denggi seperti muntah-muntah dan cirit birit.
Selain dari itu,darahnya juga pekat berdasarkan FBC yang diambil dan juga platelet,iaitu sel pembekuan darah juga sangat rendah yang mana boleh menyebabkan pendarahan spontan berlaku secara tiba-tiba.Dalam kata mudah,dia dalam fasa kritikal demam denggi sekarang dimana keadaan pesakit boleh merosot dengan sangat drastic”,ujarku kepada lelaki dihadapanku menerangkan keadaan isterinya.
“Keputusan darah juga menunjukkan fungsi hati turut terjejas dan perlu kepada pengambilan darah secara bersiri untuk monitor keadaan dia”,tambahku panjang lebar.
Dia hanya mendengar dengan tekun.
Selepas beberapa ketika dan juga perbincangan dengan isteri,dia memandangku,
“Doktor,boleh tak kalau kami nak minta discaj atas risiko sendiri?”
“Boleh saya tahu sebab mengapa puan tidak mahu dimasukkan ke wad?”,tanyaku inginkan kepastian daripada pesakit memandangkan segala risiko sudah diterangkan termasuk kematian.
Demam denggi bukan boleh dibuat main-main.Tanya sahaja kepada pegawai perubatan yang pernah dipanggil menghadiri Mortality Meeting apabila ada pesakit denggi meninggal dunia,boleh murung dibuatnya.
Wanita 30-an dihadapanku ini hanya mendiamkan diri.Matanya hanya tertacap pada permukaan lantai.
Enggan bersuara dan hanya membiarkan si suami yang berkata-kata.
“Kami masih ada anak kecil doctor,kalau dia masuk wad,siapa yang nak jaga anak-anak?”,balas suami.
“Encik kan ada.Keadaan isteri encik sangat merbahaya jika dibenarkan pulang sekarang.Boleh merisikokan nyawa”,tegasku.
Si suami tetap berkeras mahu isterinya dibenarkan pulang.
Alasannya:
“Saya tidak pandai nak urus budak kecil,susahlah saya nanti doktor”
Allahu,aku mengucap panjang di dalam hati.
Isterinya hanya menunduk dan mendiamkan diri.Entah apa perasaannya sekarang tidak dapat aku bayangkan.Dihidap demam denggi yang mungkin boleh meragut nyawa,tetapi suami mahu berkeras untuk membawanya pulang,atas alasan sukar untuk menguruskan anak-anak.
…
Ini bukan kali pertama aku berhadapan dengan situasi sebegini dimana masalah akan timbul apabila si isteri perlu dimasukkan ke wad dan si suami pula sukar membenarkan atas alasan tidak pandai mengurus anak-anak.
Sama juga keadaannya apabila salah seorang anak perlu dimasukkan ke wad atas sebab-sebab tertentu tetapi si ayah tidak membenarkan atas alasan susah untuk menguruskan anak-anak yang lain kerana si ibu sudah pasti akan menemani dan menjaga anaknya yang sakit itu di hospital.
Tanyalah kepada mereka yang bekerja di dalam sektor kesihatan,acapkali berlaku situasi sebegini.Ini hanya satu sahaja kisah daripada beribu kisah yang hampir sama cuma dilakonkan watak yang berbeza.
Susah sangatkah untuk para suami di luar sana untuk belajar menguruskan anak-anak?
Atau semenjak dilahirkan sampai merangkak kemudiannya berjalan hanya sang isteri yang bertekah memandikan anak?
Hanya isteri yang menjirus dan menukarkan lampin anak setiap kali?
Hanya isteri sahaja yang tahu menyediakan makan minum anak-anak?
Hanya isteri sahaja yang tahu sukatan membancuh susu anak?
Sampai tahap nyawa isteri menjadi taruhan pun persoalan begini yang bermain di fikiran?
Ini tidak termasuk lagi bagi kes-kes isteri menghidap penyakit kronik seperti kegagalan fungsi hati,buah pinggan,kanser dan sebagainya,bukan kata nak menguruskan anak,siap ada yang bermain kayu tiga pula dibelakang isteri.
Na’uzubillah.
Bayangkan jika jawapan suami kepada isteri sebegini:
“Tak apa sayang,jika itu yang terbaik,masuk sahaja kedalam wad.Anak-anak jangan risau,pandailah nanti abang uruskan,bukannya abang tak biasa”
Sudah semestinya perit sakit yang ditanggung secara fizikal akan terasa ringan,apatah lagi beban emosi,pastinya rasa bahagia mendakap jiwa.
