
Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Bayangkan hanya dalam tempoh empat bulan semuanya berubah. Jika empat bulan lalu mereka sekeluarga masih boleh gembira melancong bersama, namun hari ini isterinya hanya terlantar tanpa boleh melakukan apa-apa. Segala urusan termasuk memandikan dan membersihkan isteri wanita ini dilakukan oleh suaminya.
Kaki dan tangannya mengering dan kehitaman. Ustaz Zaheer Zainal yang menziarahi wanita berkenaan berkata, asnaf ini menangis mengenangkan nasibnya.
“Dalam masa empat bulan kaki dan tangannya bertukar hitam. Lebih menyedihkan sebelah tangannya mereput dan terpaksa dipotong.
“Menurut cerita asnaf itu, sakitnya berpunca dari bakteria yang sangat aktif dan ganas. Dia ini mengidap kencing manis kronik. Sehingga kini, doktor masih mencari cara untuk merawat asnaf ini.
Kata Ustaz Zaheer lagi, melihat isterinya menangis, si suami turut menangis mengenang nasib isterinya yang amat mengejutkan ini. Suami inilah tempat bersandar si isteri yang tak mampu mengurus diri sendiri.
Penulis sebak mendengar cerita Ustaz Zaheer. Pastinya lebih sebak mereka yang menanggung ujian ini.
Allahuakhbar, bantulah mereka mendapat jalan kesembuhan. Bersamalah kita doakan keluarga ini tabah.
Alhamdulilah, asnaf miskin ini menerima bantuan dari Zakat Selangor sejak tahun 2018 iaitu menerima bantuan kewangan bulanan (RM400 sebulan) serta makanan bulanan
Melihat kepada penyakit kencing manis kronik dan juga jangkitan kuman pada kedua-dua belah tangan dan kedua-dua belah kakinya, bantuan perubatan akan dipertimbangkan untuk mereka. Alhamdulillah, syukur.
Bersamalah kita doakan semoga beliau terus tabah dengan ujian ini. ?
Sumber: Lembaga Zakat Selangor
Bab Makan Jangan Berkira. Kalau Anak-anak Nak Merasa, Usahakanlah. Deep Perkongsian Ni!

Orang dulu-dulu suka berpesan kalau kedekut sekali pun, bab makan jangan berkira.
Umumnya setiap makanan yang berkhasiat dan enak seperti yang kita tahu kebanyakkan harganya sedikit mahal. Namun demi keluarga tercinta, apalah salahnya sekali sekala diraikan selera dengan menjamu hidangan yang istimewa.
Pun begitu, jangan pula hingga membazir dan makanlah mengikut keperluan. Apabila tekak anak-anak teringin hendak merasa sesuatu dan kita tahu kita mampu untuk membelinya, mengapa tidak dibeli?
Ikuti juga perkongsian daripada Farizal Radzali berkenaan jangan berkira bab makan ini dan semoga ianya bermanfaat.
Bab makan, jangan berkira. Kalau nak kedekut bab lain takpe, tapi jangan sesekali kedekut bab makan.
Ingat lagi masa kecil-kecil dulu, dok rumah setinggan, hidup susah. Tapi bila ada tetamu jauh datang rumah, mak akan suruh saya atau adik, perlahan-lahan pergi ke kedai Uncle Maniam kat belakang rumah. Mak suruh ambil biskut sikit, cakap kat kat uncle Maniam, nanti mak bayar kemudian. Uncle Maniam tu pun dah kenal sangat dengan kami. “Ada orang datang rumah ye?” Sebab mak takkan nak ambil biskut mengejut macam tu. Mak mesti bayar baru ambil.
Tapi zaman tu, semua orang berbaik tak kira kaum. Uncle tu akan bagi, kadang-kadang dia kata tak payah bayar pun. Baik uncle tu.
Kalau kita selalu bancuh air tawar, bila ada tetamu datang, lebihkanlah gula. Jangan bagi air tawar pada tetamu. Letakkan air kosong sebekas supaya tetamu yang taknak manis boleh tambah air kosong ikut selera dia.
Nak bersedeqah pun, dulukan bab makan. Sedeqahlah makanan kepada orang-orang yang memerlukan. Makanan menjadi darah daging. Moga ia menjadi jariah.
