
Hari Asyura yang jatuh pada 10 Muharam merupakan antara hari istimewa dalam kalendar Islam. Selain disunatkan berpuasa, umat Islam juga digalakkan memperbanyakkan amalan baik seperti berzikir, berdoa, berselawat, bersedekah dan memohon keampunan daripada Allah SWT.
Bagi keluarga, hari penuh keberkatan ini boleh dijadikan ruang untuk sama-sama mendekatkan diri kepada Allah. Tidak perlu majlis besar atau persiapan istimewa, cukup dengan meluangkan masa selepas solat untuk berzikir dan berdoa bersama anak-anak.

Amalan Hari Asyura Yang Sangat Dianjurkan
Antara amalan yang sangat dianjurkan pada Hari Asyura ialah berpuasa sunat pada 10 Muharam. Lebih baik jika puasa tersebut digabungkan dengan sehari sebelum atau selepasnya, iaitu pada 9 dan 10 Muharam atau 10 dan 11 Muharam sebagaimana yang dianjurkan dalam sunnah.
Selain berpuasa, umat Islam juga boleh menghidupkan Hari Asyura dengan memperbanyakkan istighfar, solat sunat, membaca al-Quran, berselawat, bersedekah dan berdoa. Inilah peluang untuk memperbaiki diri, melembutkan hati serta memohon agar kehidupan seisi keluarga sentiasa berada dalam rahmat Allah SWT.
Hari yang penuh keberkatan ini juga menjadi kesempatan terbaik untuk melakukan muhasabah diri, memperbaharui taubat dan meningkatkan hubungan dengan Allah melalui ibadah yang dilakukan secara ikhlas.

Zikir Selepas Solat Asar Hari Asyura
Antara waktu yang sering dimanfaatkan oleh umat Islam pada Hari Asyura ialah selepas solat Asar sehingga masuk waktu Maghrib. Walaupun tiada doa khusus yang diwajibkan pada waktu tersebut, ia tetap menjadi masa yang sangat baik untuk berzikir, bermunajat dan memperbanyakkan doa kepada Allah SWT.
Antara zikir ringkas yang boleh diamalkan ialah:
Astaghfirullahal ‘Azim wa atubu ilaih
Maksudnya: Aku memohon ampun kepada Allah Yang Maha Agung dan aku bertaubat kepada-Nya.
Subhanallah
Maksudnya: Maha Suci Allah.
Alhamdulillah
Maksudnya: Segala puji bagi Allah.
Allahu Akbar
Maksudnya: Allah Maha Besar.
La ilaha illallah
Maksudnya: Tiada Tuhan melainkan Allah.
Allahumma solli ‘ala Muhammad wa ‘ala ali Muhammad
Maksudnya: Ya Allah, limpahkanlah selawat ke atas Nabi Muhammad SAW dan keluarga Baginda.
Zikir-zikir ini boleh dibaca secara perlahan sama ada bersendirian mahupun bersama keluarga. Ibu bapa juga boleh menjadikannya sebagai rutin ringkas di rumah supaya anak-anak terbiasa mengingati Allah sejak kecil.
Doa Hari Asyura Memohon Keampunan
Antara doa yang boleh diamalkan pada Hari Asyura ialah:
اللَّهُمَّ إِنَّكَ عَفُوٌّ كَرِيمٌ تُحِبُّ الْعَفْوَ فَاعْفُ عَنِّي
Allahumma innaka ‘afuwwun karimun tuhibbul ‘afwa fa’fu ‘anni.
Maksud:
“Ya Allah, sesungguhnya Engkau Maha Pemaaf lagi Maha Mulia. Engkau menyukai kemaafan, maka maafkanlah aku.”
Doa ini sangat baik diamalkan kerana setiap manusia tidak pernah terlepas daripada melakukan kesilapan. Mohonlah agar Allah mengampunkan dosa diri sendiri, pasangan, anak-anak, ibu bapa serta seluruh ahli keluarga.
Doa Kebaikan Dunia dan Akhirat
Doa ini juga sangat indah kerana merangkumi permohonan kebaikan hidup di dunia dan akhirat.
رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ
Rabbana atina fid-dunya hasanah wa fil-akhirati hasanah wa qina ‘azaban nar.
Maksud:
“Ya Tuhan kami, berikanlah kepada kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat serta peliharalah kami daripada azab neraka.”
Doa ini boleh dibaca berulang kali sambil menyebut hajat untuk keluarga. Mohonlah agar rumah tangga diberikan ketenangan, rezeki dipermudahkan, anak-anak dipelihara akhlak dan iman mereka serta seluruh keluarga sentiasa berada dalam lindungan Allah.
Doa Nabi Yunus AS Ketika Menghadapi Ujian
Ketika berdepan ujian, kesedihan atau rasa sempit dalam kehidupan, doa Nabi Yunus AS sangat baik untuk diamalkan.
لَا إِلَهَ إِلَّا أَنْتَ سُبْحَانَكَ إِنِّي كُنْتُ مِنَ الظَّالِمِينَ
La ilaha illa anta subhanaka inni kuntu minaz-zalimin.
Maksud:
“Tiada Tuhan selain Engkau. Maha Suci Engkau. Sesungguhnya aku termasuk dalam kalangan orang yang menzalimi diri sendiri.”
Doa ini mengajar kita supaya sentiasa merendahkan diri di hadapan Allah SWT. Dalam kehidupan berkeluarga, ada waktunya kita diuji dengan masalah kewangan, kesihatan, hubungan suami isteri atau cabaran mendidik anak-anak. Maka, kembalilah kepada Allah dengan penuh pengharapan dan keyakinan.
Doa Mohon Ketetapan Iman
Selain memohon rezeki dan kesenangan hidup, jangan lupa berdoa agar hati sentiasa tetap dalam iman.
يَا مُقَلِّبَ الْقُلُوبِ ثَبِّتْ قَلْبِي عَلَى دِينِكَ
Ya Muqallibal qulub, thabbit qalbi ‘ala dinik.
Maksud:
“Wahai Tuhan yang membolak-balikkan hati, tetapkanlah hatiku di atas agama-Mu.”
Doa ini amat sesuai dibaca untuk diri sendiri, pasangan dan anak-anak agar Allah SWT menjaga hati kita semua supaya terus taat, sabar dan istiqamah dalam melakukan kebaikan.
Jadikan Hari Asyura Sebagai Waktu Mendidik Anak-Anak
Hari Asyura bukan sahaja waktu untuk memperbanyakkan ibadah, tetapi juga peluang mendidik anak-anak mengenal nilai doa, zikir dan kebergantungan kepada Allah SWT.
Ibu bapa boleh mengajak anak-anak duduk bersama selepas solat Asar, membaca zikir ringkas, berselawat dan menadah tangan berdoa. Walaupun hanya beberapa minit, suasana seperti ini mampu meninggalkan kesan yang baik dalam jiwa mereka.
Semoga segala zikir, doa dan amalan yang dilakukan pada Hari Asyura menjadi asbab memperoleh keampunan, ketenangan jiwa, rezeki yang berkat serta kebahagiaan di dunia dan akhirat.
BACA LAGI : Resipi Bubur Asyura Versi Utaqa Paling Sedap, Manis Lemak & Mudah Disediakan
Mencari bahagia bersama KELUARGA?
Download dan baca sekarang di