Ingatlah wahai para suami,melindungi isteri dan anak-anak dari segi keselamatan dan KESIHATAN juga tanggungjawab kita.
Belajarlah bagaimana menguruskan anak kecil sedari bayi yang baru lahir.
Ya,memang pada awal akan ada yang berasa takut,tetapi selepas kerapkali dilakukan,ia akan menjadi rutin yang kita sudah terbiasa dengannya.
– Seawal mendukung si kecil kali pertama dan mendendangkan azan di telinganya
– Belajar menguruskan dan menanam uri
– Usah takut memandikan anak yang baru lahir
– Belajar mencukur rambut anak jika ingin lakukan sendiri
– Belajar bagaimana menukarkan lampin
– Belajar memahami tabiat tidur dan penyusuan anak terutamanya 6 bulan pertama,yang mana seringkali menjadikan ibu bapa stress kerana anak kerap kali menangis di tengah malam dan sebagainya.’
– Bangunlah di tengah malam untuk membancuh susu atau menukarkan lampin anak.
– Dan banyak lagi yang perlu dipelajari ,tidak termasuk lagi mengemas rumah,memasak,membasuh kain dan sebagainya.
Ini hanyalah secebis contoh daripada apa yang boleh kita lakukan,sekurang-kurangnya apabila isteri kita tidak sihat atau memerlukan rawatan lanjut di hospital,atau pergi berkursus bagi yang bekerjaya,atau apa-apa jua situasi,tiada lagi persoalan :
“Siapa mahu uruskan anak-anak”
Barulah kita boleh digelar Suami kiriman Tuhan ?
Semoga bertambah sakinah dan mawaddah apabila suami isteri bergandingan dan berpimpinan tangan menguruskan rumahtangga bersama-sama.
Tidak hina seorang suami menguruskan anak dan melakukan kerja-kerja rumah,bahkan lebih mulia dan selari dengan ajaran Baginda Rasulullah s.a.w.
Asmi Syabil
Coretan hujung minggu.
Suami dan bapa yang masih bertatih.
27/7/2019
11:24
Mencari bahagia bersama KELUARGA?
Download dan baca sekarang di
Macam-macam cerita kita dengar tentang hubungan menantu dan mentua. Ada yang manis, ada pula penuh dengan kemarahan dan kekecewaan.
Alangkah bertuah menantu dan mentua yang hubungannya sentiasa wangi dan mesra. Dan betapa pedihnya bagi mereka yang hubungannya sentiasa panas dan meruncing.
Apabila menantu dan mentua tidak sebulu, orang lain dalam keluarga akan turut sama merasakan tempiasnya, terutama anak@pasangan dan juga cucu-cucu yang ada. Tentu tidak menyenangkan apabila cucu-cucu atau anak-anak melihat nenek dan orang tua mereka bermasam muka serta tidak bertegur sapa.
Ada beberapa perkara penting yang perlu kita pahat di kepala dan juga jiwa:
Bagaimana Menghapus ‘Duri’
Jadi bagaimanakah cara terbaik untuk menghapuskan racun dalam hubungan menantu-mentua ini
Bagaikan panglima perang, baik menantu mahupun mentua sepatutnya bijak dalam mengatur ‘strategi’ untuk memenangi hati pihak yang satu lagi. Kalau anda menunjukkan sikap bermusuhan, pasangan atau anak anda pasti memandang serong pada anda biarpun anda di pihak yang betul. Lantaran itu sikap dan keperibadian anda perlu dijaga agar anda di pihak yang `menang’.
Jangan sekali-kali bersikap kurang ajar. Ia hanya akan memalukan diri sendiri. Juga tidak akan memberi sebarang kebaikan kepada menantu mahupun mentua. Namun jika hubungan anda berdua sangat `buruk’ elok juga perkara ini dibincangkan dengan pasangan mahupun seseorang yang anda percayai boleh membantu.
Pihak ketiga ini sepatutnya mencari jalan yang terbaik untuk menyelesaikan masalah tentang hubungan menantu-mentua ini. Mungkin jalan yang terbaik adalah bersemuka dengan kedua-dua pihak untuk mencari akar umbi masalah. Bagaimanapun anda harus sedar bahawa tugasnya tidak mudah, bak kata pepatah bagai menarik rambut dalam tepung, ia perlukan ketelitian dan diplomasi.