Kalau teringin nak makan sesuatu, usahakanlah.
Kadang-kadang bila anak-anak minta makanan, kita akan berkira-kira takut duit tak cukup. Yang tak mampu, itu lain. Ini saya merujuk kepada yang mampu tapi rasa perkara itu tak penting. Kita rasa ada perkara lain yang lebih penting. Atau kita rasa makan je la apa yang ada asalkan kenyang.
Cubalah untuk tidak menjawab ‘nanti lain kali’ kat anak-anak hanya untuk mendiamkan mereka dari terus meminta. Sebab mereka akan menanti dan terus menanti, hingga akhirnya mereka kecewa.
Jangan hampakan sesiapa bab makanan. JANGAN.
Jika tak mampu, jelaskan sebaiknya. Jangan bagi harapan.
Jika mampu, jangan kedekut. Tunaikanlah. Selagi kita kedekut bab makanan, selagi itulah kita akan rasa duit tak pernah cukup.
Ada seorang klien kami, dia kaya banyak duit tapi kedekut. Ada seorang isteri dan seorang anak. Orang nampak dia kaya, tapi waktu rehat makan mee segera. Anaknya dalam seminggu tu mesti 2-3 kali akan makan nasi dengan telur je. Tapi duit kat bank, 5 angka. Kereta mewah, rumah bagai istana. Tapi bab makan, kedekut. Sampaikan si anak menangis nak makan KFC pun tak dapat. Sebab padanya itu tak penting. Akhirnya dia mati kerana sakit jantung akibat kuat bekerja. Duit banyak tapi bab makanan dia kedekut. Sampai anak dan isteri ‘makan hati’.
Bab lain boleh kedekut, tapi tidak bab makan. Selagi mampu.
Sumber : Farizal Radzali
“Aidilfitri Tanpa Cahaya Mata.” 5 Tahun Diaju Soal Anak, Lelaki Ni Pesan Jangan Cari Salah Pasangan. Sangat Menyentuh Hati Perkongsian Ni!

Setiap pasangan yang berkahwin pasti mendambakan kehadiran si kecil bergelar anak dalam melengkapi hidup mereka. Namun jika belum tertulis rezeki buat pasangan tersebut, redha dan bersyukur adalah cara terbaik dalam memujuk hati. Mungkin belum masanya lagi untuk anda dikurniakan anak.
Begitu pun, sikap sesetengah masyarakat yang memandang sinis kepada pasangan yang belum memiliki anak seolah-olah itu menjadi satu kesalahan buat mereka.
Salah seorang pengguna Facebook Farhad Hassan baru-baru ini berkongsi luahan hati dan kisahnya apabila sering mendapat pertanyaan sedemikian daripada sanak saudara. lebih-lebih lagi menjelang Aidilfitiri.
Perkongsiannya menerusi akaun Facebooknya telah mendapat lebih 5 ribu tanda suka sejak dimuat naiknya. Ikuti kisah dan luahan hati suami ini.
AIDILFITRI TANPA CAHAYA MATA
Aku percaya bila hari raya je, mesti akan banyak soalan pasal anak ni oleh saudara mara/kawan. Aidilfitri tahun 2019 ni tahun kelima aku beraya tanpa cahaya mata dengan cik isteri. Berdua kemana-mana.
Bila orang tanya, dah habis rasanya template jawapan ni nak jawab. Usaha sudah, berubat sudah, jumpa pakar pon sudah. Tapi belum ada rezeki lagi. Kalau Allah belum berkehendakkan benda tu jadi, buat macam mana pon takkan jadi.
Berendam air mata
Banyak benda yang orang luar tak nampak . Rasanya da berpuluh test da di beli. Tiap-tiap kali negative, cik isteri senyum je geleng kepala. Habis berendam air mata aku tengok.
Bila baca berita kanak-kanak dibuli, didera, ditinggalkan, bayi dibuang, teresak2 cik isteri menangis. Mungkin terkilan amanah Allah yang sangat-sangat diidamkan ibarat tiada nilai pada sesetengah orang.
