
Keselamatan anak bukan perkara yang boleh dipandang ringan.
Walaupun ibu bapa sentiasa cuba memberikan perlindungan terbaik, beberapa saat terleka ketika berada di tempat awam sudah cukup membuatkan kita panik apabila anak tiba-tiba hilang daripada pandangan.
Anak juga perlu dibekalkan dengan pengetahuan asas supaya mereka tahu bagaimana hendak bertindak sekiranya berdepan dengan situasi yang mencurigakan.
Menurut Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), ibu bapa disarankan sentiasa memantau anak, mendidik mereka tentang keselamatan serta lebih peka terhadap keadaan sekeliling.
Berikut lima langkah penting yang boleh mula dipraktikkan bersama anak.
1. Ajar Anak Jangan Mudah Percaya Orang Tidak Dikenali
Sejak kecil, terangkan kepada anak bahawa mereka tidak boleh sewenang-wenangnya mengikut, menerima pemberian atau menaiki kenderaan individu yang tidak dikenali.
Pada masa sama, mereka perlu diajar bagaimana hendak bertindak apabila berdepan situasi yang membuatkan mereka berasa tidak selamat.
2. Jangan Biarkan Anak Berjalan Sendirian
Anak mungkin sudah biasa berjalan ke kedai, menunggu di luar tandas atau bergerak beberapa meter daripada ibu bapa.
Namun, jangan terlalu cepat menganggap mereka mampu menjaga diri sepenuhnya.
Lebih-lebih lagi ketika berada di pusat beli-belah, taman rekreasi, kawasan sesak atau lokasi yang tidak biasa dikunjungi keluarga.
3. Pastikan Anak Tahu Apa Perlu Dilakukan Ketika Kecemasan
Kenalkan anak kepada pihak yang sesuai seperti anggota polis atau petugas keselamatan.
MCPF turut mencadangkan supaya keluarga menyediakan direktori nombor kecemasan di lokasi yang mudah dilihat.
Bergantung kepada umur, anak juga boleh diajar mengingati nama penuh ibu bapa dan sekurang-kurangnya satu nombor telefon penting.
4. Jangan Dedahkan Terlalu Banyak Maklumat Anak Di Media Sosial
Tanpa sedar, perkongsian yang kelihatan biasa boleh mendedahkan banyak maklumat mengenai keluarga.
MCPF mengingatkan supaya maklumat peribadi dan keluarga dilindungi serta tidak mudah didedahkan kepada orang luar, termasuk menerusi internet dan media sosial.
5. Peka Dengan Keadaan Sekeliling, Jangan Abaikan Perkara Mencurigakan
Ketika bersama anak di luar rumah, elakkan terlalu leka dengan telefon sehingga tidak menyedari keadaan di sekeliling.
Perhatikan sekiranya terdapat individu yang berkelakuan mencurigakan atau seolah-olah memperhatikan pergerakan anak.
Keselamatan Anak Bermula Daripada Rumah
Tidak ada ibu bapa yang mahu memikirkan perkara buruk berlaku kepada anak.
Namun, mengambil langkah berjaga-jaga bukan bermaksud kita perlu hidup dalam ketakutan.
Sebaliknya, anak perlu dibekalkan dengan ilmu dan kemahiran yang sesuai dengan usia mereka.
Pesanan ringkas seperti jangan mengikut orang yang tidak dikenali, tahu siapa yang boleh diminta pertolongan dan tidak berjalan sendirian mungkin kelihatan kecil.
Namun, pengetahuan inilah yang boleh membantu anak membuat keputusan pantas apabila berdepan situasi tidak dijangka.
BACA LAGI: Intan Ladyana Belajar Dari Mak Mentua Cara Guna Car Seat Untuk Keselamatan Anak
Sumber: Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF)
Mencari bahagia bersama KELUARGA?
Download dan baca sekarang di