Kadang-kadang tanpa kita sedar sikap kita yang berlagak pandai ataupun besar kepala membuatkan hubungan jadi tidak sejahtera. Sentiasalah bersikap merendah diri dan mengeluarkan kata-kata yang lembut dan bersopan.
Mengalahlah jika itu satu-satunya jalan yang boleh memulihkan hubungan menantu atau mentua. Biar orang nampak seolah-olah kita kalah tetapi hakikatnya kita menang besar kerana berjaya memenangi hati individu yang selama ini menjadi `duri’ dalam kehidupan kita. Ingatlah selalu bahawa `mengalah bukan bererti kita kalah’!
Baik menantu mahupun mentua sepatutnya apa juga perasaan yang kita rasakan terhadap satu dengan lain seharusnya dipendamkan sahaja. Kita seharusnya sedar bahawa hubungan kita bukan sahaja berkisar antara kita berdua, tetapi juga dengan anak dan cucu. Mereka menyayangi kita (ibu ataupun nenek mereka) tanpa sebarang sempadan.
Lantaran itu kata-kata negatif yang kita keluarkan terhadap menantu mahupun mentua boleh meninggalkan kesan tidak elok. Mereka pasti berasa keliru dan sedih mengapa dua orang yang mereka sayangi saling bermusuhan.
10 cara jadi menantu favourite!
Apabila berdepan dengan ibu mertua, jangan sesekali menarik muka masam sebaliknya berusaha untuk senyum seikhlas mungkin. Ini kerana bimbang ibu mertua terasa hati walhal punca anda monyok tidak ada kaitan dengannya. Jadi perlu senyum sentiasa walaupun dalam hati anda tidak begitu gembira.
Anda sangat tidak digalakkan untuk masuk campur dalam perihal anak menantunya yang lain selagi apa yang berlaku itu tidak bertentangan dengan syariat. Elakkan bergosip dan menjadi batu api kerana tersilap langkah, ia akan memakan diri anda sebagai menantu. Jadi, berbaik-baiklah dengan mertua dan ipar-duai yang lain.
Untuk mengambil hati mertua, anda tidak boleh kedekut sebaliknya perlu bermurah hati misalnya belikan ibu mertua hadiah, pakaian atau paling kurang barang keperluan rumah. Anda juga boleh beri wang kepadanya untuk dia berbelanja.
Ingat, di rumah mertua anda perlu ringan tulang! Bangun awal pagi, solat Subuh dan segera bantu ibu mertua di dapur untuk menyediakan sarapan pagi. Anda juga perlu tunjuk skil memasak dan soal sedap atau tidak itu bukan keutamaan. Yang penting anda rajin ke dapur.
Sebagai ibu, hati mana yang tidak gembira jika anak menantu selalu menghubungi atau menziarahinya. Selain bertanya khabar, sebagai menantu anda juga boleh bertanya pendapatnya tentang sesuatu perkara misalnya yang melibatkan anak-anak anda yakni cucu-cucunya. Sesekali anda juga boleh bertanya resipi kegemaran suami anda yang juga anak kesayangannya. Pasti ibu mertua anda gembira.
Asyik anda sahaja layan suami! Sesekali berilah peluang untuk ibu mertua melayan anaknya misalnya ketika anda balik kampung. Bukan setiap hari ibu mertua anda berpeluang layan anak lelakinya seperti zaman bujang mereka dulu. Jadi biarkan jika ibu mertua manjakan suami anda. Cemburu biarlah bertempat!
Isteri yang baik dan bijak adalah isteri yang pandai menjaga aib suaminya. Jadi, elakkan memarahi suami di depan ibunya walaupun apa yang dilakukan suami ketika itu benar-benar menyakitkan hati anda. Kawal emosi anda depan ibu mertua! Usah sesekali memperkecilkan suami di depan ibu mertua anda dan adik-beradiknya yang lain. Ini boleh memberi gambaran positif pada ibu mertua anda bahawa anda seorang yang sangat menghormati suami.
Usah biarkan kerana mulut badan binasa! Jika anda seorang yang dikategorikan sebagai ‘mulut lepas’, anda dinasihatkan agar kurang bercakap. Dan pastikan anda sentiasa alert apa yang bakal diperkatakan anda, bimbang ia mengecilkan hati ibu mertua. Fikir sebelum bercakap!