Jangan pertikaikan Allah
Tapi aku selalu ingatkan jangan sesekali pertikaikan Ya Allah, kenapa Kau pilih aku? Kenapa aku yang belum dikurniakan cahaya mata? Sebab pernah tak kau cakap macam tu bila tengah happy?
“Ya Allah, kenapa aku yang dipilih dapat cabutan bertuah Honda Civic ni?”
“Ya Allah, kenapa aku yang dipilih dapat bonus 3 bulan gaji ni?”
“Ya Allah, kenapa aku yang dipilih dapat melancong free ni?”
Belum rezeki anak, Allah bagi rezeki lain
Sabar, Allah itu maha adil. Mungkin belum ada rezeki anak tapi Allah bagi rezeki dalam bentuk lain.
Jangan ingat yang tak de anak je yg diuji, yang dah ada anak lain pula ujiannya. Ada yang tiada me time, tiada masa dengan pasangan sendiri, tiada masa melepak, tak cukup duit dan macam-macam lagi.
Jangan jatuhkan darjat isteri
Tiada yang kurangnya pun perkahwinan korang kalau belum dapat cahaya mata. Jangan ada rasa kurangnya isteri tu bila dia belum dapat bagi zuriat. Jangan jatuhkan darjat isteri kau, dan jangan calarkan maruah lelaki lain dengan berfikiran naif macam ni.
Sibuk fikir salah pasangan tak dapat kurnia zuriat, tapi kau sendiri lupa nak bimbing bacaan quran isteri, perbetulkan solat sama-sama, tak tunaikan tanggungjawab sebagai suami.
Untuk pasangan yang belum dikurniakan cahaya mata, jangan bersedih. Mungkin Allah belum beri rezeki zuriat tu sebab tau kekangan wang yang kita ada?So guna masa yang ada untuk cari duit lebih banyak2 untuk simpanan masa akan datang. So bila ada rezeki anak tu, cukup semua makan pakai.
Beri sokongan moral pada isteri
Gunakan masa yang ada berbakti kepada ibubapa, pasangan, pergi melancong, pergi tengok marathon movie yang anda minat, spend masa dengan pasangan anda macam waktu bercinta dulu.
Kalau yang niat bertanya atau berkongsi pengalaman rasa tiada masalah. Jangan layankan sangat dengan AJK persatuan makcik bawang yang selalu menyindir. Biarkan mereka dengan mulut mereka. Sebenarnya diaorang cemburu dengan life honeymoon korang.
Sebagai suami, tugas kita bagi sokongan moral. Jadilah peneman yang bagi kata-kata semangat, menenangkan cik isteri. Jangan biarkan isteri kita keseorangan menahan tekanan tu. Kita dah janji nak sama-sama kan?
InsyaAllah saya doakan semua yang sedang membaca ni dikurniakan cahaya mata yang soleh dan solehah. Semoga ada rezeki kita semua raya bertiga tahun 2020.
Resipi Viral Nasi Bawang Dengan Crispy Beef Yang Sedap Dan Rangup, Patutlah Share Hingga 22K!

Bagi yang pernah makan Nasi Crispy Beef kawasan Wangsa Maju pastinya teringin nak menikmati hidangan ini. Sudah tentu keenakan hidangan ini, membuatkan ramai yang ‘mengidam’ menu ini.
Disebabkan dalam tempoh PKP tentu kita tidak boleh bergerak bebas dalam jarak untuk ke kedai. Buat yang ingin memcuba hidangan ini, apa kita buat sendiri di rumah.
Semalam tular resipi ini menerusi perkonsian Dr Kamarul Ariffin Nor Sadan ikuti resipi lanjut ini.
Dulu, kawan saya ada meniaga Nasi Crispy Beef dekat area Wangsa Maju(kalau tak silap). Selalu tengok dia punya iklan lalu lalang. Terliur! Disebabkan saya di JB, terpaksa masak sendiri.
Daging Rangup (Crispy Beef) by Kamarul Ariffin Nor Sadan
Bahan-bahan: (3-4 orang makan)
400g daging
1 biji bawang Holland
2 sudu besar kicap cair
1 butir telur
2 ulas bawang putih
1 sudu empingan cili
1-2 cawan tepung jagung
1 sudu besar lada sulah
1 sudu besar kicap manis
3 sudu besar sos tomato
2 sudu besar cuka
1 sudu besar bijan(disangai)
Garam dan gula secukup rasa
Cara masakan boleh lihat pada kapsyen setiap gambar. Jom lihat.