Sebagai menantu yang baik, anda perlu dahulukan ibu mertua anda dalam apa jua keadaan. Sebagai contoh mudah, apabila ibu mertua naik kenderaan bersama anda, pelawa dia untuk duduk di hadapan iaitu di sebelah anaknya. Beri dia peluang bersembang dengan suami anda dan sesekali anda duduk di belakang bersama anak-anak tidak mengapa.
Hati seorang ibu pasti gembira jika ada orang lain yang selalu memuji anaknya. Jadi, anda perlu selalu memuji kebaikan suami anda di depan ibu mertua. Sesekali ucaplah begini, “Syukur sangat Allah beri suami sebagai jodoh saya. Pandai sungguh mama didik dan ajar dia. Saya rasa sangat beruntung dapat suami macam dia”
Sumber: Majalah Keluarga Januari 2016
Mencari bahagia bersama KELUARGA?
Download dan baca sekarang di
Pasangan yang sudah lama mendirikan rumah tangga dan sudah dikurniakan cahaya mata seringkali sibuk dengan urusan seharian. Kesibukan itu ada kalanya tanpa disedari mengabaikan pasangan dan membuatkan hubungan renggang.
Bukan bermakna rasa kasih sayang semakin pudar tetapi tuntutan kerja dan urusan anak-anak membuatkan anda terleka hingga mengabaikan pasangan.
Banyak pasangan yang menganggap situasi ini adalah perkara biasa lantas membiarkannya hingga membuatkan hubungan suami isteri semakin sepi.
Tapi awas inilah yang akan menyebabkan rumah tangga mula memasuki fasa konflik. Pakar motivasi menyarankan suami isteri yang mula merasakan kehambaran dan kebosanan dalam rumah tangga dengan cara belajar jadi romantis.
Mungkin ada perasaan malu untuk bermanja dengan pasangan seperti waktu bercinta dahulu. Tetapi anda harus mencubanya dan selalu mempraktikkannya demi memperbaiki hubungan yang mula pudar. Jadikan tip di bawah ini sebagai panduan:
1. Pegang dan usap selalu tangan pasangan. Sentuhan buat hubungan lebih mesra. Kena buat setiap hari!
2. Ubah susun atur perabot di bilik tidur untuk membangkitkan suasana baru dan segar. Letakkan pewangi untuk menghidupkan suasana yang menarik di kamar. Boleh juga hidupkan lilin aromaterapi.
3. Bangkitkan suasana romantis di rumah atau bilik tidur dengan memainkan muzik lembut dan romantik. Alunan muziknya sekadar cukup untuk telinga anda berdua sahaja. Lebih menarik muzik atau lagi kegemaran anda berdua.
4. Rancang dan sediakan hidangan yang istimewa dan digemari oleh pasangan. Hendak menawan hati suami kenalah gembirakan perutnya.
5. Cari peluang untuk bercuti bersama, bukan bersama anak-anak tetapi hanya anda berdua. Jangan bercuti di tempat yang terlalu ramai orang sebaliknya cari tempat yang damai di mana anda boleh berdua-duaan menikmati saat yang menenangkan.
6. Ajak pasangan beli makanan dan duduk bersantai tepi tasik, taman rekreasi atau tempat yang mudah buat anda. Makanlah sambil berbual. Bila sudah punya anak aktiviti mudah sebegini pun jarang kita buat kan.
7. Lakukan kembali acara mandi bersama yang mungkin sudah lama anda dan suami tinggalkan. Boleh jadi kali terakhir ketika berbulan madu.
8. Berikan hadiah dan ingat tarikh-tarikh penting buat anda berdua. Tidak perlu beri hadiah yang mahal cukup sebagai tanda ingatan. Tetapi, jika anda mampu tiada salahnya.
9. Jangan kedekut hendak memberi pujian terhadap pasangan. Luahkan sahaja apabila pasangan kelihatan cantik dan bergaya.
10. Bilakah kali terakhir anda mengucup dahi atau pipi setelah dia penat bekerja. Tahukah anda bahawa ciuman mesra anda dapat menghilangkan segala kepenatan pasangan. Tekanan sepanjang hari juga turut hilang. Itulah kuasa ciuman anda.
Mencari bahagia bersama KELUARGA?
Download dan baca sekarang di