Cara masak nasi bawang
Di kedai kawan saya tu Crispy Beef ni dihidang dengan nasi bawang. Saya akan gunakan bawang Holland untuk buat bawang goreng dan minyak bawang untuk buat nasi bawang tu.
Hiris bawang nipis-nipis. Goreng dengan minyak sedikit. Saya ada letak secubit garam semasa goreng bawang ni. Bawang Holland ni manis kalau dikorek hingga terkaramel.
OK bawang dah terkaramel. Bau dia menggiurkan. Keluarkan dari kuali dan bahagi kepada dua bahagian. Satu bahagian untuk nasi, satu lagi untuk sos crispy beef
Cuci beras. Letak bawang goreng dan minyaknya. Masukkan garam. Letak sikit mentega atau ghee jika mahu. Tanak nasi macam biasa dalam “rice cooker”.
Cara masak Crispy Beef
Kita potong daging nipis-nipis, lembing kurang 1-1.5cm tebal. Kalau boleh, gunakan bahagian daging yang lembut, seperti batang pinang atau rimau menangis. Barulah rangup diluar, lembut di dalam.
Kita perap dengan bawang putih, kicap cair, telur dan lada sulah. Tambah garam jika perlu. Biarkan sebentar agar ramuan mesra. 30 minit dah cukup
Sekarang masukkan tepung jagung, gaul-gaul sampai setiap hirisan daging di selaput tepung. Selain tepung jagung, saya rasa tepung yang paling sesuai adalah tepung kanji/kentang(potato starch).
Goreng! Minyak kena panas. Jangan masukkan sekaligus. Masuk satu-satu. Dah kuning, angkat! Ni gambar saya goreng daging ni buat kali kedua(double fry) agar lebih garing.
Angkat, dan toskan minyak berlebihan. Ambil satu dan rasa. Aduhai, berkeriuk diluar, tapi masih berjus di dalam. Kalau hidang macam ni je pun, InsyaAllah licin dikerjakan anak-anak. Tapi, sabar dulu!
Kita buat sos untuk gaul dengan daging tadi dulu. Tumis bawang putih, masukkan empingan cili (chili flakes). Kalau nak guna cili kering atau cili kisar pun boleh.
Masukkan sos tomato. Selain kicap, tomato mengandungi monosodium glutamate, dan itu akan memberi rasa umami pada sos ni nanti. Barulah sedap! Kalau pekat sangat, masukkan air sikit.
Ni kicap manis. Berikan rasa lemak dan seimbangkan rasa masin dan masam tadi. Sama macam tomato, kicap pun penambah rasa umami. Barulah dapat mengecapi keenakan makanan.
Tambah sedikit cuka! Siapa yang rasa-rasa tak boleh makan cuka, tukarlah kepada limau nipis atau limau kasturi. Sejujurnya, untuk resepi ni, cuka lebih sedap. Ia beri rasa “tangy”. Tak tahu dalam BM istilahnya apa.
Akhir sekali masukkan bawang goreng kita tadi. Bawang terkaramel ni akan menjadikan sos ni unik, dan lain dari sos masam manis yang biasa kita buat. Jadi, yang ni jangan tak letak.
Tuang daging yang dah digoreng tadi, dan gaul laju-laju. Biar sos tu menyelaputi setiap inci daging. Kalau sos tadi pekat dan likat, InsyaAllah kerangupan daging ni tak terjejas.
Lupa pula nak masukkan bijan. Tabur sikit dan dah boleh hidang! Masa nak pindah ke dalam pinggan, boleh curi lagi sekeping daging untuk rasa. Bukan ada orang perasan. Haha!
Itu dia! Nikmat kerangupan salutan tepung, keenakan sos, dan daging lembut di dalam. Semua dalam satu pakej hidangan. Saya hidang bersama nasi bawang(cara masak nasi bawang ada di ruangan komen).
Sumber: Kamarul Ariffin Nor Sadan
Nak macam-macam info? Join channel Telegram keluargagader club